Truyen3h.Co

Ursula

Bab 6

karyaseni2u

TEMPOH hari dia yang buat muka apabila Ismail berikan saranan tapi sekarang... Hadi pandang penyapu di tangan. Elok-elok Ismail bagi cadangan agar dia bekerja sebagai baker di Brew and Sip, tiba-tiba pengurus kafe kata jawatan tersebut sudah diisi tetapi mereka memerlukan pelayan.

Maka di sinilah Hadi sekarang, menggantikan tempat Yvenne yang telah memberi notis berhenti kerja dua puluh empat jam.

Hadi menggeleng sendiri. Seumur hidupnya, dia tak pernah cuci pinggan, jauh sekali menyapu. Itu semua dilakukan oleh pembantu rumahnya sejak dia kecil. Pada umur selanjut ini, barulah dia berjinak-jinak dengan kerja-kerja seperti itu.

Batrisya yang baru muncul dari dapur, senyum tipis tatkala matanya tertancap pada Hadi. Ketara sangat lelaki itu masih kekok walaupun sudah seminggu berlalu. Namun senyuman Batrisya melebar kala dia sedar, Hadi sanggup melakukan itu kerananya. Selangkah demi selangkah, Batrisya dekati Hadi.

'Awak okey?'

Mulut Batrisya bergerak, menyoal itu. Laju-laju Hadi mengangguk. Dia berdiri tegak sambil tangan masih memegang batang penyapu. Hadi baca pergerakan mulut Batrisya.

'Sorry.'

Itu yang dikata Batrisya. Memahami apa maksudnya, Hadi maniskan muka. Jujur, Hadi tahu Batrisya rasa bersalah. Mula-mula Batrisya terhibur dengan idea rawak Ismail tapi dia fikir, setakat itu sahaja. Apalagi Hadi tak katakan apa-apa.

Namun apabila Hadi muncul tiga hari kemudian dan berjumpa si pengurus kafe, Batrisya terpempan. Rupa-rupanya lelaki itu ambil serius cadangan Ismail!

Sebaik Hadi diterima bekerja serta-merta, Batrisya tarik lelaki itu keluar kafe. Panjang berjela dia tulis di atas pad nota, menyuruh Hadi pulang sahaja. Tulis Batrisya juga, dia tak kesah kalau Hadi tidak bekerja.

Sayangnya, sia-sia saja dakwat pen dan helaian kertasnya. Dengan bersahaja Hadi kata dia takkan ubah fikiran.

"Saya okey. Awak pergilah sambung buat kerja," kata Hadi lembut.

Batrisya masih statik. Malah sekarang dia sudah bermasam muka. Kala tangan Batrisya menyentuh muka Hadi, Hadi terkedu sendiri. Rupanya Batrisya gunakan hujung lengan bajunya untuk mengesat peluh di dahi Hadi. Perlahan-lahan, lembut-lembut.

Sepertinya dalam masa yang sama, dia sedang memuji Hadi di atas kesungguhannya. Mata Hadi jatuh pada bibir Batrisya yang bergerak mengatakan sesuatu.

'Saya sayang awak.'

Tak sempat ditahan, mata Hadi sudah membuntang. Dia alihkan anak mata, terus tertumpu pada sepasang mata bundar Batrisya.

Sepatutnya Hadi tersenyum-senyum, kan? Sepatutnya Hadi gembira dengan ungkapan sayang itu, kan? Tapi...

Kenapa Hadi rasa rawan? Kenapa Hadi rasa gelisah pula?

Perlahan-lahan, Hadi gerakkan bebola matanya ke tingkap kaca kafe. Di situ tiada sesiapa tetapi daya imaginasi Hadi membolehkan dia melihat seorang wanita berambut bob sedang berdiri di situ dan memandang dia. Hadi berbalas renungan dengan wanita yang muncul dalam imaginasinya itu.

Genggaman di batang penyapu dikuatkan lagi. Ya, itulah sebabnya. Wanita misteri itulah punca dia jadi sebegini, tidak adil dan kejam kepada Batrisya.

Deja vu.

Sama seperti sebelum ini, Hadi dan Batrisya jalan beriringan, dalam pada fikiran Hadi dipenuhi dengan imej wanita misteri itu. Berkali-kali Hadi gelengkan kepala, cuba usir wajah tersebut namun berkali-kali jua dia gagal. Bagaikan ada glu yang telah merekatkan wajahnya ke memori Hadi.

Terasa ada sentuhan pada telapak tangan dan jarinya, automatik pandangan Hadi jatuh. Tercengang dia melihatkan celah jemarinya sudah terisi dengan jemari panjang dan halus milik seorang wanita.

