Truyen3h.Co

Bukan Dua Tapi Tiga?

Bab 7

karyaseni2u

Dr. Nazri melambai tangan ke arah Tengku Iskandar yang sedang menantinya.

"Maaf, Is. Aku terlambat." Dr. Nazri terus duduk di atas kerusi yang berhadapan dengan Tengku Iskandar di Coffee Bean Cafe.

"It's okay! Aku baru saja sampai. Aku dah oder minuman kegemaran kau." Tengku Iskandar tersengih.

"Thanks, my friend."

"Aaa... Tadi Zahari ada call aku, minggu depan kalau tak ada-apa hal dia akan balik ke Malaysia," beritahu Tengku Iskandar.

"Wah, dah lama kita tak jumpa dia. Rasa-rasanya dah setahun lebih kita tak jumpa dia selepas dia sambung belajar master kat London."

Dr. Nazri teringat akan sahabat karib mereka sejak kecil lagi. Keluarga mereka bertiga sangat rapat seolah-olah seperti keluarga sendiri. Kebetulan pula mereka bertiga sebaya.

"Ya! Aaa... Dah lama kita tak lepak bertiga. Baru meriah."

"Betul tu! Aku tak sabar-sabar ni tunggu Zahari balik."

"Kenapa?" soal Tengku Iskandar, hairan.

"Aku nak kenalkan kau berdua dengan wanita yang telah berjaya mencairkan hati aku yang keras ni."

Dr. Nazri tersenyum. Wanita yang berjaya memikat hati aku. Tentulah Alina. Setiap kali Alina tersenyum, hampir nak luruh jantung aku sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.

"Siapa? Suziela?"

Lamunan Dr. Nazri terhenti sebaik sahaja mendengar nama Suziela.

"Kau ni memang sengaja nak hilangkan mood aku."

Tengku Iskandar ketawa.

"Kau ni memang sensitif betul setiap kali dengar nama Suziela."

"Oh... Suka, ya! Sofea... Kau nak aku call Sofea ke?"

Ketawa Tengku Iskandar mati sebaik saja Dr. Nazri menyebut nama Sofea.

"Eh, Nazri! Kau jangan cari pasal! Kalau Sofea tu tiba-tiba muncul, mampus aku."

Giliran Dr. Nazri pula yang ketawa.

"Penakut!"

"Bukan takut, seram!"

"Okeylah... Jangan kita sebut nama mereka berdua lagi. Isu sensitif."

"Betul tu..." Tengku Iskandar setuju dengan pendapat Dr. Nazri.

"Masalah kau, dah selesai ke belum?"

"Masalah aku? Oh, pasal hotel di Langkawi tu ke?"

"Yalah... Masalah kau dengan arkitek tu dah settle ke belum?"

"Belum. Ini yang buat aku bengang gila. Dah lama projek ni tertangguh disebabkan arkitek yang berlagak tu."

"Dah tahu dia berlagak, kenapa kau masih nak dia reka bentuk hotel kau tu?"

"Kau tak tahu... Hasil kerja dia kreatif. Hotel Paradise dekat Hawaii yang menjadi salah satu hotel bertaraf lima bintang yang terkemuka di dunia adalah hasil rekaan dia. Banyak contest dia pernah menang. Aku nak dia," tegas Tengku Iskandar.

"Kau ni memang degil. Kenapa dia tak nak bekerjasama dengan kau?"

"Dia kata dia tak berminat!"

"Apa?" Dr. Nazri terkejut.

"Ya, itu yang buat aku geram. Macam-macam tawaran aku buat untuk dia bekerjasama dengan syarikat aku. Tapi jawapannya tetap sama, tak berminat!"

"Kau pernah cakap dengan dia ke?"

"Tak pernah... Selama ni staf aku yang berhubung dengan dia. Kali ni aku rasa aku perlu cakap dengan dia juga."

Dr. Nazri mengeluh.

