Truyen3h.Co

Cinta Kedua

Bab 10

karyaseni2u

Beberapa contoh brosur kempen pakej produk terbaru keluaran syarikat yang baru diterimanya disemak satu per satu. Segalanya diperhati. Dari konsep rekaan iklan, warna yang digunakan sehinggalah syarat-syarat pakej yang ditetapkan. Setiap apa yang tertulis dikaji sebelum pembentangan daripada kumpulan pemasaran dan pengiklanan syarikat diadakan petang nanti. Memandangkan ia adalah produk baharu keluaran syarikat, jadi segala urusan promosi hendaklah dilakukan dengan lebih agresif dan sebab itulah sebagai ketua pegawai operasi, dia turut terlibat dalam kempen tersebut.

Sedang dia leka memerhati setiap satu brosur di atas meja, pintu biliknya diketuk. Izham mendongak.

"Masuk," sahutnya dan tidak lama kemudian daun pintu dikuak. Terpandangkan Lily yang sedang menghampiri meja kerjanya, Izham sandarkan tubuhnya ke dinding kerusi.

"Ini fail laporan untuk suku tahun kedua bagi tahun 2018 dan proposal ulang tahun ke-20 tahun syarikat yang Encik Izham minta tadi." Fail laporan produk syarikat sepanjang Januari sehingga Jun 2018 dan proposal di tangannya diserahkan kepada Izham.

Tubuh digerakkan ke hadapan sedikit dan fail yang dihulurkan pembantu peribadinya itu dicapai.

"Thanks, Lily," ucapnya dan fail tersebut diletakkan ke atas meja.

Lily tersenyum dan mengangguk." Encik Izham nak apa-apa lagi tak?" tanyanya.

Izham menggeleng. "Tak ada," jawabnya pendek.

Sekali lagi Lily mengangguk dan mula buka langkah untuk beredar.

Baru sahaja Izham ingin membuka fail yang diberikan Lily tadi, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Nama Lily dipanggil.

"Ya, Encik Izham."

"Emmm... Siapa yang akan hadir untuk mesyuarat petang nanti?" soalnya.

"Team pemasaran dan pengiklanan dari kumpulan dua dan team Encik Razak."

"Kumpulan dua tu team Encik Rosli, kan?"

Lily mengangguk.

"Siapa yang akan buat pembentangan?" soalnya lagi penuh minat. Kalau tidak silap dia, Safiya berada di dalam team Encik Rosli.

"Puan Safiya, sebab urusan promosi produk baharu syarikat dilakukan oleh team Puan Safiya di bawah pengawasan Encik Rosli."

Mendengar penjelasan Lily, Izham simpan senyum. Nampaknya Allah juga membuka luas peluang untuknya mendekati Safiya. Tidak perlu dia berusaha lebih kerana laluannya telah dipermudahkan, desis hatinya teruja.

"Thanks for the info, Lily."

Lily angguk sahaja dan terus keluar.

Tubuh disandarkan ke kerusi dengan senyum yang melebar. Terfikirkan sesuatu, senyumnya terus bertukar menjadi sengih yang panjang. Saya tak sabar nak tunggu, Fiya. Hati berbisik teruja.

"Ini dokumen untuk mesyuarat petang nanti." Dokumen yang telah difailkan itu diserahkan kepada Safiya untuk disemak sebelum dibuat salinan.

"Semua yang kita bincangkan semalam dah dimasukkan dalam ni, kan?" Huluran Zira disambut dan fail tersebut dibuka.

"Termasuk budget untuk promosi di beberapa negeri dan artis yang akan kita engage untuk kempen ni?" tanyanya.

Zira mengangguk. "Semua dah masuk sekali tapi kau semak dulu. Kalau okey nanti aku suruh budak aku buat salinan," balasnya dan terus duduk.

Dokumen tersebut disemak dan dibaca. Zira hanya memerhati sahaja apa yang dilakukan Safiya dan menunggu arahan seterusnya.

"Aku rasa dah okey ni. Kau suruh dia orang buat tiga puluh salinan." Fail tersebut dihulurkan semula kepada Zira.

"Banyaknya. Ramai ke yang attend meeting tu nanti?"

"Encik Rosli beritahu aku, meeting kali ini akan melibatkan beberapa team dan jabatan tapi aku tak pasti siapa yang terlibat. Lagipun produk ini akan dilancarkan sekali dengan kempen ulang tahun ke-20 syarikat yang dirancangkan diadakan pada Februari tahun depan. Mungkin pihak atasan ada planning lain agaknya dan aku pun tak pasti tentang tu," jelasnya.

"Oh!" Terangguk-angguk kepala Zira mendengar penjelasan Safiya dan dia bingkas bangun.

"Biar aku settlekan yang ni dulu. Aku jumpa kau lunch nanti."

"Kita lunch dekat-dekat sini aje, eh? Lunch jauh-jauh nanti takut kelam-kabut pula kita nak balik ofis."

