BAB 10
BADANNYA lesu. Habis tulang belakangnya mencucuk-cucuk sakit. Farhaini turun dari motosikal. Tubuh dipusing ke kiri dan kanan sambil melakukan senaman kecil. Lega. Dia mendepangkan tangan untuk menghirup udara segar.
"Lambatnya balik," tegur Abang Idham di muka pintu. Farhaini mematikan segala langkah. Mata mengerling abangnya yang sedang berpeluk tubuh.
"Baru habis kerja," jawabnya perlahan.
"Bahaya tau memandu malam-malam macam ni. Anny tu dahlah perempuan."
Farhaini menutup pagar utama sebelum melangkah masuk. Dia merebahkan tubuh di atas sofa. Abang Idham masih berdiri tegak di ruang tamu itu.
"Dah majikan Anny baru benarkan Anny balik. Takkan nak minta balik awal pula." Sempat dia menjeling jam di dinding yang sudah menunjukkan ke pukul 9.00 malam.
Dia keluar dari rumah Encik Farouk tadi dalam lingkungan pukul 8.00 malam. Usai solat maghrib dan mengemas pinggan mangkuk, barulah dia dibenarkan pulang. Esok jam 6.00 pagi dia mesti berada di sana semula. Untuk menyiapkan sarapan dan menyediakan segala keperluan keluarga majikannya itu.
"Abang nak Anny cuba cari kerja lain juga. Abang tak setuju sebenarnya Anny nak jadi pembantu rumah ni. Itu satu tugas yang sangat memenatkan. Kalau dapat majikan yang cerewet dan tak nak berkompromi, itu lagi memenatkan."
Dalam hatinya bersetuju dengan kata-kata Abang Idham. Farhaini menarik segaris senyuman.
"Kalau Anny dapat peluang kerja yang lebih baik, pasti Anny akan terima. Tapi buat masa ni Anny tak boleh menolak apa yang ada. Anny naik ke bilik dulu. Good night."
"Pergilah berehat."
Abang Idham menghantar Farhaini dengan pandangan berat. Terluka hatinya melihatkan kepenatan yang terpancar di raut wajah si adik. Dia tahu Farhaini macam mana. Dalam hatinya berdoa semoga Farhaini akan mendapat peluang kerja yang lebih baik selepas ini.
TRING! Tring!
Cepat-cepat Farhaini berlari keluar dari bilik air. Telefon bimbitnya yang dari tadi berlagu kuat dicapai. Dahinya berkerut rapat. Macam pernah dilihat nombor yang tertera.
"Assalamualaikum," ujar Farhaini membuka perbualan.
"Waalaikumussalam. Awak tengah buat apa?" soal si pemanggil. Farhaini menggigit bibir apabila derianya mengecam suara lelaki itu.
"Encik Adam?" soalnya geram. Ketawa Adam memenuhi corong telefon.
"Ya, sayalah. Kenapa? Awak tak save nombor saya ke?"
"Memang pun. Kalau saya tahu ni nombor encik, saya tak angkat langsung."
Sekali lagi lelaki itu ketawa.
"Sampainya hati."
"Jangan nak mengada-ada. Encik telefon saya malam-malam ni kenapa?" soal Farhaini.
"Ai, telefon pun salah?"
"Cepatlah cakap encik nak apa?" Terlepas jua rungutannya. Ingatkan ada panggilan kecemasan daripada rumah majikannya. Rupa-rupanya gangguan si mamat psiko ni.
"Saja call sebab saya nak dengar suara awak."
Senafas ayat itu membuatkan Farhaini kelu. Kali ini dia mendiamkan diri. Tak tahu nak memberi jawapan yang bagaimana.
"Nak cakap tu aje ke?" Selamba dia menyoal bagi menutup gelodak rasa yang tiba-tiba muncul ini.
"Kalau saya cakap lebih-lebih nanti ada orang mengamuk pula. Jadi, saya cakap yang ringan-ringan aje dulu."
Tanpa sedar bibir Farhaini tersenyum kecil. Kalaulah lelaki itu berada di hadapannya sekarang pasti sukar untuk dia menyembunyikan riak wajah. Sesiapa yang mendengar pasti sahaja merasai apa yang dia rasakan saat ini.
"Eee... Geramnya saya dengan encik ni."
"Geramlah banyak-banyak sikit. Baru saya sentiasa dalam fikiran awak."
"Malas nak layan. Bye!"
Farhaini terus menekan butang merah. Wajahnya sudah membahang kemerahan. Betul-betul geram dan malu. Dia letakkan telefon bimbit di atas katil.
ADAM tersenyum lebar. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Pelik dengan diri sendiri. Ibu jari kanan dibawa menyelusuri di bibir bahagian bawah.
"Kenapa dengan aku ni? Angau ke?" Dia menyoal diri sendiri.
