Truyen3h.Co

Cinta Kedua

Bab 13

karyaseni2u

"Serius Fiya, mak cik tu serang kau malam tadi?" soal Zira beria-ia. Terus tidak jadi dia hendak menyuap nasi lemak ke mulut sebaik mendengar cerita sahabatnya itu. Haih! Berani betul bini Farhan menyerang Safiya di rumahnya.

Kepala diangguk. Gelas Milo O suam di atas meja dicapai lalu dihirup.

"Dia nak apa?" tanya Zira pula apabila Safiya tidak menyambung ceritanya. Itu yang dia geram dengan Safiya, bila bercerita tak pernahnya habis. Dia pula yang terpaksa beria-ia korek cerita jika hendak tahu apa yang berlaku.

"Cari Farhan," balasnya pendek. Nasi lemak sambal udang terus disuapkan ke mulut.

"Ya Allah, Fiya. Cubalah kau cerita betul-betul. Haih! Geram betullah aku dengan kau ni!" marah Zira seolah-olah hilang sabar. Mahu sahaja dicekik-cekik sahabatnya itu.

Safiya angkat kepala lalu tergelak.

"Makanlah dulu kalau ya pun," tegurnya. Kalau bab gosip bukan main lagi. Rela tak makan tu semata-mata hendak bergosip.

Kepala digeleng. "Selagi kau tak cerita habis, aku tak lalu nak makan. Okey, cuba kau cerita, apa yang berlaku?" desaknya.

Tawa Safiya semakin galak. Melihat reaksi Zira, kepalanya digeleng. Menyesal dia beritahu.

"Dia datang serang aku dekat rumah sebab dia ingat Farhan ada dekat rumah aku," beritahunya.

Zira mencemik benci. "Haih! Boleh pula dia cari Farhan dekat rumah kau. Lagipun, berani ke Farhan ke rumah kau lagi?" marahnya.

"Itu yang aku pelik tu. Kenapa mesti dekat rumah aku, dia cari Farhan?" Kepala digeleng. Dia masih tidak percaya lagi dengan tindakan Maya malam tadi. Mesti Maya ingat dia dan Farhan masih berhubungan agaknya.

"Fiya, aku rasa kan, mesti Farhan ada perempuan lain." Zira ketawa kecil.

Safiya jongket bahu. Malas dia hendak ambil tahu. Kalau betul pun Farhan buat perangai lagi, padanlah dengan muka Maya. Sebelum ini mengata dia tak pandai jaga laki tapi sekarang kau rasalah pula. Lelaki seperti Farhan bukannya cukup dengan satu. Kalau dahulu ketika dengannya Farhan berani buat, tak mustahil sekarang pun sikap bekas suaminya itu masih seperti itu.

"Aku sebenarnya dah malas nak ambil tahu pasal dia lagi. Lantaklah dia terlungkup ke, nak melingkup ke, aku tak peduli. Tapi janganlah libatkan aku lagi dalam masalah rumah tangga dia orang. Ingat aku apa? Sama spesies penyondol macam dia? Helo! Kalau aku nak kahwin lagi pun aku tak akan kahwin dengan orang yang sama. Buat apa aku nak tanggung masalah lagi? Dan lagi? Hurm... Cukuplah apa yang aku dah tanggung dulu. Aku dah tak sanggup dah. Serik!" luahnya.

"Betul, Fiya. Kalau kau nak kahwin, carilah orang lain. Macam Encik Izham ke."

Safiya terdiam. Tajam matanya merenung Zira di hadapan. Dah kenapa tiba-tiba nama Izham yang Zira sebut? Macam tak ada nama lain pula nak dipetiknya atau ada berita panas di pejabat yang dia tidak tahu?

"Kenapa?" Zira kerutkan dahi.

"Aku pelik."

"Pelik kenapa?"

"Kenapa nama Encik Izham yang kau sebut? Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?" Zira direnung semakin dalam. Sudu dan garpu yang masih di tangan terus diletakkan ke atas pinggan. Tiba-tiba sahaja dia hilang selera.

