Truyen3h.Co

Cinta Kedua

Bab 11

karyaseni2u

"Aku beri kau masa sehingga hujung bulan ni. Kalau kau masih tak selesaikan juga, kau tahulah apa yang akan aku lakukan!"

"Aku tak ada duitlah buat masa sekarang. Boleh tak kau bagi masa lagi?" balasnya dengan suara yang ditahan-tahan kerana bimbang ada yang mendengar perbualan tersebut. Tubuh yang sedang bersandar di kerusi dirapatkan ke bibir meja.

"Farhan! Aku dah beri banyak masa kepada kau tapi bunga pun kau susah nak bayar. Habis tu, kau nak aku tunggu sampai bila? Hei! Kami bukan badan kebajikanlah, bhai!"

"Aku tahu tapi bagilah aku masa. Aku tengah ikhtiar ni," rayunya lagi.

"Aku beri sampai hujung bulan ni saja. Kau masih ada masa lagi tiga minggu. Kalau sampai masa nanti masih tak ada, aku cari kau di pejabat."

"Tolonglah, Meng. Janganlah macam tu. Malu aku kalau sampai dekat pejabat kau cari." Farhan mula tidak senang duduk. Dia bingkas bangun dan rambutnya diraup.

"Kalau kau tak nak malu, bayar sebelum sampai tarikh yang aku bagi. Kalau tidak, jangan salahkan aku sebab aku dah ingatkan!" ugutnya.

Telefon bimbit dicampakkan ke atas meja bersama dengusan keras. Bingung dengan masalah yang baru membelenggu hidupnya, rambutnya diraup dan tubuh disandarkan ke kerusi. Mana dia hendak cari duit sebanyak lima belas ribu dalam waktu terdekat itu? Hendak membuat pinjaman bank, dia masih ada pinjaman yang belum selesai. Kalau dia gagal menyelesaikan pinjaman tersebut, pasti hidupnya tidak akan tenang selepas ini.

Semuanya gara-gara anak sulung Maya punya angkara. Terlalu berani bawa kereta orang tanpa lesen. Bila kemalangan, dia pula yang terpaksa menanggung bebannya. Terdesak punya pasal, akhirnya dia terpaksa meminjam duit daripada along dan sekarang, terimalah padahnya. Hendak bayar bunga sahaja pun dia tak mampu. Sudahnya, siang malam along kejar. Maya pula bukan hendak membantu tetapi tidak sudah-sudah mengungkit tentang dia duduk menumpang di rumah isterinya itu. Arghhh! Kusut dia memikirkannya.

Hendak meminjam daripada adik-beradik, masing-masing seolah-olah meminggirkannya sejak dia berkahwin dengan Maya dan bercerai dengan Safiya. Orang tuanya pula lagilah tidak mengendahkan dia sekarang. Kalau dia mengadu, silap hari bulan dia pula yang dikatakan bodoh tak sedar diuntung.

Ya, baru dia sedar sekarang yang dia betul-betul bodoh. Terlalu mengikut nafsu akhirnya terperangkap dengan kata-kata manis Maya, sedang hakikatnya kini segalanya tak seindah yang dia harapkan. Indahnya sekejap tapi selebihnya hidup dalam keserabutan.

Menyesal sekarang pun tiada gunanya, Farhan! bisiknya mengejek diri sendiri. Apabila berada di dalam keadaan begitu, mulalah setiap kebaikan bekas isterinya terlayar satu per satu. Bagaimana Safiya bersabar dengan kerenahnya dahulu. Bagaimana susahnya Safiya sepanjang hidup bersamanya. Dia sahaja yang berajakan ego dan status sebagai suami sehingga Safiya memendam perasaan sendiri. Mengingatkan semua itu, keluhan berat dilepaskan.

Sejak kebelakangan itu juga, rasa rindu kepada anak-anak sendiri semakin menghimpit hati tetapi dia malu untuk berdepan dengan mereka. Malu dengan apa yang dia lakukan dan malu kerana baru sekarang dia ingat tentang darah daging sendiri.

Along!

Angah!

Rintihnya bersama perasaan yang sarat di dadanya.

"Fiya..." Safiya angkat kepala. Hairi dipandang dengan senyuman.

"Tahniah untuk pembentangan tadi." Hairi buang senyum. Safiya yang sedang menyusun dokumen yang dibawanya dalam mesyuarat itu dihampiri semakin dekat.

