Truyen3h.Co

Cinta Kedua

Bab 12

karyaseni2u

"Hurm... You ke Safiya?" Sambil bersandar di kerusi dengan kaki bersilang, susuk tubuh Safiya dikerling bersama cemikan. Hurm... bertudung rupa-rupanya, ejeknya dalam hati. Wajah isteri Farhan itu diamati pula. Cantik, memang dia akui isteri Farhan cantik orangnya tapi penampilannya kelihatan biasa sahaja. Dengan mengenakan blaus ungu dan slack hitam, wanita itu tetap nampak kolot walaupun Safiya seorang yang berkerjaya. Patutlah Farhan tergila-gilakan dia yang seksi dan pandai bergaya.

"Ya." Safiya bersahaja. Pandangan sinis wanita di hadapannya itu dibalas tanpa perasaan.

"I, Maya. Rasanya tentu you dah kenal siapa I, kan?" sinisnya.

Safiya mendengus kecil. Maya dijeling benci.

"Kenapa nak jumpa saya? Nak minta izin saya untuk berkahwin dengan Farhan?" semburnya melepaskan geram. Perempuan tak tahu malu. Merampas hak orang tapi langsung tiada rasa bersalah.

Maya tergelak kecil. "Minta izin?" Kepala digeleng.

"Tak... I tak perlu minta izin dengan you sebab I tahu Farhan tetap akan kahwin dengan I walaupun you tak izinkan," selambanya.

Melihat reaksi wanita itu, sekali lagi dengusan dilepaskan. Ya Allah, Kau sabarkanlah hatiku ketika berdepan dengan wanita seperti ini, bisiknya dalam hati. Bimbang dia andai tangannya tiba-tiba naik ke muka cantik itu. Maklumlah, sabar dia pun ada hadnya. Bimbang juga andai emosi menguasai akal.

"Kalau dah yakin dapat kahwin dengan Farhan, kenapa perlu jumpa saya lagi?" sindirnya pula.

Maya ketawa lagi, lebih sinis daripada tadi.

"Sebenarnya I sengaja nak tengok siapa isteri Farhan. Hurm... Barulah I tahu kenapa Farhan selalu kata tak berselera tengok you..." kata-katanya terhenti sedang mata tajam melirik ke arah Safiya.

"Emmm... Macam mak cik-mak cik," ejeknya.

Air muka Safiya terus berubah. Amboi! Sedapnya mulut mengata. Dia ingat dia tu cantik sangat? Dengan make up tebal berinci-inci tu dia ingat dia lawa? Macam badut sarkas saja lagaknya. Sudahlah pakai baju ketat menampakkan susuk tubuh. Duduk pula mendada begitu. Sengajalah tu hendak menunjukkan nasi lemak lima ringgit dia tu! Pakai push up bra bolehlah. Cuba buka, entah-entah dah terlondeh juga. Hati membebel geram.

"Lebih baik nampak macam mak cik daripada orang tu yang dah memang layak dipanggil mak cik tapi masih tak sedar diri!" Ha! Ambik! Sekali dia bagi memang padu. Biar perempuan itu sedar diri sedikit.

Maya tegakkan tubuh dengan muka berkerut geram.

"Kau cakap apa? Aku tak sedar diri?" marahnya dengan suara yang sudah naik senada.

"Terasa ke?" Safiya senyum segaris. Kalau diikutkan hatinya, hendak saja dia ketawa tetapi takut pula dibaling dengan gelas. Tak pasal-pasal jadi drama pula pada waktu-waktu hampir senja di kedai mamak itu nanti.

"Cakap tu baik sikit! Walaupun aku dah 45 tahun, aku lebih bergaya daripada kau. Sebab itulah laki kau tergila-gilakan aku!" bedilnya.

"Kak Maya... Emmm... Saya panggil kak, ya, sebab saya tak nak jadi kurang ajar. Lagipun akak memang lebih tua daripada saya." Sengaja Safiya memprovokasi. Geram pula dia dengan perangai tak semenggah bakal bini baru Farhan. Hurm... Perempuan begini yang menjadi pilihan Farhan rupa-rupanya. Kesian!

"Untuk pengetahuan akak, sebenarnya saya tak hairan pun kalau akak nak ambil suami saya. Ambillah... Saya bagi free aje sebab saya pun dah lama tak ada hati dengan dia. Saya bersama dia sebab anak-anak aje. Bila akak nakkan dia, lega rasa hati saya sebab dah tak payahlah saya nak tanggung beban lagi," selambanya dan terus berdiri.

