Truyen3h.Co

TUNANG KE-9

Bab 5

karyaseni2u

Hari Rabu ialah hari yang agak membosankan buat Shah. Reny cuti pada hari itu dan dia tidak tahu gadis itu berada di mana. Di rumah sewanya atau keluar beriadah? Atau ada janji temu dengan lelaki? Tiba-tiba perasaan cemburu menghantui diri. Ah, Shah! Kau dengan dia bukan ada apa-apa pun. Kenapa kau nak possessive sangat? Shah menjerit dalam hati.

"Shah, you dengar tak I cakap apa?"

Adele mengetap bibir geram apabila pertanyaannya tidak diendahkan Shah.

"Apa?"

Shah bermain dengan penyedut minumannya. Saat itu, dia makan tengah hari bersama Adele di sebuah restoran yang terletak di Sunway Pyramid. Adele penat membebel tentang itu dan ini dan Shah asyik berkhayal mengenangkan Reny.

"Parents I nak jumpa you."

"Ha?"

"Parents I nak jumpa you!"

"Kenapa nak kena jumpa dia orang?"

"You tunang I!"

"Bukan secara rasmi pun."

"I nak kita jadi tunang yang sah dan rasmi. Sebab itulah I nak you jumpa parents I."

Ibu bapa Adele bising apabila mengetahui yang Adele selalu keluar dengan Shah. Banyak kali diajak bertandang ke rumah, Shah tidak pernah setuju. Sudahlah pemuda itu terkenal dengan jolokan bad boy. Manalah orang tua Adele tidak bimbang.

"Tunang yang sah dan rasmi? Hahaha."

"Kenapa you gelak?"

"Cuba you cakap dengan I, apa maksud tunang yang sah dan rasmi tu?" soal Shah sambil mengherotkan bibirnya.

Shah tersenyum sinis saat memandang wajah tunang ketujuhnya itu tunak. Wajah yang bermekap tebal dan sangat plastik. Baju kalau tak mendedah 'lurah dendam', memang tak sah! Ingat dia hadap sangat ke hendak melihat semua itu? Macam ini ada hati hendak jadi tunangnya yang sah? Tunang rasmi? Isterinya? Berangan sajalah...

"Tunang yang sah tu bila you dan I setuju untuk jadi suami isteri dan rasmi pula bila kita mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah keluarga."

"Bijak juga you ni ya? Beauty with brain."

Pujian Shah menyebabkan Adele senyum meleret. Tidak sedar yang tunangnya itu sedang mengutuknya dalam hati.

"Thanks, darling. So, bila you nak datang rumah I?"

"Untuk apa pula I kena datang rumah you?"

"Shah, you jangan main-main boleh tak? Untuk bertemu dengan parents I la!"

"Bila I jumpa parents you, apa yang I perlu buat?"

"Come on, darling. Bila you jumpa parents I, you cakaplah yang you nak kahwin dengan I. As simple as that."

"Masa bila pula I cakap I nak kahwin dengan you?"

Senyuman manja Adele hilang sekelip mata dan wajahnya berubah pucat. Dia tidak salah dengar ke?

"You bergurau kan, darling? I tunang you. Pastilah you nak kahwin dengan I, kan?"

"Ya, I mengaku you tunang tak rasmi I, tapi tolonglah... I nak kahwin dengan you? Memang taklah..."

"Shah! Apa yang you cakap ni? Jadi selama ni you main-mainkan perasaan I? Hubungan cinta kita?!" Adele menyinga dan wajahnya merah padam menahan marah.

"Cinta? Jangan buat lawaklah dengan I, Adele. Cuba you ingat baik-baik. Tiga bulan lepas, masa I bagi you cincin, ada ke I cakap nak jadikan you isteri?"

Adele terpempam.

"Tak ada, kan? I just tanya, will you be my unofficial fiancee? And you... Without a second thought, accept the ring. Reaksi you masa tu macam kera dapat bunga. You tahu tak?"

Hujung bibir Shah terjongket sinis. Saja menekankan perkataan unofficial fiancee. Istilah yang sentiasa berlegar-legar dalam hidup Shah. Istilah yang diciptanya sendiri untuk menjerat hati gadis-gadis.

"You samakan I dengan kera, Shah?!"

"Taklah. You lebih teruk daripada kera. Kera tu haiwan, tak berakal. Tapi you, ada akal pun still nak stick dengan bad boy macam I. Mana you letak akal you?"

"Kurang ajar!"

Tangan Adele melayang, hampir mengenai pipi Shah. Namun, tangan kekar itu lebih pantas menepis.

"You jangan ingat, senang-senang you boleh tampar muka I."

Shah bersuara tenang namun terselit ketegasan.

