Bab 4
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam," jawab Dr. Nazri dan dia terus menoleh ke belakang sebaik sahaja ada orang memberi salam.
"Aaa... Maaf mengganggu! Aaa... Awak doktor yang merawat pesakit bernama Dato Syed Mohd Kadir, kan?" soal seorang wanita sambil senyuman terukir di bibirnya.
"Ya," jawab Dr. Nazri. Matanya tidak berkelip memandang wanita yang berdiri di hadapannya. Dia terpegun melihat kecantikan wanita yang berbaju kurung Pahang berwarna hijau itu. Rambut yang panjang melebihi paras bahu malah dihiasi dengan cekak rambut berwarna hijau menyerlahkan lagi kecantikan wanita itu.
"Aaa... Saya nak tanya tentang keadaan Dato Kadir?"
"Dato Kadir... Alhamdulillah, sekarang ni kesihatan Dato Kadir semakin stabil dan jika tak ada apa-apa halangan, Dato Kadir akan dibenarkan keluar minggu depan."
"Oh... Terima kasih," ucap wanita itu.
"Aaa... Cik ni siapa?" soal Dr. Nazri, hairan. Rasanya dia tak pernah berjumpa dengan wanita ini sebelum ini.
"Hmmm... Saya balik dulu." Wanita itu terus meninggalkan Dr. Nazri.
Dr. Nazri masih tercegat di situ malah matanya masih lagi memerhati kelibat wanita itu.
"Abang Nazri!" Dr. Nazri terkejut apabila ada seseorang memanggil namanya. Dahi Dr. Nazri berkerut melihat wanita yang sedang menghampirinya. Dr. Nazri mengeluh. Dia datang dah. Dah tak ada tempat lain nak pergi ke? Asyik menyemak di hospital ni saja.
"Abang!" Suziela tersenyum melihat lelaki yang berdiri di hadapannya. Kacak.
"Apa halnya ni? Bukan ke semalam Su dah datang? Su tak kerja ke hari ni?" soal Dr. Nazri. Dia sebenarnya rimas dengan perangai Suziela. Tiap-tiap hari datang ke hospital jumpa dengannya.
Sikap Suziela yang kuat cemburu membuatkan kerjanya terganggu. Bercakap dengan nurse pun dia boleh mengamuk tak tentu pasal. Malu Dr. Nazri dibuatnya.
"Rindu kat abang!"
Dr. Nazri terus memalingkan mukanya ke arah lain. Nak termuntah dia dengar perkataan tu.
"Abang, cantik tak rambut Su? Pagi tadi Su pergi salon, Su potong rambut. Su potong ikut dolly style. Cantik, kan?" Suziela menunjukkan rambutnya yang dipotong pendek secara bertingkat.
"Ya... Cantik," jujur Dr. Nazri.
Tiba-tiba Dr. Nazri mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket kot putih yang dipakainya.
"Aaa... Su, maaflah... Abang ada hal. Ada emergency case," kata Dr. Nazri terus beredar dari situ.
"Abang!" panggil Suziela apabila Dr. Nazri terus meninggalkan dirinya. Asalnya dia ingin mengajak Dr. Nazri lunch bersama tapi Dr. Nazri ada hal pula. Geram! Tak apa! Esok aku datang lagi, bentak hati Suziela.
Dr. Nazri mempercepatkan langkahnya. Sebenarnya tadi dia berpura-pura yang dia menerima sms daripada pihak hospital. Dia perlu loloskan diri daripada Suziela. Dr. Nazri mengeluh.
Sejak mengenali Suziela, hidupnya seperti porak-peranda. Suziela suka mengekorinya. Itu yang buat dia rimas. Dah berbuih mulutnya berterus-terang, dia hanya menganggap Suziela sebagai kawan, tak lebih daripada itu tapi Suziela ni jenis tak faham bahasa.
Suziela tak ada ciri-ciri wanita idamannya seperti wanita tadi. Senyuman terukir di bibir Dr. Nazri sebaik saja mengenangkan wanita yang baru dijumpainya tadi.
