Truyen3h.Co

Bukan Dua Tapi Tiga?

Bab 5

karyaseni2u

"What? Dia tak mahu ceraikan kau? Otak dia ada masalah ke? Kenapa dia tak mahu ceraikan kau? Apa yang dia nak daripada kau lagi?" soal Khatijah bertubi-tubi. Dia masuk ke dalam bilik tidur. Pintu bilik ditutup rapat. Dia geram apabila mendengar cerita sahabat baiknya.

"Aku pun tak tahu, Khaty. Apa dia nak daripada aku lagi? Kenapa dia masih berdendam dengan aku? Aku menyesal datang ke sini." Munirah menundukkan kepalanya.

"Keputusan kau pulang ke Malaysia adalah tepat. Sudah 26 tahun kau melarikan diri dari semua ni. Dah tiba masanya kau berhadapan suami kau. Kau kena berani menghadapinya."

"Aku tahu, Khaty. Tetapi apabila aku dengar suara dia saja, badan aku tiba-tiba kaku. Aku takut. Aku ingat aku boleh lupakan apa yang dia pernah buat kepada aku dulu tetapi aku silap. Tak mungkin aku dapat melupakannya." Kelopak mata Munirah mula berair.

"Munirah! Kau kena kuatkan semangat. Kau mesti cekal. Kau anggaplah semua ini dugaan daripada-Nya." Khatijah cuba memujuk Munirah.

"Aku tahu, Khaty! Apa sahaja yang berlaku kepada aku selama ini, aku reda. Dah takdir aku macam ni!" Munirah segera mengesat air mata.

"So, apa kau nak buat selepas ini?"

"Aku tetap dengan keputusan aku. Aku akan bercerai dengan dia. Selepas keadaan dia stabil, aku akan berjumpa dengan dia lagi. Aku kena pulang sebelum hari Ahad ni. Jika tidak, Alisa akan datang ke Malaysia, jemput kami berdua pulang."

"Apa?"

"Aku pun tak mahu duduk lama di sini. Hati aku tak tenteram. Lagipun, aku tak mahu Alisa terserempak dengan Dato Kadir. Kau kenal kan dengan sikap Alisa? Aku tak mahu keadaan bertambah rumit."

"Aku faham!"

"Okeylah, Khaty! Esok aku call kau lagi."

"Baiklah." Khatijah merenung telefon bimbit miliknya. Khatijah melepaskan keluhannya dengan kuat. Kenapalah nasib kau macam ni, Munirah?

Maria berdiri di sebelah katil sepupunya.

"Bagaimana dengan keadaan Abang Kadir sekarang ni? Kenapa abang tak berehat? Maria terkejut mendapat panggilan daripada Nazri." Maria merenung sepupunya. Dia bimbang.

Dr. Nazri berdiri tidak jauh dari mereka berdua. Dia masih memantau keadaan Syed Kadir.

"Munirah nak bercerai dengan aku," beritahu Dato Syed Mohd Kadir.

Maria menarik nafas panjang dan melepaskan keluhan kuat. Dia terus duduk di atas kerusi.

"Jadi, Maria tahulah tentang hal ini?" Nada suara Dato Syed Mohd Kadir meninggi. Dia tak sangka Maria rahsiakan perkara ini.

"Kalau Maria di tempat Kak Munirah, pasti Maria lakukan perkara yang sama," ujar Maria.

"What?"

"Selepas apa yang telah Abang Kadir buat kepada Kak Munirah, Abang Kadir ingat dengan mudah Kak Munirah nak terima Abang Kadir semula dalam hidupnya? Walaupun Kak Munirah dah maafkan Abang Kadir, namun parut yang ada dalam hati Kak Munirah tak mungkin hilang begitu saja. Sehingga mati pun, Kak Munirah takkan lupa. Memori yang ada pada Kak Munirah tentang Abang Kadir adalah derita."

"Maria, bukan ke selama ini Maria mahu melihat kami berdua bersama? Menjadi sebuah keluarga bahagia? Bukankah itu yang Maria pinta selama ini?" Dato Syed Mohd Kadir geram mendengar kata-kata Maria. Wajahnya merah.

