Truyen3h.Co

Ursula

Bab 7

karyaseni2u

"HANDSOME," kata Asyfa dengan ibu jari kanan menaik. Dia berpaling ke belakang pula. Kepada seorang wanita yang setia berdiri di situ, Asyfa katakan sesuatu.

"Saya ambil yang ini."

"Baik, cik," kata staf butik itu sebelum dia beredar sekali gus meninggalkan Asyfa dan lelaki di hadapannya. Asyfa mengerling sekilas lelaki yang terpacak bagaikan boneka itu. Walaupun set tuksedo hitam yang dipakainya menyerlahkan lagi wajah tampan dan badan tegap itu, muka masam mencuka lelaki tersebut sedikit sebanyak mencacatkan penampilannya.

"Kenapa aku kena try tuksedo ni? Kenapa kau beli?" soal Dean.

Apabila Asyfa jalan menonong ke bahagian cufflink, Dean setia mengekori. Asyfa berhenti, dia berhenti. Sementara mata Asyfa melingas melihat setiap cufflink yang terpamer di sebalik rak bergelas, mata Dean hanya tertumpu pada wanita itu.

"Kau rasa cufflink ni sesuai tak?" Jawapan yang dipinta Dean, soalan pula yang diberi Asyfa.

Dahi Dean berkerut dek kebingungan namun tak diendahkan Asyfa. Bersahaja dia tarik lengan Dean lalu didaratkan di gelas. Asyfa cuba padankan hujung kemeja dengan cufflink bulat berwarna emas, dan di dalamnya ada bulatan silver.

Beberapa saat kemudian, dia menggeleng-geleng. Tak sesuai. Mata Asyfa tertancap pada cufflink petak berwarna silver bersama jalur hitam. Terus dia tarik tangan Dean untuk lebih dekat dengan cufflink tersebut. Lagi, Asyfa menggeleng.

Mata melingas lagi melihat barisan cufflink hingga akhirnya sepasang cufflink bulat berwarna emas menarik perhatiannya. Sekali lagi dia lakukan perkara sama. Membayangkan item itu menghiasi hujung lengan kemeja putih Dean, semerta senyuman Asyfa merekah.

Asyfa tolak tangan Dean menjauhinya, seolah-olah tangan itu tak lagi berguna buatnya. Tak endahkan muka cemberut Dean, Asyfa memanggil staf butik dan mengunjuk pada cufflink emas itu.

"Saya nak yang ini juga. Terima kasih." Dan sehabis ayat itu, Asyfa berjalan menuju ke bilik persalinan semula. Dia pandang Dean seraya kepala bergerak, memberi isyarat agar Dean masuk ke dalam dan mengganti bajunya.

Semakin menggunung tahap kebingungan Dean namun dia tetap akur. Tak sampai sepuluh minit, Dean sudah bertukar pakaian.

"Kenapa kau beli semua ni?" tanyanya. Baru sekarang Dean diberi jawapan oleh Asyfa. Malangnya, jawapan Asyfa tidak menyenangkan hatinya langsung!

"Kau kan jadi pasangan aku untuk majlis tu nanti."

"Pardon?"

"Kau jadi pasangan aku. You'll be my partner, sire," kata Asyfa, sengaja menterjemah ke Bahasa Inggeris dengan loghat ala-ala orang British dahulukala.

"Jangan buat kerja gila." Dean membalas dengan mata mencerlung, seolah-olah memberi penegasan pada kata-katanya. Asyfa tak endahkan langsung malah sengaja pula dia tayang muka polos.

"Gila? Sekadar pergi majlis aje, kau kata aku gila?"

"You don't say!" bentak Dean, seterusnya membuatkan Asyfa spontan membela diri.

