Bab 4
Sudah tiga hari berturut-turut Shah berkunjung ke Jazz Cafe. Dia akan datang pada pukul 10.00 pagi, dan keluar dari kafe pada jam 12.00 tengah hari. Saat jam menginjak angka 4.00 petang, dia akan muncul kembali dan setelah Reny pulang kerja pada jam 5.00 petang, barulah dia meninggakan kafe milik Jazmi itu.
Reny dan Jemah tertanya-tanya tentang perangai pelik Shah. Hendak dihalau keluar dari kafe, pemuda itu sahabat baik Jazmi. Shah bukan duduk dalam kafe tanpa membeli apa-apa. Setiap kali datang, dia pasti akan memesan secawan kopi atau jus.
Sepanjang masa dia berada di kafe, dia kelihatan sibuk bekerja dengan komputer riba dan beberapa buah dokumen. Pemuda itu menganggap kafe itu seperti pejabatnya pula.
"One hot caffe latte for you."
Jazmi menghidangkan secawan kopi panas di hadapan Shah. Dia melabuhkan punggung di hadapan sahabatnya itu.
"Thanks."
Jazmi memandang Shah yang sedang fokus menyemak laporan kerja sebelum dia menghela nafas panjang.
"Kau bergurau ke?" soal Jazmi tiba-tiba.
"About what?"
"Kau nak buat kafe aku ni macam pejabat persinggahan kau untuk beberapa minggu?"
Berkerut dahi Jazmi bertanyakan soalan sama yang dilemparkan kepada Shah sejak tiga hari lepas.
"Aku tak berlawak. Aku betul-betul serius."
"But why?"
"You know why."
"Come on, Shah. Aku dah cakap dekat kau kan yang akak bukan macam perempuan-perempuan lain. Dia tak akan tergoda dengan kau."
"Belum cuba, belum tahu."
"Dia tu akak angkat aku kut. Aku tak sukalah kau main-mainkan perasaan dia!"
"Aku main-mainkan perasaan dia? Sejak bila? Siapa yang mainkan perasaan siapa sekarang ni? Akak angkat? Kau nak aku termuntah ke?!" soal Shah bertalu-talu sambil mencerlung marah ke arah Jazmi. Bengang bila sahabat baiknya itu tak sudah membela dan cuba melindungi Reny.
"Aku tak faham..."
"Kau tak perlu faham! Anggap aje aku ni regular customer kafe kau," balas Shah tanpa teragak-agak.
Jazmi termengkelan. Yakin jika dia terus membahaskan hal itu dia akan bergaduh dengan Shah. Puas Jazmi bertanya, kenapa Shah begitu berminat untuk mendekati Reny, tapi Shah enggan menjawab persoalannya.
Shah seorang bad boy. Dan bad boy bukan jenis lelaki yang terhegeh-hegeh mengejar seorang perempuan. Perempuan yang selalu terhegeh-hegeh inginkan perhatian mereka. Namun, kali ini entah mengapa Jazmi dapat melihat sahabatnya itu bertukar angin dan seperti hilang arah.
Hendak kata Shah ingin mengurat Reny, rakannya itu enggan menegur Reny sepanjang tiga hari dia bertandang ke kafe itu. Bila Syafa menegur, rancak pula Shah melayan. Takkan Shah berkenan dengan Syafa pula?
"Kau buatlah kerja kau. Aku nak check stok kopi." Jazmi berlalu pergi.
Shah menarik nafas panjang sebelum membuka kaca mata tanpa bingkai yang digunakannya sewaktu bekerja. Dia memejamkan mata seketika sebelum mencuri pandang ke arah kaunter juruwang. Kosong!
Pantas saja kepalanya melingas ke kiri dan ke kanan, mencari kelibat gadis itu. Hatinya lega bila melihat Reny sedang membersihkan sisa makanan di atas sebuah meja. Shah memegang dadanya yang berdegup kencang. Ah, kenapa susah sangat kau nak tegur dia?!
Shah berkira-kira untuk mendekati Reny. Setiap kali dia melihat wajah polos itu, lidahnya jadi kelu dan suaranya hilang entah ke mana. Sebaik saja tamat pertemuan mereka di Flora Terrace dan 7-Eleven kali lepas, Shah menjadi stalker gadis itu!
