Truyen3h.Co

Bukan Dua Tapi Tiga?

Bab 13

karyaseni2u

Mata Alisa melihat setiap sudut mahligai mewah milik Dato Syed Mohd Kadir. Perabot-perabot yang menghiasi ruang rumah itu disusun rapi.

Gaya Inggeris moden menghiasi ruang dalaman kediaman tersebut. Mesti perabot mahal dan berjenama. Orang kaya biasalah. Kalau tak beli barang-barang mahal dan berjenama, jatuh pula standard mereka nanti. Alisa membuat mimik muka. Aku tak hairan dengan semua ni. Rumah aku kat London walaupun kecil tapi penuh dengan kegembiraan.

"Kau buat apa di sini?" Alisa menoleh ke arah Sofea dan Suziela yang menghampirinya.

Alisa hanya mendiamkan diri. Dia malas nak melayan kerenah mereka berdua.

"Aku tanya ni! Hei, kau bisu ke?" marah Suziela. Dia bengang kerana Alina tidak menjawab soalannya.

"You know why I'm here!"

"Hei, kau tak boleh ke cakap bahasa Melayu? Kau sedar tak yang kau sekarang berada di Malaysia?" marah Sofea. Mentang-mentanglah dibesarkan di London, asyik cakap orang putih saja. Eee... Naik menyampah aku tengok muka perempuan ni!

"Like I care!" Alisa tersengih. Dia sengaja ingin menyakitkan hati mereka berdua. Awal-awal pagi dah menyalak.

"Kau!" jerit Suziela. Wanita ini sengaja menguji kesabarannya.

"I don't have time to fight with you guys. Just go!" Alisa mengatur langkah ingin meninggalkan mereka berdua. Lisa, ingat kau sekarang ni Alina. Kau jangan layan mereka ni. Sabar! Sabar tu separuh daripada iman. Kau kena ingat tu!

"Kau dengan mak kau sama saja. Perempuan parasit!" Sofea meninggikan suaranya.

Langkah Alisa terhenti sebaik sahaja mendengar kata-kata mereka. Dia menggenggam erat tangannya.

"Betul tu, kak! Selepas dua puluh enam tahun, tiba-tiba muncul mesti ada sebab, kan? Nakkan harta papa... Macamlah kita tak tahu. Perempuan tak tahu malu." Suziela sengaja menyakitkan hati adik tirinya.

Alisa berpaling. Matanya tepat merenung mereka berdua. Mereka dah melampau. Aku dah tak boleh nak berdiam diri lagi ni! Ikutkan hati aku, nak saja cabut mulut mereka berdua.

"Cik Alina berhak ke atas semua harta milik Uncle Kadir kerana Cik Alina ialah anak kandung Uncle Kadir. Ujian DNA membuktikan bahawa Cik Alina ialah anak kandung Uncle Kadir dan pewaris bagi semua harta Uncle Kadir termasuklah apa yang dimiliki oleh Cik Sofea dan Cik Suziela sekarang." Tiba-tiba Zahari mencelah. Dia menghampiri mereka bertiga.

Sejak tadi dia melihat apa yang berlaku.

Alisa terkejut melihat kehadiran lelaki itu. Bukankah lelaki ni yang aku kenakan kat airport hari tu. Alamak, kenapa nasib aku malang hari ni?

"Orang yang tak ada pertalian darah tak berhak mendapat satu sen pun daripada Uncle Kadir." Zahari tersengih.

"Kau?!" Sofea tiba-tiba menjerit sebaik sahaja mendengar kata-kata Zahari. Sakit hatinya apabila Zahari menghina dirinya.

"Cik Alina, mari... Uncle sedang tunggu kita di bilik bacaan." Zahari terus mengajak Alisa.

Sebelum meninggalkan mereka berdua, Alisa sempat menghadiahkan senyuman sinis kepada Sofea dan Suziela. Padan muka!

