Bab 13
Aku adalah orang terakhir yang melihat Umair Wajdi. Aku biarkan mak dia, Umairah dan ahli keluarganya yang terdekat menjenguknya dulu. Setiap kali ahli keluarganya keluar, semuanya menyampaikan pesan Umair Wajdi yang bertanyakan tentang aku.
"Safa..."
"Ya, mak."
"Pergilah masuk."
"Eh, tak apa... Bagi yang lain dulu."
"Yang lain dia tak tanya. Dia tanya kamu... Asyik tanya kamu... Kamu datang ke tak. Mak jawab... Safa ada kat luar. Safa orang pertama datang. Lepas tu dia tanya, kalau Safa yang pertama datang, kenapa dia tak masuk lagi? Dahlah... Pergilah tengok dia."
Aku angguk-angguk aje. Aku tak kuat sebenarnya. Bila Ummi keluar... Dia cakap badan Umair Wajdi berselirat dengan wayar, lagilah lemah lutut aku.
"Pi laaa... Dia cari."
"Kejaplah, aku seriau ni."
"Tak dak apalah... Dia boleh cakap macam biasa. Yang balut kepala dia, mulut dia tak berbalut."
Akhirnya...
Aku pergi juga.
Debar.
Takut aku tengok Umair Wajdi terlantar atas katil dalam keadaan kepala berbalut dan badan yang terikat dengan besi. Dalam duk tengah sakit tu, dia boleh senyum memandang aku. Aku yang tak kuat nak tengok dia macam tu. Tapi, gigih juga dia nak sembang.
"Hai..."
"Hai..."
Diam kejap.
Terus rasa sebak.
"I hate to see you like this..."
Tadi dah cakap dengan diri sendiri, tak mahu menangis. Tapi melihat dia dalam keadaan begini... Mana tak bergenang air mata aku. Mestilah aku sedih. Sewaktu dia kena denggi pun aku menangis, apalagi kemalangan. Lagilah tersiat hati aku!
"Jangan nangis."
"Mana ada saya nangis..."
Umair Wajdi senyum. "Yalah tu."
"Betullah..."
"I hate too. Saya tak nak pergi dalam keadaan awak tengok saya macam ni."
"Pergi mana, Umair?"
"Jumpa Tuhan saya."
"Kalau saya boleh cubit mulut awak... Saya dah cubit tau. Nasib baik keadaan awak ni buat saya kasihan!"
Umair Wajdi tersengih. "Kenapa lambat masuk?"
"Biarlah mak dan semua orang masuk dulu."
"Mana boleh lambat. Nanti tak sempat nak cakap."
"Nak cakap apa? Awak tak boleh banyak cakap, Umair. Doktor suruh awak rehat sebab bercakap akan buat awak penat. Paru-paru awak tu tak kuat."
"Tak apa, kuat dah bila tengok awak."
Degilnya... Ya Rabi...
Tu yang aku malas nak masuk ni.
"Nanti sihat, awak cakaplah. Sekarang saya tengok awak pun... Terseksa nak cakap. Tak payah cakaplah."
Umair Wajdi diam sekejap. Aku betulkan rambut dia. Aku belek badannya. Badan yang tidak berbaju, tetapi berbalut... Rasa sayu aku tengok. Kali terakhir aku tengok dia dalam keadaan yang sakit, sewaktu dia terkena demam denggi. Aku ingat itu dah paling teruk. Rupanya... Ada lagi yang perlu dia hadap. Tak pernah terfikir Umair Wajdi akan kemalangan sebab dia tu kalau bawa kereta, berhemah sangat. Rasanya, tak pernah kena saman pun walaupun dah bertahun dia bawa kereta.
"Saya minta maaf..."
"Sebab?"
"Saya kan dah janji tak nak masuk hospital lagi. Tapi, termasuk pula."
"Nak buat macam mana, bukan salah awak pun. Salah kereta tu laaa berhenti mengejut sewaktu tengah turun bukit. Kereta tengah laju kan masa tu."
"Berapa orang mati?"
"Dua orang. Kereta belakang awak dan depan awak tu. Berpusing keretanya. Yang belakang tu sampai tercampak keluar."
Aku tahu pun...
Hasil dari video yang mereka dapat tangkap. Sekejap saja dah penuh dalam WhatsApp. Aku cam sebab ada nombor kereta Umair Wajdi. Seram juga tengok. Nasib baik Umair Wajdi selamat. Kalau tengok keadaan kereta tu, memang boleh meninggal!