"Aku tahu aku tak sepatutnya buat sesuatu yang aku tak patut buat. Sebab aku tahulah, aku sengaja seret kau sekali. Kalau apa-apa jadi, kau boleh tolong aku. Kau boleh backup aku macam biasa. Dean, takkanlah kau tergamak biarkan aku sorang-sorang? Kalau apa-apa jadi pada aku, kau sanggup biarkan aje? Kau tak kesiankan aku? Kau kata kau kawan aku."

Sengaja Asyfa cemik-cemikkan bibir di hadapan Dean. Selama ini dia berkeras kepala di hadapan Dean, semuanya tak jalan. Dean tak lut langsung dengan semua bentakannya. Manalah tahu kalau-kalau aksi ala comelnya kali ini berjaya menundukkan Dean?

"Asy..."

Mendengarkan nada meleret itu, Asyfa tahu sangat dia berjaya. Namun senyuman disorokkan, dia harus terus menayang muka sedih jika dia mahu pastikan Dean akur dengannya.

"Kau tahu aku takkan biarkan kau macam tu aje. Not now, not ever."

"Tahu!"

Dean merengus. Bukan kerana marah tapi kerana dia tahu, dia sudah kalah. Tak pernah-pernah Asyfa berkata sebegitu. Ini ialah pertama kali maka Dean juga tahu, fikiran Asyfa sudah bulat. Asyfa nekad walaupun dia tahu apa yang mungkin berlaku selepas ini.

"Tolonglah aku. Teman aku sekali ni aje. Lepas ni aku dah tak paksa kau temankan aku ke mana-mana. Okey?"

Dean menjeling Asyfa, mengundang senyuman kemenangan wanita itu. Menonong Dean dekati kaunter untuk membuat pembayaran.

"Eh, biarlah aku bayar," kata Asyfa, menghalang huluran kad kredit Dean kepada staf butik. Tak semena-mena, Dean menjegil mata.

"Let me pay or you're not going anywhere." Dean memberi pilihan kepada Asyfa. Pilihan yang langsung tidak menyebelahi Asyfa pun! Nak tak nak, Asyfa terpaksa merelakan Dean membayarnya. Perlahan, mulut mengucap terima kasih sambil kepala menunduk.

Kala staf butik menyerahkan beg kertas segi empat tepat kepada Asyfa, Dean lebih pantas menyambutnya sebelum dia berjalan keluar dari butik dan terus dekati Ducati merahnya. Di sebelah, Asyfa sudah berdiri di sisi Ducati hitam.

"Ambil beg kau ni," kata Dean sedikit keras sewaktu tangan memanjang, menyua beg kertas tersebut kepada Asyfa.

"Ambillah... Kan aku memang niat nak belikan untuk kau. Dean, kau patut biarkan aje aku bayar. Aku tak pernah hadiahkan kau apa-apa..."

"Ada aku minta kau belikan apa-apa?" tukas Dean dengan kening menaik.

"Memanglah tak, tapi kutlah ini aje satu-satunya peluang aku untuk belanja kau. Kutlah ini kali pertama dan kali terakhir aku bagi kau something."

Mendengarkan perkataan 'terakhir', emosi Dean jadi berkecamuk. Sepertinya Asyfa membayangkan ada sesuatu yang akan terjadi kepadanya, sama ada pada atau selepas majlis tersebut.

Diturutkan barannya, nak saja dia lempar beg kertas itu. Nak saja dia tarik Asyfa, bergelut dan berlawan dengannya, sehinggalah Asyfa berubah fikiran. Tetapi disebabkan itu ialah Asyfa...

"Lagi sekali kau sebut 'kali terakhir', aku takkan tolong kau lagi."

Secara dasarnya, Dean sedang mengugut Asyfa namun hakikatnya, mereka sama-sama tahu ada maksud tersirat di sebalik ayat Dean.

Asyfa sedar, Dean sedang memberi amaran agar Asyfa pastikan ini bukan 'kali terakhir' di antara mereka. Asyfa tak mampu berjanji tapi sekurang-kurangnya...

Dia mampu hadiahkan senyuman kepada rakannya itu, walaupun tawar.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co