Bab 3
Kartika membaling telefon bimbit sebaik saja menerima panggilan telefon daripada Maria. Semua barang yang berada di atas meja soleknya dibaling. Pecah. Dia bengang apabila mendapat tahu Dato Syed Mohd Kadir sudah sedar daripada koma. Angannya untuk memiliki seluruh kekayaan suaminya telah musnah. Kartika menjerit sekuat hati.
"Kenapa susah sangat kau nak mati, hah?" jerit Kartika. Impiannya hancur lebur. Eee... Kan senang kalau kau mati cepat, senang hidup aku.
"Mama! Apa halnya ni?" Sofea terus meluru masuk ke bilik Kartika. Dia terkejut apabila mendengar jeritan ibunya sewaktu menaiki tangga. Dia juga terkejut melihat keadaan bilik ibunya yang berselerak.
"Orang tua tu tak mampus lagi. Dia dah sedar daripada koma," beritahu Kartika.
Sofea tersengih. "Ala... Mama ni saja buat saspens! Dah sedar daripada koma bukannya dah sembuh. Ala... Tak lama lagi dia mampuslah."
"Sampai bila nak tunggu, hah? Mama dah bosan asyik jaga orang sakit. Sekarang ni semua angan-angan mama musnah. Satu sen pun tak dapat," bebel Kartika.
"Mama ni gelojohlah! Kalau 26 tahun mama boleh bersabar, takkan sekarang dah tak boleh kut? Ala mama...Anak ikan mama tu takkan lari ke mana-mana," perli Sofea. Dia kenal sangat dengan perangai ibunya yang suka berfoya-foya. Semua lelaki muda menjadi pilihan ibunya.
"Sofea perli mama ke? Pakai baju lawa-lawa ni nak pergi mana?" soal Kartika melihat anak sulungnya. Mekap tebal gila. Nak pergi party lagi ke? Tiap-tiap malam asyik berparty saja. Suruh kerja di syarikat, tak nak! Macam-macam alasan.
"Nak jumpa buah hatilah! Kalau mama boleh jumpa buah hati mama, takkanlah Sofea tak boleh?"
"Maksud Sofea, Si Iskandar tu." Kartika pelik dengan perangai anaknya. Pada matanya hanya nampak Iskandar saja. Tak ada orang lain. Kenapalah anak tiri Maria tu yang menjadi pilihan? Aku dengan Maria bukannya baik sangat pun. Tak ngam.
"Yalah. Siapa lagi? Hanya yang satu... My love only for Tengku Iskandar."
"Mama tak faham dengan perangai Sofea ni... Apa kelebihan Iskandar tu sampai Sofea tergila-gilakan dia?"
"Mama! Abang Is lelaki idaman Sofea. Dia handsome, berpelajaran, berharta dan juga keturunan diraja. Perfect. My prince charming. Lagipun status kami setaraf," kata Sofea bersungguh-sungguh.
"Yalah tu... Mama tengok Sofea aje yang tergila-gilakan Is, Is pula mama tengok dia bukannya layan Sofea pun. Mengelak lagi ada la."
"Mama ni! Love takes time, okay! Cinta memerlukan kesabaran. Suatu hari nanti, Abang Is pasti akan jatuh cinta kepada Sofea. Mama tengoklah."
"Huh... Ayat tu dah berpuluh kali mama dengar. Hasilnya tak pernah nampak pun. Angan kosong!"
"Malas Sofea nak cakap dengan mama! Menyakitkan hati saja."
"Eh... Sofea tak nak ikut mama jumpa papa ke?" soal Kartika.
"Buat apa? Dia bukannya papa Sofea. Sofea pergi dulu." Sofea terus berlalu pergi. Tak ada guna aku pergi ke sana. Tak ada kaitan dengan aku langsung. Jumpa Abang Is lagi bagus. Sofea tersengih seorang diri menuruni anak tangga. Hatinya berbunga riang apabila mengenangkan Tengku Iskandar.
"Nazri, semalam masa uncle sedar, kamu nampak tak ada dua orang wanita kat bilik ni?" tanya Dato Syed Mohd Kadir kepada doktor yang merawatnya.