Khatijah menghampiri dua orang wanita yang sedang duduk di meja yang terletak di tengah-tengah Restoran Sri Sejati.
"Baru balik dari kerja ke?" soal Khatijah.
"Ya, auntie," jawab Aleya membetulkan ikatan rambutnya yang diikat menjadi satu.
"Nak oder apa?" Khatijah menarik kerusi dan duduk di sebelah Alisa.
"Menu?" soal Alisa.
"Hai... Nak kena tunjuk menu juga ke? Dah bertahun-tahun datang ke sini... Masih nak kena tunjuk menu ke? Ini kan restoran ibu kamu. Dah lupa ke?" Bulat mata Khatijah merenung Alisa.
Alisa tersengih.
"Macam biasalah, auntie." Aleya bersuara. Senyuman terukir di bibirnya.
"Macam biasa? Khatijah menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.
"Hai... Dah lupa ke? Dah bertahun-tahun kami menjadi pelanggan tetap restoran ni. Takkanlah auntie dah lupa," perli Alisa sambil tertawa kecil.
"Hesy, budak bertuah ni. Ada saja peluang, pasti kamu nak smash auntie balik, ya! Memang patut kamu jadi lawyer. Ada saja..." Khatijah mengetap bibir.
"Hmmm... Two fresh orange, one Nasi Goreng Kampung and one Nasi Goreng Pattaya," beritahu Aleya dengan lembut.
"Aaa... Kan senang kalau macam tu. Clear! Senang auntie nak oder nanti." Khatijah bangun.
"Oh ya, ibu kamu ada call tak?"
"Ada. Semalam. Kenapa, auntie?" soal Aeya.
"Dia ada cakap apa-apa tak?"
"Tak," jawab Aleya, ringkas.
"Cakap apa, auntie?" soal Alisa pula.
"Nothing. Aaa... Auntie nak ke kitchen sekejap," kata Khatijah secara tiba-tiba. Langkahnya diatur laju. Hesy... Nyaris-nyaris tadi!
"Macam ada sesuatu tak kena saja. Macam ada perkara yang sepatutnya ibu beritahu kita tetapi ibu tak beritahu. Agaknya apa, ya? Angah yakin pasti Auntie Khaty tahu tetapi tak berani nak beritahu kita. Angah pasti ada kaitan dengan urusan ibu di sana. I need to ask her..." Alisa bangun.
Tangan Aleya pantas memegang tangan Alisa.
"Jangan buat kecoh di sini, angah! Biarlah Auntie Khaty tak beritahu kita... Mungkin sebab ibu sendiri mahu beritahu kepada kita," tegas Aleya.
"Bila?"
"Bila tiba masanya... Sit down!" arah Aleya. Nada suaranya tegas. Dia tak mahu Alisa membuat kecoh di sini. Aleya melihat di sekeliling Restoran Sri Sejati milik ibu dan Khatijah yang dibuka sejak 15 tahun yang lalu. Ramai orang sedang menjamu selera di situ. Majoriti pelanggan restoran ini ialah orang Malaysia.
Wajah Alisa masam mencuka. Dia ingin tahu. Dia terus duduk. Dia memandang ke arah kembarnya. Apa yang along tengah fikirkan sekarang ini? Aku tak fahamlah. Motto along selama ini adalah wait and see... Tetapi aku nak sangat tahu. Alisa mengetap bibir.
"Munirah!" Senyuman terukir di bibir Dato Syed Mohd Kadir sebaik saja melihat kelibat Munirah yang berdiri di hadapannya. Matanya beralih ke arah wanita muda yang berdiri di belakang Munirah. Wanita muda itu tersenyum ke arahnya.
Dato Syed Mohd Kadir bangun dan membetulkan kedudukannya di atas katil. Dia gembira kerana akhirnya Munirah bersetuju berjumpa dengannya.
"Awak apa khabar?" soal Munirah.
"Baik, alhamdulillah... Awak Munirah? Sihat?"