Zira garu kepalanya yang tidak gatal. Aduhlah! Macam manalah dia boleh tersebut nama Encik Izham, COO syarikat yang kacak, bergaya dan berkarisma itu tiba-tiba?

"Zira!" Sahabatnya itu direnung semakin dalam.

"Errr... Sebenarnya, Fiya..."

"Sebenarnya apa?" sergahnya dan tangan dipelukkan ke tubuh.

"Sebenarnya ada yang bawa cerita kata nampak kau naik kereta Encik Izham hari tu."

Keluhan kecil dilepaskan. Sudah dia agak, pasti ada mata-mata yang akan ternampak. Tengok? Tentu dah kecoh tentang hal itu di pejabat mereka. Fiya... Fiya... Tak habis-habis gosip pasal kau berleluasa.

"Tapi betul ke kau naik kereta Encik Izham?" Teragak-agak Zira bertanya.

Kepala diangguk. "Betul, tapi masa tu kami keluar sebab nak bincang pasal kempen produk baru tu. Aku nak berbincang dekat ofis tapi Encik Izham kata tak elok sebab kami tinggal berdua aje. Dia ajak aku bincang dekat luar. Nak naik dua kereta dia kata nanti lambat. Kau tahulah waktu-waktu macam tu kan jalan jammed, sebab itulah aku tumpang kereta dia. Bukan sebab kami ada apa-apa. Tak ada, memang betul tak ada apa-apa." Panjang lebar dia bercerita membela diri sendiri dengan harapan Zira mampu membersihkan namanya. Maklumlah, Zira kan mulut Astro.

"Ohhh!" Zira terangguk-angguk mengerti.

"Haih! Entah siapalah agaknya yang bawa mulut? Tak habis-habis nak bawa cerita tentang aku merata-rata. Apalah yang dia dapat agaknya?" luahnya kecewa.

"Dengki. Itu ajelah alasannya. Kalau tidak, kenapa dia try hard sangat nak burukkan kau? Adalah tu yang dia tak puas hati dengan kau."

"Kau tahu tak siapa orangnya? Biar aku bersemuka dengan dia dan tanya dia sendiri apa yang dia kesah sangat tentang hidup aku. Kalau dia dengki sangat pun dengan aku, tentu ada sebabnya. Mana tahu dia takut aku rampas suami dia. Jadi biar aku beritahu dia face to face yang aku tak hadap dengan suami sesiapa di sini. Aku kerja dekat sini sebab nak cari rezeki untuk menyara anak-anak aku, bukan hendak menggatal dengan laki orang atau sesiapa aje," ucapnya geram.

Rasanya sudah bertahun-tahun dia bersabar, tapi 'si dia' itu semakin galak menyebarkan fitnah tentang dirinya. Tak takut kafarah daripada Allah? Nanti Allah balikkan kata-kata itu kepada yang empunya diri barulah tahu.

Laju Zira gelengkan kepala. "Sumpah aku tak tahu, Fiya. Cerita ni dibawa dari mulut ke mulut dan yang bawa mulut tu pula jenis menambah perisa sebab itulah jadi tak terkawal."

Perlahan-lahan nafas dihela dan tubuhnya disandarkan ke kerusi.

"Itu baru sikit. Kalau dia orang tahu yang aku dengan Encik Izham akan ke cawangan di Terengganu, tentu semakin banyak cerita yang keluar," keluhnya.

"Kau nak ke sana dengan Encik Izham?" Terbeliak mata Zira mendengar maklumat yang baru didengarinya itu.

Kepala diangguk. "Kami akan pergi sebelum produk dilancarkan untuk memberi penerangan kepada cawangan di sana. Encik Izham pula memang ada program lain dengan ketua-ketua cawangan pantai timur, jadi dia ambil peluang itu untuk buat pre-introduction kepada mereka," jelasnya.

"Peliknya. Kenapa kau dan bukan Encik Rosli? Dia sukakan kau, eh?" Dahi dikerutkan.

