Bab 8
MUJURLAH ketika Rin keluar, ada teksi yang kebetulan lalu di hadapan rumahnya. Dengan teksi tersebut, Rin ke rumah sahabat baiknya sejak zaman sekolah rendah, Nia.
Nia yang terkejut melihat Rin yang tiba-tiba datang ke rumahnya dengan bagasi, segera bertanya. "Kau dengan bagasi bagai ni, kenapa? Lari dari rumah ke?"
"Haah," jawab Rin selamba.
Terus terlopong mulut kawannya itu.
"Tutup mulut tu. Karang masuk lalat. Mak kau ada tak?"
"Ada kat dalam. Kau ni betul ke lari dari rumah?" soal Nia sekali lagi.
"Betullah. Buat apa aku nak tipunya? Aku tumpang tidur rumah kau malam ni. Esok aku nak balik kolej," kata Rin. Tanpa dijemput dan penuh selamba, dia menarik bagasinya masuk ke dalam kawasan rumah Nia.
"Hah?" Nia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Namun dia tetap membuntuti langkah Rin.
Tiba di hadapan pintu rumah Nia, Rin bertembung dengan emak Nia. Segera dia bersalaman dengan wanita yang berusia lebih separuh abad itu.
"Mak cik, Rin nak tidur sini malam ni, boleh?" soalnya.
"Boleh. Tapi malam ni aje ke? Bawa bagasi bukan main besar tu, mak cik ingat nak duduk banyak hari."
"Sehari aje. Esok dah nak balik kolej."
"Rin masuklah dulu. Nak air apa? Biar mak cik buatkan."
"Eh, tak apalah, mak cik. Nanti kalau Rin nak air Rin buat sendiri," kata Rin. Sejak berkawan dengan Nia lebih sepuluh tahun lalu, dia sudah cukup biasa dengan keluarga Nia. Bahkan dia sudah menganggap keluarga Nia itu seperti keluarganya sendiri.
Setelah emaknya ke dapur, Nia mengambil tempat di hadapan Rin.
"Kenapa kau lari dari rumah?" soal Nia.
"Mak aku paksa aku kahwin," kata Rin tanpa perasaan. Dia menyandarkan tubuhnya ke sofa.
"What? Dengan siapa?"
"Amir."
"Amir?" ulang Nia sambil mengerutkan dahinya.
"Amir Farhan."
"Hah? Amir Farhan? Senior kita yang handsome gila tu?"
"Handsome and playboy." Rin membetulkan soalan Nia.
"Okey. Handsome and playboy. Tapi kenapa kau kena kahwin dengan dia?"
Rin menjongket bahu. "Aku pun tak tahu. Satu famili aku dah kena mandrem agaknya."
Nia ketawa mendengar jawapan Rin. "Jadi, kau lari datang sini sebagai tanda proteslah ni?"
Rin mengangguk sambil tersengih.
Nia menggelen. Macam budak-budak!
"Sampai bila kau nak mogok macam ni?"
"Sampai tak ada orang paksa aku kahwin. Eh, kau tak nak buatkan aku air ke? Dahagalah nak kena jawab soalan kau banyak-banyak ni," kata Rin. Itulah, tadi mak Nia nak buatkan air dia jual mahal. Sekarang mulalah menggedik cakap dahaga.
"Pergi ambil sendiri kat dapur tu," ujar Nia sambil menjuihkan bibirnya ke arah dapur.
"Eh, aku ni tetamu kaulah. Ada ke suruh tetamu layan diri sendiri," bidas Rin.
"Masalahnya kau tu boleh dikira sebagai tetamu ke? Dah sepuluh tahun dah kau duk ulang-alik rumah aku ni," balas Nia.
"Eee... malas dah nak datang rumah kau lepas ni. Servis tak baguslah," kata Rin sambil bangun.
"Kau bajet rumah aku ni hotel ke nak ada rating service bagai? Lagipun kau yang nak datang menumpang rumah aku, kan? Aku tak ajak pun," sindir Nia lalu melemparkan kusyen ke muka Rin. Dia tergelak apabila ia tepat mengena sasaran.
Rin mencebik. Kusyen yang terkena mukanya itu diambil dan dia membalas serangan. Barulah adil, kan?
"Ya Allah, budak bertuah dua orang ni. Kau orang ni budak tadika lagi ke duk main macam ni?" soalan Mak Cik Jannah yang tiba-tiba muncul dari dapur mengejutkan mereka berdua. Masing-masing terus pegun di tempat mereka sambil tersengih bagai kerang busuk.
"Nia inilah, mak cik. Perangai macam budak-budak. Entah bila nak matang," kata Rin sambil menghampiri Mak Cik Jannah. Dulang yang berada di tangan wanita itu diambil dan diletakkan ke atas meja kopi sambil tersengih ke arah Nia sebagai tanda dia berjaya membodek Mak Cik Jannah.
EIYRA menarik fon telinga yang terpasang di telinga Rin.
"Kenapa?" soal Rin dengan dahi yang berkerut. Kacau betullah Eiyra ni. Punyalah dia tengah khusyuk mendengar suara penyanyi kegemarannya dari kumpulan FT Island.
