Bab 5
SEJAK hari itu, Rin mula belajar untuk melupakan Fiqri Aiman dan menerima Haikal dengan seikhlas hati. Segala barang yang boleh mengingatkan dia kepada Fiqri, disimpannya. Kali ini Eiyra menasihati Rin supaya melupakan lelaki yang tak pernah menghargainya itu dan sebaliknya belajar menghargai orang yang sangat sayangkan dia. Rin cuba mempraktikkan nasihat Eiyra itu.
Malam itu Rin menemani Haikal ke rumah sepupunya bersempena sambutan hari lahir. Itu pun selepas beberapa kali dia menolak dan banyak kali juga Haikal memujuk, barulah dia akur.
"Sofi, kenalkan ni Airin. Rin, ni sepupu Kal, Sofi." Haikal memperkenalkan mereka.
"Hai," tegur Rin sambil berbalas senyuman mereka bersalaman. Wanita yang sebaya dengannya namun nampak elegan dengan gaun ungu gelap.
"Oh, ni la Airin. Haikal selalu cerita pasal you."
"Oh, really? Benda baik ke benda buruk?"
"Apalah Rin ni. Kalau pasal Rin, mestilah semua yang baik-baik aje." Belum sempat Sofia menjawab, Haikal membela diri.
"Amboi Kal, mentang-mentang buah hati ada kat sini, bukan main manis lagi mulut you tu, eh?" sindir Sofia.
"Of courselah. Rin ni kan buah hati pengarang jantung I," kata Haikal sambil tersengih-sengih.
Wajah Rin mula berubah rona. Segera perut Haikal disikunya. "Hesy, ada ke cakap macam tu? Malulah."
"Eh, sejak bila Airin kita ni pandai tahu malu, eh?" usik Haikal.
"Kal!" marah Rin dengan nada manja.
Sofia yang memerhatikan gelagat mereka tertawa kecil. "Cutelah kau orang berdua ni."
"Of courselah. Sofi, you pun kalau nak cari boyfriend kena cari yang cute macam I tau," balas Haikal.
"Huh, pantang kena puji sikit. Nasib youlah Rin dapat pakwe pantang kena puji macam Haikal ni."
"Sebab tu I malas nak puji, Sofi. I puji seinci aje tapi perasan dia berkilometer," kata Rin.
"Amboi, bila dapat geng bukan main lagi kutuk Kal, eh? Sekali kena tinggal baru tahu," ugut Haikal.
"Tak apa, Rin. Kalau Haikal tinggal you, you boleh tidur sini. Rumah ni banyak bilik kosong. Nak tidur bilik I pun boleh." Sofia membela Rin.
Rin yang mendengar terus tergelak sambil menjongketkan keningnya kepada Haikal. Nampaknya kemenangan berpihak kepadanya malam ini.
Haikal menggeleng. Menyesal pula kenalkan mereka berdua. Dua-dua pandai bercakap, maka dialah yang jadi mangsa.
"Sofi, you tak nak ajak tetamu makan ke? I dah lama kebuluran ni." Tidak mahu terus menjadi mangsa dua gadis cantik itu, Haikal menukar topik. Perutnya sengaja diusap-usap perlahan.
"Eleh, nak tukar topiklah tu. Yalah, you pergilah makan. Daddy dengan mummy pun ada kat sana."
"Kalau macam tu, I pergi sanalah. Jom Rin," ajak Haikal.
"Rin, nanti kita borak lagi, ya? Nak juga I tahu pasal kau orang ni," kata Sofia kemudian.
"Okay, no problem. Nanti ada masa kita sembang lagi." Rin mengangguk. Dia kemudiannya mengikut Haikal menuju masuk ke pekarangan banglo tiga tingkat itu.
Rin terpanar seketika apabila melihat tiga buah kanopi terpasang di situ dengan dekorasi yang begitu cantik bertemakan warna merah jambu, putih dan ungu. Wah, untungnya menjadi anak orang kaya. Majlis sambutan hari lahir dah macam kenduri kahwin. Bezanya, tak ada pelamin aje. Tapi tetap ada mini pentas yang disediakan untuk acara pemotongan kek.
"Meriah juga sambutannya," kata Rin sebaik mereka duduk di tempat yang disediakan.
"Rin pun nak birthday party macam ini ke?"
"Kalau Rin nak, Kal nak buat ke?" soal Rin sekadar bergurau.
"Of courselah. Demi Airin Nadia, Kal sanggup buat apa saja. Kalau Rin cakap nak buat birthday party kat Maldives pun Kal sanggup," usik Haikal sambil ketawa kecil.
