Bab 6
"Baru balik ke, umi?" soal Tengku Iskandar sebaik saja melihat ibu tirinya menghampiri mereka yang sedang minum petang. Dia pun baru saja balik dari pejabat bersama ayahnya.
"Ya." Maria meletakkan beg tangan berjenama Guess di atas meja dan duduk bersebelahan dengan suaminya.
"Ada apa-apa yang berlaku ke?" soal Tengku Ismail melihat wajah isterinya yang masam mencuka.
Maria mengeluh.
"Apa lagi kalau bukan Kartika tu buat hal? Abang tahu tak, pagi tadi dia mengamuk bila lihat Kak Munirah melawat Abang Kadir. Yang buat Maria geram, dia tampar Kak Munirah depan Abang Kadir. Eee... Dia tu memang nak kena."
"Lepas tu Auntie Munirah tampar balik tak?" sampuk Tengku Iskandar. Dah macam drama ni.
"Eh... Budak ni, orang tua-tua bercakap boleh dia menyampuk pula..."
"Ala... umi cerita depan Is! Mestilah Is dengar." Iskandar ketawa.
"Lepas tu?" soal Tengku Ismail ingin tahu.
"Abang kenal dengan perangai Kak Munirah, kan? Dia tu baik sangat.
"Jadi umi, adegan tampar-menampar tak ada? Tak bestlah macam tu." Tengku Iskandar mencelah lagi.
"Is." Serentak Maria dan Tengku Ismail menyebut nama Tengku Iskandar yang mengganggu mereka bercerita.
"Okey..." Iskandar terus berdiam diri namun telinganya masih ingin mendengar perbualan antara ayah dan ibu tirinya.
"Dia tuduh Kak Munirah macam-macam. Nakkan harta Abang Kadir la. Nak goda Abang Kadir la! Nak balas dendamlah. Apa yang dia merepek pun, Maria tak tahu. Yang buat dia bengang sangat-sangat bila dia dapat tahu, Abang Kadir ada anak dengan Kak Munirah. Apa lagi, dia mula kata Alina tu bukan anak kandung Abang Kadir. Dia sengaja nak buat Abang Kadir rasa waswas dengan Alina. Macamlah Maria tak tahu agenda dia. Dia takut sangat segala kemewahan yang dia ada sekarang akan dirampas oleh Alina. Perempuan mata duitan, memang itu perangainya yang sebenar. Semua dia nak kawal seorang," bebel Maria.
"Abang rasa Kartika takkan biarkan Munirah dan anaknya begitu saja."
"Maria pun fikir begitu."
"Umi, bukan ke Auntie Munirah nak bercerai dengan Uncle Kadir?" soal Tengku Iskandar secara tiba-tiba. Kisah Auntie Munirah, Auntie Kartika dan Uncle Kadir, dia tahu. Itu pun sebab dia terdengar perbualan antara abah dan uminya. Sejak kebelakangan ini, itulah topik hangat di rumah ini.
"Ya, tapi Uncle Kadir tak nak."
"Abang pelik dengan perangai Kadir! Kenapa pula dia tak nak ceraikan Munirah pula sedangkan dulu dia benci sangat dengan Munirah, sebab itu dia buat keputusan berkahwin dengan Kartika."
"Maria pun tak faham dengan perangai Abang Kadir tu. Katanya cinta. Betul ke cinta? Dalam masa dua puluh lima tahun, Kak Munirah besarkan Alina seorang diri di luar negara. Susah payah dia besarkan anak sendiri di luar negara, Maria tak dapat bayangkan. Kenapa dia nak seksa hidup Kak Munirah lagi? Cukuplah Kak Munirah hidup digantung tak bertali, ada saja suami tapi tak berguna langsung. Kadang-kadang tu Maria malu nak berhadapan dengan Kak Munirah," geram Maria.
"Is rasa Uncle Kadir tak tahan dengan perangai Auntie Kartika, sebab tu dia nak baik semula dengan Auntie Munirah." Iskandar memberi pendapat.
"Maksud Is..." Maria melihat anak tirinya.
"Is rasa Uncle Kadir nak tebus kembali kesalahannya yang lalu, maksud Is... Uncle Kadir nak jadi seorang suami dan bapa yang baik ataupun sebenarnya Uncle Kadir dalam diam-diam dia mencintai Auntie Munirah."
Tiba-tiba Tengku Ismail ketawa apabila mendengar kata-kata anak tunggalnya. Lucu!
"Boleh pakai ke teori Is ni? Masalah cinta sendiri pun belum selesai, ada hati nak jadi doktor cinta."
"Apa halnya, abang?" Maria tak faham apa yang suaminya cuba sampaikan.
"Anak teruna awak ni sepanjang hari ada di bilik abang. Takut! Larikan diri daripada Sofea." Tengku Ismail ketawa.
