Truyen3h.Co

VVIP Dihatiku

Bab 9

karyaseni2u

ATAS nasihat dua orang sahabat baiknya, Eiyra dan Nia, akhirnya hati Rin kembali lembut. Dia menghubungi kedua-dua orang tuanya dan dengan penuh rasa rendah diri dia memohon maaf. Jauh di sudut hatinya dia sebenarnya pun tidak mahu mogok lama-lama dengan orang yang telah menjadi asbab kelahirannya ke dunia ini. Yang telah mendidik dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

Di samping itu, Rin juga bersyukur kerana umi dan ayahnya berjanji untuk tidak lagi masuk campur dalam urusannya dengan Amir. Sekurang-kurangnya sehingga dia tamat pengajian.

Hikmahnya kejadian ini, dia mula mengenali dirinya sendiri dan dia semakin jelas dengan apa sebenarnya yang hatinya inginkan.

DARI tempat duduknya, Rin melihat Haikal menghampirinya dengan senyuman lebar di bibir. Tiba-tiba dia rasa bersalah. Bibirnya diketap.

"Hai, sayang," tegur Haikal ceria. Mana tidaknya, lebih seminggu dia tidak bertemu dengan kekasih hati pengarang jantungnya itu. Panggilan dan mesej juga tidak dilayan. Tetapi hari ini, tidak ada angin, tidak ada ribut, Rin tiba-tiba menghubungi dan mengajaknya bertemu.

"Kal nak makan apa?" soal Rin. Dia memanggil pelayan.

"Apa-apa pun boleh. Tengok muka Rin, perut Kal pun jadi kenyang."

"Ingat Rin ni ayam goreng ke sampai tengok-tengok aje boleh kenyang?"

Haikal tersengih. Kebetulan ketika itu pelayan yang dipanggil Rin tiba.

"Rin nak makan apa?" soalnya sambil menyambut huluran menu daripada pelayan lelaki tersebut.

"Tomyam Kung dan Cappuccino Iced Blended," beritahu Rin.

Haikal membuat mimik muka sambil menelaah menu yang ada di hadapannya. "Bagi Iced Lemon Tea dengan Nasi Goreng Thai." Setelah lima minit berlalu, Haikal membuat keputusan.

"Rin dengan famili dah okey ke?" soal Haikal. Meskipun lebih seminggu dia tidak dapat berhubung dengan Rin, semua perihal gadis itu tetap diketahuinya melalui sepainya. Siapa lagi kalau bukan Eiyra?

"Alhamdulillah. Dah okey," jawab Rin. Dia tidak hairan dari mana Haikal tahu pasal itu walaupun dia tidak pernah bercerita dengan Haikal tentang lamaran keluarga Amir.

"Baguslah kalau macam tu. Lega Kal dengar. Kal takut tau kalau tiba-tiba Rin kena kahwin dengan pilihan famili Rin tu."

"Tak adalah. Kal pun tahu yang Rin ni bukannya suka kena paksa. Apatah lagi kalau bab-bab kahwin ni."

Haikal tersengih. "Ya. Kal kenal sangat Rin ni. Kal pun ambil masa bertahun-tahun... Eh, mana cincin yang Kal bagi?" soal Haikal sebaik sahaja matanya terpandangkan tangan Rin yang sedang bermain dengan straw minumannya.

Rin mengetap bibir. "Errr... Rin..."

"Rin?" Haikal memandang Rin tanpa kelip. Matanya menagih jawapan.

Rin mula rasa serba salah tapi dalam hatinya, dia bersyukur kerana Haikal bertanya. Sedari tadi dia asyik memikirkan cara untuk berterus terang kepada Haikal tanpa menyakiti lelaki itu.

Rin menarik nafas sedalam-dalamnya. Lambat-lambat tas tangan berwarna biru miliknya dibuka sebelum kotak kecil berwarna hitam dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Dengan perlahan, kotak itu ditolak ke arah Haikal yang berada di hadapannya.

Haikal mula rasa gelisah. Peluh mula merenik keluar. Terasa panas dan berbahang meski mereka berada di dalam restoran yang berpendingin hawa.

"Sorry." Hanya itu yang keluar dari bibir Rin. Itu pun diucap dalam keadaan menunduk. Sungguh, kala ini dia benar-benar tidak mampu untuk memandang wajah Haikal.

"What's going on?" soal Haikal.

Sekali lagi Rin mengetap bibir, cuba mengumpul kekuatan. Dia mengangkat wajah dan wajah Haikal yang menagih jawapan itu dipandang dengan rasa bersalah.

"Sorry, Kal. Rin... Rin tak boleh nak terima Kal."

"But, why? You know that I love you so much. I will do anything for you, Airin."

"Then forget me."

Haikal mengeluh.

"Rin tahu kan yang Kal tak boleh lupakan Rin? Rin tahu kan yang Kal dah tunggu Rin sejak kita kat matrik lagi?"

Rin diam.

"Kenapa Rin buat Kal macam ni?" soal Haikal lagi.

"Maafkan Rin sebab buat Kal macam ni. Rin tahu yang Rin tak patut bagi Kal harapan dari awal lagi. Rin... Rin ingat Rin boleh terima Kal lebih daripada seorang kawan. Tapi..." Rin berjeda.

"Sebab Fiqri?" soal Haikal.

Mendengar nama itu, Rin tersentak. Dia tidak menjawab.

Haikal ketawa sinis. "Apa yang lebihnya Fiqri sampai Rin sanggup tunggu dia bertahun-tahun? Sampai Rin tak boleh lupakan dia? Sampai Rin sanggup abaikan Kal?" soal Haikal tak puas hati. Tajam matanya merenung Rin.

