Truyen3h.Co

Bukan Dua Tapi Tiga?

Bab 8

karyaseni2u

Munirah melangkah keluar dari kedai runcit itu. Beberapa beg plastik yang berisi barang-barang dapur dipegang erat. Dia hanya membeli sedikit barang. Cukup untuk dua hari. Langkah Munirah diatur menuju ke kereta.

Pintu kereta dibuka. Beg plastik itu diletakkan di tempat duduk belakang.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.

Munirah mengeluarkan telefon bimbitnya dengan segera. Dia tersenyum sebelum menjawab panggilan itu.

"Perempuan tu dah gila ke?" Itulah perkataan yang pertama keluar dari mulut Khatijah. Dia terkejut membaca e-mel daripada Munirah. Munirah telah menceritakan segala-galanya tentang kedatangan Kartika bersama anak-anaknya. Khatijah geram dan marah.

"Khaty, kau ni kenapa? Beri salam pun tidak. Kau marah kat siapa ni?" Dahi Munirah sedikit berkerut.

"Siapa lagi jika bukan madu kau, Munirah... Kau ni terlalu baik hati sangat. Dia pijak kepala kau macam tu, kau masih boleh buat tak tahu saja. Kalaulah aku di tempat kau, aku tarik rambut dia sehingga kepala dia botak. Biar dia tahu status dia yang sebenarnya!" Khatijah melepaskan geram.

Munirah ketawa.

"Munirah! Aku serius ni. Kau ingat aku buat lawak ke?" Khatijah mencebik bibirnya.

"Kau ni emosional sangat, Khaty! Biarlah Kartika nak fikir apa-apa pun. Lagi dua hari aku dan Lina akan pulang ke London. Don't worry about us. Lagipun aku dah lantik peguam untuk uruskan perceraian aku."

"Baguslah. Selagi kau ada di sana, hidup aku tak tenteram! Siang malam aku ingat kau. Makan pun tak lalu. Tidur tak lena. Penyakit aku ni dah mengalahkan penyakit orang tengah mabuk bercinta... Kau tahu tak?" Khatijah meluahkan kebimbangan yang selama ini bersarang dalam hatinya.

"Khaty, kau ni... Ada-ada saja. Aku dan Lina pasti akan balik. Kau jemput aku di airport nanti ya. Rindulah kat kau... Aku rasa macam dah lama tak jumpa kau." Munirah tersenyum lebar. Dia berasa selesa setiap kali berbual dengan Khatijah. Walaupun antara mereka berdua tiada pertalian darah, namun Khatijah seperti ahli keluarganya sendiri.

"Baiklah! Call me bila kau nak bertolak nanti."

"Yes, bos! Kirim salam sayang aku kepada Leya dan Lisa," pesan Munirah. Dia sangat rindukan Aleya dan Alisa.

"Aku tahu... Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam," jawab Munirah. Pintu kereta dibuka. Munirah masuk ke dalam perut kereta Mazda 2. Enjin kereta dihidupkan.

Tanpa disedari, ada sepasang mata yang sedang memerhati gerak-geri Munirah sejak dari tadi. Senyuman terukir di bibirnya apabila melihat kereta Mazda 2 berwarna merah bergerak meninggalkan tempat itu. Sebuah kereta Wira berwarna hitam mengekori kereta Mazda 2 itu dari belakang.

Alina tersenyum melihat ayahnya sedang berdiri di balkoni.

"Termenung jauh nampak!" tegur Alina sambil berjalan mendekati ayahnya. Dia bersalaman dengan Dato Syed Mohd Kadir.

"Lina datang seorang saja? Ibu mana?" soal Dato Syed Mohd Kadir. Matanya melirik ke arah pintu biliknya. Tiada siapa. Hanya Alina.

"Abah tahu, kan sebabnya?"

Dato Syed Mohd Kadir mengeluh.