"Belum diluluskan lagi, jadi tak perlulah ucap tahniah dulu," gelaknya. Dokumen yang sudah dikemas dicapai. Bilik mesyuarat yang sudah lengang itu dipandang. Cepatnya masing-masing dah hilang. Zira lagi advance. Siap aje meeting, dia terus cabut lari. Mentang-mentang sudah pukul lima lebih. Dia juga yang masih terkulat-kulat di situ sebab ada urusan belum selesai. Nasib baik tiada apa yang perlu dia kejarkan di rumah.

"Dari apa yang diusulkan, I yakin cadangan ini akan diluluskan." Hairi bersuara yakin.

Safiya tersenyum. "Harap-haraplah macam tu. Amin!" Langkah dibuka. Hairi turut buka langkah dan berjalan beriringan di sebelah Safiya.

"Fiya..." panggil Hairi lagi.

"Hei! I'm older than you and you should call me Kak Fiya, okay?" Safiya berseloroh.

Hairi ikut tergelak. "Being with someone like you, I tak berani nak panggil macam tu," balasnya dengan tawa kecil yang masih bersisa.

Tawa Safiya bersambung. Baru sahaja dia ingin membalas kata-kata Hairi, matanya terpandangkan Izham yang sedang tajam merenungnya tidak jauh dari situ. Tawanya terus mati. Hati mula berdegup dan liur ditelan payah. Entah kenapa melihat riak tegang itu, hatinya jadi kecut tiba-tiba.

"Hairi, I rasa I kena gerak dulu. I kena jumpa Encik Izham. Lagipun dah lewat ni. Lambat I menghadap dia, lambat pula I balik," ucapnya mematikan perbualan mereka.

Hairi mengangguk. "Sure," balasnya sepatah. Langkah dibuka tetapi baru dua langkah kaki diayun, dia berpaling dan Safiya dipanggil semula.

Langkah Safiya terhenti.

"All the best, Fiya." Ibu jarinya diangkat dan dengan senyum meleret, mata dikenyit.

Safiya senyum sahaja dan terus berjalan menuju ke arah Izham yang masih berbual dengan Encik Rosli.

"Encik Izham... Encik Rosli," sapanya sopan sebaik kedua-duanya dihampiri.

Izham dan Encik Rosli angguk sahaja.

"So, Encik Izham nak saya continue petang ni atau esok?" tanyanya.

Tidak menjawab soalan Safiya, Izham kembali memandang Encik Rosli semula.

"Saya pergi dulu," ucapnya.

Encik Rosli mengangguk.

"Mari, Puan Safiya," ajaknya dan mula ayun langkah.

Dengan wajah sedikit kalut, Safiya akur. Sebaik minta diri daripada Encik Rosli, langkah Izham diekori.

Masuk sahaja ke dalam perut lif, pergelangan tangannya dikerling. Melihat waktu yang sudah menganjak hampir ke pukul enam petang, Izham berdeham.

"Let's discuss it over dinner," ucapnya selamba. Langsung tidak memandang Safiya di sebelah.

"Huh?" Safiya tercengang. Izham dipandang tidak berkelip.

"Awak dengar apa yang saya cakap tadi, Fiya," balas Izham dengan riak bersahaja seolah-olah kata-katanya itu perkara biasa sedang mata masih tancap memandang pintu lif.

"Errr... Saya rasa lebih baik kita bincang di pejabat ajelah, Encik Izham."

"Fiya pilih, duduk berduaan di dalam ofis pada waktu macam ni atau duduk berdua tapi dalam keadaan yang terbuka?" Safiya dikerling dengan kening terjongket.

Safiya terdiam cuba mencerna kata-kata Izham tadi. Lama dia begitu sebelum dia bersuara semula.

"Okey, saya pilih kita bincang di luar." Akhirnya dia mengalah.

Betul juga kata Izham, kalau di pejabat, mereka hanya berdua sahaja tetapi kalau di luar, ada ramai di sekeliling mereka. Tentulah dia memilih tempat yang selamat walaupun tempat yang selamat itu belum tentu selamat dari pandangan mata-mata yang mungkin membawa bermacam cerita. Maklumlah, dia pun belum tahu lagi di mana tempat yang dimaksudkan Izham. Hurm... Aci redah ajelah, Fiya. Periuk nasi punya pasal, bisiknya kepada diri sendiri.

Izham tersenyum. "Naik kereta saya. Balik nanti saya hantar Fiya ke sini semula. Tunggu saya dekat pintu depan," ucapnya dan terus keluar dari pintu lif.