"Saya harap akak jagalah Farhan baik-baik lepas ni, ya? Jangan sampai dia cari perempuan lain pula sebab Farhan yang saya kenal memang ramai kawan perempuan. Eh! Bukan. Farhan yang saya kenal memang kaki perempuan. Emmm... Saya balik dululah. Dah nak maghrib dah ni. Nanti melayang pula maghrib saya petang ni," selambanya. Maya dikerling sekilas dan dia terus beredar. Hurm... Puas hati dia!

Maya ketap gigi melepaskan rasa sakit hatinya. Lenggang Safiya diperhati sehingga kelibat wanita itu hilang dari pandangan.

"Tak guna punya perempuan. Nak sangat jadi janda, kan? Nanti aku bagi!" bedilnya sambil ketap gigi menahan amarah.

Teringatkan pertemuan hampir tiga tahun lepas itu, Maya mendengus dengan perasaan meluap-luap marah. Rumah teres dua tingkat itu direnung dengan muka menyinga. Tak guna punya perempuan! Kata tak kesah aku ambil laki kau, tapi dalam diam kau berskandal dengan bekas laki kau, ya! bebelnya geram.

Puas jadi pemerhati sejak tadi, akhirnya dia bergegas keluar dari kereta. Kalau dia terus menunggu sampai pagi pun tak guna juga. Buat sakit hati dia sahaja. Cara yang terbaik, serang terang-terangan. Kalau Farhan ada di dalam rumah itu, tentu Farhan akan keluar juga nanti.

Dengan dada yang meluap-luap dan muka yang terherot-herot menahan amarah, loceng rumah teres dua tingkat itu ditekan dengan sekuat hati. Bukan sekali tetapi berkali-kali.

Terdengar loceng rumahnya berbunyi, Safiya mendengus. Dari berbaring dia bingkas bangun. Langkah terus dibuka menuju ke tempat skrin CCTV diletakkan dan mata tajam merenung gerangan manusia yang sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumahnya itu. Melihat tetamu yang tidak diundang itu, dahi dikerutkan.

"Haih! Apa hal pula si sondol tu buat depan rumah aku malam-malam ni?" Mulut terus membebel. Gerak-geri wanita yang dipanggil si sondol itu diperhati. Jika dilihat dari gayanya, dia pasti ada yang tidak kena. Apa tidaknya, sejak dia bercerai dengan Farhan, mereka memang tidak pernah bertemu muka.

Loceng rumahnya berbunyi lagi. Semakin galak dari tadi. Geram, dengusan keras dilepaskan. Tengah penat kerana seharian dia sibuk mengemas kini proposal hasil perbincangan dengan Izham semalam, tiba-tiba muncul pula bala lain yang akan semakin memenatkan dia nanti. Tidak hanya memerhati, tudungnya dicapai lalu disarungkan ke kepala dan dia terus keluar dari biliknya. Sebaik kaki memijak mata tangga yang terakhir, langkah terus diayun menuju ke pintu utama. Kunci dibuka lalu daun pintu dikuak dan dia terus keluar dengan hati yang panas membara.

"Hei, perempuan! Laki aku mana?" Serang Maya sebaik terpandangkan Safiya yang sedang menghampiri pagar.

Safiya jongketkan kening. Laki dia? Eh! Eh! Kenapa pula tanya tentang laki dia pada aku? Mimpi ke apa mak cik ni?!

"Excuse me, tapi siapa laki kau?" tanyanya selamba. Tangan dipelukkan ke tubuh dan tetamunya itu dipandang jengkel.

"Kau jangan buat-buat tak faham. Aku tanya laki aku, Farhan mana?!" Suara Maya semakin melengking kuat.

"Oh! Farhan. Nanti aku tengok dia ada tak dekat atas. Tadi dia kata dia penat. Nak tidur," tipunya. Sebenarnya dia malas hendak memprovokasi begitu tetapi perempuan seperti Maya kalau dia kata tidak pun bukannya Maya percaya.

Maya mula menyingsing lengan dengan muka menyinga marah.

"Aku dah agak dah. Memang aku dah agak dia mesti datang sini!" berangnya.

"Kau suruh dia turun sekarang!" suruhnya dan pagar yang masih tertutup rapat itu disepak kuat.

Amboi! Amboi! Nak tunjuk samseng dekat rumah orang. Hati membentak geram tapi disabarkan sahaja hatinya. Biar dia kenakan perempuan tak ada adab itu cukup-cukup dahulu. Biar dia ada akal sikit.

"Emmm... Kalau aku tak nak?" Safiya membalas selamba. Riak Maya yang seperti kucing hilang anak itu dipandang geli hati. Alahai, seronok pula tengok orang meroyan hilang laki. Sampai begitu sekali kalutnya. Kesian! Nampak sangat low class! "Lagipun aku kesian sebab dia kata dia penat sangat hari ni," sambungnya sengaja hendak menambahkan lagi sakit hati bekas madunya itu.