"Sihat."
"Aaa... Ini..." Dato Syed Mohd Kadir merenung wanita yang berada di sisi Munirah.
"Ini anak Munirah. Nur Alina... Lina, pergi salam Dato Kadir," kata Munirah.
Sebaik saja mendengar kata-kata ibunya, Alina terus bersalam dengan Dato Syed Mohd Kadir.
Air mata Dato Syed Mohd Kadir menitis sebaik saja Alina bersalam dengannya. Dato Syed Mohd Kadir memegang erat tangan Alina. Sebak hatinya apabila mengenangkan Alina membesar tanpa kehadiran seorang ayah.
"Maafkan abah, Lina. Abah minta maaf."
Alina terkejut dengan ucapan maaf daripada ayahnya.
"Abah, janganlah macam ni. Abah tak pernah buat salah pun kat Lina. Kenapa abah nak minta maaf pula? Perkara yang lepas tu biarlah berlalu."
"Lina..."
"Awak tu baru saja sembuh. Awak kena jaga diri baik-baik." Munirah bersuara.
Dia gembira kerana Dato Syed Mohd Kadir dapat menerima Alina tetapi... Bagaimana pula Aleya dan Alisa pula? Bolehkah mereka berdua menerima Dato Syed Mohd Kadir dalam hidup mereka? Munirah keliru. Perlukah dia beritahu Dato Syed Mohd Kadir mengenai anaknya yang lain?
"Munirah, abang minta maaf banyak-banyak. Abang dah banyak buat salah kat Munirah. Abang juga banyak sakiti hati Munirah. Selama dua tahun kita hidup bersama, Munirah tak pernah hidup bahagia bersama abang." Dato Syed Mohd Kadir menyesal dengan apa yang dia telah lakukan. Perkahwinan yang diatur oleh keluarga menyebabkan rumah tangga mereka dibina tanpa cinta.Waktu itu, Dato Syed Mohd Kadir benar-benar benci kepada Munirah kerana bersetuju berkahwin dengannya lagipun Munirah ialah anak kepada pekebun rumahnya. Munirah tak layak untuk menjadi pasangan hidupnya.
"Awak, yang dah lepas tu biarlah berlalu. Lagipun Munirah dah lama maafkan awak. Tak pernah terdetik pun dalam hati Munirah untuk berdendam dengan awak. Anggap saja kita tak ada jodoh dan ia suratan takdir," kata Munirah dengan lembut.
Apa yang telah dilakukan oleh suaminya selama ini dah lama dia maafkan. Sebab sebenarnya dia tak ingin menjejakkan kaki ke Malaysia adalah kerana tak ingin mengganggu rumah tangga suaminya dengan Kartika. Dia tak nak keruhkan lagi keadaan malah dia juga tak mahu hatinya terluka melihat kebahagiaan mereka berdua.
"Terima kasih, Munirah." Dato Syed Mohd Kadir tersenyum.
Perangai Munirah dan Kartika jauh berbeza, bagai langit dan bumi. Dia silap kerana telah salah memilih. Dia merenung wanita yang sangat dirinduinya itu.
Walaupun sudah berusia, wajah Munirah masih tidak berubah dimamah usia lebih-lebih lagi apabila Munirah kini sudah memakai tudung. Lebih cantik dan ayu. Jika diberi peluang, dia ingin memulakan hidup baru bersama Munirah. Dia ingin tebus segala-galanya. Dia akan membahagiakan Munirah dan Alina.
"Aaa... Munirah harap awak cepat sembuh. Aaa...Kami akan balik ke London hujung minggu ni. Risau pula rumah ditinggalkan lama-lama," beritahu Munirah. Dia sebenarnya risaukan dua orang anaknya di sana.
"Apa? Hujung minggu ni?" Dato Syed Mohd Kadir terkejut besar.
"Ya, lagipun Lina tak boleh tinggal pesakit Lina lama-lama." Alina mencelah. Dia menoleh ke arah ibunya
"Tapi...