"Tak ada, uncle! Hanya Auntie Maria saja. Kenapa?" soal Dr. Nazri hairan dengan pertanyaan sahabat karib arwah bapanya.
"Aaa..." Dato Syed Mohd Kadir terdiam. Aku berkhayal ke hari itu. Tak mungkin. Walaupun sudah 26 tahun aku tak jumpa Munirah wajahnya aku tak pernah lupa. Mata aku takkan menipu. Wanita muda tu... yang pegang tangan aku hari tu! Wajahnya hampir seiras Munirah malah sepasang mata yang dimiliki oleh wanita muda itu...Takkanlah...
"Uncle!" panggil Dr. Nazri. Dia hairan apabila Dato Syed Mohd Kadir tiba-tiba mendiamkan diri. Kini keadaan Dato Syed Mohd Kadir semakin stabil.
"Ya, Nazri... Boleh tak kamu tolong panggilkan Auntie Maria?"
"Baiklah. Uncle kena banyakkan berehat dan lapangkan fikiran. Jangan fikir sesuatu yang akan mendatangkan stres, okey?" Dr. Nazri mengingatkan Dato Syed Mohd Kadir sebelum berlalu keluar.
Beberapa minit kemudian, Maria masuk dengan tangannya memegang sebuah bakul yang mengandungi buah-buahan.
"Abang Kadir! Macam mana keadaan abang hari ni?" soal Maria sambil tersenyum lega apabila keadaan Dato Syed Mohd Kadir sudah stabil. Bakul itu diletakkan di atas meja kecil yang berada di sebelah katil itu.
"Alhamdulillah! Dengan izin-Nya, abang sembuh."
"Aaa... Kartika mana? Hari ni dia dah datang ke?" Maria menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat isteri sepupunya. Mana pula minah ni pergi? Takkanlah tak datang lagi!
Air muka Dato Syed Mohd Kadir berubah sebaik saja mendengar nama isterinya.
"Abang malas nak cakap pasal dia. Dia ada ke, tak ada ke, sama saja. Dia lagi suka kalau abang mati."
"Abang Kadir, tak baik cakap macam tu! Walau apapun yang terjadi, dia tetap isteri abang. Buruk baik ke Si Kartika itu, dia masih isteri abang yang sah!"
Maria sedar. Selepas beberapa tahun berkahwin dengan Kartika, rumah tangga mereka bergelora. Tak bahagia. Mungkin ia balasan selepas apa yang mereka lakukan kepada Munirah.
Dato Syed Mohd Kadir mengeluh. "Maria! Semasa abang sedar hari tu, selain Maria ada tak orang lain datang?" soal Dato Syed Mohd Kadir ingin tahu. Hatinya kuat mengatakan dia tak berkhayal pun pada hari dia sedar daripada koma.
Kartika terkejut dengan kata-kata abang sepupunya.
"Aaa... Apa maksud Abang Kadir? Hmmm... Maria tak faham."
Dato Syed Mohd Kadir merenung Maria. Segera Maria melarikan pandangannya.
"Maria ada sorokkan sesuatu daripada abang ke?"
"Aaa... Mana ada!" Pantas Maria menjawab. Serba salah Maria jadinya. Dia sudah berjanji kepada Munirah takkan beritahu sesiapa pun jika dia mungkir janji, Munirah akan terus pulang ke London dan takkan menjejakkan kaki di Malaysia lagi.
"Maria! Abang kenal kamu dah lama. Abang tahu Maria berbohong. Cakap cepat. Hari itu... Hari tu, Munirah, kan? Munirah datang, kan?" tanya Dato Syed Mohd Kadir bersungguh-sungguh.
"Abang Kadir! Tolonglah faham situasi Maria."
"Jadi betullah, Munirah ada datang jumpa abang. Patutlah masa abang koma hari itu, abang dengar suara dia."
Senyuman terukir di bibirnya. Dah lama dia mencari Munirah. Dia ingin memohon maaf atas kesalahannya dahulu. Dia benar-benar kesal. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
"Wanita muda yang bersama Munirah hari tu... Dia... Dia..."
"Anak Kak Munirah," jawab Maria.