"Ini rumah ibu kamu juga. Dia ada hak, lebih-lebih lagi dia isteri pertama abah." Dato Syed Mohd Kadir berasa hampa kerana tidak dapat bertemu dengan Munirah. Sudah beberapa hari Munirah tidak datang melawatnya malah telefon pun tidak.

"Ibu tak nak keruhkan lagi keadaan. Dia tak nak abah dan Auntie Kartika ada masalah disebabkan ibu."

"Hubungan abah dan Kartika dah lama ada masalah, sejak dulu lagi. Tak ada kena-mengena langsung dengan ibu Lina."

"Abah, tujuan Lina datang jumpa hari ni..." Berat Alina untuk berterus terang tentang tujuannya untuk berjumpa dengan ayahnya. Tapi ini pesanan ibunya, dia perlu cakap juga.

"Aaa... Ibu suruh saya tanya abah sama ada abah dah setuju..."

Belum sempat Alina menghabiskan ayatnya, Dato Syed Mohd Kadir terus mencelah.

"Tak! Abah takkan ceraikan ibu Lina walau apapun yang terjadi. Abah nak ibu Lina menjadi isteri abah selama-lamanya."

"Tapi abah..."

"Kenapa? Benci sangat ke ibu Lina kat abah sehingga dia tak boleh maafkan abah?" kata Dato Syed Mohd Kadir dengan nada yang sedih.

"Bukan macam tu, abah. Abah dah salah faham. Ibu hanya tak nak masalah ni berterusan. Ibu hanya nak ketenangan, abah!"

"Ketenangan?"

"Ya, ketenangan hidup! Abah, Lina tahu abah kahwin dengan ibu bukan atas suka sama suka tapi disebabkan arwah atuk dan nenek yang ingin jodohkan abah dan ibu. Lina tak tahu apa yang telah dialami oleh ibu semasa berkahwin dengan abah... Jadi, Lina tak boleh nak membuat kesimpulan sendiri. Tapi yang pasti, Lina tahu ibu inginkan ketenangan. Abah, Lina tak kesah! Apa saja keputusan ibu, Lina akan ikut sebab Lina tahu apa yang ibu buat ni untuk kebaikan kedua-dua belah pihak."

Alina menuturkan kata-katanya dengan berhati-hati. Dia sedar ayahnya baru sembuh dari penyakit jantung. Dia tak nak ayahnya terlalu beremosi.

"Perasaan abah, ada ibu Lina fikir?"

"Perasaan?" Dahi Alina berkerut.

"Apa maksud abah? Bukan ke abah tak mencintai ibu?"

"Abah cinta dan sayangkan ibu Lina. Selepas abah halau ibu Lina, hidup abah jadi tidak bermakna. Sunyi dan suram. Hidup abah kosong. Selepas itu baru abah sedar yang abah telah jatuh cinta kepada ibu Lina. Tapi sudah terlambat, ibu Lina dah pun menghilangkan diri entah ke mana. Abah cuba cari tapi tak jumpa. Rumah tangga abah dan Kartika tak bahagia. Kami tak pernah bahagia."

Alina terkejut apabila ayahnya meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

"Jadi abah tetap tak nak ceraikan ibu? Auntie Kartika macam mana? Takkan abah nak biarkan begitu saja?"

"Abah akan ceraikan Auntie Kartika. Apa yang abah nak sekarang ni adalah hidup bersama dengan Lina dan ibu Lina. Abah nak tebus kembali masa yang telah abah lepaskan."

"Abah, Abah tak faham." Alina mula susah hati. Ugutan Auntie Kartika semalam masih lagi segar dalam ingatan dia.

"Beritahu ibu Lina, abah takkan bercerai dengan dia. Muktamad!" tegas Dato Syed Mohd Kadir... Dia tak nak kehilangan isteri dan anaknya lagi.

"Abah..." Alina menggaru kepalanya yang tak gatal.

Kartika mengetap bibirnya menahan geram. Sakit hatinya apabila mendengar perbualan mereka. Tangannya digenggam erat menahan marah. Nak ceraikan aku! Jangan harap. Ingat aku tak tahu tujuan kau yang sebenar? Kau ingat aku akan lepaskan kau begitu saja? Semua harta kau mesti jadi milik aku. Hanya milik aku. Aku perlu lakukan sesuatu dengan segera.