"Banyak hal di London tertangguh. Lagipun Munirah tak boleh tinggalkan restoran Munirah di London terlalu lama. Aaa... Kebetulan Munirah ada di sini, Munirah nak cakap sesuatu... Aaa... Munirah tahu sekarang ni bukannya masa yang sesuai untuk Munirah bercakap pasal perkara ni tapi... Perkara ni perlu diselesaikan dengan segera sebelum Munirah pulang." Munirah bercakap dengan berhati-hati.
Alina melihat ibunya. Perkara apa? Ibu tak pernah cakap apa-apa pun pasal hal ni. Tentang apa?
Dato Syed Mohd Kadir melihat Munirah seolah-olah berhati-hati ingin menyatakan sesuatu.
"Hmmm... Munirah tak nak kita bergelumang dengan dosa lagi. Lagipun Munirah tak nak ganggu rumah tangga awak. Jadi, Munirah rasa lebih baik kita bercerai."
"Bercerai?!" Suara Dato Syed Mohd Kadir meninggi. Dia terkejut dengan kata-kata Munirah.
"Ibu!" Alina terkejut. Bercerai. Ini ke perkara yang menyebabkan ibunya enggan pulang ke London?
"Ya, awak dah ada keluarga awak... Munirah tak nak keruhkan lagi keadaan. Dah 26 tahun, kita hidup dengan haluan masing-masing. Dah tiba masanya, kita tamatkan semua ni," ucap Munirah dengan lembut. Perkara ni sudah lama dia fikirkan.
"Tak! Abang takkan ceraikan Munirah. Walau apapun yang terjadi, abang takkan ceraikan Munirah." Marah Dato Syed Mohd Kadir datang secara tiba-tiba. Matanya merah menyala. Tak mungkin aku akan lepaskan Munirah. Aku takkan buat kesilapan yang sama lagi. Kini Munirah sudah berada di depan aku. Aku takkan benarkan Munirah tinggalkan aku lagi.
Munirah tergamam dengan kata-kata Dato Syed Mohd Kadir.
"Aaa... Awak jangan salah faham. Munirah takkan minta satu sen pun wang daripada awak. Pasal Lina, Munirah takkan halang awak berjumpa Lina sebab awak ialah ayahnya. Munirah hanya nak awak ceraikan Munirah. Lagipun awak dah ada Kartika," kata Munirah dengan nada suara terketar-ketar.
Dia terkejut apabila Dato Syed Mohd Kadir marah secara tiba-tiba. Jantungnya berdegup kencang. Munirah takut peristiwa lama berulang kembali. Dahulu setiap kali Dato Syed Mohd Kadir memarahi dirinya, pipinya sering menjadi sasaran. Kesan tamparan itu tak mungkin dapat dilupakan. Munirah menundukkan kepalanya. Munirah memegang erat kedua-dua belah tangannya yang menggeletar.
Alina terkejut melihat reaksi ibunya. Alina memegang erat tangan ibunya. Sejuk.
"Ibu," panggil Alina.
"Tak! Munirah isteri abang yang sah. Isteri pertama abang. Ibu kepada anak abang. Munirah ingat abang akan tunaikan permintaan Munirah begitu saja? Walau apapun yang terjadi, abang takkan ceraikan Munirah. Takkan!" jerkah Dato Syed Mohd Kadir yang tiba-tiba naik angin. Dato Syed Mohd Kadir tiba-tiba batuk. Dia memegang dadanya yang tiba-tiba sakit.
"Abah! Abah!" panggil Alina. Dia terkejut melihat wajah Dato Syed Mohd Kadir bertukar pucat. Alina terus mendekati ayahnya.
"Ibu!"
Namun tiada apa-apa respons daripada ibunya yang masih berdiri kaku di situ.
"Ibu!" jerit Alina
Munirah terkejut dan memandang ke arah mereka berdua. Dia melihat Dato Syed Mohd Kadir sedang memegang dadanya.
"Ibu, panggil doktor."