Dia memerhatikan Reny pergi dan pulang dari kerja. Dek tak cukup dengan sekadar melihat dari jauh, Shah selamba menjadikan Jazz Cafe sebagai pejabat persinggahannya. Cukuplah bertahun-tahun berpisah dengan gadis itu. Dia enggan mensia-siakan peluang kedua!
Pertemuan singkat mereka di 7-Eleven dahulu berakhir dengan situasi janggal. Shah langsung tak menyangka yang Reny ialah kakak angkat Jazmi dan merupakan salah seorang staf Jazz Cafe. Sudah hampir tiga tahun Jazz Cafe beroperasi dan Shah lambat tahu akan kewujudan Reny. Adakah ini semua percaturan takdir?
"Excuse me!"
Shah mengangkat tangan dan melambai lembut ke arah Reny. Reny yang sedang mengelap meja, segera mendekati pemuda itu.
"Ya, Encik Shah. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"
"Meja aku kotor. Kau lap sekarang."
Shah berpeluk tubuh seraya memandang air muka Reny. Gagal untuk menebak apa yang bermain dalam fikiran gadis itu.
Reny terkebil-kebil melihat meja Shah yang langsung tiada kotoran. Komputer riba jenama Apple dan kertas kerja pemuda itu telah disimpan ke dalam briefcase. Hanya terdapat secawan kopi yang masih belum bersentuh. Pemuda itu berhalusinasi ke apa? Reny tak nampak satu habuk pun atas meja tu?
"Saya tak nampak sebarang kotoran pun?"
"Kau tak nampak?"
"Ya."
"Okey. Aku bagi kau nampak."
Shah menuang suku daripada minumannya ke atas meja sebelum dia mencicip baki kopi itu tenang. Menunggu saat Reny melenting dan memaki hamunnya. Suasana pegun buat beberapa saat.
"Okey. Saya dah nampak."
Hampir terlepas cawan kopi Shah apabila melihat reaksi Reny. Gadis itu selamba mengelap minuman yang sengaja ditumpahkan Shah ke atas meja. Tertib saja cara kerjanya. Shah gigit bibir dek menahan geram. Dia takkan menyerah kalah. Dia mahu melihat gadis itu sakit hati dengan tindak-tanduknya!
"Hmmm, wanginya."
Shah berbisik halus di telinga Reny saat gadis itu menunduk untuk mengemop tumpahan air yang terpercik atas lantai, di bahagian bawah meja Shah.
"Encik Shah cuba nak sarkastik dengan saya ke?" soal Reny seraya mendongak kepala memandang Shah.
Dua pasang mata bertaut, menyembunyikan seribu satu rahsia dalam hati. Shah terkedu apabila sepasang anak mata coklat cair itu redup menikam deria penglihatannya. Buat pertama kali, Shah melarikan pandangan terlebih dahulu. Terasa dadanya seperti hendak meletup apabila berada begitu dekat dengan Reny.
"Nope. I'm serious."
"Saya tak sempat mandi pun pagi ni. Dan Encik Shah cakap saya wangi?"
"What?!"
Shah terjerit kecil dan mula mempamerkan riak jijik. Hatinya yang berdebar sebentar tadi seperti dibekukan dengan ais buat seketika. Apa yang telah berlaku kepada Reny hingga mandi pun lupa?!
"Gurau aje."
Reny menahan gelak. Puas hati saat mendengar Shah mendengus kecil.
"Kau cuba nak berlawak dengan aku ke?"
Shah bersuara bengang. Tak pasal-pasal diperbodohkan gadis itu.
"Taklah. Encik Shah tak perlu cakap pun, saya tahu yang saya ni wangi. Saya wangi macam lavender," jawab Reny selamba.
Tersirap darah Shah saat itu. Mengapa pula dia yang naik angin ni? Bukan ke misinya untuk buat Reny marah dan sakit hati?!
"Do you smoke?" soal Reny tiba-tiba. Dia selesai mengemop lantai dan berdiri menghadap Shah.
"Nope. Never. Kau tahu kan yang aku paling benci dengan rokok?!" balas Shah dengan kening bertaut. Takkan Reny lupa tentang dirinya?