"Eh! Perempuan! Kau tak malu eh nak rampas laki orang? Dah tak ada jantan lain lagi kau nak goda?" serang Maya dengan muka mencerlung marah.

Eh! Eh! Cantiknya bahasa. Si sondol ini lupa agaknya siapa yang menyondol laki siapa dulu? Diri sendiri yang merampas tapi tak sedar diri. Haih! Sakit pula hati dia.

"Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Eh! Mak cik lupa ke siapa yang rampas laki siapa dulu? Hilang ingatan ke?" sindirnya.

"Mulut! Aku tak kira sebab sekarang dia laki aku! Kau suruh dia turun sekarang sebelum aku naik ke atas dan tarik dia keluar!" arahnya keras.

"Hurm... Dia tak ada dekat sini. Kalau dia datang pun memang dah aku halau dia balik. Buat semak aje." Malas hendak memanjangkan pergaduhan tersebut akhirnya Safiya berterus terang sahaja. Bimbang kecoh satu taman itu nanti dengan kisah dia ingin merampas duda sendiri. Lagipun, buat apa hendak merendahkan maruah dia macam wanita perampas tak sedar diri di hadapannya itu? Apa kelas!

"Kau jangan nak tipu aku. Aku tahu dia mesti ada dekat sini," bentak Maya tidak percaya. Dia bukan tak tahu yang Farhan masih teringatkan jandanya itu. Kalau tidak, masakan Farhan naik hantu setiap kali nama Safiya disebut?

"Cuba kau tengok kereta dia ada tak dekat sini?" Safiya mula hilang sabar. Ingat dia hadap agaknya dengan jantan tak guna macam itu. Kalau Farhan datang pun memang awal-awal lagi sudah dia halaukan saja. Tak ingin dia beri muka.

"Setakat kereta dia boleh aje letak dekat mana-mana. Bukannya dia tak biasa buat."

Safiya pandang Maya dengan senyum mengejek.

"Oh! Dah biasa buat macam tu dulu, ya? Kereta letak tempat lain tapi orangnya dah ada atas katil. Patutlah meroyan sampai macam ni sekali. Tapi aku bukan macam kau. Sekali aku dah buang, jangankan nak ambil, pandang pun aku dah tak sudi," sinisnya.

Maya tarik muka tak puas hati. Silap mulut dia juga sampai terlepas kata.

"Baik kau balik aje. Aku pun dah tak ingin dengan laki kau! Kalau dia ada datang sini pun, memang aku dah hambat biar dia berambus!" selambanya dan terus buka langkah masuk ke dalam.

"Ha! Lagi satu aku nak ingatkan, tolonglah jangan buat kecoh dekat rumah orang pada waktu-waktu macam ni. Bukan aku aje yang terganggu, jiran-jiran sebelah-menyebelah pun akan terganggu sama. Harap faham dan terima kasih," pesannya dan terus menyambung langkah. Sebaik pintu dikunci, Safiya tersengih.

"Padan muka kau, Farhan!" bisiknya puas.

Sakit hati dengan setiap patah bicara Safiya, bibir diketap geram. Tidak menunggu di situ lagi, dia terus bergegas masuk ke dalam keretanya.

"Nantilah! Kalau aku tahu Farhan ada datang jumpa kau, nahas kau, aku kerjakan!" bebelnya dan terus memandu keretanya pergi dari situ.

Jam di dinding dikerling dan sambil mundar-mandir, daun pintu dikerling. Waktu sudah menunjukkan hampir ke pukul dua belas malam tetapi batang hidung Farhan masih belum kelihatan lagi. Membuatkan dia semakin geram apabila telefon Farhan langsung tidak dapat dihubungi sejak pukul tujuh petang tadi. Itulah yang menguatkan telahannya bahawa Farhan bertemu dengan jandanya.

Sedang dia bermundar-mandir di ruang tamu sambil membebel, tiba-tiba dia terdengar bunyi kereta berhenti di pekarangan rumah. Dari bunyi enjin kereta yang nyaring itu, dia pasti itu kereta Farhan. Serta-merta itu langkahnya terus mati. Tubuh ditegakkan sedang mata tajam merenung ke arah pintu dengan muka yang menyinga.

"Dari mana?!" Farhan yang baru selangkah masuk ke dalam rumah dijerkah keras. Dengan tangan bercekak ke pinggang, Farhan direnung tajam.

Tersentak, laju Farhan palingkan tubuh. Maya yang sedang bercekak pinggang merenungnya itu dipandang tidak berkelip. Tahu apa yang bakal dia hadapi, nafasnya dihela.