"Rin... Rin tak cukup baik untuk Kal."

"Rin, I love you just the way you are. Rin dah cukup baik untuk Kal. Kal terima Rin seadanya. So, berhenti bagi alasan yang sama."

"No. Rin bukan bagi alasan. Rin serius. Kal layak dapat perempuan yang lagi baik daripada Rin."

"Tapi Kal hanya nak Rin. Tak boleh ke Rin bagi Kal peluang?" soal Haikal.

Melihat Rin diam, dia menyambung, "Rin, bagi Kal peluang untuk berada di sisi Rin. Kal tak minta banyak. Kal hanya nak satu peluang aje," rayu Haikal.

"Kal... Rin..." Belum sempat Rin membalas, telefon bimbitnya berbunyi.

"Sorry," ucap Rin sambil tangannya laju mengambil telefon bimbit di dalam tas tangannya.

Melihat nama kak longnya yang tertera membuatkan dia terus menjawab. Sambil itu, matanya mengerling ke arah Haikal di hadapannya. Lelaki itu dilihat sedang melepaskan keluhan sebelum menyandar tubuhnya pada kerusi. Dari segi tingkah Haikal, Rin sedar bahawa lelaki itu sedang kecewa.

"Helo... Assalamualaikum," sapa Rin ceria.

"Rin..." Senyuman Rin mati sebaik mendengar suara Farah di hujung talian. Tangisan kakaknya itu menyebabkan dadanya terus diserang taufan.

"Kak long kenapa ni?" soalnya cemas. Hatinya mula rasa tidak enak.

"Rin... Umi... Ayah..." Sekali lagi suara Farah tenggelam dalam tangisan.

"Kak long, kenapa ni? Okey, kak long tenang dulu lepas tu bagi tahu Rin apa yang dah berlaku," nasihat Rin. Dia cuba menenangkan Farah padahal saat ini dia sendiri tidak tenang dan berdebar-debar menanti berita yang bakal dikhabarkan kepadanya.

Dia memandang Haikal yang sudah berubah posisinya. Wajah lelaki itu turut berkerut dan kemudian bibirnya perlahan melontar soalan, "Kenapa?"

Rin menjongket bahu.

"Kak long?" soal Rin sebaik saja suara kak longnya tidak lagi kedengaran.

"Rin?" Kali ini tiada lagi suara kak long tetapi sebaliknya suara Khairul abang iparnya pula yang kedengaran di hujung talian.

"Ya, abang long. Kenapa dengan kak long? Apa yang dah berlaku?"

"Rin, abang harap Rin sabar, ya? Ni semua ujian daripada Allah," kata Khairul perlahan dan penuh berhati-hati.

"Abang..." Rin mengetap bibir. Dia seolah-olah dapat mengagak apa yang bakal keluar dari bibir abang iparnya.

Di sebalik talian, Khairul menarik nafas dalam-dalam. Wajah isteri yang berada di dalam pelukan mummynya dipandang sayu sebelum dia meneruskan bicaranya.

"Abang, apa yang dah berlaku?" soal Rin sekali lagi apabila tidak mendengar jawapan daripada Khairul.

"Ayah, Dafi dengan Reena dah tak ada."

Diam.

"Rin? Rin dengar tak apa yang abang cakap ni?"

"A... Apa dia, bang?" soal Rin sekali lagi. Air matanya sudah bergenang. Ya Allah, semoga semua ni hanya mimpi. Dalam hatinya berdoa. Manalah tahu ia sekadar gurauan daripada Farah dan Khairul walaupun dia rasa sangat mustahil.

"Ayah, Dafi dan Reena dah tak ada. Dia orang kemalangan pagi tadi."

"Umi?" soal Rin.

"Rin tabah, ya? Umi ada dalam bilik bedah. Doktor cakap umi hilang banyak darah dan kepala umi cedera teruk."

"Allah." saat itu juga telefon bimbitnya jatuh ke lantai. Komponen telefon bimbit yang sudah berderai langsung tidak dipedulikannya. Air matanya mengalir laju. Tangannya pantas menekup bibir.

Haikal segera bangun dari tempat duduknya. Dia menuju ke arah Rin.

"Rin, kenapa ni? Apa dah berlaku?" soal Haikal. Kisah cintanya yang ditolak untuk kesekian kalinya tidak lagi menjadi keutamaannya kerana keadaan Rin sekarang benar-benar merisaukannya.

"Ayah... Ayah dah tak ada. Reena dengan Dafi pun dah tak ada. U... Umi dekat emergency room," beritahu Rin dengan matanya yang berkaca-kaca. Wajah Haikal di hadapannya sudah berbalam-balam.

"Innalillahiwainnailaihiraji'un," ucap Haikal.

"Rin nak balik," kata Rin tiba-tiba. Dia bangun.

Haikal tersentak. "Nak balik?"

Rin mengangguk laju. "Rin nak balik. Rin nak tengok umi," kata Rin.

Haikal mengangguk. "Biar Kal hantar Rin balik Kemaman." Haikal menawarkan pertolongan.

"Tapi..."

"Biar Kal hantar. Cepat sikit Rin sampai," kata Haikal.

Rin mengangguk. Lagipun dia yakin ini pilihan yang terbaik.

Melihat anggukan Rin, Haikal lega. Sekurang-kurangnya pada waktu kecemasan begini Rin tidak menunjukkan kedegilannya. Dia menunduk. Mengutip telefon bimbit Rin yang berkecai tadi. Selepas itu, dia segera membuat pembayaran bil dan mereka kemudian sama-sama menuju ke tempat letak kereta.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co