Truyen3h.Co

Cinta Kedua

Bab 4

karyaseni2u

Tuala kecil yang disangkutkan di pemegang treadmill dicapai dan mukanya yang berpeluh dilap kemudian dileretkan ke lehernya yang juga sudah dibasahi peluh. Dengan nafas termengah-mengah, dia terus melangkah turun dari treadmill tersebut dan berjalan menghampiri Jamil yang masih lagi leka melakukan senaman mengempiskan perut menggunakan abs crunch machine.

"Tak sudah lagi ke?" tegurnya dan peluh yang masih mengalir di lehernya dilap.

Jamil menoleh ke sebelah tetapi masih lagi tidak berhenti melakukan aktiviti senamannya. "Kau dah sudah ke?" Dia menyoal kembali dengan nada suara yang sedikit mengah.

Izham mengangguk. "Dah pukul sepuluh dah ni," balasnya dan terus duduk di atas bench yang terletak berdekatan dengan mesin yang digunakan Jamil.

Jamil tergelak kecil. "Hai, tiba-tiba sibuk nak balik. Selalunya, dah pukul dua belas pun masih melepak dekat kedai mamak," giatnya.

Sengih dipamer. "Bukan nak terus balik tapi nak ajak kau minum dekat tempat biasa," gelaknya.

Ketawa Jamil bersambung lagi. Aktivitinya dihentikan. Kain tuala kecil dicapai dan peluhnya dikesat.

"Aku dah agak dah." Dia terus berdiri.

"Jomlah. Aku pun dah letih ni," ajaknya dan terus buka langkah. Beg yang dibawanya dicapai dan botol mineral kecil diambil lalu dihirup rakus.

Izham mengekor. Beg sandangnya juga dicapai dan terus disangkutkan ke bahu.

"Aku jumpa kau dekat sana," ucapnya dan terus buka langkah keluar dari pusat fitness tersebut.

Akur, Jamil mengangguk sahaja dan turut keluar.

Sampai sahaja di Restoran Taj, mereka terus menuju ke tempat yang biasa mereka duduk dan terus membuat pesanan.

"Kecoh sana sini orang duk sembang tentang ICERD." Jamil memulakan bicara. Kotak rokok di atas meja dicapai dan sebatang rokok dikeluarkan. Sebaik hujungnya dibakar, dia mula menyedutnya rakus.

"Itulah. Aku ada dengar juga ura-ura. Katanya akan diadakan perhimpunan membantah perlaksanaan ICERD. Macam-macam versi aku dengar, tapi yang pasti aku suka bila rakyat dan bangsa Melayu mula bersatu." Izham tersenyum puas. Jamil yang sedang asyik menikmati rokok di bibirnya, dipandang bersama gelengan. Sudah hampir lima puluhan tapi sahabatnya itu masih tidak boleh berenggang dengan rokok.

Jamil senyum sahaja dan asap rokok dihembus.

"Orang Melayu kita, bila dah terhantuk baru nak tengadah. Bila dicabar baru terhegeh-hegeh cuba berjuang. Kau faham-faham ajelah maksud aku tu. Tapi nasib baik sedar diri," ucapnya bersama tawa kecil.

"Sekurang-kurangnya apa yang berlaku menyedarkan mereka, bukan menjadikan mereka semakin leka. Bagi aku apa yang penting, agama dan bangsa perlu dipertahankan demi masa depan anak cucu kita," tegasnya.

Bersetuju dengan kata-kata Izham, kepala diangguk. Yalah, kalau bukan mereka yang mempertahankan tanah air mereka sendiri, nak harapkan siapa? desis hatinya.

"Teh tarik. Kopi O panas," ucap pelayan yang menghantarkan pesanan mereka lalu dua gelas diletakkan di hadapan pengunjung setia kedainya itu.

Izham senyum sahaja lalu air kopi O panas dicapai dan dihirup perlahan. Setelah beberapa kali diteguk, gelas diletakkan semula ke atas meja. Mata terus ditalakan ke arah skrin TV besar yang sedang menayangkan perlawanan bola sepak luar negara ketika itu. Teringatkan sesuatu, dia mengalihkan pandangannya ke arah Jamil semula. Sahabatnya yang sedang menikmati teh tariknya itu dipandang.