"Hesy, Kal ni, kurang-kurangkanlah gula dalam ayat tu. Manis sangat. Nanti tak pasal-pasal Rin kena kencing manis," kata Rin.
"Jangan risau. Kalau Rin sakit, Kal akan jadi doktornya," kata Haikal.
"Hesy, tak nak Rin. Nanti makin sakit adalah."
"Oh, tak percaya ke dengan kepakaran Kal ni?"
"Kal tu apa yang pakarnya?"
"Pakar hati," jawab Haikal sambil tersengih seperti dalam iklan ubat gigi.
Rin menggeleng. Malas melayan Haikal. Makin dilayan, makin menjadi-jadi. Dia bangun.
"Eh, nak pergi mana?" soal Haikal terkejut apabila Rin tiba-tiba bangun. Sangkanya Rin merajuk.
"Nak ambil makananlah. Dengar Kal merapu bukannya boleh kenyang," kata Rin selamba.
"Amboi, bukan main lagi kutuk kita, eh? Tak nak hantar balik nanti baru padan muka."
"Tak kesah pun. Nanti Rin balik ajelah naik teksi," kata Rin selamba.
Haikal cuba mencuit hidung Rin namun gadis itu mengelak. Apabila Rin menunjukkan riak marah kepadanya dia hanya tersengih.
"Sorry. Jomlah pergi ambil makanan. Nanti ada orang kebuluran pula," kata Haikal. Mereka berdua kemudiannya beriringan ke tepi kanopi untuk mengambil makanan yang disediakan secara bufet.
Tiba-tiba langkah Rin terhenti. Melihat lelaki yang amat dikenalinya itu membuatkan nafasnya terhenti seketika.
"Rin." Teguran Haikal mengembalikan Rin ke dunia nyata. Wajah Haikal dengan dahi yang berkerut itu dipandangnya.
"Kenapa ni?" soal Haikal. Pelik juga apabila Rin tiba-tiba diam.
Rin menggeleng. "Nothing," katanya sambil mengalih pandangannya. Namun lelaki itu tidak lagi ada di situ.
"Rin cari orang ke?" tanya Haikal lagi. Matanya turut melilau di sekitar khemah itu.
"Eh, tak. Ingatkan kawan Rin tapi bukan," kata Rin. Dia mengukir senyum. Ah, mungkin perasaannya saja. Tidak mungkin orang yang dilihatnya tadi Fiqri Aiman. Lelaki itu pasti masih berada di Melbourne.
SEWAKTU makan, Rin tidak banyak bercakap. Fikirannya masih terganggu dengan insan yang dilihatnya sebentar tadi sehinggakan Haikal pelik. Apabila ditanya, Rin memberi alasan bahawa dia sakit kepala. Mujurlah Haikal tidak banyak soal.
Sebaik sahaja mereka selesai makan dan berbual-bual seketika dengan Sofia, Haikal mengajak Rin pulang.
"Alamak Rin, boleh tak Rin tunggu Kal kejap?" tanya Haikal tiba-tiba sewaktu mereka sedang menuju ke kereta.
"Kenapa?" tanya Rin.
"Kal nak pergi jawab panggilan ni. Natural calling," jawab Haikal.
Rin tersenyum. "Yalah. Rin tunggu kat dalam keretalah."
"Okey. Nah, kunci. Jangan tinggal Kal pula," gurau Haikal sambil menghulurkan kunci Honda Civicnya kepada Rin.
Rin berjalan menuju ke Honda Civic Haikal. Tapi belum pun sempat dia sampai ke kereta, kedengaran namanya dipanggil.
"Rin."
Dia berpaling. Serentak dengan itu, wajahnya berubah. Tanpa disedarinya dia telah menjatuhkan kunci kereta yang dipegangnya sejak tadi.
"Fiqri Aiman." Akhirnya sebaris nama itu keluar dari bibirnya tatkala melihat lelaki yang memanggil namanya tadi semakin menghampiri.
Fiqri tersenyum sebelum tunduk mengutip kunci kereta yang dijatuhkan Rin. Kunci kereta tersebut dihulurkan kepada Rin.
"Tha... Thanks," ucap Rin. Rasa terkejut masih menguasai dirinya. Ini mimpi atau sekadar halusinasinya?
"Are you okay?" soal Fiqri apabila merasai fikiran Rin seakan-akan melayang. Dia melambai-lambai tangannya di hadapan muka Rin.
"Hah? Eh, I am okay. Hmmm... What are you doing here?"
