Bab 8
MERIAH majlis malam ini. Walaupun tidak segah majlis keramaian yang selalu dihadiri Hadi, tetap juga ahli jawatankuasa majlis reunion ini diberikan kredit. Susun atur di dalam dewan bersama kristal dan bunga-bungaan, sangat-sangat menawan.
Mata Hadi melilau pada para hadirin, yang masing-masing bergaya dengan gaun dan set tuksedo. Ada rupa yang dia masih ingat dan kenal, ada yang dia sudah terlupa. Ada yang datang bersama pasangan, tak kurang juga yang datang bersama adik atau abang atau kakak.
Namun apa yang pasti, tak ada walau seorang pun yang membawa anak-anak bersama. Mungkin disebabkan awal-awal lagi mereka sudah bersepakat, mengatakan ini khas untuk mereka-mereka sahaja.
Hadi tersengih sambil menggaru belakang telinga. Sebenarnya, walaupun tampak kejam kerana anak-anak dilarang dibawa sekali, sedikit sebanyak keadaan jadi lebih tenang dan damai.
"Jauh kau termenung. Kesian tunang kau, duduk diam-diam."
Teguran itu mematikan lamunan Hadi. Kelihatan Muslim sedang berdiri di sebelah kirinya sambil tangan menghulur gelas berisi Coke kepada Batrisya. Pasangan Hadi itu mengucapkan terima kasih melalui pergerakan mulut lalu Muslim balas dengan senyuman. Sebaik Muslim pandang Hadi semula, Hadi tayang muka tak puas hati.
"Tadi termenung, sekarang buat muka hodoh pula. Kau nak apa?" Selamba saja Muslim menyelar Hadi. Kala Hadi menjeling gelas Coke Batrisya, Muslim turut melakukan perkara sama. Kemudian tangan Hadi tergerak-gerak, seakan-akan meminta sesuatu. Ah, mengertilah Muslim apa yang Hadi mahukan.
"Malas aku nak ambil air untuk kau. Untuk Isya, tak apalah. Wanita cantik memang seharusnya dilayan bak puteri. Kan, Isya?"
Batrisya ketawa kecil tapi kepalanya mengangguk laju, bersetuju dengan pujian tersebut. Sempat pula dia jongket bahu pada Hadi yang memicingkan mata, kononnya bertanya 'apa?'.
"Aku yang handsome ni, kau tak nak layan bak putera?" soal Hadi dengan hujung bibir kiri menaik.
"Tak nak. Kau sekadar ada Tengku kat depan nama, bukan putera betul. Malas aku nak layan kau elok-elok. Ada tangan, ada kaki. Pergi ambil sendiri air kau," balas Muslim.
Jari telunjuk sudah melurus pada satu meja bulat di hujung dewan. Di situ ada tiga balang air kaca bersama susunan gelas. Pandai-pandailah Hadi ke sana dan pilih minuman mana yang dia mahu.
Hadi mencebik lagi sebelum beberapa saat kemudian, dia ketawa kecil. Muslim, Muslim. Memang sahih takkan berubah sampai bila-bila. Sudah menjadi suami dan bapa orang, masih juga berperangai sama. Tak kiralah berbual di telefon atau di depan-depan sebegini, tak ada sebarang perubahan pada perwatakannya.
"Isteri kau jaga anak kat rumah?" Sudah diberitahu tadi tapi Hadi bertanya lagi, sekadar untuk memulakan topik perbualan di antara mereka.
"Haah. Dia pun memang tak nak ikut sebab malas nak jumpa orang ramai. Kau bila lagi? Dah pilih tarikh?"
"Insya-Allah, nanti." Itu saja yang diungkap Hadi.
"Bro, kau jangan lupa jemput aku. Isya, kalau dia terlupa nak masukkan nama saya dalam senarai tetamu, awak tolong ingatkan. Kalau perlukan pengapit lelaki, saya okey aje. Tapi dengan syarat, pengapit perempuan kena cun dan single. Kalau tak, saya tak nak."
Sehabis ayat itu, Muslim menerima satu tamparan di bahu. Segera Muslim gosok-gosok bahagian itu dengan muka masamnya.
"Ingat bini kau, Mus!" Hadi memberi peringatan walaupun dia tahu Muslim sekadar bergurau. Bukannya dia tak tahu betapa Muslim cintakan isterinya itu.
Setahu Hadi, bertahun jugalah Muslim kejar cinta si isteri sebelum akhirnya diterima. Muslim pula, tak tunggu lama. Terus dilamar untuk dijadikan isteri. Bimbang lambat-lambat, cinta hatinya itu akan berubah fikiran.
