Bab 6
RIN memandang jam tangannya dan kemudian matanya kembali melilau di sekitar kawasan itu. Apabila kelibat insan yang dicarinya tidak kelihatan, dia mengeluh. Mungkin benar, jodohnya dengan Fiqri Aiman tidak pernah ada. Dia berjalan lemah menuju ke bangku yang terletak di tengah-tengah ruang itu. Dia sudah berputus asa.
Baru sahaja dia duduk, terdapat pasangan lelaki dan perempuan melintasinya. "Syasya!" Automatik dia berdiri. Yakin bahawa pasangan yang baru melintasinya itu ialah Syasya dan Fiq, Rin segera mengekori.
Jangkaannya ternyata tepat tatkala melihat pasangan itu menghampiri sekumpulan manusia. Rin terlihat Fiqri. Serentak dengan itu, air matanya mula bertakung. Sungguh hatinya tidak mampu menipu lagi. Selama ini Fiqri Aiman sentiasa menjadi VVIP dalam hatinya. Tidak pernah tidak.
Rin berlindung di sebalik butik Bonia itu. Dia bimbang jika ada yang perasan akan kehadirannya. Niatnya hanya untuk memerhatikan Fiqri dari jauh dan dia belum bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu saat ini.
Rin menyapu air matanya. "Ya Allah, andai dia bukan untuk aku, Engkau redakanlah aku. Jauhkanlah dia dari hatiku," doanya buat kesekian kali. Tiap kali dia mengingati Fiqri, itulah doanya. Tapi hingga sekarang lelaki itu tetap dalam hatinya. Mungkinkah Fiqri memang jodohnya atau sebenarnya doanya tidak diterima kerana dia tidak benar-benar ikhlas dalam berdoa?
Lama Rin berkelakuan seperti penyiasat profesional, memerhati tingkah Fiqri bersama beberapa rakannya serta ahli keluarga. Selepas Fiqri masuk ke balai perlepasan, barulah Rin beredar dari situ.
Rin mengeluh. Telefon bimbitnya dipandang. Langsung tiada mesej atau panggilan daripada Fiqri. Dia sendiri tidak tahu kenapa sejak pertemuan mereka di rumah Sofia, dia menantikan panggilan atau mesej daripada Fiqri namun hampa. Janji Fiqri untuk terus berhubung hanya tinggal janji.
Jari-jemari Rin bermain-main di skrin telefon bimbitnya. Dia mencari-cari nama Fiqri sebelum ruang mesej dibuka. Laju jari-jemarinya menaip mesej dan tidak sampai seminit, mesejnya berjaya dihantar.
Tiba-tiba matanya terbuka luas. "Ya Allah, apa aku buat ni?" Bagaikan tersedar daripada mimpi, Rin mula gelabah. Jarinya mula menekan skrin telefon bimbitnya dengan harapan mesej tersebut tidak sampai ke destinasinya namun semuanya sudah terlambat.
"Ya Allah, apa aku nak buat ni? Harap-harap Fiqri tak baca," doa Rin. Jam tangannya dipandang. Sepuluh lima minit.
"Okey. Dah sampai waktunya. Aku yakin dia tak baca. Ya Allah, semoga Fiqri tak sempat baca." Rin cuba menyedapkan hatinya sendiri walaupun saat ini hanya Allah yang tahu betapa berdebar-debarnya dia.
SEBULAN berlalu dan tiada apa yang berubah. Dalam tempoh ini Fiqri tidak pernah mencarinya. Jadi Rin beranggapan bahawa mesej yang dihantarnya dahulu tidak sampai kepada Fiqri. Dia lega.
Lamunan Rin terhenti tatkala sebuah bantal mendarat di atas ribanya. Dia pantas memandang ke arah Eiyra.
"Kau ni berangan apa? Sampai telefon duk melalak pun tak dengar," sindir Eiyra.
Rin tersengih malu. Baru dia tersedar suara Taylor Swift sedang bergema di dalam bilik mereka. Telefon di bucu katil dicapai. Melihat nama yang tertera, Rin segera menjawab.
"Ada apa, umi?" soal Rin setelah salamnya berjawab.
"Hai, kena ada apa-apa dulu ke baru umi boleh telefon anak umi ni?" Rin tersengih bagai kerang busuk apabila diperli.
"Tak adalah. Tapi umi kan selalu sibuk. Ni umi tak ada kerja ke?"