"Sepanjang kita berhubungan, tak pernah sekali pun I mengaku yang I cintakan you. Apatah lagi nak ambil you jadi isteri I. It was a big no."

"Tergamak Shah, you buat I macam ni?!"

Suara Adele bergetar kuat. Sebak di dada tidak dapat ditahan lagi. Mutiara-mutiara jernih mula mengalir jatuh ke atas pipi. Selama ini hubungan mereka sekadar pura-pura sahaja?

"Buat apa? Siapa yang bodoh sangat sanggup jadi tunang tak rasmi I? Dahlah tak rasmi, tunang ketujuh pula tu. Mudahnya perempuan macam you percayakan lelaki. Lepas tu nak salahkan lelaki pula. Tsk... Tsk... Tsk..." Shah mendesis kecil.

Adele yang berdiri tadinya, terduduk di atas kerusi. Hari itu, di hadapan matanya, dia jelas melihat belang sebenar Elman Shah. Selama ini, dia tidak mahu percaya akan semua khabar buruk mengenai pemuda itu. Namun, saat itu malapetaka jelas menghentam batang hidungnya sendiri. Mengapa dia membodohkan diri, menagih cinta pemuda itu? Sedangkan dia tahu dalam kamus hidup Shah, tiada istilah cinta sejati.

"You bertenang dulu, balik rumah. Buat solat sunat taubat sebab you banyak dosa. Lepas tu buat solat sunat istikharah, I yakin muka I takkan muncul dalam mimpi you. Then, you fikir masak-masak nak buat apa. You boleh terus jadi tunang tak rasmi I sebab I belum jumpa pengganti you. Kalau you nak putus dengan I pun, I tak kesah," tutur Shah penuh dengan perlian.

"Bye. Hati-hati drive ya, sweetheart."

Shah menyarung kaca mata hitamnya, melayangkan flying kiss sebelum meninggalkan restoran itu. Dalam hidupnya, antara perkara yang paling mudah dilakukan adalah mematahkan hati perempuan!

Shah memakai fon telinga dan humming lagu-lagu Inggeris kegemarannya. Sepanjang dia menapak, ada saja mata gadis-gadis yang ralit memerhatikannya. Jika dia tidak memakai fon telinga, pasti ada yang berani untuk bertegur sapa. Leganya hati setelah dapat menghancurkan perasaan Adele. Dia sendiri tidak sedar bagaimana dia boleh bertahan dengan kerenah bimbo itu selama tiga bulan.

Shah yakin selepas ini, Adele akan minta putus dengannya. Putus? Huh! Sejak awal lagi, mereka tiada hubungan yang menggabungkan dua hati. Bagi Shah, Adele sekadar stok 'geli-geli'. Gadis itu syok sendiri dan dia sekadar menjalankan rutinnya sebagai seorang bad boy.

Shah berlegar-legar di Sunway Pyramid tanpa hala tuju. Hendak pulang ke rumah, dia bosan dengan bebelan ibunya. Hendak lepak dengan Jazmi, sahabatnya itu sibuk berdating dengan skandal barunya. Hendak lepak di Jazz Cafe, pencuri hatinya tiada di situ. Akhirnya, dia keseorangan dalam pasar raya luas itu.

Saat keluar dari sebuah kedai buku, mata Shah disapa dengan kelibat yang sangat dikenalinya. Shah menanggalkan kaca mata hitamnya bagi memastikan dia tidak salah pandang.

Tidak jauh di hadapannya, seorang gadis tinggi lampai sedang berjalan penuh tertib gaya seorang model. Dia asyik dengan dunianya sendiri dan tidak mengendahkan orang lain. Gadis itu sama memakai fon telinga. Sebelah tangannya memegang Samsung Galaxy S7 Edge dan sebelah lagi memegang aiskrim Choco Top.

Shah mengekori gadis itu buat beberapa ketika sebelum dia berkeputusan memotong langkah gadis itu.

"Hei!"

Berderau darah Reny apabila seseorang merampas aiskrim dari tangannya. Matanya membulat apabila melihat gerangan lelaki yang berdiri beberapa tapak di hadapannya itu.

"Emmm... Sedapnya aiskrim ni!"

Shah menggigit aiskrim vanila bersalut coklat itu dengan wajah penuh nikmat. Dia memandang Reny sekilas sebelum menjilat bibir sendiri yang terpalit dengan aiskrim. Saja ingin menggoda gadis itu dengan caranya sendiri.

"Tak payahlah buat aksi macam puppy tak makan setahun."

Reny menanggalkan fon telinganya dan berpeluk tubuh memandang pemuda itu.

"Kau samakan aku dengan anjing?!"

"Ia sekadar Choco Top yang berharga tak sampai tiga ringgit." Reny mengabaikan jeritan kecil Shah.