Alisa mengeluh kuat sebaik saja melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Tangannya masih lagi mendail nombor telefon Alina. Matanya tepat merenung skrin telefon bimbitnya.

"Acu, pick up the phone!"

Alisa mengeluh lagi apabila panggilannya tidak dijawab. Jarinya sudah lenguh mendail nombor telefon Alina. Tiba-tiba Alisa berasa tak sedap hati. Nombor telefon Munirah dan Alina sudah beberapa kali dail tapi tiada siapa yang jawab. Hatinya tidak tenang selagi tidak mendengar suara Munirah atau Alina.

Alisa menoleh ke kiri dan kanan. Inilah pertama kali dia menjejakkan kaki di Malaysia. Suasana sibuk di KLIA tidak menarik perhatiannya langsung. Apa yang bermain dalam fikirannya ialah Alina dan ibunya. Alisa menghentak telefon bimbitnya beberapa kali di atas kerusi.

"Handphone you akan rosak kalau you buat macam tu." Tiba-tiba ada seseorang menegur Alisa.

Alisa menoleh ke arah lelaki bercermin mata hitam yang duduk di sebelahnya. Lelaki itu menghadiahkan senyuman kepada Alisa.

"Like I care!" jawab Alisa.

Lelaki itu ketawa mendengar kata-kata Alisa. "Kalau handphone tu rosak, you juga yang susah nanti. Tak ada siapa yang akan datang jemput you nanti. I rasa ini first time you datang ke Malaysia, kan?"

Giliran Alisa pula ketawa.

"Can you please shut up... Before I make your life miserable?"

"You memang sombong. Niat I hanya nak menolong, itu saja."

"I don't need your help... So, get lost." Alisa meninggikan suara. Rasa meluat pula tengok mamat ni. Tak faham bahasa ke? Eee... Geramnya.

"Berlagak! You ni orang Melayu ke? Dari tadi asyik speaking saja, bila I cakap bahasa Melayu faham pula."

"Last warning, don't talk to me!" Alisa mengetap bibir.

"Ini Malaysia... Sebuah negara berdemokrasi. Kami bebas untuk bersuara. Kalau I nak cakap dengan you, itu hak I. Kenapa? Kalau I nak juga cakap dengan you, you nak buat apa kat I?" Lelaki itu tersenyum menggoda.

"Okey!" Alisa tersenyum. Lelaki ni memang tak faham bahasa langsung. Aku tengah susah hati, dia sengaja nak naikkan darah aku lagi. Tunggu dan lihat!

Alisa tiba-tiba menjerit.

Semua orang yang berada di sekitar itu menoleh ke arah Alisa. Lelaki itu juga terkejut dengan jeritan Alisa.

"You pervert! You raba punggung I. You... You memang lelaki gatal."

Alisa meninggikan suaranya. Dia mengundurkan langkahnya ke belakang beberapa tapak. Dia menuding jari ke arah lelaki yang duduk di sebelahnya.

Lelaki yang bercermin mata hitam itu tergamam. Dia sedar semua orang yang berada di situ memerhati ke arahnya dan ada yang berbisik-bisik dengan pandangan yang pelik.

"Lelaki miang!" kata Alisa lagi sebelum melangkah pergi meninggalkan lelaki itu yang masih tercengang-cengang. Alisa sempat menoleh ke belakang dan memberikan senyuman sinis kepada lelaki itu. Rasakan! Nak cari pasal dengan aku! Alisa kembali mendail nombor telefon Alina sambil langkahnya diatur. Please, pick up!

Alina berjalan menuju ke dapur. Langkahnya terhenti. Sofea dan Suziela menghalang perjalanan Alina.

"Wah, happy nampak! Sekarang ni aku tengok kau anggap rumah ni macam rumah kau sendiri pula. Kau dah berangan nak jadi tuan puteri dalam rumah ni ke?" perli Sofea.