Entah kenapa fikirannya seakan-akan kuat mengingati tentang gadis bernama Farhaini itu. Pelik tapi itulah kebenarannya. Mereka tidak mengenali di antara satu sama lain tetapi aura gadis itu mengetuk hatinya. Kalau boleh dia mahu mengenali Farhaini dengan lebih dekat dan seterusnya menghentikan pencariannya dalam mencari seorang isteri.
"Kali ini aku benar-benar takkan putus asa sehingga dia sambut salam perkenalan aku." Janjinya kepada diri sendiri.
"Farhaini... Farhaini... Aura apa yang kau pakai?" Sekali lagi dia ketawa kecil. Dirinya dirasakan terlalu tua untuk merasai perasaan bahagia sebegini. Tapi ada apa dengan usia? Usia bukan penghalang seseorang untuk mengecapi kebahagiaan.
HARINYA bermula seperti semalam. Usai menyiapkan sarapan, Farhaini segera menyiapkan uniform dan kasut sekolah Irdina dan Iqbal. Anak-anak majikannya akan ke sekolah tepat jam 7.00 pagi nanti.
"I nak inform you sesuatu ni." Encik Farouk bersuara ketika di meja makan. Farhaini yang berada tidak jauh dari situ turut terdengar perbualan itu. Dia lihat Puan Gee hanya mengangkat muka tanpa menjawab apa-apa.
"Malam esok I ajak kawan I dinner di rumah. You jangan pergi mana-mana pula."
"Siapa kawan you tu?"
"Adalah. Kenalan business I. I ajak satu family dia datang."
"Okey. Farhaini!" Puan Gee melaung memanggil Farhaini. Jeritnya ibarat Farhaini duduk sebatu dari situ.
"Puan."
"You dengar, kan? I nak you siapkan apa yang patut. Jangan malukan I depan tetamu esok."
"Gee..." Panjang teguran Encik Farouk. Kurang selesa dengan nada suara dan arahan isterinya itu. Puan Gee tidak mengendahkan jelingan suaminya.
"You kemas rumah dan masak sedap-sedap. I nak you tukar langsir, sarung sofa dan alas meja ni. Pastikan semuanya baru," arah Puan Gee lagi.
"Baik, puan."
"And, I nak you gantikan vase besar dekat depan tu. Ambil vase baru dalam stor dan letak bunga segar dalam tu."
"Errr... Nak guna vase yang mana satu, puan?"
"You carilah dalam stor tu. Please be extra careful. Dalam tu banyak benda berharga. Kalau rosak, you takkan mampu ganti dengan duit gaji you tu."
Farhaini meneguk liur. Pagi-pagi lagi dia sudah diduga dengan kesabaran hati. Dengan paksa rela dia mengangguk. Tak akan mahu dibantah pula arahan puan besar ini.
"You boleh pergi sambung buat kerja you." Encik Farouk memberi isyarat supaya Farhaini beredar dari situ.
"You ni, Gee. Berapa kali I cakap jangan layan pembantu kita macam tu. Please respect her. Dia pun ada hati dan perasaan juga."
"Kenapa? You dah berkenan ke dengan pembantu you tu? Mentang-mentang dia muda, you nak backup dia pula."
Farhaini dengar bunyi sudu dan garpu dihempas kasar pada pinggan. Irdina dan Iqbal juga terdiam. Suasana rumah bertukar hening.
"Gee!" Suara Encik Farouk benar-benar tinggi sekarang. Farhaini serba salah. Dia tahu pergaduhan yang berlaku itu ada kena-mengena dengan dirinya.
Puan Gee bangun dan melangkah ke pintu rumah. Irdina dan Iqbal sudah berpandangan sesama sendiri. Encik Farouk juga bangun dan menghampiri isterinya.
"You janganlah macam ni." Kali ini suara Encik Farouk sudah mengendur.
"You hantar anak-anak ke sekolah. I tak ada mood."
"Baiklah, biar I yang hantar kakak dan adik. You janganlah marah-marah macam ni," pujuk Encik Farouk. Wajah Puan Gee masih masam mencuka.
"Farhaini, pergi ambil handbag dan kasut I." Fokus sudah beralih kepada Farhaini pula. Kali ini Encik Farouk tidak berkata apa-apa lagi. Takut mendatangkan kemarahan isterinya buat kali kedua.
Farhaini berlari anak mendapatkan bag dan kasut dari rak. Dihulurkan di hadapan Puan Gee. Tanpa ucapan terima kasih, Puan Gee terus berlalu. Farhaini lihat Encik Farouk mengeluh kecil.
"Sorry about that." Encik Farouk memandang Farhaini. Air mukanya benar-benar terserlah rasa bersalah. Untuk tidak merisaukan majikannya, Farhaini senyum kecil sambil menggeleng.
"Tak apalah, encik. Dah memang tugas saya."
"I harap you bertahan kerja di sini."
Dan Farhaini hanya mengukir senyum. Tidak mampu untuk memberi jawapan yang pasti. Dia sendiri tertanya-tanya. Mampukah dia bertahan?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co