"Bila bibir kau sentuh aiskrim ni, harganya jadi lebih mahal daripada 7000 ringgit. I have got your indirect kiss." Shah tersenyum kemenangan. Tidak berniat untuk memulangkan aiskrim Reny yang telah dijamahnya.

Reny sekadar geleng-geleng kepala. Kenapalah Shah begitu kebudak-budakan? Macam ni ke gaya bad boy yang jadi kegilaan ramai? Macam budak terencat akal saja?

"Bibir saya tak sentuh aiskrim tu. Tapi... Gigi saya yang tak bergosok, gigit aiskrim tu. Tahniahlah, sebab awak dah makan tahi gigi saya."

Uwek!

Shah loya tekak saat mendengar bicara selamba Reny. Hampir saja dia termuntah di situ.

Reny mengekek ketawa. Geli hati dengan gelagat lelaki di hadapannya itu. Shah ni badut ke apa? Asyik buat lawak saja!

"I'm just kidding. Penggeli sangat... Perangai tak pernah berubah. Sama macam dulu..."

"What?" Shah kurang dengar hujung bicara gadis itu.

"Nothing. Dah tahu geli, kenapa makan lagi aiskrim tu, buang sajalah."

Reny pelik apabila melihat Shah masih memegang aiskrim Choco Top yang dirampasnya itu.

"Aku geli, tapi sebab aiskrim ni bekas mulut kau, aku sayang nak buang."

Shah bersuara tenang sebelum kembali menggigit aiskrim itu. Apalah sangat hendak dijijikkan dengan aiskrim itu, sedangkan sebelum ini mereka pernah minum air segelas dan makan berkongsi pinggan!

Reny pegun dan tidak terkata. Hatinya dijentik satu perasaan pilu... Ah, mengapa begitu sukar untuk melupakan...

Mereka berdua jalan beriringan sebelum duduk di sebuah kerusi rehat yang disediakan di bahagian tengah pasar raya itu. Reny mengeluarkan sebungkus roti Gardenia dari beg selempangnya. Dia memakan roti berinti coklat itu sambil memerhatikan tindak-tanduk Shah yang duduk di sisinya. Pemuda itu masih ralit memakan aiskrim kepunyaannya.

Apabila Reny berpaling ke hadapan, Shah pula mengambil peluang itu untuk meneliti wajah cantik itu lama-lama. Gadis itu kelihatan santai dengan jean lusuh, sweater merah dan instant shawl berwarna merah jambu. Kaca mata besar gadis itu tidak mencacatkan penampilannya. Bahkan, Shah fikir Reny sangat comel. Walaupun gaya dan pemakaian Reny sangat ringkas, ia masih mampu menggetarkan seluruh jiwa Shah.

Entah mengapa, Shah fikir Reny sengaja berpenampilan selekeh. Mungkin gadis itu tidak mahu menarik perhatian ramai.

"Lunch dengan aku," ujar Shah tiba-tiba. Aiskrim telah licin dimakannya.

"Saya dah lunch."

"Jangan nak tipu, sekarang baru pukul 1.00 tengah hari."

"Ini lunch la." Reny tersengih seraya menggoyang-goyang plastik roti yang kosong di hadapan Shah.

"Makan roti saja kau cakap lunch? Kau ni suka sakit ke apa? Nak kena gastrik?"

Laju saja mulut Shah membebel. Tanpa sedar, dia bimbang dengan kesihatan gadis itu. Reny lebih kurus berbanding dahulu. Dia seolah-olah tidak cukup makan!

"Saya sedang diet. Tak boleh makan banyak. Saya mana ada gastrik."

Lainlah awak, sambung Reny dalam hati.

"Banyaklah kau punya diet. Badan kau tu dah molek terbentuk! Tak payahlah nak menyeksa perut lagi. Aku tak peduli, kau ikut aku lunch. Sekarang juga!" Shah cuba menarik lengan Reny, namun gadis itu pantas mengelak.

"Awak ingat awak boleh paksa saya ke?"

Mata bundar itu menusuk pandangan Shah. Seperti mampu menembusi kepalanya. Shah baru hendak membuka mulut sebelum dia perasan ada sedikit krim coklat terpalit di bibir merah merekah itu. Ringan saja tangannya ingin menyentuh bibir itu...

Pak!

Reny menepis kuat tangan Shah yang hampir mengenai wajahnya.

"Jangan berani nak lebih-lebih!" jerkah Reny sedikit kuat. Wajah putih itu sedikit kemerahan kerana menahan marah. Shah cukup biadab sejak pertemuan awal mereka. Namun, Reny tidak menyangka pemuda itu sewenang-wenang ingin menyentuhnya!

Shah terpinga-pinga seketika sebelum dia menyedari sesuatu. Ah, mengapa dia boleh lupa... Reny bukan seperti bekas-bekas tunangnya.