Dato Syed Mohd Kadir melihat ke arah Alina yang sedang berdiri jauh darinya. Sejak masuk ke biliknya, Alina hanya mendiamkan diri. Lina, tak tegur aku pun. Salam pun tidak. Dia dapat rasakan kedinginan antara Alina dan dirinya.

"Lina, mari duduk kat sini. Abah ada hal nak cakap," ajak Dato Syed Mohd Kadir supaya Alina duduk di sebelahnya.

"It's okay... Lina lebih suka berdiri," jawab Alisa. Matanya tepat melihat ke luar.

Dato Syed Mohd Kadir melihat ke arah Zahari. Dia tak tahu apa yang berlaku. Alina seolah-olah marah kepada dirinya. Aku dah buat salah ke? Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan anak tunggalnya hari ni, seolah-olah yang berada dengannya sekarang bukan Alina.

"Lina! Dua hari lagi, ibu Lina akan keluar dari hospital, kan?"

"Yes!" Ringkas jawapan Alisa. Alisa malas nak ambil tahu. Tiba-tiba saja tanya tentang ibu. Nak tunjuk caring konon.

"Abah nak ibu Lina tinggal kat sini. Dia perlukan jagaan," beritahu Dato Syed Mohd Kadir. Dia sudah buat keputusan supaya Munirah tinggal di mahligainya.

Alisa tersenyum. Hampir saja dia ingin ketawa. Tiba-tiba saja ambil berat tentang ibu. Selama ni tak pernah pun nak ambil tahu tentang ibu. Selama 26 tahun, ibu tinggal di negara orang... Ada kau peduli? Tiba-tiba nak tunjuk baik... Huh, tak payahlah.

"Tak payah susah-susah... Lina dah pun dapat cari rumah kat Bangsar. Duit deposit pun Lina dah bayar."

"Apa? Kenapa Lina tak bincang dengan abah dulu tentang perkara ni?"

"Tak penting pun."

Zahari hanya memerhati. Dia dapat rasakan seolah-olah Alina cuba mengelakkan diri daripada Dato Syed Mohd Kadir. Renungan dia pada Dato Seri Mohd Kadir berlainan dengan Alina yang dia jumpa beberapa hari yang lalu.

"Bagi abah penting. Ini rumah Lina dan ibu Lina. Kamu berdua berhak."

Alisa mendekati mereka berdua.

"Ini rumah Datin Kartika! Dia yang berhak. Selama dua puluh enam tahun, dia tinggal di sini. Dia takkan bersetuju! Betul tak, Datin Kartika?! Masuklah, tak payah nak dengar perbualan kami macam pencuri." Alisa sedar sejak dari tadi Kartika berada di sebalik pintu.

Zahari dan Dato Syed Mohd Kadir terkejut dan menoleh ke arah pintu. Tanpa berlengah, Kartika terus meluru masuk. Wajahnya merah padam menahan geram. Di sebalik pintu tadi, dia menahan kemarahannya.

"Abang! Tika tak setuju... Tika takkan benarkan mereka berdua tinggal di rumah Ika. Ini rumah Ika!" Tegas Kartika.

"Ini rumah mereka juga. Mereka lebih berhak."

Alisa menggeleng. Zahari hanya memerhati.

"Tika takkan biarkan perempuan tu dan anaknya tinggal di rumah ni. Langkah mayat Tika dulu." Kartika masih berdegil.

"Kartika!" jerkah Dato Syed Mohd Kadir. Wanita ni memang tamak!

"Stop!" jerit Alisa. Sakit telinga dia mendengar mereka berdua bertengkar.

"Stop fighting in front of us! Look, Lina dan ibu takkan tinggal di sini! Muktamad. I have to go!" Alisa terus melangkah keluar dari bilik bacaan itu. Dia malas nak masuk campur. Ini bukan masalah aku pun. Tak ada kaitan langsung.

"Lina! Lina!" panggil Dato Syed Mohd Kadir namun panggilan Dato Syed Mohd Kadir tidak diendahkan oleh Alina. Kartika tersenyum puas. Mereka tak layak berebut dengan aku!