Hadi mendongak pula. Dia lihat Batrisya tersenyum-senyum kepadanya, tak segan langsung walaupun dia telah menggenggam jemari Hadi. Sekarang Batrisya pandang ke depan semula, sambil badannya sengaja dirapatkan dengan Hadi.

Lagi, soalan demi soalan menerjah benak Hadi. Bukankah orang yang bercinta akan merasa bahagia dengan aksi seperti ini? Bukankah orang yang bercinta akan rasa di awang-awangan dan sentiasa punya keinginan untuk saling memanjakan satu sama lain dengan sentuhan demi sentuhan?

Tetapi kenapa Hadi tidak merasakannya? Tak ada langsung rasa teruja terbit, tak ada langsung rama-rama muncul di dalam perut. Perasaan Hadi saat ini... Kosong.

Dan diikutkan kata akalnya, dia ingin menarik semula tangannya sekali gus meleraikan tautan jemari tetapi ada satu suara menghalang Hadi. Kononnya menyuruh Hadi menjaga air muka dan perasaan Batrisya.

Dalam pada perasaan Hadi sedang berbolak-balik, deringan iPhone telah menyelamatkan keadaan.

"Sorry." Sepantas kilat Hadi tarik semula tangannya bersama senyuman separa ikhlas dituju kepada Batrisya, sebelum Hadi seluk poket seluar. Nama Muslim dibaca sekilas lalu Hadi jawab panggilan tersebut.

"Mus, kenapa?" soal Hadi selepas mereka berbalas salam.

"Bro, kau tak reply lagi WhatsApp aku."

"WhatsApp?" Hadi bertanya semula dengan polos.

"Dah seminggu aku tanya kau pasal reunion tu. Cepatlah bagi aku jawapan. Kalau tak kenangkan kau bestfriend aku kat sekolah dulu, aku takkan gigih call kau tau! Orang lain yang tak reply, semua aku buat tak tahu aje. Tapi sebab aku dah lama tak jumpa kau dan berharap sangat kau dapat attend majlis reunion kita nanti, aku gigih call kau. Bagi aku jawapan sekarang. Kau nak datang atau tak nak?" Panjang Muslim membebel, tak beri peluang untuk Hadi mencelah hatta sekali. Perasaan sebal dia lempiaskan sahaja. Geram sungguh dia pada Hadi.

Mula-mula Hadi melopong tetapi sesaat kemudian, dia tersengih. Jari menggaru dahi yang tidak gatal. Kepala menggeleng-geleng pula, terhibur dengan keletah Muslim.

"Kau mengingatkan aku semula, kenapa dulu kau dipanggil Muslimah. Sebab inilah. Membebel, mengalahkan typical Asian moms."

Bukan jawapan kepada soalan Muslim yang diberi tetapi satu sindiran. Kali terakhir Hadi bertemu Muslim ialah tiga tahun lepas, sewaktu dia menghadiri majlis perkahwinan Muslim. Tetapi Hadi dapat bayangkan reaksi Muslim saat ini. Pasti dia sedang bercekak pinggang dengan mulut membebel bak murai tercabut ekor.

"Kalau kau ada depan mata, memang aku seligi kepala kau! Cepatlah jawab. Kau nak pergi ke tak nak? Kalau tak nak, sekurang-kurangnya reply 'no'. Janganlah biarkan WhatsApp aku dengan bluetick aje. Bestfriend kau jadi AJK untuk majlis reunion kita, tunjukkanlah brotherhood sikit!"

Lagi, Hadi lepaskan gelak. Muslim ini, memang tak pernah berubah dan mungkin takkan pernah berubah. Di sekolah menengah dahulu, Muslimlah insan pertama yang memulakan perbualan di antara mereka.

Walaupun Hadi selalu melayannya acuh tak acuh, Muslim tetap juga menyendeng dan selalu melekat dengannya. Ada saja celoteh Muslim. Layanan Hadi suam-suam kuku sahaja namun Hadi sentiasa memasang telinga. Dan Muslim tahu itu. Disebabkan itulah dia terus-terusan mendampingi Hadi dan tanpa segan-silu mengiktiraf dirinya sebagai 'bestfriend' Hadi.

"Aku ada pilihan ke? Kau takkan terima kalau aku kata aku tak nak pergi. Kan?" Dengan malas, Hadi bertanya semula.

"Yes! With all due respect sir, I reject your refusal."

"Okeylah, aku pergi." Sudahnya, Hadi bersetuju sahaja. Sebenarnya memang niat asal Hadi hendak menghadiri majlis pertemuan semula dengan rakan sekolah menengahnya tapi dia asyik terlupa membalas WhatsApp Muslim.

"Kau call El tak? Dia dah reply?" soal Hadi lagi. Sengaja memetik nama Elyana dalam nada mengusik kerana dulu, Muslim pernah meminati Elyana.