"Encik Izham... Errr..." Belum sempat Safiya menolak pelawaan Izham, pintu lif sudah tertutup. Butang buka ditekan tetapi lif terus bergerak turun. Arghhh! Stresnya dia! Errr! Sebaik keluar dari lif ke tingkat pejabatnya, mesej terus dihantar kepada Izham.

Encik Izham, biar saya naik kereta saya sendiri. Beritahu saja nak jumpa dekat mana, nanti saya ke sana. - Fiya

Sambil berjalan menuju ke biliknya, telefon bimbit dikerling menantikan jawapan lelaki itu. Senyap. Dengusan kecil dilepaskan. Masuk sahaja ke dalam biliknya, dokumen yang dibawanya terus diletakkan ke atas meja. Hanya dokumen untuk perbincangan dengan Izham sahaja yang diambil. Beg tangan di belakang kerusi dicapai. Baru sahaja dia ingin melangkah keluar, notifikasi WhatsApp di telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat mesej tersebut dibuka dan dibaca.

Saya tak sure lagi nak ke mana. Lagipun petang-petang ni jalan jammed. Naik satu kereta lagi senang. Kalau Fiya nak bawa kereta Fiya, saya tumpang. - Izham

Eh! Eh! Boleh pula begitu? Arghhh! Macam mana ni? Kalau dia bawa kereta sendiri dan Izham penumpangnya, tentu lagi kalut dia nanti. Silap hari bulan, mereka berbincang di dalam kereta sahaja. Maklumlah dia kalau jalan jammed, memang tak pandai nak cilok sana sini. Ikut sahaja aliran trafik sehingga sampai ke rumahnya. Dia kan pemandu berhemah!

Errr... Okeylah, saya tumpang kereta Encik Izham. - Fiya

Putus dia akhirnya. Kan senang, tak kalut kena kutuk dengan Izham bawa kereta macam siput!

Saya nak solat asar dulu. Fiya tunggu saya di bawah, ya? - Izham

Kalau macam tu, saya pun nak solat dulu. Nanti-nanti takut tak sempat. - Fiya

Okey. Kita jumpa lagi dua puluh minit. - Izham

Baik. - Fiya

Langkah terus diayun keluar dari biliknya menuju ke bilik air. Muka dibersihkan. Usai mengambil air sembahyang, dia masuk ke dalam biliknya semula dan solat di satu sudut biliknya. Selesai empat rakaat solatnya, dia terus bersiap dan bergegas turun ke bawah. Sampai sahaja di pintu masuk bangunan lima belas tingkat itu, BMW Hitam Izham sudah menunggu di situ. Langkah mula dibuka tetapi baru selangkah kaki diayun, pintu kereta tersebut sudah terbuka kerana ditolak dari dalam.

"Masuklah," pelawa Izham dengan senyuman.

Dengan teragak-agak, Safiya mengangguk dan tubuh terus diloloskan ke dalam perut kereta mewah tersebut. Terbau harum semerbak wangian yang dipakai Izham memenuhi ruang kereta tersebut, Safiya hela nafas. Sudah petang-petang begini pun lelaki itu masih berbau wangi lagi. Wanginya menusuk tetapi menyegarkan dan dia suka. Dia pula? Entah sudah bau apa agaknya pada waktu-waktu begitu.

"Pakai tali pinggang keledar, Fiya," tegur Izham dan keretanya terus dipandu keluar dari kawasan tersebut.

"Oh!" ucapnya sepatah lalu tali pinggang keledar terus dipasang. Tak sangka Izham jenis yang ambil kesah tentang itu kerana dia bukan jenis manusia yang patuh kepada undang-undang jalan raya. Selalunya kalau setakat memandu di sekitar Kuala Lumpur, memang tidak pernah dia memakai tali pinggang keledar.

"Teruk betul jammed waktu-waktu macam ni." Izham bersuara memecah sunyi.

Safiya menoleh ke sebelah untuk melihat riak wajah lelaki itu. Reaksi Izham tetap nampak tenang walau kesesakan lalu lintas ketika itu memang sangat teruk. Kalau dia, tentu sudah membebel-bebel sendirian.

"Kita kena cari jalan lain untuk keluar dari sini. Kalau tidak, sampai malam pun kita masih dekat sini lagi. Jammed teruk sangat ni. Entah-entah ada accident dekat depan tu," sambung Izham sambil memandang cermin pandang belakang. Apabila terdapat ruang untuk dia mencelah, stereng keretanya terus dipusingkan ke kiri dan dia terus masuk ke laluan kiri.

