Truyen3h.Co

Ursula

Bab 4

karyaseni2u

SEPERTI biasa, Hadi ke Brew and Sip demi si buah hati. Dia tidak menyapa atau mengganggu Batrisya. Hadi sekadar duduk, memerhatikan setiap tindak-tanduk wanita itu. Sewaktu Batrisya menghampiri seraya menatang dulang, Hadi tercengang. Satu piring mendarat di atas meja, tepat-tepat di depannya. Kemudian satu nota pula diserahkan Batrisya. Dalam kebingungan, Hadi membaca nota tersebut.

Saya cuba bake kek coklat malam tadi. Awak rasalah!

Melebar terus senyuman Hadi. Tak tunggu lama, dia terus capai garpu. Sesaat kemudian, kek coklat itu sudah masuk ke dalam mulut. Hadi mengunyah sambil ibu jari melurus, menghantar pujian pada Batrisya.

"Sedaplah!" Tak cukup dengan itu, Hadi turut memuji lisan. Bercahaya mata Batrisya, jelas terpancar kegembiraannya dipuji Hadi.

Apabila Batrisya dipanggil pengurus kafe, Batrisya gerakkan tangan seakan-akan pamit diri. Hadi mengangguk saja sambil tangan kiri melambai-lambai, persis anak kecil yang mengucapkan selamat tinggal. Perhatian Hadi kembali tertumpu pada kek coklat di depan mata. Kian melebar senyumannya. Tak sabar-sabar mahu terus menikmati air tangan Batrisya.

Tak semena-mena...

"Mulut Hadi boleh kata Hadi suka dan sayangkan Batrisya tapi papa tak nampak di mata Hadi."

Suara Ismail menampar gegendang telinga Hadi. Langsung seluruh tubuhnya mengeras. Hadi terkebil-kebil sendiri. Entah kenapa, tiba-tiba dia rasa nak cari cermin dan lihat pantulan dirinya sendiri atau upah seseorang untuk ambil gambarnya sewaktu dia bersama Batrisya.

Hadi ingin melihat sendiri rupanya tika itu. Benarkah apa yang Ismail katakan? Perasaannya pada Batrisya tidak cukup memancar pada matanya?

Bagai diseru-seru seseorang, nama Ismail terus lenyap dari kepala. Mata Hadi mulai melilau. Dia tidak tahu siapa yang dia cari, dia juga tidak tahu mengapa telinganya bagaikan mendengar panggilan seseorang namun sebaik dia terpandangkan seseorang di luar Brew and Sip, dia tersentak.

Di sana, ada seorang wanita berambut potongan bob sedang berdiri, terpacak bagai manikin. Matanya sedang memandang ke dalam kafe dan dia sepertinya sedang memandang...

Hadi menoleh ke kanan dan ke kiri. Pandangan wanita itu seakan-akan menghala ke arahnya tapi di situ, hanya ada dia. Takkanlah wanita itu pandang dia kut? Hadi jongket kening, seakan-akan menyoal 'apa?', tetapi wanita itu kekal statik, tidak memberi sebarang respons.

Semakin lama pandangan mereka bertaut, hati Hadi bertambah tidak keruan. Dan rasa itu kurang menyenangkan. Pun begitu, Hadi tak mampu alihkan bebola mata. Malah, dia pula enggan putuskan sabungan mata mereka.

Alih-alih, bahu Hadi dicuit. Hadi menoleh sontak. Terkelip-kelip matanya apabila seraut wajah manis Batrisya memenuhi kornea mata. Batrisya bertanya 'kenapa?' secara tidak lisan dan semerta, Hadi memandang ke luar. Mata Hadi melotot apabila menyedari wanita tadi telah pun menghilang. Dan kehilangannya telah membuatkan bahu Hadi jatuh sendiri.

Entahlah... Hadi rasa, perasaan ini boleh dinamakan kecewa. Tapi kenapa dia kecewa?