"Tapi bau Encik Shah macam bau rokok."
"What?! Aku yang wangi-wangi ni kau cakap macam bau rokok?!" Shah terjerit lagi sebelum spontan menghidu kemeja yang dipakainya.
Reny keras perut menahan tawa dari pecah terburai. Mengapa pemuda itu naif sangat? Tak dapat beza ke sama ada dia berkata benar atau temberang?
"Macam bau rokok tu kiasan sajalah, Encik Shah. Bau cologne Encik Shah kuat sangat. Macam orang merokok, asapnya boleh terlekat pada orang lain. Cologne Encik Shah pun macam tu la."
Shah melopong dengan reaksi sukar untuk percaya. Kurang ajar punya perempuan! Boleh pula Reny selamba mengutuk wangian yang dipakainya. Eh, dia kutuk ke dia puji? Ah, apa-apa pun, sudah dua kali dia dimainkan gadis itu. Tak boleh jadi ni!
"Janganlah marah. Saya gurau ajelah. Jujurnya Encik Shah bau wangi sangat."
Reny tergelak kecil sebelum memandang Shah lama. Jasad mereka dekat, namun hati mereka begitu jauh sekali...
Shah yang tadi baru ingin memaki gadis itu terpaku serta-merta. Senyuman Reny buat hatinya cair seperti aiskrim yang berada di bawah sinaran mentari. Wajah terasa hangat dan rona merah menghiasi pipi tanpa dia sedar. Jantung berdegup kencang umpama dipalu gendang.
Dia berdeham kecil sebelum melarikan matanya daripada terus memandang Reny. Ah, Shah! Yang kau menggelabah tak tentu pasal ni kenapa? Kau tu lelaki, bukan perempuan! Mana perginya gen-gen bad boy kau?!
"Kau jangan senyum. I hate it!" tutur Shah sambil menjeling Reny. Reny terkebil-kebil melihatnya sebelum buat muka tidak endah. Eee... Sakitnya hati Shah dengan perempuan ni!
"Encik Shah pakai cologne apa? Boleh saya beli nanti untuk jadi wangi macam Encik Shah?" tanya Reny penuh minat.
"Are you crazy?"
"Kenapa?"
"Cologne yang aku pakai cologne lelaki. Yang kau sibuk nak pakai kenapa pula?!"
"Tak boleh ke?"
"Kau tak payah pakai apa-apa perfume. Kau memang dah wangi!"
Shah fikir dia bersuara dalam hati. Namun, kata-katanya jelas didengari Reny. Apabila dia tersedar akan kesilapannya itu, dia berdeham lagi. Jatuh sahamnya saat itu! Mana boleh mudah sangat memuji seorang gadis yang berjaya menarik perhatiannya. Nanti mereka jual mahal pula!
"Encik Shah..."
"Stop calling me like that!"
"Errr... Habis tu, Encik Shah nak suruh saya panggil apa?" soal Reny bingung. Sekali lagi isu panggilan menjadi perdebatan.
"Kau tahu nama sebenar aku."
"Shah?"
"Bukan."
"Shahrul Ridzwan?"
"No!"
"Shah Rukh Khan?"
"Bukan!"
"Oh, Encik Shah nak suruh saya panggil Encik Shah dengan nama 'Bukan'?"
"Stop messing around with me, Reny Fathia!" Shah membentak kuat sebelum menjegilkan mata ke arah gadis itu.
Reny garu-garu kepalanya yang tak gatal. Penyakit mental pemuda ini dah datang ke apa? Sekejap okey, sekejap ko? Dia yang melayan pemuda itu sama gila!
"Bila saya main-main dengan Encik Shah? Saya tanya baik-baik, Encik Shah nak suruh saya gelarkan Encik Shah apa, tapi Encik Shah suruh saya teka-teka pula. Manalah saya tahu apa nama gelaran Encik Shah," jawab Reny dengan suara mendatar tanpa perasaan.
"Kau akan menyesal!"
Shah bangun dari duduk dengan wajah masam mencuka. Dia bergegas keluar dari kafe. Tak apa, tak apa... Hari ni hari kau bodohkan aku! Esok, lusa, tulat dan forever and ever, aku yang akan bodohkan kau, Reny Fathia! Itu tekad Shah!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co