Safiya telan liur. Kecut perut dia bila Izham mencilok begitu.

"Kita nak ke mana?" Izham dikerling kemudian pandangan dibuangkan ke hadapan semula. Apabila Izham mencilok ke kanan pula, nafasnya dihela. Hendak sahaja dia menegur Izham supaya memandu dengan berhati-hati tetapi tidak terkeluar pula kata-kata itu dari bibirnya.

"Somewhere nearby."

"Oh!" Itu sahaja yang terkeluar dari bibirnya. Hendak tanya lebih-lebih, Izham sedang tekun memandu. Dia juga tidak mahu andai pertanyaannya mengganggu konsentrasi Izham.

Izham meneruskan pemanduannya dan sebaik sahaja menghampiri Sheraton Petaling Jaya Hotel, keretanya terus dibelokkan ke situ.

"Kita dinner dan bincang di sini saja, ya? Lagipun dah masuk waktu maghrib sekarang. Kalau kita teruskan pun jalan masih sesak lagi tu," ucap Izham dan keretanya terus diberhentikan sebaik sampai di hadapan pintu masuk hotel.

Safiya akur sahaja. Dia pun kalau boleh mahu perbincangan mereka selesai segera. Tak mahulah dia berlama-lama dengan lelaki itu.

"Okey. Jom, Fiya," ajaknya dan dia terus keluar.

Safiya ikut keluar dan hanya memerhati sahaja Izham berurusan dengan joki kereta di situ untuk urusan keretanya.

"Fiya tak bawa telekung untuk solat maghrib, kan?" soal Izham sebaik Safiya dihampiri.

Kepala digeleng.

Melihat gelengan Safiya, Izham terus berjalan menuju ke but keretanya. But dibuka dan satu beg kecil dikeluarkan.

"Fiya boleh guna telekung ni." Beg tersebut dihulurkan.

"Errr... Isteri Encik Izham punya?" soalnya keberatan untuk mengambilnya.

Izham tersenyum kemudian kepalanya digeleng.

"Anak perempuan saya punya. Memang dia letakkan satu dalam kereta saya supaya senang kalau kami ke mana-mana," akuinya jujur.

"Ambillah pakai. Rasanya kalau ada telekung dekat surau hotel pun mesti Fiya tak selesa nak guna," sambungnya.

"Oh!" ucapnya sepatah dan huluran Izham disambut.

"Kita masuk solat dulu sebab dah pukul tujuh lebih ni. Lepas tu, kita dinner."

Safiya akur sahaja. Sebaik Izham bertanyakan penyambut tetamu di mana letaknya surau hotel tersebut, mereka sama-sama bergerak ke situ. Selesai mengerjakan solat maghrib, mereka terus menuju ke restoran hotel untuk menikmati makan malam mereka.

"Fiya nak makan apa?" Tali leher yang masih terikat di lehernya dibuka dan dilipat lalu dimasukkan ke dalam poket kemejanya. Lengan baju yang masih berbutang kemas dibuka pula dan disingsingkan agar lebih selesa. Safiya dipandang semula dan secara tidak sengaja mata mereka bertembung. Beberapa saat itu mereka hanya memandang sahaja antara satu sama lain tanpa sepatah bicara.

Malu dengan keadaan itu, Safiya berdeham dan terus mengalihkan pandangannya ke arah lain. Seganlah dia kalau Izham perasan yang dirinya diperhatikan sejak tadi. Dia pula bukan main galak lagi memerhati suami orang sampai tidak berkelip. Entah kenapa, setiap perlakuan lelaki itu begitu menarik perhatiannya. Riaknya, gayanya dan juga personalitinya. Paling dia suka tentang Izham adalah sikap tenang dan bicaranya yang sopan lagi tersusun membuatkan dia selesa berada di sisi lelaki itu. Arghhh! Selesalah sangat ya, Fiya? Padahal baru dua kali kau duduk berduaan dengan Izham!

Melihat reaksi Safiya, Izham hanya senyum sahaja tetapi mata masih tidak berkalih memandang wajah yang sudah berubah rona itu. Safiya, walaupun hatinya keras tetapi sifat malu masih kuat di dalam dirinya membuatkan dia semakin mengagumi sikap wanita itu. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co