Dato Syed Mohd Kadir merenung isterinya. Dia menyesal kerana beristerikan wanita itu.

Alisa mengeluh apabila perjalanannya dihalang. Apa lagi dua beradik ni nak dengan aku? Masih tak berpuas hati dengan aku ke?

"Seronok nampak! Nak pergi mana? Nak jelajah seluruh rumah ni ke? Oh... Terlupa pula! Sekarang ni kau dah jadi tuan rumah, kan?" perli Sofea.

Alisa tersenyum. "Nak pergi dapur, tak salah, kan?"

"Tak salah! Silakan... Lagipun ini rumah kau! Kami ni menumpang saja. Aaa... Dah alang-alang kau nak ke dapur, tolong buatkan fresh orange untuk kami berdua. Kami kan tetamu. Kau selaku tuan rumah perlu layan tetamu, kan?" Suziela tersengih. Dia sudah ada idea untuk kenakan wanita yang berada di hadapannya.

"Betul tu! Tuan rumah kena layan tetamu. Tolong hantarkan... Kami ada di kolam renang, ya!" Sofea tersenyum sinis dan terus berlalu pergi bersama adiknya.

Alisa mengetap bibirnya.

"Macamlah aku bodoh sangat! Ingat aku tak tahu agenda kau berdua, nak buat aku macam orang gaji, kan? Semua rentak kau, aku boleh baca," bebel Alisa seorang diri. Dia mengatur langkah ke dapur. Rumah ni penuh dengan 'ular.' Nak tinggal kat sini bersama mereka bertiga? Itu takkan terjadi.

"Lina!"

Alisa terkejut. Dia melihat seorang wanita sedang menghampirinya. Ini pasti Mak Jah! Sebelum Alina bertolak pulang, dia sudah menerangkan segalanya.

"Mak Jah!"

"Lina, nak air ke? Air apa? Biar Mak Jah buat." Mak Jah meletakkan cili padi yang diambilnya di belakang rumah.

"Tak apa, Mak Jah. Aaa... Buah oren kat mana? Lina nak buat fresh orange," kata Alisa dengan lembut.

"Oh... Dalam peti sejuk tu," beritahu Mak Jah.

"Banyaknya cili... Mak Jah tanam ke?" Alisa membuka peti sejuk dan mengambil dua biji oren.

"Sekarang ni harga cili mahal. Lagipun, Mak Jah suka tanam pokok. Kat belakang tu macam-macam pokok Mak Jah tanam. Lina nak ke? Terung, peria, aaa... Macam-macam lagilah. Kalau Lina nak, Lina ambil saja kat belakang tu."

"Lina suka tanam pokok juga... Tapi, kat London Lina tanam pokok tomato saja. Itu aje yang hidup."

"Sana sejuk... Cuaca lain. Aaa... Mak Jah nak pergi ambil terung kejap. Kalau Lina nak apa-apa, panggil Mak Jah kat luar, ya," kata Mak Jah.

"Okey, Mak Jah." Alisa tersengih. Dia senang berbual dengan Mak Jah walaupun baru saja kenal. Ada juga insan yang baik di dalam rumah ni. Selepas Mak Jah keluar, Alisa melihat dua biji oren di hadapannya Tiba-tiba matanya beralih pada cili padi yang diambil oleh Mak Jah sebentar tadi.

Alisa tiba-tiba ketawa. Aku dah dapat idea. Alisa melihat ke kiri dan kanan. Clear! Tak ada orang. Alisa terus membuang kulit oren itu. Dia memasukkan oren itu ke dalam blender.

"Kulit oren ni... Letak sajalah. Ni resipi baru aku. Fresh Orange London." Tangan Alisa pantas mengambil cili padi yang berada di atas meja.

Alisa mengira bilangan cili itu. 20 biji!