"Mulut kau tu kotor. Bukan aku sengaja nak sentuh! Tangan aku ni tak ada selera nak sentuh kau!" Shah mengeluarkan sehelai sapu tangan dari dalam poket seluarnya sebelum menenyeh kain kecil itu di bibir Reny.

Reny termengkelan bersama perasaan geram. Tidak sempat mengelak daripada tangan kasar pemuda itu. Tak boleh beri elok-elok ke? Saja nak menyental muka aku ke apa? Reny membebel dalam hati.

"Kau datang sini naik apa?"

"Teksi."

"Aku hantar balik."

"Tak payahlah. Buang masa awak saja. Saya boleh balik naik teksi."

"Aku nak buang masa aku. Kau ada masalah ke?" soal Shah serius. Wajah kelat Shah membuatkan Reny malas meneruskan perdebatan.

Reny membuntuti langkah Shah yang berjalan di hadapannya. Dapat merasakan yang Shah sedang bengang dengannya saat itu kerana dia tidak mahu makan tengah hari bersama pemuda itu.

Sewaktu melintasi tempat parkir kereta dalam bangunan itu, telinga Reny menangkap bunyi sesuatu berdebuk jatuh. Seperti bunyi nangka busuk jatuh dari dahannya. Apabila Reny berpaling ke belakang, kelihatan seorang pemuda yang saiz badannya agak besar sedang mengaduh kesakitan di atas lantai konkrit itu. Reny meninggalkan Shah dan segera mendekati pemuda itu.

"Adik okey ke?" tanya Reny penuh simpati. Melihat seraut wajah itu, Reny meneka umur remaja itu dalam lingkungan 19 tahun. Hanya saiz tubuhnya tidak sepadan dengan umurnya.

"Okey."

Baru Reny cuba memapah remaja itu bangun, satu tangan lain lebih pantas memberi bantuan. Shah menarik lembut tangan remaja itu hingga dia mampu berdiri normal.

"Macam manalah kau boleh jatuh?" Shah bertanya.

"Terpijak tali kasut, abang." Remaja lelaki itu tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Cuba menyembunyikan kecuaian sendiri.

"Lain kali, hati-hati. Bahaya kalau jatuh terhentak." Reny sempat memberi nasihat.

"Kau balik naik apa ni? Kalau tak larat nak berjalan, aku boleh tolong hantarkan?"

"Eh, terima kasih sajalah, abang. Saya ada bawa kereta."

"Emmm... Hati-hati memandu. Lain kali sebelum jalan, check tali kasut dulu. Tak pun pakai kasut yang tak bertali."

"Amboi, yang kau bersungguh sangat nasihat dia macam mak nenek ni kenapa pula? Dia dah besar, tahulah dia jaga diri sendiri," sanggah Shah tidak puas hati. Dia membuka kaca mata hitamnya dan menyangkut objek itu pada leher t-shirtnya.

Remaja lelaki itu geli hati melihat wajah cemberut Shah.

"Baiklah, kak. Saya cuba ingat pesanan akak. Terima kasih ya, sudi tolong saya."

Remaja itu tersipu-sipu saat memandang wajah Reny. Cantik betul gerangan gadis yang membantunya itu. Tidak perasan yang reaksinya itu mengundang perasaan cemburu seseorang.

"Sama-sama."

Shah sempat menepuk lembut bahu remaja itu sambil berbisik agak kuat. "Jangan terjatuh hati dengan dia. Dia tu suka sangat berlakon baik."

Remaja itu sekadar angguk-angguk kepala tanda faham. Beranggapan yang Shah sengaja berkata sedemikian kerana cemburu dengannya. Siapa tak cemburu jika mempunyai teman wanita secantik gadis itu?

"Apa maksud awak yang saya berlakon baik?"

Reny bercekak pinggang menghadap Shah sebaik sahaja bayang remaja itu hilang dari pandangan.

"Huh! Kau tak payah nak berpura-puralah, Reny Fathia."

"Apa pula saya berpura-pura?"

"Kau jangan lupa apa yang kau dah buat dekat aku dulu!"

Suara Shah naik mendadak dan wajahnya kemerahan menahan marah yang menguasai minda. Dadanya berombak kuat dan matanya seperti helang yang bersedia mencengkam mangsanya. Dalam masa beberapa saat, segalanya berubah. Mereka yang tadinya tenang kini berada dalam situasi tegang.

"Kau pergi balik naik teksi. Aku malas hantar kau."

Shah mengendurkan suaranya bila melihat wajah Reny agak pucat saat itu. Pasti terkejut dengan bicara kasarnya. Dia meraup wajah beberapa kali sebelum berlalu pergi sendirian. Tidak mampu berlama-lama dengan Reny. Bimbang dia akan mengapa-apakan gadis itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co