Lagi, bahu Hadi dicucuk jari telunjuk Batrisya. Terpaksalah Hadi berpaling dan hadiahkan senyuman kepadanya.

"Tak ada apa. Saya ingatkan saya nampak kawan saya tadi." Hadi berdalih, disambut dengan anggukan Batrisya.

Apabila Batrisya labuhkan duduk bertentangannya, wanita itu ceria tarik keluar pad nota dari poket. Dia ingin ceritakan sesuatu kepada Hadi, tentang mimpi kelakarnya malam tadi. Tak sedar, sementara itu Hadi sedang memanjangkan leher sambil mata melingas, cuba mencari kelibat wanita tadi.

Negatif.

Sekali lagi, hati Hadi bagaikan hampa.

Siapa kau sebenarnya?

Dalam hati, Hadi lemparkan soalan itu.

KETIKA ini, dia sedang berjalan beriringan dengan Batrisya tapi dia merasakan detik ini lebih sepi berbanding detik-detik sebelum ini. Memanglah Batrisya bisu dan mereka tak pernah berbual secara lisan tapi...

Hadi mengeluh sendiri. Dia pun tak tahu apa yang sedang terjadi pada dirinya sekarang. Sejak siang tadi, wajah wanita itu tak pernah pudar dari minda. Cuba mengalih perhatian dengan merenung wajah Batrisya sedalam-dalamnya, tetap juga matanya terbayangkan wanita misteri itu.

Kenapa? Kenapa susah sangat untuk dia lupakan wanita tersebut? Padahal rasa-rasanya, wanita itu sedang menghendap dia. Kalau betullah wanita itu ialah stalker, Hadi sepatutnya menjauhi dia, kan? Sementelah, Hadi tak tahu apa niat wanita tersebut. Entah baik, entah tidak!

"Nghhh!"

Tiba-tiba suara itu memecahkan lamunan Hadi. Sepantas kilat dia berpaling ke kiri.

"Ya Allah!"

Dalam pada fikiran Hadi melayang jauh, Batrisya telah ditarik dua lelaki bertopeng. Tangan kanan dan kiri Batrisya digenggam dan ditarik manakala wanita itu meronta-ronta sambil berpaling ke belakang, masih cuba memanggil Hadi dengan juraian air mata.

"Isya!" Hadi mula melangkah namun tiba-tiba muncul seseorang di depannya. Berbeza daripada yang lain-lain, insan tersebut tidak bertopeng. Dia cuba menghalang Hadi dengan mengacu satu objek berkilat ke arahnya. Diacah-acah di hadapan Hadi, memberi amaran secara tidak lisan kepadanya agar Hadi tidak melakukan apa-apa.

Kening Hadi terangkat. Perlahan-lahan, muka Hadi bertukar. Menjadi serius dan bengis. Dia tak endahkan amaran yang diterima kerana sekarang...

"Ke tepi."

Hadi sendiri yang mengugut lelaki itu. Pendek kata-katanya tetapi berbunyi keras. Semakin galak cara renungan Hadi tatkala dia lihat segarit senyuman sinis di bibir lelaki itu.

"Kau tak nak cabar aku. Lebih baik kau ke tepi." Lagi, Hadi cuba berkompromi.

"Nghhh! Nghhh!" Batrisya masih lagi menangis sambil tangan cuba ditarik daripada kedua-dua lelaki tersebut. Pandang ke depan, ada sebuah van sedang menanti mereka. Semakin deras air mata mengalir. Batrisya berpaling, memandang Hadi dan menjerit namanya dalam hati untuk meminta bantuan.

Si pengacu pisau kekal statik di tempatnya. Senyuman sinis semakin ketara memandangkan sebentar saja lagi, rancangannya akan berjaya.