"Kenapa?" Perasan dirinya diperhati, Jamil terus angkat kepala. Gelas teh tariknya diletakkan semula ke atas meja.

Izham berdeham dan duduknya dibetulkan. "Aku nak minta pendapat kau sebagai seorang sahabat," ucapnya serius.

Melihat reaksi Izham, Jamil kerutkan dahi. Dia turut membetulkan duduk dan pandangan Izham dibalas.

"Cakaplah, apa dia?"

"Kalau aku kahwin lain dalam keadaan Mar macam tu, adakah aku seorang yang zalim?" soalnya tidak berselindung.

Jamil terdiam. Terkedu dia dengan soalan yang di luar alam itu. Izham ingin berkahwin lain? Biar betul?

"Mil..." panggil Izham apabila Jamil terus membisu di tempatnya.

Tersentak, Jamil berdeham. "Emmm... Kau dah ada calon ke?" soalnya tidak terus menjawab pertanyaan Izham.

Kepala diangguk. "Ada seseorang yang aku suka dan aku serius untuk jadikan dia sebagai isteri." Jujur dia mengaku.

"Mar tahu?"

Kepala digeleng pula. "Tak ada sesiapa pun yang tahu even perempuan tu pun tak tahu lagi tentang niat aku."

"Macam mana pula tu?" Jamil kerutkan dahi. Kata suka tapi tak tahu lagi. Habis tu macam mana hendak kahwin?

Izham ketawa kecil. "Sekarang ni aku aje yang sukakan dia tapi dia tak tahu lagi," beritahunya.

"Kau tak approach dia?"

Senyum Izham melebar. "Belum," jawabnya sepatah. Dia sudah mulakan tetapi Safiya yang tidak mengendahkannya. Jadi sekarang dia perlu lakukan cara yang lain pula untuk mendekati wanita itu.

"Hurm... Approach dulu. Dah confirm dapat baru tanya aku soalan tu," seloroh Jamil.

"Milll..." panggil Izham dengan suara meleret. Dia serius, boleh pula Jamil main-main dengan dia. Haih!

"Khir, kita ni bukannya budak-budak remaja lagi. Umur kita dah nak sampai ke separuh abad dah. Sebenarnya tak salah pun kalau kau nak kahwin lagi malah aku galakkan kau buat benda tu. Soal zalim, kau buang ke tepi dulu. Tapi apa yang penting sekarang, kau cari kebahagiaan kau. Sampai bila kau nak macam ni, huh? Masa untuk kita pun dah tak lama, Khir. Jadi, gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaiknya," nasihatnya.

"Kalau kau rasa dia pilihan yang tepat untuk kau, teruskan. Jangan tunggu lagi. Masa tak menunggu kita. Tapi pesan aku, biarlah dia pilihan yang mampu buat kau bahagia," sambungnya pula.

Izham terdiam dan memikir.

"Bertindak Khir, bukan hanya duduk diam memerhati. Mengenali kau, aku tahu kau tu lambat sikit bab-bab macam tu," giat Jamil sambil ketawa.

Izham mendengus dan Jamil dijeling geram. "Itu tandanya aku ni setia," bidasnya membela diri.

"Setia tu biarlah bertempat, Khir. Janganlah nak setia kepada yang tak sepatutnya," bedil Jamil pula.

Tidak menjawab bedilan Jamil, Izham terus diam. Gelas kopi O di atas meja dicapai dan dihirup sedang kepala ligat mencerna setiap patah kata-kata sahabatnya tadi. Nampaknya dia perlu melakukan sesuatu yang lebih agresif, fikirnya. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu dan bibir terus terukir senyum.

Terdengar nyaring telefon bimbitnya berbunyi, Safiya segera berlari ke ruang tamu. Tangannya yang masih basah dikesat pada baju T-shirt yang dipakainya dan telefon bimbit yang sedang berbunyi itu pantas dicapai.

"Waalaikumussalam," sahutnya sebaik panggilan dijawab.

"Tengah buat apa?"

"Makan." Langkah dibuka menuju ke ruang tamu.

"Lewatnya makan? Kata takut gemuk?" Mak Cik Ani tergelak kecil.

"Alaaa... Mak ni, Yah bukannya makan nasi. Makan oat aje," balasnya. "Mak sihat ke?" Alat kawalan jauh televisyen dicapai dan punggung terus dijatuhkan ke atas sofa.