Tanpa berlengah, Munirah terus keluar memanggil doktor. Beberapa saat kemudian, Munirah masuk bersama seorang doktor dan beberapa orang nurse. Wajah Munirah kelihatan risau.
Dr. Nazri terus memeriksa Dato Syed Mohd Kadir.
"Saya doktor, boleh saya bantu?" Alina bersuara.
Dr. Nazri menoleh dan dia terkejut melihat wanita yang sedang bercakap dengannya. Itulah wanita yang dijumpainya dua hari lepas.
"Can I?" soal Alina lagi apabila tiada apa-apa respons daripada doktor itu.
"Sure!" jawab Dr. Nazri kemudian terus memeriksa nadi Dato Syed Mohd Kadir.
"Ibu, keluar dulu. Jika ada apa-apa nanti, Lina beritahu ibu. Jangan risau," kata Alina melihat ibunya. Dia tahu apa yang sedang bermain dalam fikirannya ibunya.
Munirah mengangguk sebelum melangkah keluar. Dalam hatinya, dia berdoa agar suaminya selamat.
"What?"
Alina menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga sebaik saja dia beritahu kakaknya tentang penangguhan mereka untuk pulang ke London.
"Abah sakit balik."
"I don't care. Dia ada isteri dan anak, kan? Kenapa pula ibu dan acu perlu susahkan diri menjaga dia?" marah Alisa. Berdesing telinganya sebaik saja Alina memberitahu yang mereka akan balik hujung bulan ini pula.
"Tapi abah masih suami ibu dan ayah kita, angah," pujuk Alina.
"I don't care about that. Semasa dia halau ibu pada 26 tahun yang lalu, hubungan mereka sebagai suami isteri dah berakhir. Dah berakhir," tegas Alisa.
"Angah!"
"Angah beri masa beberapa hari kepada acu! Minggu depan, kalau ibu dan acu masih juga tak nak balik, I'll come and take both of you back to London. Understand?" kata Alisa sebelum meletakkan telefonnya.
"Angah!" Alina mengeluh apabila Alisa sudah meletakkan telefon. Keras hati betul. Alina mengeluh. Kalaulah along dan angah tahu abah enggan ceraikan ibu, pasti teruk keadaan nanti. Entah-entah akan along dan angah akan datang ke Malaysia! Kecoh! Kecoh!
"Siapa, acu?" soal Munirah sebaik saja keluar dari balik. Dia baru saja selesai menunaikan solat maghrib.
"Angah."
"Angah marah ke bila ibu buat keputusan untuk tinggal di sini lebih lama sikit?" Munirah faham dengan perangai anak keduanya.
"Hmmm... Ya, ibu. Angah beritahu, kalau ibu dan acu tak balik minggu depan. Angah akan datang jemput kita berdua balik. Ibu tahu kan apa yang berlaku if she's here?"
Alina tak dapat bayangkan kalau Alisa ada di sini. Kalau... Kalau along juga ikut sama, aduh... Tak dapat dibayangkanlah apa yang terjadi lebih-lebih lagi jika mereka berdua terjumpa Dato Syed Mohd Kadir. Hura-hara jadinya.
Munirah tersenyum. Dia dapat bayangkan apa yang akan terjadi. Sikap mereka berdua jauh berbeza dengan Alina. Alina seorang yang lemah lembut dan pemaaf manakala Alisa seorang yang tegas dan kata-katanya sangat pedas. Walaupun Alisa hanya menyebut satu perkataan, namun kesannya amat mendalam.
Aleya pula seorang yang pendiam, degil dan jika dia sudah buat keputusan jangan haraplah dia akan mengubah balik keputusannya malah dia juga cepat naik angin. Apabila dia naik angin, tangannya lebih pantas dari mulutnya. Jika ada orang sakiti hatinya, pasti teruk orang itu dikerjakannya. Kalaulah... Along, angah betul-betul datang ke Malaysia? Dahi Munirah berkerut. Aku masih belum beritahu tentang rancangan aku meminta cerai. Kalau mereka tahu... Munirah mula risau.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co