"Eh, Hadi. Kau kenal tak perempuan tu?" tanya Muslim sambil bibir memuncung pada seorang wanita yang berjaya mencuri perhatiannya.
Hadi memandang ke tempat yang sama. Kelihatan seorang wanita yang menyepi sahaja sambil menyisip air dari gelas kacanya. Sesekali dia tersenyum. Senyuman itu pula, sebenarnya tampak tidak ikhlas.
Sesaat sahaja ia bertahan, sebelum muka kosongnya tanpa senyuman kembali kelihatan. Jauh berbeza dengan dua wanita lain yang sedang rancak berbual sambil sesekali bergelak ketawa.
"Adeline, kan?" teka Hadi, disambut dengan anggukan Muslim.
"Hah, dialah tu. Classmate kita dulu. Adeline Jameela. Nama bukan main cantik. Muka pun cantik. Tapi muka memang tak ada perasaan. Perangai pun tak berubah langsung dari dulu sampai sekarang," komen Muslim.
Terpaksa Hadi mengangguk, bersetuju. Sudah bertahun-tahun berlalu tapi nampaknya karakter Adeline Jameela masih tidak berubah.
Dia tetap seorang wanita yang mempunyai aura alpha female. Mungkin disebabkan latar belakangnya yang gah, mungkin juga disebabkan dia dibesarkan dan dididik oleh ibunya yang merupakan usahawan berjaya di Malaysia.
Adeline lebih gemar mendiamkan diri dan hanya bercakap bila perlu tetapi ada sesuatu tentangnya yang membuatkan semua orang terpikat dengannya dan akan segera bersetuju dengan segala buah fikirannya. Disebabkan itu juga, diam-diam Adeline pernah digelar 'femme fatale' oleh teman sekolah mereka dahulu.
Ingatan Hadi tentang Adeline terkalih bilamana bahunya dicuit Batrisya. Semerta Batrisya menjadi tumpuan Hadi dan Muslim pula.
"Kenapa, Isya?" tanya Hadi.
Apabila Batrisya menayang telefon pintarnya, segera Hadi baca apa yang telah ditaip. Muslim di sebelah turut kepoh-kepoh membaca, sebelum dia menjadi orang pertama yang bertanya.
"Awak kena balik? Cepatnya! Housemate awak yang lain ke mana? Tak boleh tolong bukakan pintu untuk dia?" soal Muslim.
Menurut Batrisya, dia menerima mesej daripada salah seorang rakan serumahnya yang tertinggal kunci dan meminta Batrisya pulang untuk membukakan pintu buatnya. Muslim segera menawarkan bantuannya apabila Batrisya menggeleng.
"Awak nak saya tolong hantarkan kunci pada dia? Rugilah, Isya. Bukannya senang awak nak keluar dengan Hadi ke majlis macam ni. Dah pakai cantik-cantik, tapi kena balik awal. Biar saya tolong awak."
Lagi, Batrisya menggeleng. Muslim lihat Batrisya menaip sesuatu sebelum dia tunjukkan kepada Muslim.
Saya memang nak balik. Saya pun penat sebenarnya. Hehe.
"Saya hantarkan awaklah," kata Hadi namun sekali lagi Batrisya menolak. Baru Hadi nak bertanya kenapa, Batrisya menerima satu kiriman WhatsApp. Selepas membaca WhatsApp tersebut, bibir Batrisya mekar dengan senyuman. Batrisya tunjukkan kedua-dua lelaki itu mesej tersebut.
"Kawan awak datang ambil awak? Dah ada kat luar?" tanya Hadi.
Kali ini disambut dengan anggukan Batrisya. Telefon pintar disimpan di dalam tas tangan berwarna emas berbentuk hati. Batrisya menarik tangan kanan Hadi dan tak sempat Hadi lakukan apa-apa, tiba-tiba Batrisya mencium tangannya. Persis seorang isteri mencium tangan suaminya.
Tubuh Hadi kejur bilamana tangan Batrisya mengelus pipinya pula. Dalam pada mata Hadi masih melotot, dia sedar Batrisya menggerakkan mulut, mengucapkan selamat tinggal. Ketika wanita itu beredar pergi, Hadi masih terpinga-pinga di tempatnya.
"Wow. Dahsyat kau orang, eh? Belum kahwin tapi dah pegang-pegang, macam suami isteri."