"Alhamdulillah, mak sihat. Tengah makan lagi ke?"

"Taklah. Yah dah kat depan TV ni ha," jawabnya bersahaja sambil alat kawalan jauh ditekan.

"Hujung minggu jadi balik tak?"

Safiya terdiam seolah-olah memikir. "Emmm... Tak tahu lagilah, mak. Yah ingat nak tengok budak-budak hujung minggu ni."

"Ha, ya la. Kirim salam mak dengan along dan angah. Rindu dah mak dengan budak berdua tu." Mak Cik Ani melepaskan keluhan.

"Insya-Allah, mak. Awal bulan nanti Yah bawalah budak-budak balik kampung. Kebetulan ada cuti," ucapnya berjanji. Rasanya sudah hampir tiga bulan anak-anaknya itu tidak menjengah opah mereka di Perak sana. Dia pun sudah hampir dua bulan tidak menjengah orang tuanya. Apa tidaknya, sejak beberapa minggu kebelakangan itu, dia sibuk outstation ke sana ke mari.

"Oh ya, mak telefon Yah ni kenapa?" Alat kawalan jauh terus diletakkan di sebelahnya. Tubuh disandarkan ke dinding sofa dan kaki disilangkan.

Mak Cik Ani melepaskan keluhan kecil.

"Dah kenapa pula tu, mak? Bukan main panjang mengeluhnya. Ada masalah apa lagi ni?" Risau pula dia sebaik mendengar suara keluhan emaknya itu. Kebiasaannya memang jarang benar emaknya menunjukkan reaksi resah begitu melainkan ada masalah yang sedang mengganggu fikirannya.

"Adik kamu Si Safwan buat hal lagi, Yah oiii!" Meleret-leret suara Mak Cik Ani mengadu.

"Ya Allah, apa hal laginya ni, mak? Kali ni berhutang dengan siapa pula?" Kepala digeleng. Tak habis-habis dengan masalah Safwan. Ada sahaja yang dibuatnya mengundang risau orang tua. Sebelum ini sudah banyak juga dia berhabis untuk membantu adik lelakinya itu tetapi tak serik-serik.

"Tak tahulah. Semalam Nuri menangis-nangis telefon mak. Katanya Wan tengah gila betina pula sekarang ni."

"Astaghfirullahalazimmm... Sejak bila pula Si Wan jadi macam tu? Dah banyak duit sangat ke pasang girlfriend baru?" Mulalah mencanak naik darah dia bila mendengar perkara tersebut. Dia memang pantang bila mendengar lelaki curang. Tidak kiralah adik sendiri atau siapa. Memang nak cari nahas namanya itu.

"Itulah yang mak pelik ni." Mak Cik Ani mengeluh lagi.

"Ada Nuri beritahu mak, kenapa tiba-tiba aje Wan gila dengan perempuan tu?"

"Mak pun tak tanya banyak, Yah, sebab dia dah menangis-nangis. Mak rasalah Yah, tentu adik kamu tu kena guna-guna dengan perempuan tu. Mak macam tak percaya aje Wan boleh tergila-gilakan perempuan lain." Mak Cik Ani serkap jarang.

"Mak, tak ada maknanya sampai kena guna-guna bagai. Orang lelaki ni kalau dah gatal, tak kena guna-guna pun tetap merenyam. Tapi Yah rasa, mesti ada yang tak kena tu. Nantilah Yah telefon Nuri tanya dia apa halnya. Kalau tak ada masalah apa-apa, tentu tak akan jadi macam tu." Dia bukannya percaya sangat dengan benda-benda khurafat begitu walaupun ia masih wujud lagi pada zaman milenium macam sekarang. Masih ada lagi yang taasub mengamalkan benda-benda begitu untuk mendapatkan sesuatu. Nauzubillah! Minta dijauhkan daripada terkena benda-benda begitu.

"Ha! Ya la. Kalau boleh, kamu jumpalah Wan sekali. Nasihatkan dia. Suruh dia ingat sikit anak yang masih kecik tu. Jangan nak ikut gila dia aje." Mak Cik Ani sudah mula membebel.

"Biar Yah tanya dulu ya, mak. Yah takut salah faham aje tu."