"Weiii! Boleh tak jangan fikir yang bukan-bukan? Encik Izham tu ada isteri, tahu tak! Sebenarnya perkara ni Encik Rosli yang putuskan sebab sekarang dia sedang sibuk dengan team satu mencari bahan untuk kempen tahun depan. Lagipun aku bukan pergi berdua aje dengan Encik Izham tapi aku akan bawa team sokongan sekali," jelasnya.

"Kenapa aku baru tahu dan kau tak ada ajak aku pun?" Mata dilirikkan memandang Safiya. Cuba melihat kejujuran di sebalik wajah sahabatnya itu.

"Sebab Encik Rosli baru aje beritahu aku tengah hari semalam lepas dia bincang dengan Encik Izham paginya. Aku tak ajak kau sebab kau kan ada anak kecil. Sanggup ke kau nak tinggalkan anak kau sampai tiga hari?" jelasnya.

"Ohhh!" jawabnya panjang sambil terangguk-angguk.

"Dah! Makan. Nanti lewat pula kita masuk ofis. Aku ada benda penting nak settle sebelum kita print semua brosur dan pamphlet kempen," gesanya dan terus menyambung makannya.

Dengan sengih lebar di bibir, Zira akur dan terus menyuap nasi lemak ke mulut.

Selesai menikmati sarapan pagi, mereka terus bergegas masuk ke pejabat.

"Puan Fiya," sapa Zain sebaik terpandangkan Safiya yang sedang menuju ke biliknya.

Langkah Safiya terhenti. "Ya, Zain." Anak muda yang baru berusia dua puluh enam tahun dipandang.

"Ini design terbaru brosur dan pamphlet yang Puan Fiya suruh saya edit. Puan Fiya check dulu kut ada nak buat penambahan terbaru." Brosur dan pamphlet tersebut dihulurkan untuk Safiya sambut.

"Saya check dulu, ya. Kalau ada apa-apa penambahan nanti saya maklumkan."

Zain mengangguk dan terus pergi dari situ.

Langkah diayun kembali menuju ke biliknya. Beg tangannya diletakkan di belakang kerusi dan dia terus duduk. Rekaan terbaru yang diberikan oleh Zain disemak. Puas hati dengan rekaan tersebut, dia bingkas bangun dan terus keluar menuju ke bilik Izham.

"Morning, Lily," sapanya sebaik meja pembantu peribadi Izham dihampiri.

"Oh! Puan Safiya. Morning." Lily membalas ramah.

"Encik Izham ada?" Pintu bilik Izham dikerling.

"Encik Izham tak masuk hari ni sebab dia ada mesyuarat dengan new investor dekat KL."

"Oh!" ucapnya sepatah. "Esok Encik Izham ada tak?" soalnya.

Lily diam seketika. Planner di atas mejanya dicapai dan program Izham untuk hari esok disemak. "Esok pagi Encik Izham ada janji temu tapi petang mungkin dia masuk ofis," beritahunya.

Safiya mengangguk kemudian dokumen di tangannya diperhati seketika.

"Kalau macam tu, boleh tak Lily tolong berikan dokumen ini kepada Encik Izham? Saya perlukan kelulusan segera untuk dihantar ke syarikat percetakan," beritahunya lalu dokumen tersebut dihulurkan kepada Lily.

"Okey, puan. Nanti saya maklumkan kepada Encik Izham," sambutnya dengan senyuman.

"Thanks, Lily," ucapnya dan terus beredar.

"Fiya!"

Daun pintu kereta ditutup dan Safiya berpaling. Sebaik terpandangkan Farhan, dia mendengus. Hurm... eloklah tu. Malam tadi si sondol yang datang. Pada waktu-waktu remang senja begini yang disondol pula muncul. Tiba-tiba aku pula yang nampak macam langau antara mereka. Haih!

"Cari apa datang sini?" soalnya agak kasar. Dengan Farhan tak payah nak cakap elok-elok. Bukannya dia reti bahasa pun.

"Bukalah dulu pagar ni." Farhan membebel dengan muka cemberut.