Berdesing telinga Hadi mendengarkan komen terlampau ikhlas daripada Muslim. Dalam masa yang sama, rasa segan menyerbu diri. Nampak sangat dia tidak menjaga ikhtilat perhubungan dengan Batrisya. Dahulu, mungkin dia begitu tapi sekarang, tidak lagi. Seboleh mungkin Hadi mahu menjaga batas pergaulannya.
"Kalau kau memang serius nakkan dia, kahwin ajelah. Daripada pegang-pegang dapat dosa, lebih baik nikah. Sentuh sikit aje pun dah dapat pahala. Nak buat lebih-lebih pun boleh," pesan Muslim dalam nada kurang senangnya.
Pada Muslim, dia wajib menegur. Apalagi kejadian tadi berlaku tepat-tepat di depan matanya. Berdosalah dia kalau tak jalankan tanggungjawabnya. Apa guna memegang nama Muslim, kalau dia tak melakukan apa yang sewajarnya dilakukan oleh seorang lelaki Muslim?
Hadi terus membisu. Sebenarnya, dia sendiri terkejut dengan tingkah Batrisya. Seingat-ingat Hadi, hanya sekali dia pernah melampaui batasnya. Malam di mana Batrisya nyaris diculik lelaki-lelaki bedebah dan Hadi memeluknya demi menenangkan Batrisya, sebelum dia melamar wanita itu.
Tetapi bermula sejak kejadian tersebut, boleh dikatakan hampir setiap hari Batrisya akan menyentuhnya. Jika tidak berpimpinan tangan dengannya, Batrisya akan memeluk lengan Hadi. Dan tadi... Batrisya mencium tangannya pula?
"Kau jangan marah aku pula. Dah tanggungjawab aku untuk tegur kita sesama Muslim," tambah Muslim bilamana kebisuan Hadi ditafsir sebagai lelaki itu marah dengannya.
Cepat-cepat Hadi menggeleng.
"Tak, tak. Betullah apa yang kau cakap tu. Thanks."
Entah apa yang Hadi cakap, dia pun tidak sedar. Meluncur saja kata-kata itu keluar dari mulut. Takkanlah dia nak kata, dia sendiri terkejut dengan tingkah Batrisya. Nanti tak pasal-pasal, dia telah memalukan Batrisya di hadapan Muslim pula. Lalu Hadi paksa dirinya membentuk senyum di hadapan Muslim. Nama Batrisya cuba diusir jauh.
"Mus, tadi aku ada borak sekejap dengan Herman. Dia..." Tiba-tiba lidah Hadi mengeras.
Mata Hadi terbuka luas sewaktu pandangannya tertancap pada seorang wanita yang berambut panjang, digayakan grace wave. Wanita itu sedang berdiri tidak jauh daripadanya, juga sedang memandang tepat ke arah Hadi.
Sempat Hadi melirik mata pada seorang lelaki segak di sisinya. Lelaki itu sedang memandang-mandang sekeliling, tak sedar pasangannya itu sedang berbalas renungan dengan Hadi.
Semakin lama Hadi merelakan pandangannya bertaut dengan wanita itu, semakin Hadi sedar sesuatu. Wanita itu mungkin sudah berubah penampilan dan berambut panjang, serta mukanya dicalit sedikit mekap. Tetapi Hadi yakin firasatnya tidak menipu.
Wanita itu... Ialah wanita misteri yang selalu menghantui fikiran Hadi.
"Mus..." Tanpa memutuskan tautan mata, Hadi memanggil Muslim.
"Itu... Siapa dia?" tanya Hadi.
"Siapa?" Muslim bertanya semula sebelum dia turut mengarahkan sepasang matanya ke tempat sama. Muslim lihat seorang wanita cantik memakai dress hitam A-line berlengan panjang. Fabrik tulle dan lace ungu berbunga melatari dress tersebut. Rambut berstail grace wave. Mekap naturalnya berjaya menyerlahkan kecantikan semula jadi wanita tersebut. Muslim tersenyum kemudiannya. Wanita itu, dia kenal sangat.
"Kau lupa siapa dia?"
"Siapa?" Ada desakan dalam nada Hadi. Dia benar-benar tidak sabar mahu tahu identiti wanita misteri itu.
Jika dia ada di sini dan jika Muslim mengenalinya, itu bermaksud wanita tersebut juga sama sekolah dengan mereka berdua. Wanita itu juga sebaya mereka. Secara tidak langsung bererti Hadi pernah menemui dia suatu ketika dahulu.
"Dia... Ursula."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co