"Nanti apa-apa hal beritahu mak. Kalau betul anak mak salah, biar mak bahasakan dia pula. Dulu masa nak kahwin bukan main beria-ia lagi. Tak menyabar. Bila dah dapat, dibuatnya anak orang macam tu. Kalau jadi apa-apa, malu mak nanti," ucap Mak Cik Ani beria-ia. Dulu anak perempuannya yang kena. Sekarang anak lelakinya pula yang buat perangai. Memang tidaklah dia akan diamkan.

"Sabar dulu, mak. Kita tak tahu lagi duduk perkara sebenar. Mak cuma dengar dari satu pihak aje. Nanti Yah risik-risik. Lepas tu Yah report dekat mak, ya?" ucapnya diselitkan dengan gurauan kerana tidak mahu emaknya itu memikir yang bukan-bukan. Maklumlah orang tua, kadang-kadang disebabkan perkara kecil pun semalaman tidak dapat melelapkan mata.

"Cepat-cepat risik tu, Yah. Jangan tunggu lama-lama," pesan Mak Cik Ani lagi.

"Ya mak, esok Yah telefon Nuri," ucapnya berjanji.

"Ha, itu aje mak nak cakap dengan kamu."

"Okey, mak. Kirim salam dengan abah, ya. Mak pun janganlah fikir sangat pasal budak berdua tu. Yah tahu, mesti tak ada apa-apanya tu."

"Hurm, tahulah mak. Assalamualaikum."

Salam emaknya dibalas dan talian dimatikan. Bersama nafas panjang, telefon bimbitnya direnung.

"Wan... Wan... Kenapalah nak buat hal pula?" bebelnya sendirian dan alat kawalan jauh dicapai semula lalu butang Off ditekan.

Mendengar berita terkini itu, terus hilang seleranya hendak bersantai menonton televisyen. Tiba-tiba serabut pula dia rasa. Hurm... Tadi pandai sangat nasihatkan emak, tapi sekarang dia pula yang sibuk memikir. Kalau rumah Safwan dekat, rasanya malam itu juga dia sudah menapak ke rumah adik bongsunya itu. Sayangnya rumah Safwan jauh di Cheras sana. Jadi terpaksalah disabarkan hatinya. Tidak menunggu di situ lagi, alat kawalan jauh dicampakkan ke atas kerusi dan dia bingkas bangun. Langkah terus dibuka memanjat mata tangga untuk naik ke biliknya.

Masuk sahaja ke dalam bilik, telefon bimbit terus dicampakkan ke atas katil. Baru sahaja langkah dibuka untuk ke bilik air, terdengar kuat telefon bimbitnya berbunyi. Tubuh dipusingkan semula dan telefon bimbit segera dicapai. Melihat nombor yang tidak dikenali tertera di skrin, dahi dikerutkan. Walaupun nombor tersebut tidak bernama, tetapi nombor itu seperti pernah dia lihat sebelum ini.

"Siapa?" bisiknya tetapi panggilan tersebut dibiarkan sahaja tidak bersambut sehingga mati sendiri. Baru sahaja telefon bimbitnya ingin dicampakkan ke atas katil semula, deringannya menyapa kembali. Panggilan dari nombor yang sama. Dahi berkerut semakin dalam tetapi hati ragu-ragu untuk menjawab panggilan tersebut. Dan sekali lagi panggilan tersebut dibiarkan tanpa bersambut. Malas hendak berteka-teki, telefon bimbitnya terus dicampakkan ke atas katil dan langkah dibuka menuju ke bilik air.

Selesai membersihkan mukanya dan menyapukan segala macam krim seperti kebiasaannya, dia terus berjalan menuju ke almari. Baju tidur dicapai dan T-shirt yang dipakainya terus dibuka. Siap menyarungkan baju tidur ke tubuh dan baju kotornya itu dicampakkan ke dalam bakul, dia terus berjalan menuju ke katil. Telefon bimbit di atas katil dicapai dan tubuh terus direbahkan ke atas tilam. Sebaik elok bersandar di kepala katil, jari dileretkan di skrin sehingga ia menyala. Melihat ada satu notifikasi WhatsApp dari nombor yang menghubunginya tadi, aplikasi tersebut dibuka. Mesej daripada lelaki itu dibaca.