Tak semena-mena, Hadi mengeluh. Nampaknya, lelaki ini sengaja mahu menduga dia. Dan nampaknya, Hadi terpaksa bebaskan satu sisi gelapnya, yang telah dia sorokkan selama beberapa tahun.

Satu sisi yang tak pernah dilihat Batrisya dan mungkin saja, akan membuatkan Batrisya takut dengannya. Namun Hadi tak peduli. Saat ini keselamatan Batrisya merupakan keutamaan.

"Jangan cakap aku tak bagi amaran."

Itu saja diungkap Hadi, mengundang kerutan dahi si lelaki bertentangannya. Hadi mara dan tangan yang mengacu pisau itu, dia cengkam pergelangan sebelum dia pulas.

"Erk."

Serentak, pisau terlepas. Cekap Hadi menyambut gagang pisau tersebut lalu Hadi acu pada lelaki tadi. Serta-merta lelaki itu mengangkat tangannya tinggi-tinggi, gaya orang menyerah diri. Andai dia lakukan itu sedari tadi, pasti Hadi akan lepaskan saja dia tapi sayangnya, sudah terlewat. Kedegilan lelaki itu sendiri yang telah mengundang bencana.

Pisau dilempar ke tepi lalu Hadi cekak leher lelaki tersebut dan mara ke hadapan sekali gus membuatkan lelaki itu mundur. Dengan dahi berkerunyut dek amarah, Hadi lepaskan satu tumbukan ke sisi muka lelaki itu sebelum dia sasarkan bahagian abdomen pula.

Dalam pada lelaki itu mengerekot, terus Hadi tendang dia sekuat hati. Terpelanting lelaki itu ke tepi jalan. Hadi terus melangkah. Panas hati melihatkan Batrisya kini sedang ditolak, dipaksa masuk ke dalam van walaupun wanita itu sedang mendepakan tangan pada pintu, enggan.

"Sial!" Lelaki yang tadinya memegang tangan kanan Batrisya, menghamun. Dia lepaskan wanita itu lalu dengan langkah besar, dia dekati Hadi. Cuba melayangkan penumbuk ke muka Hadi namun pantas saja Hadi membongkok. Tiba-tiba si penyerang dapat rasakan tubuhnya terangkat ke udara.

Ah! Rupa-rupanya dia sedang diangkat Hadi! Dan selepas ini, tak lain tak bukan, Hadi akan...

"Arghhh!" Dia mengerang kesakitan yang teramat. Sakit! Terasa peroi tulang-temulangnya apabila Hadi hempas badannya ke atas jalan raya bertar itu!

Dalam pada lelaki itu terguling-guling ke kanan dan ke kiri cuba meredakan rasa sakit dan remai, Hadi terus menapak. Kelihatan Batrisya dan seorang lagi lelaki sedang memandangnya dengan mata membulat.

Kesempatan itu diambil Hadi untuk menendang si lelaki, terus terperosok dia masuk ke dalam van. Si pemandu van pula segera menghunus mata parang dari tempatnya, terus ke leher Hadi.

"Nghhh!" Batrisya menggeleng laju sambil tangannya memaut lengan Hadi. Ketakutan yang teramat melihatkan mata parang itu hampir menyapa leher Hadi.

Dari sisi Hadi, Batrisya lihat muka lelaki itu merah bersama halkum tergerak-gerak. Tak cukup Batrisya terkejut dengan personaliti baharu Hadi yang dia saksikan tadi, sekarang dia lihat dengan lebih jelas betapa tajamnya mata lelaki itu. Bahkan, lebih tajam berbanding parang yang diacu.

Batrisya terkebil-kebil tatkala Hadi menolaknya ke belakang, memberi isyarat agar dia bersembunyi di sebalik Hadi. Masih lugu namun Batrisya tetap akur.

Selepas dia yakin penglihatan Batrisya sudah terlindung, Hadi mula menjongket hujung bibir. Dia pandang mata parang beberapa saat, sebelum dia pandang si pemandu bedebah itu. Hadi senyum sinis.