"Itu dulu! Sekarang lain! Abang Kadir, cukuplah. Lepaskan Kak Munirah. Biarlah dia bebas dan mencari teman hidupnya yang baru. Anggaplah antara Abang Kadir dan Kak Munirah tiada jodoh," pujuk Maria.

"Maria! Apa yang Maria cakapkan ni?" Dato Syed Mohd Kadir tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut adik sepupunya.

"Auntie Maria, Uncle Kadir masih belum sihat lagi!" Dr. Nazri mencelah. Dia bimbang.

"Auntie tahu, Nazri." Maria menoleh ke arah Dr. Nazri. Pandangannya dialihkan semula kepada Dato Syed Mohd Kadir.

"Abang Kadir fikirlah! Jangan degil. Tunaikan saja permintaan Kak Munirah." Maria bangun.

"Maria balik dulu." Maria melangkah keluar. Itulah jalan terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

Dato Syed Mohd Kadir mengetap bibir.

"Walau apapun yang terjadi, aku takkan lepaskan Munirah. Munirah ialah isteri aku dan ibu kepada anak aku. Tempat Munirah sebenarnya di sisi aku. Aku takkan biarkan Munirah pergi jauh lagi." Dato Syed Mohd Kadir menggenggam erat tangannya.

Dr. Nazri hanya diam memerhati.

Kartika terkejut melihat wanita bertudung litup yang berada di dalam bilik suaminya. Dia kenal benar dengan wanita itu walaupun sudah 26 tahun mereka tak bertemu. Kartika mengetap bibirnya menahan geram.

"Kau... Kau buat apa kat sini, Munirah?!" jerit Kartika lalu terus mendekati Munirah.

Satu tamparan hinggap di pipi Munirah. Semua orang yang berada di situ terkejut dengan tindakan Kartika.

Munirah memegang pipinya yang terasa sakit akibat tamparan Kartika.

"Kartika, kenapa dengan kau? Tampar orang sesuka hati!" marah Dato Syed Mohd Kadir.

"Ibu..." Alina terus mendekati ibunya.

"Ibu?" Bulat mata Kartika merenung wanita yang berdiri di sebelah Munirah. Takkanlah... Bibir Kartika terketar-ketar cuba menyatakan sesuatu.

"Ini Alina. Anak aku dan Munirah. Satu-satunya anak tunggal aku dan juga pewaris aku," beritahu Dato Syed Mohd Kadir.

"Apa? Tak mungkin! Mustahil. Kau... Kau sengaja rekakan cerita, kan? Kau tahu suami aku sakit sebab itu kau balik dan bawa perempuan ni mengaku sebagai anak suami aku. Kau ingat aku tak tahu niat kau yang sebenarnya? Kau nak bolot semua harta suami aku, kan?!" marah Kartika. Kehadiran madunya menggugat kedudukannya yang telah dia pertahankan selama ini.

"Kartika! Alina anak aku! Aku tahu Alina anak aku. Kau jangan nak buat cerita yang bukan-bukan. Alina anak tunggal aku. Pewaris bagi harta aku."

"Abang percaya ke cakap perempuan ni? Entah-entah dia saja nak perangkap dan balas dendam kat abang. Entah anak siapa yang dia mengandungkan kemudian dengan senang mengaku anak orang lain sebagai anak abang. 26 tahun, macam-macam boleh berlaku."

"Kau tak payah nak mengapi-apikan aku, Kartika. Aku tak buta lagi. Aku tahu Alina anak kandung aku. Seorang bapa akan mengenali anaknya sendiri. Naluri aku kuat menyatakan Alina anak aku."

"Kartika, kak balik sini sebab kak dapat tahu Dato Kadir sakit. Itu saja. Kak tak ada niat lain pun," ujar Munirah dengan lembut. Dia tak nak keruhkan keadaan.

"Hei, perempuan! Kau jangan nak tunjuk baik dengan aku. Kau ingat aku tak tahu apa yang bermain dalam fikiran kau sekarang ni? Kau memang nak balas dendam kat aku, kan? Kau tahu suami aku sakit lepas tu kau terus balik ke sini. Kau memang cerdik."