"Kak, Lina datang sini pun sebab abah yang suruh Lina datang."

"Jadi, apa saja yang bapak kau cakap, kau ikut? Kononnya nak jadi anak yang baik!" Giliran Suziela pula bersuara.

"Kak, Lina tak nak cari gaduh dengan kakak berdua. Kita kan sekeluarga."

"Keluarga? Siapa keluarga kau, hah?! Kau dengan kami tak ada pertalian langsung. Kau tu anak haram." Sofea bengang.

"Kak!" Alina terkejut.

"Kau dengar sini baik-baik, kami tak mengalu-alukan kedatangan kau di sini! Baik kau berambus balik ke tempat asal kau. Ini bukan tempat kau."

"Kak, susah sangat ke kak nak terima Lina dan ibu? Kami tak pernah buat apa-apa yang salah."

"Tak pernah buat salah? Sebab kehadiran mak kau, keluarga kami porak-peranda," marah Sofea.

"Kak..." Tiba-tiba satu tamparan hinggap di pipi kanan. Alina tergamam.

"Hei, kan aku cakap! Jangan panggil kami kakak! Kau ni memang jenis perempuan yang tak tahu malu." Suziela naik angin. Matanya tepat merenung Alina. Entah apa yang buat dia menyampah bila tengok perempuan ni. Mungkin disebabkan oleh Dr. Nazri.

"Kau sedar tak sekarang ni, kau berdiri di mana? Ini rumah kami." Sofea memberi amaran.

"Amboi... Amboi... Sedapnya mulut tu bila bercakap! Hei, kau berdua tu yang tak sedarkan diri. Hanya anak tiri tapi berlagak lebih," sampuk Mak Jah yang mendekati mereka bertiga.

Serentak mereka berdua menoleh apabila mendengar kata-kata Mak Jah.

"Mak Jah, ini hal kami bertiga! Mak Jah tu orang gaji... Jangan masuk campur hal kami. Kalau nak dapat gaji bulan ni, baik Mak Jah diam." Sofea memberi amaran kepada orang gaji yang sudah lama berkhidmat dengan keluarga ayah tirinya.

"Kenapa pula Mak Jah nak diam? Bukannya kamu berdua yang bayar gaji Mak Jah! Duit poket sendiri pun minta kat mak lagi. Tak malu ke?"

"Mak Jah!" jerit Sofea dan Suziela serentak. Mereka tahu Mak Jah memang anti terhadap mereka tiga beranak. Asyik cari kesalahan mereka saja. Mama pun tak berani melawan cakap Mak Jah! Mulut Mak Jah berbisa. Dalam rumah ni, dia hanya hormatkan Dato Syed Mohd Kadir saja.

"Apa? Aku tak pekak lagi. Tak payah nak tunjuk kuasa kau berdua kat aku. Ingat aku takut? Setakat ulat bulu macam kau berdua, aku pijak-pijak saja sampai lumat."

Sofea dan Suziela mengetap bibir menahan geram. Kata-kata Mak Jah memang menyakitkan hati. Lidah mereka menjadi kelu. Jika mereka bersuara pasti teruk mereka kena nanti.

"Apa lagi yang tak puas hati?" soal Mak Jah.

"Benci!" jerit Sofea sebelum berlalu. Suziela hanya mengekori kakaknya.

"Itu aje yang dia tahu. Menjerit-jerit. Sebiji macam mak dia." Mak Jah sempat mengomel apabila melihat dua beradik itu pergi dari situ.

"Terima kasih."

"Kamu ni, Lina... Orang macam tu jangan bagi muka sangat, nanti naik tocang pula!" Mak Jah mendekati Alina. Perangai dia sama macam Munirah. Suka bertolak-ansur dengan orang lain.

"Tak ada apa-apa." Alina tersenyum. Dia malas nak panjangkan cerita. Nanti cerita lain pula yang jadi apabila dia melawan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co