"Abah ni! Perkara ni perkara serius. Tiap-tiap hari dia datang jumpa Is. Rimas gila. Asyik nak berkepit saja macam gam Uhu."
"Si Sofea tu kacau Is lagi ke?"
"Ya, umi! Is dah hilang akal. Jenis tak faham bahasa. Is dah pun berterus-terang dengan dia. Selama ni Is anggap dia macam adik Is sendiri. Tapi dia masih tak faham juga.
Abah, Is tak kesah kalau abah tukarkan Is kat mana-mana cawangan kita di Malaysia asalkan Is tak jumpa dengan Sofea tu," rayu Tengku Iskandar.
Ayahnya nak hantar ke hujung dunia pun dia sanggup asalkan tak berjumpa dengan Sofea tu.
"Itulah umi suruh kawin cepat-cepat, Is tak nak."
"Ala... Umi! Tak sampai seru lagi. Lagipun, Is masih muda lagi."
"Muda! Dah tiga puluh tahun, Is masih cakap Is muda lagi?"
"Is tak puas enjoy lagi."
"Suka hati Is, la... Umi nak sembahyang asar ni. Dah lewat."
Maria segera bangun meninggalkan mereka dua beranak yang sedang menikmati minum petang.
"Kau! Apa perempuan ni buat kat sini, hah?" jerit Kartika sebaik saja melihat tetamu yang tidak diundang itu melangkah masuk ke rumahnya. Jari telunjuknya diarahkan tepat pada Alina yang sedang berdiri di sebelahnya.
"Abang sengaja nak malukan Ika, kan? Abang sengaja nak sakitkan hati dengan bawa anak haram ni balik ke rumah."
"Kartika! Kau jaga sikit mulut kau tu. Alina anak aku yang sah. Darah daging aku. Rumah ni rumah dia juga. Dia lebih berhak daripada kau," marah Dato Syed Mohd Kadir apabila Kartika menghina anaknya.
"Auntie, Lina datang ni sebab nak teman abah balik saja. Lepas ni Lina balik." Alina bersuara. Dia sedar kehadirannya tidak dialu-alukan di dalam rumah ni.
"Hei! Kau jangan nak buat baik dengan aku. Kau dan mak kau sama saja."
Dr. Nazri yang kebetulan menemani Dato Syed Mohd Kadir hanya mendiamkan diri. Suasana kini tegang.
Alina terkejut ditengking oleh Kartika.
"Ni rumah aku! Alina berhak datang sini. Kau siapa nak halang dia daripada datang jumpa aku?"
"Abang!"
"Kau diam! Kalau kau halang Alina dari datang ke rumah ni, jangan harap kau dapat satu sen daripada aku. Kau ingat tu."
Kartika tergamam mendengar ugutan suaminya. Dia terdiam.
"Lina, teman abah masuk ke bilik. Nazri, jom ikut sekali," kata Dato Syed Mohd Kadir.
"Baiklah, abah!" Alina memimpin tangan ayahnya meninggalkan Kartika yang sedang menahan geram melihat telatah mereka berdua. Dr. Nazri hanya mengikut saja. Dia malas nak masuk campur dalam urusan keluarga ini walaupun keluarganya sangat rapat dengan keluarga Dato Syed Mohd Kadir.
Kartika menghentakkan kakinya menahan geram. Dia menjerit sekuat hati. Sofea dan Suziela yang baru pulang dari shopping terkejut mendengar jeritan ibu mereka.
"Kenapa mama?" soal Sofea.
Kartika menoleh ke arah dua orang anaknya. Dia merenung mereka berdua seolah-olah ingin ditelan hidup-hidup. Secara tiba-tiba Kartika menjerit lagi dan terus meninggalkan anaknya.
Sofea dan Suziela terkejut dengan reaksi ibu mereka. Mereka saling berpandangan. Mereka tak tahu apa yang berlaku semasa ketiadaan mereka di rumah.
Suziela menghempas pintu biliknya dengan kuat. Sakit hatinya melihat Dr. Nazri berbual dengan anak perempuan ayah tirinya di luar bilik Dato Syed Mohd Kadir. Mereka kelihatan begitu mesra sekali. Tak pernah Dr. Nazri melayannya seperti itu. Segera Suziela mendekati ibunya.
"Mama, tengoklah anak haram tu! Mesra sangat dengan Abang Nazri. Sakit hati Su!"
Kartika mengalih pandangannya ke arah lain. Dia malas nak layan kerenah anak bongsunya.
"Mama, dengar tak apa Su cakap ni!" Suziela geram apabila ibunya buat tak tahu saja.
"Su nak mama buat apa? Itu masalah Su! Pandai-pandailah Su selesaikan sendiri. Mama tengah pening kepala ni! Masalah mama tak selesai lagi, Su jangan nak kusutkan fikiran mama."