"Kartika! Aku yang pujuk Kak Munirah balik ke sini datang jumpa Abang Kadir." Maria mencelah. Maria tak dapat menahan lagi. Perangai Kartika ni memang melampau. Suka buat andaian sediri!

"Apa? Kau?! Kau ni memang suka jaga tepi kain orang, kan?! Aku tahu dari dulu lagi kau tak sukakan aku. Jadi kau ambil peluang ni untuk sakitkan hati aku, kan?!"

"Aku memang tak sukakan kau! Puas hati? Itu yang kau nak dengar, kan? Kau sedar diri kau dulu! Siapa yang datang dulu dalam hidup Abang Kadir sebelum kau, hah!"

"Kau!" Kartika merenung Maria seolah-olah ingin ditelannya.

Munirah dan Alina hanya terdiam membisu. Apa yang berlaku sekarang ni memang di luar jangkaan.

"Sudah! Kartika, kau balik. Balik!" jerit Dato Syed Mohd Kadir. Dia sudah penat melayan kerenah Kartika.

"Abang!" Kartika tak puas hati.

"Aku kata balik. Kau nak aku panggil pengawal heret kau keluar ke?" Dato Syed Mohd Kadir memberi amaran.

Kartika menghentak kakinya beberapa kali. Dia melihat ke arah Munirah.

"Hal kita belum berakhir lagi... Kau ingat!" Kartika memberi amaran sebelum berlalu keluar.

Dato Syed Mohd Kadir mengeluh. Pandangannya dialihkan kepada Munirah yang hanya diam membisu. Pasti sekarang ni, Munirah tetap ingin meminta cerai daripadanya. Dia faham benar dengan perangai Munirah yang sentiasa beralah dengan orang. Aku takkan ceraikan kau, Munirah. Takkan!

Alina memberi tuala yang telah direndam air suam kepada ibunya untuk diletakkan pada pipi kanan ibunya yang lebam. Munirah tersenyum dan perlahan-lahan Munirah meletakkan tuala itu di pipinya. Dahinya berkerut sedikit.

"Sakit ke, ibu?" Alina risau.

"Sikit aje."

"Tadi tu... Isteri kedua abah ke?"

"Ya, namanya Kartika. Datin Kartika."

"Tak sangka dia macam tu," ucap Alina. Dia terkejut wanita itu tiba-tiba menampar ibunya.

"Biasalah. Itu tindakan yang selalu dilakukan oleh setiap wanita bila dia rasa dirinya terancam lebih-lebih lagi bila ada perempuan dekati suaminya. Itu perkara normal jika kita ni hidup bermadu."

"Tapi, ibu isteri pertama abah. Dia patut hormat ibu sebagai isteri pertama."

"Acu, perkahwinan antara ibu dan Dato Kadir diatur oleh keluarga, bukannya atas dasar cinta. Ibu hanya anak pekebun keluarganya. Ibu tak setaraf. Lagipun dia tak mencintai ibu. Ibu sedar siapa ibu dalam hidup dia." Munirah cuba tersenyum walaupun terasa pahit apabila mengenangkan peristiwa dulu.

"Ibu masih cintakan abah ke?" soal Alina ingin tahu.

Munirah terkejut dengan pertanyaan anak bongsunya. Dia terdiam seketika.

Alina perasan akan perubahan wajah ibunya. "Aaa... Sekarang ni macam mana, ibu?" Alina cuba mengubah topik.

"Maksud acu?"

"Auntie Kartika dah tahu ibu balik, dia takkan biarkan perkara ni begitu saja. Yang menjadi masalah sekarang, kalau kita tak balik minggu depan, pasti angah akan datang. Abah pula tak nak ceraikan ibu. Sekarang ni masalah semakin complicated." Alina risau.

"Itulah yang merisaukan ibu. Ibu tak nak rumah tangga Dato Kadir porak-peranda disebabkan ibu. Kalau ikutkan hati, ibu mahu selesaikan perkara ini dengan segera tapi disebabkan tahap kesihatan Dato Kadir sekarang ni, ibu tak boleh bertindak terburu-buru. Acu tak kesah, kan ibu bercerai dengan Dato Kadir?"