"Jadi dia... Anak... anak..." Mata Dato Syed Mohd Kadir bercahaya.
"Waktu Abang Kadir halau Kak Munirah keluar dari rumah dulu, Kak Munirah mengandung dua bulan."
"Apa? Tapi... Tapi kenapa dia tak jumpa abang?"
"Nak jumpa Abang Kadir buat apa? Abang kan dah halau dia. Buat apa Kak Munirah nak jumpa abang lagi? Nak dengar cacian daripada abang lagi ke? Lebih baik tak payahlah... Lagipun waktu tu, abang tengah angau dengan Kartika. Kak Munirah pun ada harga diri," kata Maria dengan nada keras.
Dia teringatkan hal dulu, dia benar-benar geram dengan tindakan sepupunya. Pada waktu itu, dia sangat kasihan kepada Munirah. Bila dia mendapat tahu Munirah dihalau keluar, dia terkejut besar. Dia ingin membantu tapi waktu itu Munirah telah hilang tanpa dikesan.
Dato Syed Mohd Kadir terdiam seketika. Dia sedar, dia sudah banyak berdosa pada Munirah. Jika diikutkan hati, dia malu berdepan dengan Munirah namun dia perlu jumpa dengan wanita itu untuk menebus segala kesilapannya.
"Maria, abang nak jumpa Munirah dan anak abang."
"Buat apa, abang? Abang nak perang dunia ketiga tercetus ke? Kalau Kartika tahu Kak Munirah ada di sini, pasti dia mengamuk. Lagipun Maria tak nak apa-apa terjadi kepada Kak Munirah dan Alina. Macamlah abang tak kenal dengan perangai isteri abang."
"Tapi... Abang teringin jumpa dengan mereka, Maria. Tolonglah, abang. Pasal Kartika, jangan bimbang. Tahulah abang uruskan. Tentang Munirah, kita rahsiakan dulu. Maria, abang merayu! Abang nak jumpa Munirah dan anak abang. Tolonglah. Maria tak kasihan kat abang ke?" Dato Syed Mohd Kadir merayu.
Maria mengeluh.
"Baiklah tapi... Maria kena tanya Kak Munirah dulu. Sama ada dia setuju atau tak untuk jumpa abang, lepas ni Maria takkan masuk campur."
"Baiklah." Dato Syed Mohd Kadir tersenyum lebar.
"Acu! Dah seminggu acu dan ibu berada di Malaysia. Bila nak balik ni? Kami berdua dah bosan duduk berdua saja. Asyik pandang muka along saja, jemu angah dibuatnya," kata Alisa sebaik saja panggilan telefonnya dijawab oleh adiknya.
Alina ketawa apabila mendengar kata-kata Alisa. Inilah pertama kali mereka bertiga berpisah. Selama ini mereka bertiga sering bersama sejak dari tadika hinggalah ke universiti. Walaupun mereka meminati bidang yang berbeza namun mereka sangat akrab. Sebenarnya dia juga sangat rindukan kakak kembarnya.
"Kalau dah rindu, datanglah ke Malaysia!"
"Buat apa?" Suara Alisa terus berubah.
"Datang jenguk abah. Abah dah sedar daripada koma," beritahu Alina.
Alisa terdiam sebaik sahaja mendengar kata-kata Alina. Alina hairan apabila Alisa terdiam.
"Helo... Angah! Angah!"
"Ya," jawab Alisa dengan nada lemah. Apabila dengar tentang abahnya, terus moodnya hilang.
"Aaa... Angah." Alina serba salah. Dia tahu dia telah tersalah cakap tapi entah kenapa kakaknya begitu membenci abah mereka sedangkan orang yang patut membenci abah ialah ibu.
"Jadi, berapa lama lagi acu dan ibu tinggal di Malaysia?"
"Ibu cakap mungkin hari Ahad ni kami bertolak balik ke London. Ibu kata nak selesaikan sesuatu sebelum balik ke London."
"Selesaikan apa?"
"Tak tahu. Acu ada tanya hari tu tapi ibu tak nak jawab."
"Hmmm... Baiklah! Jumpa Ahad nanti. Kirim salam kat ibu."