"Attend birthday Sofi. Tak sangka jumpa dekat sini. Lama tak dengar berita kau, kan?"
"Macam mana nak dengar khabar kalau tak pernah bertanya khabar," kata Rin perlahan.
"Hah? Apa dia?"
"Eh, tak. Tak ada apa-apa. Hmmm... I thought you still kat Melbourne lagi. Cuti ke?"
"Haah. Sekarang ni kan winter. Tapi minggu depan dah nak balik sana dah. Jemputlah datang hantar dekat airport nanti."
"Insya-Allah. Bila flight kau?"
"Pukul sembilan malam. Hari Selasa. Datang, eh?"
"Insya-Allah. Ni datang sorang aje ke?" tanya Rin ingin tahu. Manalah tahu kut-kut Fiqri bawa Syasya.
"Sorang ajelah. Semua orang sibuk. Eh, nak nombor telefon kau," minta Fiqri. IPhone di dalam poketnya dikeluarkan.
"Hah?" Rin menggaru pipinya yang tidak gatal.
"Tak boleh ke?" soal Fiqri tatkala melihat Rin seperti teragak-agak. Dan saat itu juga matanya terpaut pada kilauan di jari Rin.
"Eh, boleh, boleh," jawab Rin lalu menyebut nombor telefonnya dan diambil oleh Fiqri. Seketika kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Rin segera mencari telefon bimbitnya di dalam tas tangan. Dilihatnya nombor yang tidak dikenali muncul di skrin telefon bimbitnya.
"That's my number. Jangan lupa save."
Rin mengangguk. Kala itu juga dia mematuhi arahan Fiqri. Segera nombor yang baru menghubunginya disimpan di dalam telefonnya. "Dah simpan dah," kata Rin sambil tersenyum. Tiba-tiba dia rasa janggal. Mungkinkah kerana perasaannya kepada lelaki itu atau kerana mereka sudah lama tidak bertemu?
"Kau dah bertunang ke?" soal Fiqri tiba-tiba.
"Hah?" Rin terkejut. Langsung tidak menjangka soalan itu yang keluar dari mulut Fiqri. Baru dia teringat akan cincin yang berada di jari manisnya. Hesy, tajam betul mata lelaki itu.
"Tak tahu pula kau dah bertunang. Senyap-senyap aje. Dengan siapa? Lelaki tadi ke?" Ternyata Fiqri tidak lagi dapat menyembunyikan perasaan ingin tahunya.
"Hah? Haah. Haikal yang bagi cincin ni. Tapi..." belum sempat Rin menghabiskan ayatnya, bunyi deringan telefon mengganggu perbualan mereka. Dia hanya melihat tingkah Fiqri menjawab panggilan telefon.
"Helo. Ya. I masih kat rumah Sofi ni. Okey. I will call you back. Ya. Okay, bye. Take care." Tidak sampai seminit Fiqri mematikan talian. Dia kembali memandang Rin.
"Siapa? Syasya?" teka Rin. Sebenarnya dia tidak berniat untuk bertanya tapi entahlah. Tiba-tiba aje soalan tu terkeluar dari mulutnya.
"Haah, Syasya. Dia nak datang tadi tapi tak dapat," beritahu Fiqri.
"Oh..." Rin tak mampu membalas. Tiba-tiba kepalanya terasa kosong. Hatinya terasa sakit. Patutlah selama dia menghilangkan diri Fiqri tidak pernah mencarinya. Rupa-rupanya lelaki itu masih setia kepada Syasya. Hatinya semakin pedih dan terasa tidak sanggup lagi berhadapan dengan Fiqri kala ini. Dia benar-benar ingin melarikan diri.
"Hmmm... I got to go now. Rasa macam Haikal tengah tunggu." Rin memberi alasan.
"Sure. Nanti mesej-mesejlah. By the way, kalau nak kahwin jangan lupa jemput, ya?" kata Fiqri bersama senyuman lebar yang menambahkan lagi kepedihan dalam hati Rin.
Tengok Rin, dia langsung tak kesah pasal kau!
"Insya-Allah," kata Rin. Dia mengukir senyum paksa.
Tiba di kereta, air mata Rin mengalir laju. Mujurlah tika itu Haikal belum muncul. Jika tidak, jenuh juga dia nak mencari alasan.
Tiba-tiba pintu kereta dibuka dari luar. Rin segera menyapu air matanya. Dia berpaling menghadap ke luar tingkap supaya Haikal tidak perasan keadaannya ketika itu.