"Tak payah. Kalau ada apa-apa, cakap ajelah dekat situ. Kalau orang nampak tak elok. Kita bukannya ada apa-apa lagi. Setakat ex- aje," balasnya sambil menekankan perkataan 'ex-' dan menjeling bekas suaminya.

Berdecup mulut Farhan mendengar kata-kata yang agak sinis itu tetapi disabarkan sahaja hatinya. Wajah yang sedang masam mencuka itu dipandang. Arghhh! Kenapa pula walau dalam keadaan marah begitu, Safiya tetap nampak cantik? Hurm... Kau puji melangit pun dia bukannya milik kau lagi, Farhan. Hati berbisik mengingatkan.

"Abang nak tanya, malam tadi Maya ada datang sini ke?" soalnya cuba berlembut.

"Haaa!" Keras Safiya membalas. Tentu Maya ada mengadu domba dengan Farhan agaknya, kalau tidak masakan Farhan tiba-tiba muncul di hadapan pagar rumahnya.

"Dia nak apa?" Rupa-rupanya betul sangkaannya yang Maya ada ke situ. Patutlah bukan main lagi mengaitkan Safiya dalam pergaduhan mereka.

"Eh! Tanya lagi? Dia cari awaklah. Dia ingat awak tengah berseronok dengan saya. Emmm... Tak inginlah saya. Ingat saya gatal sangat macam dia?" Muka dicemik menyampah.

Farhan hela nafas. Kecewa mendengar kata-kata bekas isterinya itu.

"Kenapa kasar sangat ni? Cubalah cakap elok-elok. Abang tanya baik-baik tadi, kan?" ucapnya masih berlembut.

"Eh! Eh! Tak payahlah nak berabang-abang dengan saya lagi. Geli aih dengar." Bibir dijuih dan tangan dipelukkan ke tubuh. Semasa masih bersama, dia cakap elok-elok asyik ditengking-tengking saja. Jadi sekarang, janganlah marah dia nak cakap macam mana pun. What you give, you get back, man, ejeknya dalam hati.

"Fiya..." panggil Farhan semakin lembut dari tadi.

"Dah! Dah! Straight to the point aje kenapa awak datang ke sini. Saya belum solat lagi ni. Nanti terbang maghrib saya. Awak lainlah, sejadah pun dah tak kenal agaknya," sindirnya.

Terpukul dengan kata-kata Safiya, Farhan hela nafas.

"Fiya marah abang lagi ke?" kesalnya.

"Marah tu taklah, tapi sakitnya tu masih di sini." Tangannya ditunjukkan ke dada.

"Reti?" bedilnya geram.

"Abang tahulah abang salah. Abang dah silap langkah..."

"Eh! Tak payahlah nak buat drama air mata dekat sini. Saya bukannya suka tengok drama pun. Cerita pukul tujuh yang trending tu pun saya tak pernah tengok," pintasnya mematikan kata-kata Farhan. Nak minta simpatilah tu! Ingat aku hairan? Boleh blah!

"Fiya..."

"Encik Farhan, saya tak kuasalah nak dengar apa-apa daripada awak lagi. Baliklah, waktu maghrib ni. Orang tengok tak eloklah," halaunya dengan nada suara yang mula berubah kendur.

"Fiya, abang..."

Keluhan kecil dilepaskan. Nampaknya dia kena berkeras, sebab cakap baik-baik pun tak jalan.

"Sudahlah! Saya nak masuk," tegasnya dan dia terus berpaling.

Sebaik teringatkan sesuatu, tubuh dipusingkan memandang Farhan semula.

"Oh ya Encik Farhan, nanti tolong pesan dekat isteri yang awak cintai sepenuh hati tu, lain kali janganlah ganggu saya lagi. Saya dah move on dah dan tak pernah terfikir nak jadi babi sondol macam dia. Opsss! Sorry. Terkasar bahasa pula," gelaknya dan terus melenggang masuk sambil Farhan dijeling menyampah. Buang masa saja melayan.

Farhan pula hanya memerhati dengan mata terkebil-kebil dan keluhan kecil di bibir.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co