"Mana telefon kau?" soal Eiyra, serius sahaja wajahnya.
Rin menjuihkan bibirnya ke arah telefon bimbit miliknya.
Eiyra terus mencapai telefon bimbit tersebut. Telefon bimbit yang sengaja dimatikan itu dihidupkan kembali. Dan tidak sampai seminit, bunyi mesej masuk kedengaran bertalu-talu.
"Kenapa kau on?" Dia mengambil kembali telefon bimbitnya daripada Eiyra lalu diletakkan ke atas meja.
"Habis tu kau nak matikan telefon ni sampai bila?" Soalan Rin dibalas dengan soalan.
Rin mengeluh. Soalan Eiyra dibiar tidak berjawab. Dia ingin menyumbat kembali fon telinga ke telinganya namun dihalang oleh Eiyra.
"Dah dua hari aku biarkan kau bersendirian tapi sampai sekarang aku tak nampak pun sebarang keputusan yang kau buat. Kau tahu tak yang mak ayah kau, kak long, Nia, Haikal tu semua risaukan kau?"
"Eiyra, aku..." Belum pun Rin sempat menghabiskan butir bicaranya, bunyi nada dering dari telefon bimbitnya menghalang.
Melihat nama di skrin membuatkan dia teragak-agak untuk menjawab. Tapi belum sempat dia membuat apa-apa tindakan, Eiyra lebih pantas bertindak. Jarinya laju sahaja menyentuh skrin telefon bimbitnya itu lalu diletakkan di telinga Rin.
"Helo."
"Hah, hidup lagi kau. Ingatkan dah mati kena telan dengan buaya." Hah, kan dah cakap. Tak bagi salam, tak bagi apa, terus kena sembur.
"Buaya kat KL ni semua dah pupus. Tak sempat nak telan aku."
"Habis tu kalau buaya tak telan kau, kenapa aku telefon asyik masuk mailbox aje?" soal Nia.
"Nia, kau nak membebel apa ni? Aku sibuklah. Banyak assignment nak kena siapkan ni." Rin memberi alasan. Mana tahu dengan alasan itu Nia akan bersimpati kepadanya.
"Kau jangan nak menipu. Eiyra beritahu aku kau duk layan cerita Korea aje. Sibuk apanya?" sindir Nia. Serentak dengan itu, Rin terus menjeling ke arah Eiyra yang masih berada di sebelahnya.
"Aku bukan saja-saja nak tengok cerita Korea. Aku tengok sebab nak buat cari semangat aje."
"Hmmm... Kau tak ada semangat ke sekarang ni?" Suara Nia mula mengendur.
"Haah. Aku tak ada semangat ni. Nak buat kerja, nak buat assignment," adu Rin.
"Kau tahu kenapa kau tak semangat?"
"Tahu. Sebab banyak sangat masalah."
"Tak. Bukan. Tapi sebab tak ada restu umi dengan ayah kau." Dush. Sedas lagi peluru dilontarkan kepada Rin.
Gulp. Rin menelan liur. Terasa pahit lagi payau.
"Sampai bila kau nak merajuk bawa diri macam ni? Umi kau dah banyak kali telefon aku tanya pasal kau, kau tahu tak? Umi, ayah kau dengan kak long kau bukan main lagi risaukan kau."
"Habis tu, siapa suruh umi nak kahwinkan aku dengan Si Amir tu?"
"Kau ni, kalau aku cakap macam budak-budak kau marah. Tapi perangai kau ni memang langsung tak matang. Kalau kau tak suka Amir tu, cakap ajelah yang kau tak suka. Yang kau duk mogok, larikan diri ni, kau ingat benda ni boleh selesai ke?"
"Masalahnya aku dah cakap tapi umi dengan ayah tak nak dengar."
"Kalau dia orang tak nak dengar, pujuklah elok-elok. Melarikan diri takkan selesaikan masalah. Dah, lepas ni telefon umi kau. Minta maaf, bincang elok-elok."
"Hmmm... Tengoklah dulu."
"Hesy, kau ni degil betullah. Kau nak jadi Si Tanggang ke? Nak cakap 'ah' pun Allah tak bagi, ni kau duk sakitkan hati umi ayah kau pula. Kau tahu tak berdosa besar kalau kita derhaka kepada ibu bapa?"
"Kau tak faham, Nia."
"Kalau aku tak faham, cuba kau fahamkan."
Rin mengeluh.
"Rin, kau tak setuju macam mana pun, umi dengan ayah kau tu tetap mak ayah kau. Syurga kau bawah telapak kaki umi kau. Kau tak nak jadi anak derhaka, kan?"
Rin terdiam.
"Telefon umi kau. Minta maaf sebab kau dah sakitkan hati dia. Lagipun umi kau dah beritahu aku yang dia takkan paksa kau kahwin dengan Amir kalau kau betul-betul tak nak."
Rin mengeluh. "Nanti aku telefon umi."
"Bukan nanti tapi sekarang."
"Ya. Aku tahu."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co