"Ada. Tapi umi biar dulu sebab nak cakap dengan anak umi yang sorang ni. Yalah, nak tunggu Rin telefon, hmmm... Macam tunggu bulan jatuh ke ribalah."
"Amboi, umi. Bukan main lagi perli Rin. Padahal baru aje minggu lepas Rin telefon. Lagipun mi, Rin sibuklah kebelakangan ni."
"Sibuk dengan apa? Dating?" teka Puan Izah.
"Hesy, umi ni. Mana adalah. Orang sibuk dengan projek la. Mana ada masa nak dating-dating ni. Pakwe pun tak ada."
"Hmmm... Baguslah kalau macam tu. Minggu ni jangan lupa balik."
"Balik? Nak buat apa balik?"
"Hesy, budak bertuah ni. Boleh pula dia tanya macam tu. Baliklah jenguk rumah ni. Kenapa? Syok sangat duduk kat kampus tu sampai tak nak balik rumah ke?"
"Umi ni. Kalau bab perli orang nombor satu. Hmmm... Tengoklah dulu macam mana. Rin tak janjilah boleh balik ke tak minggu ni."
"Tak boleh. Rin kena balik juga. Wajib ni."
Rin mengerutkan dahi. Isy, sejak bila umi pandai wajibkan dia balik ni? Padahal selalu kalau dia cakap nak balik, mesti umi suruh dia tinggal sahaja di kolej. Belajar katanya. Ni kenapa tiba-tiba pula uminya suruh dia balik? Pelik bin ajaib ni.
"Minggu depanlah Rin balik."
"Tak boleh. Kena balik minggu ni juga."
"Kenapa ni, umi? Ada apa sampai umi nak suruh Rin balik sangat ni? Dah tak tahan rindukan Rin ke?"
"Balik dulu. Nanti umi beritahu kenapa."
"Hesy, umi ni menakutkanlah. Beritahu sekarang tak boleh ke?" Rin mula tawar-menawar.
"Tak boleh. Kena balik juga. Lagipun umi ada benda nak bagi dekat Rin ni."
"Betul ke umi?" Rin mula teruja. Agaknya apa yang ingin diberikan umi kepadanya?
"Yalah."
"Kalau macam tu, hari Khamis ni Rin balik. Umi masak sedap-sedap, ya?"
"Ya. Umi masak sedap-sedap. Ni, umi nak pergi buat kerja sikit. Rin jaga diri kat sana. Kirim salam umi kat Eiyra tu. Assalamualaikum."
Rin menjawab salam sebelum mematikan talian. Dia memandang Eiyra. "Eiyra, umi kirim salam."
Eiyra menjawab salam. "Umi kau suruh balik ke?"
Rin mengangguk. "Haah. Macam pelik aje tiba-tiba suruh aku balik."
"Umi kau nak kahwinkan kaulah tu."
"Amboi, kau. Tak sayang mulut nampak."
"La, salah ke? Kahwin tu benda baik apa?" balas Eiyra.
"Memang benda baik. Tapi kau pun tahu aku tak bersedia lagi. Ada banyak lagi benda yang aku nak fikir selain kahwin."
"Eleh, tak payah nak bagi alasan sangatlah. Ingat aku baru kenal kau pagi tadi ke?" perli Eiyra.
"La, mana ada aku bagi alasan. Benda ni benda betullah. Aku nak kejar dulu cita-cita aku, baru fikir pasal kahwin. Aku nak dapat kerja dulu baru kahwin."
"Sekarang ni bolehlah kau cakap macam tu. Cuba kalau orang yang kau duk tunggu-tunggu masuk meminang kau. Aku rasa esok juga kau kahwin."
Rin ketawa dengan andaian Eiyra yang baginya langsung tidak masuk dek akal itu.
"Tak ada maknanya. Memang dari dulu aku rancang. Selagi aku tak grad, selagi tu aku tak kahwin. Tak kesahlah siapa pun datang pinang aku. Selagi aku tak grad, selagi tu aku tak nak kahwin," kata Rin penuh yakin.
"Kenapa?" soal Eiyra. Melihat cara Rin yang penuh keyakinan itu membuatkan dia teruja untuk mengetahui alasannya.
"Sebab aku nak bawa umi dan ayah aku datang konvo aku."
Eiyra tergelak. Itu ke sebabnya?
"Kenapa kau gelak?" soal Rin. Kelakar sangat ke kenyataannya tadi?