Zira mengangguk bersetuju dan terus beredar.

Safiya membetulkan duduknya dan menyemak kembali kertas kerja di dalam perisian Microsoft PowerPoint yang telah disediakan untuk pembentangan petang nanti. Sejak seminggu yang lepas lagi dia bertungkus lumus menyediakan kertas kerja tersebut dengan dibantu oleh beberapa orang staf di bawah seliaannya.

Entah kenapa untuk pembentangan kali ini hatinya berdebar-debar pula, padahal itu bukan kali pertama dia terpaksa membentangkan sesuatu di hadapan ketua-ketua jabatan. Dadanya diusap. Tenang, Fiya. Nothing to worry, bisiknya memujuk hati sendiri.

Jam di pergelangan tangannya dikerling. Lagi dua puluh minit ke pukul tiga petang. Dia bingkas bangun. Dokumen yang diperlukan untuk pembentangan sekejap lagi dicapai dan dia terus keluar. Terpandangkan Zira dan beberapa orang staf daripada team mereka, langkah dibuka ke situ.

"Dokumen semua dah ready?" soalnya sebaik mereka dihampiri.

"Done," jawab Zira sepatah.

"Jomlah kita pergi dulu. Prepare apa yang patut," ajaknya.

"Encik Rosli?"

"Sekejap lagi dia masuklah tu. Kita pergi dulu. Jom." Langkah dibuka kembali. Zira dan beberapa staf yang lain mengekorinya. Butang lif untuk naik ke tingkat atas ditekan. Sebaik pintu lif terbuka, mereka terus menyerbu masuk. Butang ke tingkat tiga belas ditekan.

"Puan Fiya, siapa yang jadi pengerusi mesyuarat kali ni, ya?" soal Zain, pereka kreatif yang terlibat dengan promosi yang mereka jalankan.

"Saya pun tak pasti, Zain. Doakan apa yang kita cadangkan ni diterima. Kalau tidak, faham-fahamlah ya," pesannya sambil tersenyum.

"Janganlah sampai kena buat semula. Letihlah," celah Zira bersama keluhan.

"Confident, Zira. Kita dah buat yang terbaik, kan?"

Zira mengangguk. Baru sahaja dia ingin bersuara semula, pintu lif terbuka.

"Dah, jom. Baca doa banyak-banyak," seloroh Safiya dan terus keluar dari perut lif.

Zira, Zain, Dahlia dan Radin turut keluar dan mengekori langkah Safiya. Sampai sahaja di bilik mesyuarat utama bangunan tersebut, daun pintu dikuak.

"Aku ingat kita yang awal, rupa-rupanya ada orang lain yang lebih awal," bisik Zira apabila terpandangkan team dari jabatan lain yang sudah berada di situ.

"Itulah. Aku pun ingat macam tu tadi," balas Safiya juga dengan nada berbisik.

"Puan Safiya."

Terdengar namanya dipanggil seseorang, Safiya menoleh.

"Remember me?" Hairi jongket kening dan wanita itu dihampiri.

Safiya tersenyum dan mengangguk.

"Tak sangka jumpa dalam satu bilik mesyuarat yang sama." Hairi ketawa kecil.

"Kebetulan sangat, kan?" Safiya mengeyakan.

"Ataupun berjodoh?" seloroh Hairi.

Safiya tergelak.

"Fiya," panggil Zira dan lengan sahabatnya itu disenggol.

Amboi! Bukan main galak lagi berbual. Si Hairi kalau nak menggatal pun pilihlah masa lain, bukan pada saat-saat kritikal macam ni. Haih!

Safiya menoleh.

"Kata nak cuba PowerPoint kau tu? Lagi lima minit aje nak mula meeting ni," bisik Zira mengingatkan.

"Oh, Yalah." Hairi dipandang semula.

"Sorry, I nak buat preparation dulu," ucapnya. Nasib baiklah Zira menegur, kalau tidak, dia pun tak tahu bagaimana hendak menjawab bicara lelaki muda itu.

Hairi mengangguk sahaja dengan senyuman. Tidak menunggu, Safiya terus berjalan ke hadapan. Setelah berbual seketika dengan staf teknikal yang menyediakan peralatan untuk pembentangan tersebut, Safiya terus memulakan kerjanya.

Pendrive yang dibawa dicucukkan ke port USB yang disediakan, kemudian folder yang memuatkan kertas kerjanya dibuka. Sedang dia dan Zira leka dengan persediaan tersebut, tiba-tiba daun pintu dikuak. Spontan itu pandangan dibuangkan ke pintu. Sebaik terpandangkan Izham melangkah masuk, dia terpaku dan debaran di dada menyapa semula. Lebih rancak dari sebelumnya.