"Parang ni... Tak cukup untuk menakutkan aku."

Dan sehabis ayat itu, Hadi gerakkan lehernya ke belakang, sipi-sipi melepasi mata parang namun si bedebah bertindak refleks dengan memanjangkan tangan. Terhiris juga kulit leher Hadi walau sedikit sahaja. Tahu-tahu, tubuh Hadi sudah separa membongkok ke dalam van. Tangan kiri menggenggam pergelangan tangan si pemandu manakala tangan kanan Hadi menghentak kuat.

"Urgh!"

Parang yang terlepas, nyaris jatuh dan menusuk lelaki yang tadinya terbenam ke dalam van. Tangkas Hadi sambut pemegangnya. Sekelip mata, parang itu sudah terhala pada si pemandu. Jelas-jelas si pemandu terkesima, dengan mata melotot dan mulut ternganga.

"Bersyukurlah. Hadi yang sekarang, bukan Hadi yang dulu." Penuh keras Hadi berkata-kata, menyampaikan satu mesej tersirat di sebalik ayat-ayatnya.

"Lagi sekali kau cuba apa-apakan dia, pastikan kau dah gali kubur dan tempah batu nisan dulu." Sehabis ayat itu, Hadi campak parang ke tempat duduk belakang. Sambil tangan memaut lengan Batrisya, mata masih lagi memandang si pemandu dan lelaki-lelaki lain, bersilih ganti. Menghantar amaran terakhir kepada mereka.

Hadi tarik Batrisya menjauhi mereka semua. Sedang mereka berjalan, berkali-kali tubuhnya berlaga dengan Batrisya dan... Hadi terpempan. Dapat Hadi rasakan ketaran tubuh Batrisya. Dia menoleh ke kiri. Dilihatnya Batrisya sedang memeluk tubuh sambil menangis tersedu-sedan tanpa mengeluarkan sebarang suara.

Remuk hati Hadi semerta. Muka bengisnya menghilang, berganti muram. Dia pula yang merasa sendu. Sumpah, dia sangat-sangat kasihankan Batrisya! Pasti wanita itu ingin menjerit meminta pertolongan tapi dia tak berdaya.

Pasti wanita itu ingin menangis teresak-esak tapi dia tak mampu. Pasti wanita itu ingin mengadu betapa ketakutan menyelubungi diri namun dia tak boleh!

"Isya..."

Panggilan lembut itu berjaya merantai langkah Batrisya. Lambat-lambat dia menoleh memandang Hadi dan sejujurnya, Hadi tahu mengapa reaksi Batrisya seperti itu.

Batrisya... Takutkan dia.

Batrisya... Takut melihat sisi ganas yang dia tunjukkan sebentar tadi.

Namun Hadi tak peduli. Setapak demi setapak, dia hampiri Batrisya. Tanpa meminta izin terlebih dahulu, Hadi mendepa tangan. Ditarik lembut kepala Batrisya dan disembam ke bahunya manakala tangan kanan Hadi pula melingkar di bahu Batrisya.

"Saya minta maaf. Saya tahu awak takut. Tapi saya harap, awak tetap percayakan saya," tutur Hadi lembut. Dapat dia rasakan Batrisya terkaku. Lagi, Hadi eratkan dakapan. Tangan kiri kini membelai lembut kepala Batrisya yang bertudung itu.

"Saya tak tahu macam mana awak hidup sorang-sorang selama ni. Tapi saya tak nak kejadian tadi berulang lagi. Saya tak nak awak keseorangan lagi, Isya." Telus, Hadi ungkapkan itu. Hadi hela nafasnya dalam-dalam. Pada setiap saat yang berlalu, dia semakin yakin dengan keputusannya. Dan dia harap, Batrisya akan bersetuju dengannya.

"Kahwin dengan saya. Bagi saya lindungi awak, Batrisya."