"Saya tanya, awak dari mana?!" ulang Maya dengan suara yang semakin meninggi.

Farhan mendengus. Tidak mengendahkan Maya, daun pintu terus ditutup. Langkah diayun untuk naik ke atas dan tali leher yang masih tersarung kemas dilonggarkan.

"Aku cakap dengan kaulah, Farhan!" tengking Maya pula. Geram pula dia apabila tidak diendahkan oleh suaminya itu. Farhan ingat dia tunggul?

Tercabar mendengar Maya ber'aku' 'kau' dengannya, langkah Farhan terhenti.

"Saya dari ofislah, awak ingat saya dari mana?" Jelingan Maya dibalas.

Sejak kebelakangan ini, dia rasa setiap kali melangkah masuk ke dalam rumah seperti sedang terjun ke dalam neraka. Apa tidaknya, sejak beberapa bulan ini, Maya yang lembut dan manja tiba-tiba bertukar menjadi singa betina yang kelaparan.

Setiap hari pasti ada sahaja isu-isu yang dibangkitkan oleh Maya dan berakhir dengan perbalahan. Maya tidak habis-habis menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan bekas isterinya sedangkan sejak bercerai, dia memang tidak pernah bertemu bekas isterinya itu. Bila dia menafikan, Maya langsung tidak mahu percaya malah menuduhnya dengan bermacam-macam tuduhan lagi. Sungguh! Dia seperti sudah tidak kenal lagi dengan Maya yang dikahwininya hampir dua tahun itu. Demi Tuhan, dia betul-betul menyesal!

"Oh! Dari ofis." Maya menyindir.

"Bukan kau pergi cari janda kau tu ke?" bedilnya lagi. Farhan dijeling semakin tajam dan dengan riak yang menyinga. Ke mana lagi Farhan pergi jika bukan bertemu Safiya? Kalau tidak, masakan sejak beberapa bulan kebelakangan ini Farhan sering balik lambat.

"Awak boleh tak jangan main tuduh aje? Saya dari ofis ni dan saya penat, awak tahu tak?" Keluhan keras dilepaskan dan kepala digeleng.

"Sejak akhir-akhir ni, awak tak habis-habis tuduh saya buat perkara yang saya tak buat. Saya rasa saya dah banyak kali beritahu awak yang saya dah lama tak jumpa janda saya tu! Awak tak faham bahasa ke?!" balasnya juga dengan suara yang sedikit tinggi.

Maya mendengus dan wajahnya dicemikkan.

"Cakap kau tu bukannya boleh percaya. Dulu kau boleh tipu perempuan bodoh tu, tentu sekarang kau boleh tipu aku!"

Keluhan kecil dilepaskan dan kepala digeleng.

"Maya, boleh tak kalau kita tak bergaduh tentang hal ni? Boleh tak awak jangan fikir yang bukan-bukan tentang saya dan Fiya?" keluhnya dan rambutnya diraup. Sudahlah dia penat, bertikam lidah dengan Maya semakin memenatkan.

"Amboi... Fiya, ya? Sejak bila pula panggilan 'janda' dah bertukar jadi Fiya? Macam itu pun masih tak mengaku kau masih ada hati dengan janda kau tu?"

"Astaghfirullahalazimmm... Saya kan dah kata saya dah lama tak jumpa dia! Awak tak faham ke?" Farhan mula meninggikan suara. Sakit hati bila dia dituduh dengan sesuatu yang tak pernah dia lakukan. Maya bukannya tidak tahu sejak mereka berkahwin, dia tidak pernah berjumpa Safiya lagi kecuali ketika di mahkamah. Bukan hanya Safiya yang dia tinggalkan tetapi anak-anak juga dia abaikan selama tempoh tersebut sehinggalah sekarang.

"Aku tak percaya! Kalau kau tak jumpa dia, kenapa dalam beberapa bulan ni kau selalu balik lambat? Atau kau ada perempuan lain selain janda kau tu?" serang Maya lagi masih tidak berpuas hati.

"Saya kan dah beritahu awak yang saya sedang sibuk dengan siasatan kes rasuah sekarang. Boleh tak awak cuba faham dengan kerja saya?" bedilnya. Malas hendak bergaduh lagi, dia terus buka langkah memanjat mata tangga.

"Farhan! Aku belum habis cakap dengan kau lagilah!" Maya semakin berang. Langkah Farhan diperhati dengan muka terherot-herot geram.

Tidak mengendahkan amarah isterinya itu, Farhan buka langkah semakin laju. Sudahlah dia sedang penat dan berserabut sekarang, Maya pula sengaja menyerabutkan lagi kepalanya. Itu belum ditambah masalah hutang yang membelenggu fikirannya sejak semalam. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co