"Rin, maaf lambat. Kal terjumpa kawan tadi," kata Haikal sambil memakai tali pinggang keledar.
"It is okay," ucap Rin perlahan.
"Are you okay?" tanya Haikal. Tiba-tiba dia rasa ada sesuatu yang tidak kena.
"Okey."
"Rin... Pandang Kal," arah Haikal.
Pada mulanya Rin enggan tapi apabila Haikal mengulangi arahannya buat kali kedua, Rin akur. Dia berpaling.
"Kenapa ni? Rin menangis ke?"
Rin menggeleng.
"Don't lie to me. What's wrong?"
"Nothing."
"Rin..." Haikal mula mengeraskan nadanya apabila Rin masih berdegil.
"Rin hanya sakit kepala," tipu Rin. Bukan niatnya nak menipu tapi dia memang belum bersedia untuk bersoal jawab dengan Haikal mengenai Fiqri. Cukuplah sekarang ni hatinya sakit dengan sikap selamba Fiqri.
"What? Why don't you call me earlier?"
"Kal kan dah nak datang. Tak apalah. Sikit aje ni. Masih boleh tahan lagi," kata Rin. Terasa menyesal pula kerana membuat Haikal risau kepadanya.
"Kita pergi klinik?" cadang Haikal.
Rin pantas menggeleng. "Tak nak. Rin nak balik rehat aje."
"Are you sure tak nak pergi klinik?"
Rin mengangguk.
Haikal akur. Dia tahu kedegilan Rin tak mungkin boleh diubah. Gear ditukar sebelum kereta miliknya perlahan-lahan meninggalkan kawasan perumahan mewah itu.
Sepanjang perjalanan, Rin menutup mata, pura-pura tidur. Dia hanya membuka matanya tatkala Haikal memanggil namanya.
"Rin, kita dah sampai."
Mata Rin terus terbuka luas. Tali pinggang keledar dibukanya. "Thanks, Kal," ucap Rin. Belum pun sempat tangannya membuka pintu kereta, Haikal menghalang.
"Rin..."
Dahi Rin berkerut. "Kenapa ni?"
"Rin, you know that I love you so much, right?" tanya Haikal perlahan.
Rin bertambah bingung. Kenapa tiba-tiba Haikal berjiwang dengannya ni?
"Kal... Kal tak sanggup kehilangan Rin. Kal tak kesah siapa pun dalam hati Rin sekarang sebab Kal akan tunggu sampai hati Rin terbuka untuk Kal. Kal tak nak kehilangan Rin. Dan mulai sekarang, I will always with you."
"Kal..."
"Kal akan selalu ada untuk Rin. Tapi Kal harap Rin sudi bagi ruang untuk Kal dalam hati Rin," kata Haikal.
Rin mengetap bibir. Haikal nampak ke aku dengan Fiqri tadi? soal hatinya sendiri. Untuk bertanya terus, dia tak berani.
"Errr, Rin nak masuk dalam dulu. Eiyra dah tunggu tu." Rin sengaja mengalih topik.
Haikal mengeluh.
"Rin, cukuplah mengejar orang yang tak sepatutnya. Fiqri tak layak untuk Rin. Kal harap sangat Rin buka mata hati Rin. Biarkan Fiqri bahagia dengan orang yang dia sayang. Dan Rin, bukalah pintu hati Rin untuk Kal. Kita bina hidup baru tanpa bayang-bayang dia."
Air mata Rin mula bertakung. Dia tahu ketulusan hati Haikal mencintainya. Tapi bukankah cinta itu tak boleh dipaksa? Jadi mana mungkin dia boleh paksa hatinya untuk melupakan Fiqri Aiman.
"Maafkan Rin, Kal," ucap Rin. Dia terus keluar dari perut Honda Civic itu tanpa berpaling.
Melihat Rin hanya berlalu tanpa berpaling kepadanya, Haikal mengeluh. Dia menumbuk stereng kereta. Ya Allah, kenapa terlalu sukar untuk menakluki hati seorang gadis bernama Airin Nadia? Sangkanya sebaik sahaja cincin yang diberikannya tersarung di jari manis Rin, itu tanda Rin sudah bersedia membuka hatinya untuk dia. Tapi rupa-rupanya jalan untuk memiliki hati Rin bukan semudah yang disangka.
EIYRA berpaling tatkala terdengar pintu bilik dibuka dari luar. Namun, dia terkejut saat melihat Rin yang sedang menangis. Dia pantas menuju ke arah Rin.
"Rin, kenapa ni? Kau okey tak? Kenapa kau menangis?" soal Eiyra bertalu-talu.