"Apa yang nak dihairankan, Is. Bangsa dia... Mestilah dia tolong bangsa orang putih dulu."

"Dia tu orang Malaysia! Melayu lagi..."

"Apa? Melayu? Apa nama dia?"

"Nur Aleya," jawab Tengku Iskandar.

"Perempuan?" Bulat mata Dr. Nazri mendengar nama arkitek itu.

"Ya, perempuan! Aku bengang... Dia sanggup tolong bangsa lain daripada bangsanya sendiri."

Tengku Iskandar menggenggam erat tangannya apabila mengingat tentang perkara itu.

"Alah... Kenapa kau rasa hairan pula? Kerja dengan orang putih lebih baik daripada kita. Duit masuk banyak."

"Aku takkan putus asa. Aku pasti akan buat dia setuju bekerjasama dengan projek aku, kau tunggu dan lihat."

"Suka hati kaulah, Is... Kau tu kepala batu. Malas aku nak layan. Rasanya hingga tahun depan projek kau tak berjalan. Semoga berjaya," sindir Dr. Nazri.

Dia faham benar dengan perangai Tengku Iskandar. Kalau hitam katanya, hitamlah. Jangan harap nak ubah.

"Sepatutnya kau fikirkan cara untuk selesaikan masalah aku tetapi kau menyumpah lagi adalah."

Dr. Nazri hanya tersengih mendengar kata-kata Tengku Iskandar. Tiba-tiba serentak telefon bimbit mereka berbunyi. Segera mereka melihat nama yang tertera di skrin telefon masing-masing. Wajahnya mereka berubah sebaik saja tahu siapa pemanggil itu. Mereka berpandangan antara satu sama lain.

"Sofea!" kata Dr. Nazri kepada Tengku Iskandar.

"Suziela!" kata Tengku Iskandar pula. Perlahan-lahan Dr. Nazri mengangguk. Tanpa berlengah lagi, mereka terus mematikan telefon bimbit. Mereka berdua mengeluh lega.

Sebaik saja pintu dibuka, Kartika dan anaknya terus saja masuk. Alina terkejut dengan kehadiran mereka bertiga.

"Mana ibu kau? Aku nak jumpa," soal Kartika dengan kasar.

"Oh... Kartika," tegur Munirah sebaik saja melihat akan kehadiran wanita itu. Dia baru saja selesai menunaikan solat zohor.

"Baguslah kau ada di sini... Aku tak nak buang masa aku."

Sofea dan Suziela memandang ke arah mereka berdua dengan pandangan yang menjijikkan. Mereka membuat mimik muka.

"Berapa kau nak? Beritahu aku! Satu juta? Dua juta?" tanya Kartika.

"Kak tak faham."

"Kau ni memang pandai berpura-pura! Berapa yang kau nak supaya kau berambus dari sini, hah? Aku tak nak kau ganggu suami aku lagi," marah Kartika.

Munirah dan Alina terkejut mendengar kata-kata Kartika.

"Berapa? Aku boleh bagi asalkan kau jangan jejakkan kaki di Malaysia lagi! Berapa?"

"Kartika, kak balik ke sini bukannya untuk keruhkan lagi keadaan. Niat kak hanya untuk melawat suami Kartika saja."

"Ya, auntie... Selepas semua hal selesai, kami akan balik ke London." Alina mencelah.

Tiba-tiba satu penampar hinggap di muka Alina. Alina tergamam. Dia memegang pipinya yang masih terasa pedih .

"Hei, kau ni memang tak ada adab sopan langsung. Orang tua-tua bercakap, kau menyampuk pula!" marah Suziela. Dia berasa puas kerana dapat menampar wanita yang cuba merampas Dr. Nazri daripadanya.

Alina terdiam. Munirah berdiri di hadapan mereka. "Kartika, tujuan kak balik ni bukannya nak berebut harta dengan Kartika. Tujuan sebenar kak balik ke sini sebab nak minta cerai dengan Dato Kadir," terang Munirah.