"Mesti pedas! Aaa... Tak payah basuhlah. Organik. Pasti sedap." Alisa tersengih seorang diri. Dia terus memasukkan cili padi itu ke dalam blender.

"Garam... Mana garam?" Alisa membuka satu per satu balang kaca yang ada di dapur. Sebaik saja dia jumpa balang berisi garam pantas dia mengambil senduk sup. "Tiga senduk!" Alisa meletakkan garam itu ke dalam blender. Alisa tersenyum puas.

"Tapi... Warna air ni nampak lainlah. Kalau mereka lihat warna air ni, mesti mereka tahu aku campurkan sesuatu di dalam air ni. Kordial oren mana? Kalau aku letak, pasti warnanya macam air oren." Pantas Alisa membuka peti sejuk. Dia tersenyum.

Alisa mengacau air itu. Senyuman semakin lebar di wajahnya.

"Rasakan! Nak sangat fresh orange, kan? Perfect!"

Alisa tak sedar sejak dari tadi Zahari memerhati gelagat Alisa. Zahari menelan liurnya apabila melihat ramuan yang diletakkan oleh Alisa di dalam blender itu. Biar betul nak bagi mereka minum? Perempuan ni menakutkan betul. Dahi Zahari berkerut. Apalah rasa fresh orange tu nanti?

Kartika menghempas pintu bilik dengan kuat. Hatinya sakit apabila disisihkan. Apa yang berlaku sebentar tadi benar-benar menyakitkan jiwanya. Dirinya rasa dikhianati.

"Habis madu sepah dibuang! Semua lelaki sama sahaja!" jerit Kartika.

"Nak ceraikan aku? Jangan harap. Apa yang sudah menjadi milik aku, aku takkan biarkan ia dirampas. Kau ingat aku ni senang dibuli? Tak! Tak! Aku tak akan biarkannya berlaku. Munirah, aku takkan biarkan kau ambil segala-galanya daripada aku. Aku tak akan benarkan." Kartika mengetap bibir. Dia cuba mengawal kemarahannya. Aku mesti lakukan sesuatu.

Kartika melangkah laju ke meja solek. Telefon bimbitnya diambil dengan kasar. Dia menelefon seseorang.

"Aku ada kerja untuk kau. Kita jumpa di tempat biasa sekarang," kata Kartika dengan nada tegas.

Senyuman sinis terukir di bibirnya.

"Aku pernah gagal sekali tetapi kali ini aku tak akan biarkannya berlaku sekali lagi. Aku nak kau rasa bagaimana jika kau kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup kau, Munirah. Aku pasti hidup kau tak seindah yang kau gambarkan." Kartika ketawa secara tiba-tiba. Hatinya puas. Puas!

"Kau ni... Biar betul! Selepas apa yang terjadi, kau masih berani nak tinggal di sana?" Khatijah memulakan syarahan. Khatijah terus menyandarkan dirinya di sofa. Keputusan Munirah untuk tinggal di Malaysia tidak dipersetujuinya.

"Kau sedar tak? Sekarang ni kau berada dekat dengan mulut harimau. Kau ingat dia tak berani nak lakukan perkara yang sama sekali lagi kat kau? Perempuan macam tu... Tak takut apa-apa asalkan hasratnya tercapai."

"Kau ni, Khaty... Suka sangat takutkan aku. Kau tu suka berfikiran negatif."

"Aku tak berfikiran negatiflah. Aku nak ingatkan kau sahaja. Beringat dahulu sebelum kena. Lebih-lebih sekarang ni... Suami dia nak ceraikan dia. Lagilah dia hot dekat kau. Entah apa yang bermain dalam fikiran dia sekarang ni, aku tak tahu."

"Itu tak akan berlaku. Aku yang mahu diceraikan, bukannya Kartika. Suka atau tidak, Dato Kadir mesti ceraikan aku juga."