Hadi tidak tahu bagaimana reaksi Batrisya tika ini. Wanita itu masih lagi mengeras, tidak membalas pelukannya. Tetapi Hadi enggan berganjak. Dia terus memeluk wanita itu, lebih erat berbanding tadi sambil kepala Batrisya terus-terusan dibelai lembut.

"Kahwin dengan saya, Batrisya..." ulang Hadi.

Kali ini, Batrisya tak lagi statik seperti tadi. Dia semakin menyembamkan muka ke bahu Hadi dan terus lepaskan tangisannya. Tak segan-silu walau baju lelaki itu kian lencun dengan air matanya. Tangan Batrisya yang tadinya berpeluk tubuh, jatuh. Kini Batrisya pula yang melingkarkan tangan ke pinggang Hadi lalu dia peluk kuat-kuat.

"Awak setuju?" soal Hadi.

Tersengguk-sengguk kepala Batrisya, menyatakan persetujuannya.

Hadi tersenyum lega. Bertambah lebar senyumannya tatkala Batrisya pula yang semakin kejap mendakapnya. Wanita ini... Berjiwa halus. Manja.

Namun...

Senyuman Hadi lesap tiba-tiba.

Saat ini, dia lihat ada seorang wanita sedang berdiri di hujung sana. Terima kasih kepada lampu jalan raya, Hadi dapat lihat rupanya dengan jelas. Dia yang berkasut but hitam, berseluar skinny jean, berjaket kulit coklat, sedang berdiri di sisi motosikalnya sambil memeluk helmet full face.

Hadi terus terpempan. Wanita itu... Ialah wanita yang sama, yang dia lihat di luar kafe siang tadi.

Kelihatan wanita itu memakai helmetnya dan mula menonggeng di atas motosikal. Hadi bertambah tergamam. Tak sedar, tangan yang tadinya memeluk Batrisya sudah menjauhi tubuhnya. Kepala dan badan Hadi sama-sama menegak.

"Nan..." Hadi ingin menyebut 'nanti' dan menghalang wanita itu daripada pergi tapi tak berhasil. Sekilap, wanita itu menghilang selepas bunyi ngauman enjinnya.

Terasa lengannya disentuh, semerta Hadi berpaling. Barulah dia tersedar semula, di sisinya ada Batrisya. Melihatkan wajah polos wanita itu yang sudah comot dengan air mata, Hadi rasakan seperti ada tangan ghaib yang sedang melempang pipinya berkali-kali.

Ya Tuhan! Baru sebentar tadi dia melamar Batrisya dan berjanji ingin melindungi wanita itu. Baru sebentar tadi mereka saling berpelukan. Bagaimana dengan mudahnya Hadi boleh terlupa tentang Batrisya?

Bagaimana dia boleh rasakan tarikan pada seorang wanita lain sewenang-wenangnya? Bagaimana dia boleh tergamak berfikir, mahukan wanita misteri itu sedangkan di sisinya kini, ada seorang wanita yang dia kasihi?

Hadi mengetap gigi. Saat dia tatap mata Batrisya, semakin dalam rasa bersalah dan berdosanya.

Maafkan saya, Isya...

Diam-diam, Hadi memohon keampunan. Bibir dipaksa mengukir senyum sewaktu Hadi kesat pipi basah Batrisya dengan jarinya.

"Esok saya bawa awak jumpa papa," kata Hadi disambut dengan senyuman manis dan anggukan laju Batrisya.

Terkesima Hadi bilamana Batrisya tiba-tiba menerpa dan memeluknya semula. Hadi biarkan saja, tidak membalas. Mata kembali tertancap pada tempat wanita misteri tadi berdiri bersama motosikalnya.

Dalam hati, Hadi bermonolog.

Siapa pun kau... Aku harap aku takkan terus tertarik pada kau. Aku sayangkan Batrisya. Bukan kau...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co