Kartika terkejut dengan kata-kata Munirah.

"Ya, kak dah pun beritahu Dato Kadir tentang perkara ni. Hanya tunggu persetujuan daripada Dato Kadir saja. Selepas semua ni selesai kak akan segera pulang ke London. Lagipun di sini bukannya tempat kak."

Kartika diam seketika. Bagus! Kalau mereka bercerai, seluruh harta akan menjadi milik aku seorang. Aku tak perlu berkongsi dengan sesiapapun.

"Baiklah! Aku percaya cakap kau kali ni. Tapi aku bagi tempoh hingga hujung bulan ni... Kalau aku dapat tahu kau tipu aku, siap kau!" Kartika memberi amaran sebelum berlalu pergi meninggalkan mereka berdua. Sofea dan Suziela hanya mengekori ibu mereka keluar.

"Acu, sakit tak?" soal Munirah. Dia melihat pipi kiri Alina yang kemerahan.

"Sakit sikit aje." Alina tersenyum.

Munirah mengeluh.

"Lina, boleh tak kalau Lina jumpa Dato Kadir? Pujuk dia supaya setuju dengan permintaan ibu. Ibu dah penat dengan semua ni."

"Baiklah, ibu... Esok pagi Lina pergi." Alina memegang erat tangan ibunya. Dia faham apa yang difikirkan oleh ibunya sekarang.

"Assalamualaikum, ibu!" Aleya memberi salam sebaik saja panggilan telefonnya dijawab.

"Waalaikumussalam. Along!"

"Ibu sihat?"

"Sihat, alhamdulillah. Along dan angah sihat?"

"Sihat, ibu. Bila ibu nak pulang ke London?" soal Aleya. Setiap kali mengingatkan ibu dan adiknya di sana, hati Aleya resah. Bimbang! Seperti ada perkara yang tidak baik akan berlaku.

Munirah mengeluh. Dia sudah agak tujuan anak sulungnya itu menelefon pada awal pagi ni.

"Selepas urusan ibu selesai, ibu akan segera pulang."

"Urusan apa, ibu?" tanya Aleya ingin tahu.

"Urusan ibu dan abah along."

"Urusan apa lagi yang belum selesai, ibu?!" Nada suara Aleya sudah lain. Dia tetap juga ingin tahu sebabnya.

"Along."

"Ibu, along tak faham kenapa ibu masih lagi boleh berbaik dengan dia tu... Ibu dah lupa ke apa yang dia telah buat kat ibu. Ibu tak serik lagi ke?"

"Along, kenapa dengan along ni? Along kena jaga sikit bahasa along tu. Dia yang along maksudkan ialah ayah kandung along sendiri. Ibu tak pernah ajar anak ibu menjadi seorang yang kurang ajar. Apa yang berlaku antara ibu dan abah along, itu masalah kami berdua. Along dan angah tak ada kena-mengena langsung."

"I'm sorry, ibu..." Aleya meminta maaf. Dia tak berniat untuk menyinggung perasaan ibunya.

"Sudah... Ibu tak nak dengar lagi. Ibu tahu apa yang ibu buat sekarang ni. Selepas urusan ibu selesai, ibu dan acu akan pulang ke London. Ini muktamad. Ibu ada hal sekejap. Malam nanti ibu call along lagi. Jaga diri baik-baik. Kirim salam kat angah," kata Munirah sebelum menamatkan perbualan mereka. Jika perkara ini berterusan, pasti dia dan anaknya akan bergaduh besar.

Munirah mengeluh. Dia sudah tak tahu nak buat apa lagi supaya anaknya menerima kehadiran ayah kandung mereka sendiri. Yang pasti, sekarang ni masalahnya ialah Kartika. Kata-kata Kartika tidak boleh dipandang ringan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co