Rin tidak menjawab.
"Siapa buat kau macam ni? Haikal?" teka Eiyra namun Rin pantas menggeleng.
"Habis tu siapa?" soal Eiyra tidak sabar. Tanpa diduga, dirinya dipeluk Rin.
"Eiyra..."
"Kenapa ni?" soal Eiyra. Apa sebenarnya yang dah berlaku? Rasa ingin tahu membuak-buak dalam dirinya.
"Fiqri..."
"Fiqri?" Eiyra pelik apabila sebaris nama itu muncul kembali di bibir Rin. Bukankah Rin sudah nekad untuk melupakan lelaki itu? Jadi kenapa nama itu muncul lagi?
"Aku jumpa Fiqri..." beritahu Rin sambil menangis teresak-esak.
"Kau... Kau jumpa Fiqri? Kat mana?" tanya Eiyra. Jelas riak terkejut di wajahnya.
"Kat rumah sepupu Haikal. He is still with Syasya."
"Rin..." Eiyra hilang bicara.
"Kau..."
"Kau masih sukakan Fiqri?" soal Eiyra terkejut. Sangkanya Rin sudah mampu melupakan lelaki itu. Tambahan pula Rin baru sahaja terima cincin pemberian Haikal. Tapi sekarang...
"Aku cuba lupakan dia. Aku buat macam-macam supaya tak ingat dia lagi. Tapi bila aku dah boleh hidup bahagia kenapa dia muncul balik, Eiyra? Kenapa? Kenapa?" soal Rin bertalu-talu. Air matanya dibiarkan mengalir laju.
"Rin..." Eiyra kehilangan kata-kata. Dia mengusap belakang Rin bagi menenangkan gadis itu.
"It hurts me a lot when he said he still with Syasya. I can't believe it. Dia tak rasa apa-apa ke bila aku hilang dari hidup dia?"
"Rin, kau jangan macam ni. Kau kena faham hati dan perasaan tu bukan boleh dipaksa. Mungkin Fiqri bukan untuk kau."
"Tapi aku sukakan dia. Aku sayangkan dia, Eiyra," tangis Rin.
"Ya. Aku faham kau sayangkan dia. Tapi kau kena juga faham yang dia sayangkan Syasya. Kau kena lupakan dia. It is not worth kalau kau masih duk fikirkan dia. Forget him, Rin."
"Tapi aku dah janji yang aku nak tunggu dia. Dan aku akan tunggu dia," kata Rin. Dia teringat janji yang dibuatnya beberapa tahun lalu. Ya, janji itu masih diingatinya dan janji itu masih dipegangnya hingga ke saat ini.
Eiyra terkedu seketika.
"Cukuplah pegang pada janji tu. Sia-sia aje, Rin. Fiqri tak pernah pun suruh kau tunggu dia. Kau juga yang cakap yang dia masih dengan Syasya. Tu maknanya dalam hati dia tu memang dah tak ada ruang untuk kau. Kau kena sedar tu. Lagipun kau dah ada Haikal."
"Tapi aku sayangkan dia. Aku hanya nak kan dia. Bukan orang lain."
"Rin..."
Eiyra menarik nafas. "Rin, kau percayakan qadak dan qadar? Kau kena terima. Mungkin Fiqri bukan untuk kau." Eiyra cuba menasihati secara lembut.
"Dulu kau juga yang cakap sayang tu tak bermaksud untuk memiliki, kan? Jadi kau kena reda lepaskan dia," nasihat Eiyra dalam nada yang lembut meski hatinya bukan main geram lagi dengan Rin. Kalau orang dah tak sudi kenapa nak terhegeh-hegeh lagi, kan?
"Aku cuba lupakan dia. Bertahun-tahun aku cuba. Tapi saat aku cuba lepaskan semua, dia muncul balik. Kenapa, Eiyra? Kenapa?"
"Rin, Allah takkan jadikan sesuatu kecuali padanya ada hikmah. Mungkin Allah nak uji hati kau. Dia nak tengok keikhlasan kau. Hmmm, mungkin juga Dia nak tengok besar mana cinta kau kepada Dia atau cinta kau kepada Fiqri yang lagi besar."
Melihat Rin hanya mendiamkan diri, Eiyra lega. "Dah, jangan menangis kerana seorang lelaki. Tak berbaloi. Kau pergi ambil wuduk, solat dan mohon petunjuk. Insya-Allah nanti kau jumpa jawapan kenapa Allah temukan kau orang malam ni," nasihat Eiyra.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co