"Kelakarlah kau ni. Kalau kau kahwin pun boleh aje kau bawa mak ayah kau pergi majlis konvo tu," kata Eiyra dengan tawa yang masih bersisa.
"Memanglah boleh. Tapi selalunya kalau yang dah kahwin ni mesti dia akan kongsi kejayaan dia dengan pasangan lebih daripada keluarga dia. Padahal yang duk didik, yang paling menunggu kejayaan sejak dari kita tadika ialah mak ayah. Pasangan tu tak lama mana pun kita kenal tapi kita lebihkan mereka pula."
"Kalau dah jadi isteri orang mestilah kena lebihkan suami. Mana boleh lebihkan mak ayah dah," kata Eiyra. Sungguh dia tak faham pemikiran Rin saat ini.
"That's the point. Sebab itulah aku tak nak kahwin lagi. Teori aku mudah aje, tanggungjawab aku kepada umi ayah aku belum selesai lagi. Jadi, takkanlah aku nak galas satu tanggungjawab baru, kan? Pada aku, sebelum aku nak kahwin ke apa, aku nak buat sesuatu yang boleh banggakan umi ayah aku dulu. Balas jasa dia orang yang dah susah payah jaga aku selama ni. Lagipun aku sedar yang aku ni belum layak untuk bergelar seorang isteri. Mental dan fizikal aku belum sedia nak jadi bini orang."
"Nak kahwin pun kena ada persediaan fizikal dan mental ke? Aku tengok orang lain kahwin muda elok aje. Tak ada pun nak bersedia fizikal dan mental macam yang kau cakap tu."
"Mana kau tahu dia orang tak buat preparation?" soal Rin.
Eiyra tersengih bagai kerang busuk.
"Aku pernah baca satu buku tu. Buku apa aku tak ingat. Tapi dalam buku tu penulis ada cakap, kalau kita nak kahwin jangan fikir indahnya pelamin aje. Tapi fikirlah sekali pasal lampin dan susu anak. Kiranya dia nak kita fikir jauh ke hadapan la. Kena fikir pro and cons sekali, bukannya sekadar kahwin untuk puaskan nafsu aje."
"Ala, lepas kahwin pun boleh fikir pasal lampin anak segala tu, kan? Siap boleh bincang dan buat keputusan sama-sama lagi," kata Eiyra.
"Tapi lebih baik buat preparation dulu, kan? Kita nak kahwin ni bukannya untuk sehari dua," kata Rin.
Eiyra tergelak. Rasa kagum pula dengan kematangan pemikiran Rin.
"Tapi kan, cara kau cakap macam kau tak sokong aje orang kahwin muda," usik Eiyra.
"Taklah. Mana ada. Kau jangan buat spekulasi bukan-bukan," sangkal Rin.
"Dah kau cakap macam tu."
"Setiap orang kan ada cara pemikiran masing-masing. Ada pegangan masing-masing. Bagi aku, fokus aku untuk bahagiakan umi dan ayah aku dulu. Bagi orang yang nak kahwin awal mungkin dia lihat dari sudut lain yang aku tak nampak dan dia orang dah pun buat preparation. Mungkin juga sebab dia dah jumpa orang yang dia betul-betul serasi. Macam kau, kalau kau dah jumpa seseorang yang memang kau rasa boleh jadi suami soleh dan famili kau dah restu, mesti kau kahwin aje kan?" soal Rin.
Eiyra tersengih.
"Ini bermakna yang kau belum jumpa lelaki soleh untuk buat suami? Hmmm... Haikal belum cukup soleh ke untuk menjadi seorang suami?" Eiyra mengeluarkan teorinya.
"Kau memang suka putar belitkan ayat aku, kan?" marah Rin. Dia meluku kepala Eiyra.
"Mana adalah. Aku cakap berdasarkan fakta yang kau bagilah."
"Fakta apa yang aku bagi?"
"Fakta pertama, kau belum berjumpa dengan lelaki soleh untuk dibuat suami. Fakta kedua, kau ada Haikal. So, kesimpulannya Haikal bukan lelaki yang soleh," kata Eiyra sambil tersengih.
Rin tergelak. Eiyra buat teori dah macam jawab soalan Matematik zaman SPM dulu aje.
"Kau memang suka buat fakta dan teori yang merepek-repek, kan?" soal Rin.
Eiyra turut tergelak. "Tapi kau jangan repot dekat Haikal apa yang aku cakap ni, ya?"
"Tahu takut."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co