Kartika naik angin.
"Mama!"
"Shut up, Su," marah Sofea. Suziela terkejut. Giliran kakaknya memarahi dirinya.
"Mama! Perkara ni tak boleh ditangguh lagi. Jika kita lambat bertindak, pasti papa akan berbaik semula dengan isteri pertamanya. Kalau ini terjadi, habislah kita, mama!"
"Mama tahu!"
"Mama nak buat apa?" soal Sofea.
"Mama perlu bersemuka dengan perempuan tu."
"Mama, senang saja. Mama bagi duit kat perempuan tu suruh dia jangan ganggu kita lagi. Suruh dia dan anak dia berambus dari sini. Balik ke London, jangan datang sini lagi," kata Suziela.
"Betul tu, mama! Wang dapat atasi semua masalah. Siapa yang tak nak wang? Wang adalah segala-galanya." Sofea setuju dengan cadangan adiknya.
Sedikit demi sedikit senyuman terukir di bibir Kartika.
"Tak sangka anak mama ni bijak juga."
"Anak siapa?" Suziela tersenyum apabila ibunya memuji dirinya.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam... How are you today?" Munirah tersenyum apabila menjawab panggilan daripada Khatijah. Dia melipat sejadah. Dia baru sahaja selesai sembahyang subuh.
"Fine. Aleya dan Alisa juga sihat. Tiap-tiap hari aku jenguk mereka berdua di rumah. Don't worry about them. Lagipun mereka berdua selalu tolong aku di restoran."
"Terima kasih, Khaty. Kau memang kawan aku." Munirah tersenyum lebar. Jasa baik Khatijah tak mungkin Munirah lupakan. Selepas dihalau keluar, Munirah hidup sebatang kara. Tiada tempat bergantung. Mujurlah dia terjumpa Khatijah yang banyak membantu.
"Kau ni... Hah... Macam mana? Kau mesti dah jumpa suami kau, kan? Dia dah setuju ke?" soal Khatijah ingin tahu.
Munirah mengeluh kuat.
"Aku tak sempat bincangkan perkara ni lagi."
"Kenapa pula?"
"Aku memang ada jumpa dia tetapi ada sesuatu telah berlaku. Aku terjumpa dengan Datin Kartika."
"So, apa masalahnya?"
"Dia tak suka dengan kedatangan aku."
"Ewah... Ewah... Dia tu tak sedar diri ke? Dia tu bini kedua. So, apa hak dia tak puas hati dengan kau?" Suara Khatijah meninggi. Walaupun dia tak pernah jumpa Kartika, dia tahu Kartika bukanlah seorang wanita yang baik.
"Aku tak salahkan Kartika dalam hal ini, Khaty... Mungkin Kartika rasa dirinya tergugat dengan kehadiran aku di situ lebih-lebih lagi dia tahu yang Alina ialah anak aku dan suaminya."
"Kau ni suka sangat pentingkan orang lain. Sepatutnya kau fikirkan tentang diri kau sendiri. Kadangkala tu... Kita mesti pentingkan diri kita sendiri. Jika tak, kita akan dibuli... Macam kau." Khatijah mula berleter.
"So, apa yang terjadi?"
Sekali lagi Munirah mengeluh.
"Kartika tampar aku. Dia ingat aku nak rampas suaminya," beritahu Munirah.
"Apa?" Khatijah mengetap bibir. Perempuan ni memang dah melampau.
"I don't blame her, Khaty."
"Munirah! Kau ni, aku dah tak tahu nak cakap apa lagi dengan kau. Kau ni suka sangat beri muka kepada orang." Suara Khatijah meninggi sekali lagi.
"Khaty, kau tahu kan tujuan sebenar aku balik ke Malaysia? Aku tak mahu cari masalah lain. Aku mahu selesaikan urusan di sini dan kemudian pulang ke London dengan segera."
"Baiklah, aku faham. Aku tak mahu kusutkan lagi fikiran kau. Berehatlah... Kalau ada apa-apa, jangan teragak-agak call aku. Ingat tu... Bye." Khatijah beralah. Dia tak mahu kusutkan fikiran Munirah.
"Bye." Munirah tersenyum sebelum menamatkan perbualan mereka. Munirah duduk di birai katil. Dia termenung seketika. Kenapa aku harus lalui semua ini sekali lagi? Kenapa mesti aku? Kenapa mesti aku bersemuka dengan dia lagi? Kenapa perangai dia masih tidak berubah? Kenapa? Tak cukup lagi ke dia seksa aku selama ini? Apa lagi dia mahu daripada aku? Kenapa? Munirah menangis. Hatinya sakit. Luka yang sudah lama sembuh, mula berdarah sekali lagi. Munirah menangis sekuat hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co