"Ibu! Acu tak kesah. Apa yang ibu rasa terbaik, ibu buat saja. Acu sentiasa akan menyokong keputusan ibu." Alina hanya ingin ibunya bahagia.

Munirah tersenyum. Dia tahu Alina seorang yang bertimbang rasa dan berfikiran terbuka.

"Ibu! Kalau... Kalau along dan angah dapat tahu Auntie Kartika tampar ibu, pasti teruk akibatnya, kan?!" Tiba-tiba teringat kakak kembarnya. Kalaulah tadi along dan angah ada, pasti teruk Auntie Kartika dikerjakan. Sedikit senyuman terukir di bibir Alina.

Munirah hanya menggeleng.

"Jadi, acu kena rahsiakan perkara ni daripada mereka. Boleh tak?"

"Okey!" Alina ketawa kecil. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Alina melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Wajah Alina berubah. Alina teragak-agak untuk menjawab panggilan itu.

"Siapa?"

"Along..." Alina membuat mimik muka. Tahu-tahu saja orang tengah cakap pasal mereka.

Sebaik saja tiba di ruang tamu, Kartika membaling beg tangannya. Dia menjerit sekuat hati. Kartika menumbuk sofa yang berada di hadapannya. Sakit hatinya apabila mengingatkan kembali apa yang berlaku. Sanggup suami sendiri memalukan dirinya malah menghalau dia keluar. Kartika menjerit sekali.

"Mama! Eee... Terjerit-jerit macam orang gila.Bising! Su nak tidur, mama." Suziela mendekati ibunya. Begitu juga Sofea yang berada di belakang adiknya. Mereka masih lagi memakai gaun tidur.

"Jangan cuba nak naikkan darah mama, sekarang ni mama tengah bengang! Bengang!" jerit Kartika lagi.

"Mama!" Sofea menggaru kepalanya yang tidak gatal. Suara ibunya menyakitkan telinganya.

"Sekarang masalah apa pula?" Sofea terus duduk.

"Dia dah balik. Dah balik."

"Siapa?"

"Munirah!"

"Siapa Munirah?" soal Suziela.

"Isteri pertama papa kau! Kenapa bengap sangat?" marah Kartika.

"Oh... Apa masalahnya sekarang ni?" Sofea tak faham kenapa ibunya perlu gelabah seperti ini.

"Eee... Kenapa aku ada anak bodoh macam kamu berdua ni?" Kartika terus menolak kepala anak-anaknya. Dia geram apabila anaknya langsung tidak mengambil peduli apa yang berlaku.

Sofea dan Suziela terjaga sepenuhnya apabila ibu mereka menolak kepala mereka dengan kasar.

"Mama, sakitlah." Sofea marah apabila diperlakukan begitu.

"Dengar sini baik-baik! Sekarang ni papa kau dah ada pewaris. Segala yang dimiliki oleh kita sekarang ni akan diambil oleh anaknya. Jangan harap kita dapat satu sen pun."

Kartika teringat wanita yang berdiri di sebelah Munirah. Sepasang mata milik wanita itu membuatkan dia yakin wanita itu benar-benar anak suaminya.

"Apa maksud mama?" Sofea terkejut dengan kata-kata ibunya. Matanya bulat sebaik saja mendengar perkara yang berkaitan dengan duit.

"Papa kau dan perempuan tu ada anak perempuan. Segala harta papa kamu akan jatuh ke tangan perempuan tu."

"Ini tak adil, mama! Selama ini kita yang hidup bersama papa." Suziela bersuara. Dia tak nak kemewahan yang dikecapinya sekarang ni hilang begitu saja.

"Kita kena buat sesuatu, mama!" kata Sofea mula risau. Dia tak nak hidup miskin.

"Kau ingat mama akan berdiam diri saja? Tahulah macam mana mama nak ajar perempuan tu dan anaknya." Kartika menggenggam erat tangannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co