Assalamualaikum. Maaf kalau saya mengganggu Fiya. Saya, Khir Izham Johari. COO di tempat Fiya bekerja. Boleh saya jumpa Fiya esok? - Izham

Selesai sahaja membaca mesej tersebut, spontan itu telefon bimbitnya terlepas dari pegangan sehingga jatuh ke atas tilam. Dengan mata terbeliak, skrin telefon bimbit dipandang semula.

Encik Izham, Chief Operation Officer di tempat dia bekerja? Dada terus berdebar dan saat itu juga dia teringat mesej yang diterimanya beberapa hari lepas daripada orang yang sama. Ya Allah, patutlah nama itu seakan-akan dikenali. Encik Izham rupa-rupanya. Aduhlah... Fiya! Dahinya diketuk. Masak kau, Fiya!

Tapi... Kenapa COO syarikat menghubungi dia pada waktu-waktu begitu? Sepantas kilat itu jam yang terletak elok di dinding biliknya dikerling. Melihat waktu yang sudah menganjak ke pukul sebelas setengah malam, kerutan di dahinya semakin berlapis-lapis. Ada urusan penting apa pula sehingga COO syarikat menghubunginya? Bingung, kepalanya digaru. Habislah kau, Fiya. Mesti KPI kau untuk tahun ini rendah sebab tidak mengendahkan panggilan dari bos syarikat. Erkkk! Tapi apa kaitan Encik Izham dengan KPI dia?

Teringatkan mesej tadi yang masih belum berbalas, dengan tergesa-gesa telefon bimbitnya dicapai semula. Mesej tersebut dibuka dan jemari mula menaipkan sesuatu di papan kekunci telefon.

Waalaikumussalam. Maaf, Encik Izham, sebab tak jawab call Encik Izham tadi. Saya ada urusan lain tadi. Boleh saya tahu atas urusan apa Encik Izham call saya malam-malam macam ni, ya? - Fiya

Saya akan beritahu Fiya esok. Jumpa saya di pejabat saya pukul 11 pagi. - Izham

Dengan muka menyeringai, sekali lagi kepalanya digaru. Emmm... Sejak bila dia ada urusan dengan COO syarikat? Bukankah hanya Senior Manager sahaja yang akan menghadap Encik Izham sekiranya perlu melaporkan sesuatu atau menerima sebarang arahan? Habis tu, Encik Izham suruh dia datang menghadap untuk apa? Haih! Semakin bingung dia!

Baik. Esok pukul 11 pagi saya jumpa Encik Izham. - Fiya

Ikutkan aje, Fiya. Itu arahan bos, kan? bisiknya dan dada kembali berdebar. Ada masalah prestasi kerja aku ke? Kepala digeleng. Tak mungkin, sebab setakat hari ini dia tidak pernah menerima sebarang kompelin daripada orang atasan mengenai prestasi kerjanya. Ada orang menyampaikan sesuatu yang tidak baik tentangnya? Sekali lagi kepala digeleng. Tak mungkin tentang hal-hal begitu, COO yang kena selesaikan. Haih! Kenapalah agaknya?

Aduh! Jammed kepala otak dia!

Membaca balasan mesej daripada Safiya, Izham tersenyum. Nampaknya itu sahaja caranya untuk dia bersemuka dengan Safiya. Gunakan kuasa veto yang dia ada.

Saya tunggu Fiya pukul 11 pagi esok. Jangan lewat sebab saya pun ada banyak urusan lain yang perlu diselesaikan. - Izham

Mesej yang baru ditaipnya dihantar dengan senyuman yang semakin lebar. Dia tahu mesti Safiya kalut sekarang. Apa tidaknya, tiba-tiba COO syarikat memberi arahan begitu. Hurm... Tapi itulah hukumannya kerana tidak mengendahkan panggilan dan mesej yang dihantarnya sejak beberapa hari lepas. Safiya tahu tak betapa libang-libunya perasaan dia sejak itu? Belum ditambah dengan rasa malu lagi kerana tidak dipedulikan.

Izham... Izham... Sejak bila pandai memaksa? Hati bertanya sendiri.

Izham tersenyum sumbing.

Sejak hati sudah tidak mampu untuk berselindung lagi dan sejak Jamil tak henti-henti memberikan kata-kata semangat! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co