Truyen3h.Co

Ursula

Bab 3

karyaseni2u

BARU saja helmet ditanggalkan, bunyi deruman enjin kedengaran dari belakang. Sesaat kemudian, muncul sebuah motosikal berkuasa tinggi, tepat-tepat di sebelahnya. Dengan keluhan nafas yang agak berat, dia kepitkan helmet di antara lengan dan badan.

"Kau buat apa?" Suara lelaki itu menyapa pendengarannya.

Malas nak menjawab, dia berjalan masuk ke dalam rumah teres satu tingkat itu. Dia tidak menoleh tetapi dia tahu, lelaki itu setia membuntutinya. Masuk saja ke dalam, lelaki itu ambil tempat di atas sofa tanpa dipelawa.

"Kenapa kau masuk campur hal dia orang?" Satu lagi soalan diaju.

Dia kekal membisu. Sebenarnya, dia dah jangkakan soalan tersebut. Pekakkan telinga sajalah memandangkan itu bukannya satu perkara baharu pun. Selamba saja dia masuk ke dapur, buka pintu peti sejuk lalu dia capai satu tin air 100 Plus. Ke depan semula dan dia sua pada si lelaki.

"Thanks." Mata menjeling namun tangan tetap menyambut huluran tersebut.

"Takkanlah aku nak biarkan aje? Dia lumpuh, Dean. Kalau dia normal macam kita, lebih-lebih lagi macam kau, aku takkan tolong langsung. Aku biarkan aje." Dia berkata sambil tangan mengunjuk pada Dean lalu kepala menggeleng-geleng. Tak semena-mena dia terima rengusan Dean.

"Perlu ke kau tolong dia?"

"Perlulah sebab..."

"Asyfa!" Menaik suara Dean akhirnya, menunjukkan rasa sebalnya apabila Asyfa terus-terusan menjawab, mahu menegakkan benang basah.

Asyfa terdiam. Memang itulah respons badannya setiap kali Dean memanggil namanya dengan nada tinggi. Automatik terkelu, tak tahu mahu membidas apa. Tambahan pula, dia mengerti punca Dean bengang sebegitu. Sejujurnya Asyfa sedar dia telah melakukan sesuatu yang tak sewajarnya dia lakukan.

Enggan bersoal jawab dengan Dean, Asyfa bangun.

"Pergi balik. Aku tak nak kena tangkap basah dengan kau," kata Asyfa.

"Asy, aku masih bercakap dengan kau. Asy! Asy!" Berkali-kali Dean melaung tapi tak diendahkan Asyfa. Tahu-tahu saja Asyfa sudah menghilang ke dalam bilik.

"Asy! Aku cuma risaukan kau. Itu aje!"

Di dalam bilik, Asyfa berdiri kaku sambil bersandar pada pintu bilik. Kepala menunduk dan sekilap, wajahnya bertukar muram.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co