"Doktor cakap, awak tak merokok. Jadi paru-paru tu cepat baiklah. Kalau awak merokok... Mungkin lambat sikit. Nasib baik awak tak merokok."
"Hmmm..."
"Dahlah jangan fikir banyak. Yang penting awak selamat. Critical stage tu dah lepas."
Umair Wajdi senyum aje. "Tak akan lepas dari kuasa Allah, Safa. Doktor bukan Tuhan."
"Dahlah, jangan cakap. Kalau awak cakap, saya minta misi sellotape mulut awak."
Tapi...
Lima minit aje diam.
"Awak..."
"Hesy... Degillah dia ni. Jangan cakap saya kata..."
"Terlalu banyak benda yang saya nak cakap pada awak, Safa."
"Nantilah awak cakap... Bila awak dah sihat."
Dada Umair berombak-ombak buat aku cuak. Doktor dah nasihatkan jangan banyak bercakap... Tapi dia...
"Tak boleh. Saya rasa masa saya dah singkat sangat."
"Awak bukan Tuhan, Umair. So shut up your mouth and start praying. Bukan cakap benda mengarut, Umair Wajdi!"
Aku dah geram. Daripada tadi cakap entah apa-apa.
"Jangan marah... Saya tak nak kali terakhir saya pergi awak dalam keadaan marah. Okey, okey saya tak cakap mengarut."
Aku diam.
Aku hanya menggelengkan kepala.
Sedikit mengeluh.
"Saya tak boleh lama. Seorang boleh tengok sekejap-sekejap aje. Esok saya datang tengok awak lagi."
"Eh, kejap..."
"Umair Wajdi..."
"Ingat tak jar of wish list yang awak bagi kat saya tu."
Aku pandang Umair. "Kenapa?"
"Jar tu dah beranak tau. Setiap jar tu ada nombor. Kalau saya tak sempat... Awak tolong tunaikan permintaan saya ikut nombor atas jar tu, boleh tak, Safa? Awak tak boleh buka jar seterusnya selagi wish list tu belum sempurna."
"Umair..."
Tengok...
Cakap mengarut juga lagi.
"Please."
"Dengan syarat..."
"Awak nak letakkan syarat sewaktu saya tengah berperang dengan nyawa saya. Awak biar betul?"
"Hanya bila awak sihat, saya akan tunaikan semuanya dengan awak. With you... Not without you."
"Safa Auliya, saya merajuk dengan awak!"
Hesy...
Sakit-sakit pun pandai memaksa!
"Yalahhh... Yalah..."
Umair Wajdi tersenyum. "Tolong sempurnakan sampai jar yang terakhir. Sebab jar yang terakhir tu... Is your new beginning. Itu hadiah sebab awak tahan cabaran untuk tak rindukan saya."
Haih...
Jahat betul.
Dahlah aku nak tahu sangat maksud new beginning tu, dia boleh buat syarat macam ni pula.
"Awak ni macam-macam tau..."
"Dengan awak aje saya macam-macam. Lepas tu tak ada dah nak macam-macam. Ingat tau pesan saya..."
"Pesan apa?"
"Jangan rindu saya."
"Pesanan yang tak boleh pakai. Lepas ni, jangan nak mengada-ada buat cabaran tak masuk akal tu. Awak tahu kan, kalau awak tak ada... Saya macam mana? Awak sendiri pun, kalau saya tak ada... Tengoklah, bertembung dengan accident."
Umair Wajdi tergelak.
Kuat dia gelak... Macam tak sakit!
"Dahlah, saya nak keluar. Lagi lama saya kat sini, lagi marah misi tu dengan saya. Patient nak rehat... Saya datang... Awak bising, saya yang kena!"
"Kejap!"
"Awak ni, kan..."
"Sebelum awak pergi, saya nak minta maaf siap-siap."
"Minta maaf pasal apa?"
"Leaving you with unspoken words..."
"Nanti dah sihat, cakap eh... Maaf awak, saya tak terima."
"Jangan menangis..."
"Manaaa ada."
"Yalah tu."
Dan...
Umair Wajdi hanya senyum.
Senyum.
Aku keluar dan aku terus menangis. Penat tau aku tahan. Haih, hati tisu kau ni, Safa!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co