"Aku dah WhatsApp tapi dia pun sama. Bagi aku bluetick aje. Keturunan kau memang suka bagi bluetick kat orang, eh?" tempelak Muslim tanpa berlapik, berjaya membuatkan Hadi tergelak lagi.

"Aku dah masukkan nama kau orang dalam senarai tetamu. El jadi partner kau?"

"Tak." Sepantas kilat Hadi menjawab. Dia menoleh ke sisi, memandang Batrisya.

"Aku ada partner aku sendiri." Hadi menyambung kata seraya menghadiahkan senyuman buat Batrisya. Kelihatan wanita itu mengangkat kedua-dua kening, tidak mengerti apa yang dimaksudkan Hadi.

"Tapi nanti aku bawakan El juga," tambah Hadi lagi.

Muslim menyahut 'okey', sebelum dia mengingatkan Hadi tentang tema majlis iaitu Great Gatsby. Sempat Muslim membebel, kata tema itu terlalu klise tetapi memandangkan hampir kesemua ahli jawatankuasa bersetuju dengan tema tersebut, Muslim tidak ada pilihan lain selain mengeyakan. Sementelah, inilah satu-satunya peluang untuk mereka bergaya sakan bak putera dan puteri.

Hadi sekadar mengangguk-angguk. Lama pula Muslim berceloteh, hinggalah telinga Hadi mendengar sayup-sayup suara seorang wanita memanggil Muslim.

"Orang rumah aku dah panggil. Kau jangan lupa datang. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Itu saja yang sempat dijawab Hadi. Itupun selepas talian sudah terputus. Hadi menggeleng pula, terhibur dengan fiil Muslim yang masih sama sedari dahulu.

"Hari minggu ni, awak ada ke mana-mana tak?" soal Hadi sebaik mata tertumpu pada Batrisya.

Geleng.

"Temankan saya ke majlis reunion, boleh? Jadi pasangan saya. Tapi kita kena bawa El jugalah. Muslim pun nak sangat jumpa ex-crush dia."

Pada mulanya, Batrisya teruja. Berkilau matanya sementara wajahnya tampak cerah. Tetapi beberapa saat kemudian, dia bertukar muram. Ada satu perkara melintas dalam fikirannya dan tak dapat tidak, dia rasa kepalanya berat.

"Awak masuklah dalam dulu. Nanti saya cari mana-mana butik untuk kita," kata Hadi, tidak mengetahui apa yang ada dalam fikiran Batrisya.

Rupanya sepanjang-panjang dia berbual bersama Muslim, tahu-tahu saja mereka sudah tiba di luar pagar rumah sewa Batrisya. Rantai besi yang sekadar dibelit di jeriji, Hadi leraikan. Kemudian dia tarik pagar besi.

"Mas..." Terjeda bicara Hadi apabila Batrisya kekal statik di tempatnya dengan mimik muka kosong.

"Kenapa?"

Batrisya tidak terus menjawab. Sebaliknya dia menunduk, menekur hujung kasut. Ibu jari kanan menguis ibu jari kiri berkali-kali.

"Isya..." Hadi hampiri Batrisya.

Lambat-lambat Batrisya menengadah. Saat pandangan mata bertaut, Batrisya bermata layu. Tangan diangkat lalu dibawa ke bahagian leher. Disentuh buat beberapa ketika, sebelum Batrisya menggeleng. Seterusnya Batrisya mengunjuk pada Hadi dan mulut menyebut 'malu'.

Mengertilah Hadi sekarang. Batrisya kata, dia seorang wanita bisu dan kehadiran mereka bersama nanti hanya akan membuatkan Hadi malu. Tak lain tak bukan, dek diperli dan disindir orang lain.

Pada Batrisya, Hadi ialah lelaki sempurna. Baik dari segi rupa, peribadi, latar belakang dan statusnya. Sedangkan Batrisya pula, hanya seorang wanita bisu yang bekerja di sebuah kafe. Tak sepadan langsung bergandingan dengan Hadi. Bagai pipit dengan enggang.

Hadi melepaskan nafas. Dia tidak tahu sampai bila Batrisya akan terus-terusan merendah diri sebegini tetapi untuk memarahi Batrisya, Hadi sedar ia tidak wajar.

Siapa saja yang ada di tempat Batrisya, pasti akan mempunyai fikiran yang sama. Sedangkan Hadi sendiri, dalam diam merasakan dirinya tidak layak untuk Batrisya. Wanita sepolos dan sesuci itu tidak seharusnya didampingi lelaki yang mempunyai sejarah gelap seperti dia.

"Pedulikan dia orang. Saya tak peduli langsung pasal orang lain. Kalau ada sesiapa yang cakap buruk tentang awak, saya janji saya takkan biarkan aje. Dan saya janji, saya akan terus bawa awak balik. Okey?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co