"Okey, kirim salam kat along, ya. Bye."
"Bye." Alisa terus menamatkan panggilan. Dahi Alisa berkerut. Selesaikan apa?
"Siapa call, angah?" Aleya mendekati Alisa. Dia baru saja pulang dari kerja. Aleya terus duduk di atas sofa berwarna hijau. Aleya memejamkan matanya. Penat.
"Acu!"
Aleya membuka mata.
"Bila mereka nak balik?"
"Hari Ahad ni baru mereka nak balik," jawab Alisa.
"Good." Aleya kembali memejamkan mata. Hatinya lega mendengar jawapan Alisa.
"Tapi... Lelaki itu dah sedar daripada koma."
Aleya membuka matanya sekali lagi. Pandangannya tertumpu pada Alisa yang masih memegang telefon.
"Ya ke?"
"Along rasa ibu akan kembali bersama lelaki tu ke?"
"Tak mungkin! Mustahil. Bukan ke lelaki itu benci ibu? Lagipun dia sudah ada isteri muda... Ibu tiada apa-apa makna dalam hidupnya."
"Ya, betul tu... Ibu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja, kan? Jika dia benar-benar ambil berat terhadap ibu, dah tentu dia cari ibu selama ini, kan?" Alisa mengangguk.
Wajah Aleya masih terpancar perasaan risau. Dia bimbang dengan keadaan ibu dan adiknya. Aleya bimbang jika Dato Syed Mohd Kadir itu tahu Munirah mempunyai anak, pasti dia takkan lepaskan ibu mereka. Perkahwinannya bersama isteri mudanya tidak mempunyai zuriat. Dalam diam, Aleya ada mencari maklumat mengenai lelaki itu.
"Apa yang menjadi teka-teki sekarang ini ialah... Acu beritahu yang ibu perlu selesaikan sesuatu sebelum pulang ke sini," beritahu Alisa.
"Selesaikan apa?"
"Tak tahu."
"Acu?"
"Acu pun tak tahu apa-apa. Ibu tak beritahu acu."
Dahi Aleya sedikit berkerut.
"Jika ibu dan acu masih tidak pulang juga pada hari Ahad ini, angah akan pergi ke Malaysia dan bawa mereka berdua pulang ke sini. Along, don't worry." Alisa dapat membaca apa yang sedang bermain dalam fikiran kakak kembarnya. Aleya hanya mampu tersenyum. Kalau Alisa pergi ke Malaysia, pasti ibu mereka pening kepala.
Maria memegang tangan Munirah dengan erat.
"Tolonglah, kak! Abang Kadir nak sangat jumpa kak! Abang Kadir dah tahu yang Alina ialah anak dia."
Munirah menarik nafas lalu menghembusnya perlahan-lahan.
Alina hanya mampu mendiamkan diri dan memerhati.
"Maria tahu... Abang Kadir dah banyak buat salah kepada kak. Abang Kadir mahu berjumpa dengan kak. Dia ingin minta maaf kepada kak. Itu sahaja," pujuk Maria.
"Beritahu dia, kak dah lama maafkan dia. Apa yang berlaku adalah takdir. Kami tiada jodoh. Kak terima semua tu," ujarnya dengan lembut.
"Tetapi Abang Kadir tetap juga nak berjumpa kak dan Alina. Jika betul kak dah maafkan Abang Kadir kenapa kak enggan berjumpa Abang Kadir?"
"Maria dah lupa ke?"
Dahi Maria sedikit berkerut. Apa yang aku dah lupa?
"Kartika. Kak tak mahu kehadiran kak mengganggu rumah tangga mereka."
"Tentang Kartika, kak jangan bimbang. Abang Kadir akan uruskan. Boleh, ya?" pujuk Maria.
Munirah memandang ke arah Alina.
Alina membalas pandangan ibunya dengan senyuman. Walau apa sahaja keputusan ibunya, Alina akan ikut.
"Hmmm... Baiklah. Lagipun kak ada hal nak bincangkan dengan Dato Syed Mohd Kadir."
Dahi Maria berkerut. Bincangkan apa? Wajah Munirah serius semacam sahaja.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co