"Assalamualaikum dan selamat petang semua," sapa Izham ramah. Dengan senyum manis terukir di bibir, kakinya terus diayun menuju ke tempat pengerusi dan dia terus duduk. Pandangan dibuangkan ke arah satu-satu wajah yang berada di situ sehinggalah matanya tertala ke arah satu wajah yang berada tidak jauh di hadapannya.

Safiya masih terpaku dan tidak berkelip memandang ke arah Izham. Jadi mesyuarat ini dipengerusikan oleh Izham? Arghhh! Patutlah hatinya rasa berdebar sejak pagi tadi. Tapi dah kenapa pula dia nak berdebar segala? Izham itu kan cuma pegawai atasan syarikat dan bukannya sesiapa kepada dia. Haih! Drama queen betullah kau ni, Fiya, marahnya kepada diri sendiri.

"Fiya." Zira berbisik dan lengan Safiya disenggol. Aduh! Dah kenapa sahabatnya itu tiba-tiba terkaku di situ?

Safiya tersentak dan berdeham.

"Kau kenapa?"

Laju kepalanya digeleng dan nafasnya dihela.

"Tak ada apa-apa," ucapnya cuba beriak tenang.

Tangan terus dilarikan ke arah tetikus dan fail yang dikehendaki dibuka. Sebaik slide pertama terlayar di layar putih, dia terus duduk. Dada yang semakin berdegup, cuba ditenangkan tapi darah gemuruhnya tetap tidak reda.

Nafas dihela lagi sambil berdoa dalam hati. Ya Allah, Kau mudahkanlah urusanku petang ini. Kau lancarkanlah lidah aku dan semoga aku dapat menyudahkan pembentangan ini dengan sempurna, doanya dalam hati. Aduh! Memang berdebar dia dibuatnya. Izham pula sejak masuk tadi begitu asyik merenung ke arahnya, membuatkan hatinya semakin lintang-pukang dan tidak keruan.

"Boleh kita mula sekarang?" Izham bersuara selepas semua yang hadir duduk di tempat masing-masing.

Semua yang berada di situ mengangguk dan dia terus memulakan bicaranya. Selesai dengan kata alu-aluan dan menjelaskan tentang tujuan mesyuarat tersebut, dia terus mengalihkan pandangan ke arah Encik Rosli yang duduk di barisan sebelah kirinya.

"Untuk sesi pertama, saya jemput Encik Rosli untuk mulakan."

Encik Rosli mengangguk dan memulakan pembentangan tersebut dengan memberikan serba sedikit informasi mengenai produk, kempen dan promosi yang telah diaturkan.

"Jadi untuk penjelasan yang lebih lanjut, saya minta Puan Safiya, selaku chief de mission untuk kempen ini membentangkannya," sambungnya dan terus menyerahkan tugas tersebut kepada Safiya.

Safiya berdeham kecil. Perlahan-lahan nafasnya dihela dan dia terus berdiri. Dengan lagak tenang, langkah dibuka menuju ke hadapan. Setelah mengucapkan sedikit mukadimah awal, dia terus memulakan pembentangan tersebut dengan menerangkan tentang strategi pemasaran, kempen, promosi, gimik dan semua aspek yang terlibat dengan tenang dan yakin. Setiap slide dibuka dan dijelaskan satu per satu walaupun ada kala, kata-katanya terhenti setiap kali dia bertembung mata dengan Izham tanpa sengaja.

"Kesimpulannya, pemasaran produk kali ini lebih tertumpu kepada pengguna-pengguna dalam lingkungan pertengahan dan disasarkan kepada remaja dan pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi. Dan dengan promosi yang bakal dilakukan, saya yakin hasil jualan produk ini akan meningkat lima puluh peratus dari produk sebelumnya," jelasnya sebaik pembentangannya selesai.

"Sekian, pembentangan saya untuk hari ini. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan mempunyai pertanyaan mengenai apa yang dijelaskan, silalah kemukakan untuk saya terangkan dengan lebih lanjut lagi," sambungnya dan perisian PowerPoint terus ditutup.

Keadaan terus bertukar sepi. Masing-masing hanya diam sahaja di tempat duduk masing-masing tanpa sepatah kata.

Melihat keadaan itu, Izham terus berdeham. Duduknya ditegakkan.

"Terima kasih, Puan Safiya. Saya rasa Puan Safiya dah terangkan dengan jelas, tapi masih ada beberapa perkara yang saya perlukan penjelasan dengan lebih terperinci sebelum proposal ini diluluskan. Saya harap Puan Safiya boleh terangkan di pejabat saya selepas mesyuarat ini selesai," arahnya.

Arghhh! Kena menghadap Izham pula selepas ini, bisiknya dalam hati. Akur dengan arahan yang diberikan, Safiya mengangguk.

"Baik, Encik Izham," ucapnya dan dia duduk semula. Haih! Mulalah dia rasa tidak sedap hati. Betulkah Izham betul-betul ingin mendengar penjelasan daripada dia atau itu hanyalah alasan daripada lelaki itu untuk meneruskan misinya? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co