"Itu kata kau... Bukannya suami kau. Selepas dia dapat tahu dia ada anak, jangan haraplah dia nak ceraikan kau. Itu satu-satunya zuriat dia... Eh, aku tersasul pula. Aku lupa kepada Leya dan Lisa pula. Kau jangan lupa... Lagi dua orang anak Dato Kadir ni... Hai, nampak gayanya susahlah kau nak lepaskan diri jika Dato Kadir tahu tentang Leya dan Lisa."

Munirah mengeluh.

"Aku tahu tetapi hubungan kami sebagai suami isteri dah lama putus sejak dua puluh enam tahun yang lalu."

"Tetapi kau masih cintakan Dato Kadir, kan? Walaupun sudah dua puluh enam tahun berlalu."

Munirah terdiam. Lidahnya kelu untuk menuturkan kata-kata seterusnya.

Khatijah turut sama terdiam seketika. Khatijah membetulkan kedudukan telefon bimbit yang dipegangnya.

"Munirah, kau tahu kan selama ini aku sokong apa sahaja keputusan yang kau buat tetapi kali ini aku rasa lebih baik kau minta fasakh sahaja. Itu saja jalan yang aku nampak sekarang ni. Nak tunggu Dato Kadir ceraikan kau? Aku rasa ia akan mengambil masa."

"Khaty... Aku berkahwin dengan Dato Kadir secara baik dan aku berharap juga kami akan berpisah secara baik."

"Tetapi, kau tak pernah hidup bahagia dengan dia. Dia tak pernah terima kau sebagai isteri dia. Kenapa pula kau nak jaga maruah diri dia? Selepas apa yang dia buat kepada kau selama ini, dia tak layak untuk dilayan dengan baik. For once Munirah, please! Think about yourself first."

"Aku tahu kau risaukan aku di sini. Believe me! Hal ini akan selesai tak lama lagi." Munirah cuba yakinkan sahabat baiknya itu.

"Hmmm... Bagaimana dengan Leya dan Lina di sana?" soal Munirah. Dia cuba mengubah topik perbualan mereka.

"See... Kau cuba nak elak, kan?" Khatijah menggeleng beberapa kali.

"Khaty!" Munirah meninggikan suaranya.

"Fine!" Khatijah mengalah.

"Leya dan Lina okey aje. Kau jangan risau, mereka berdua dah besar. Dah pandai jaga diri. Aaa... How about Lisa? Macam mana? Lisa tak buat perangai ke?"

"Lisa? Hmmm... Aku sendiri tak tahu sampai bila Lisa boleh bertahan. Bila nampak Dato Kadir saja, Lisa akan pandang ke tempat lain." Munirah mengeluh apabila mengenangkan anak keduanya.

"Kau kena beri mereka berdua masa. Perasaan marah kepada ayah mereka masih belum hilang lagi. Aku rasa lega sikit bila Alisa ada dengan kau."

"Kenapa?"

"Yalah, kau tu... Orang buat apa saja kat kau, kau biarkan sahaja. Tetapi sekarang ni Lisa berada di sisi kau, jangan haraplah perempuan tu dan anak dia buli kau sesuka hati."

"Kau ni, Khaty."

"Aku cakap perkara benar. Aaa... Kalau hujung bulan ni, kau masih tak selesaikan masalah kau, aku sendiri akan datang ke Malaysia dan bawa kau pulang. Tiada apa-apa alasan lagi. Understand?" tegas Khatijah. Dia benar-benar akan menjemput Munirah pulang jika Munirah masih berdegil.

Munirah tergamam.

"But..."

"Aku tak nak dengar apa-apa alasan! Aku dah buat keputusan. Kau kena ingat. Hmmm... Aku akan call kau esok. Berehatlah. Assalamualaikum..." ucapnya sebelum menamatkan perbualan.

"Waalaikumussalam." Dahi Munirah sedikit berkerut. Aduh, berserabut hidup aku macam ni. Khatijah nak datang sini. Munirah menggaru kepalanya yang tak gatal. Dia mula gelisah. Hari tu Alisa, sekarang ni Khatijah pula. Argh... Apa aku nak buat ni?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co