BAB 9
HARI pertama dia menjejakkan kaki di rumah Encik Farouk. Rumah banglo sederhana besar itu membuatkan Farhaini sedikit kagum. Pertama kali dia berada di rumah sebesar itu.
"Cari siapa?" Suara seorang wanita menegur.
Farhaini yang baru nak berangan cepat-cepat tersedar. Dia tersenyum dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Lambat-lambat huluran tangannya bersambut.
"Saya Farhaini. Pembantu rumah yang baru."
"Dari agensi mana?" Wanita cantik berbaju peplum ini merenungnya tajam. Tidak ada secalit senyuman di bibirnya.
"Errr..."
"I yang upah dia. Staf I kenalkan."
Muncul pula seorang lelaki menyelamatkan keadaan. Wanita itu berpeluk tubuh sambil memalingkan wajah ke arah lelaki tadi.
"You tak bincang pun dengan I." Nada suaranya keras. Lelaki tadi menggaru belakang kepalanya sambil mata melirik ke arah Farhaini.
"Nama you Farhaini, kan? I Encik Farouk. You masuklah ke dalam dulu. Nanti I jelaskan tentang tugasan you." Tanpa menjawab soalan wanita tadi, lelaki itu memberi arahan kepada Farhaini.
Farhaini mengeras di situ. Kekok dengan suasana di antara lelaki dan wanita itu. Dia nampak wanita cantik tadi turut menjelingnya. Apabila Encik Farouk mengangguk dan menunjuk ke arah pintu Farhaini mengikut saja. Dia masuk ke dalam.
"You?" Wanita tadi masih menyoal.
"You juga yang membebel cakap nak pembantu rumah dengan segera. Bila dah ada, you nak soal siasat I pula." Encik Farouk membalas. Dia juga berpeluk tubuh memandang tingkah isterinya.
"You yakin ke dia boleh buat kerja? Macam mana kalau dia ada niat nak mencuri barang dalam rumah kita ni?"
"Stop it, Gee. You ni selalu fikir yang bukan-bukan. Dengan maid lama kita pun you selalu nak cari gaduh."
"I am the boss."
"I know. Tapi pembantu rumah pun manusia juga. You tak boleh layan mereka macam hamba abdi you. Remember that! I tak nak benda sama berlaku lagi." Keras suara Encik Farouk dan dia berlalu masuk.
Gee mengetap bibir mendengar bicara keras suaminya. Dengan hati yang panas dia menghempas pintu keretanya. Minyak ditekan dan dia berlalu pergi.
FARHAINI terdengar perbalahan kata di luar rumah. Itu membuatkan dia menjadi semakin kekok. Encik Farouk menghampirinya dengan senyuman di bibir. Sempat Farhaini menjeling pintu rumah yang dibiarkan terbuka.
"Jemput duduk dulu," ujar Encik Farouk mempelawa.
Farhaini melabuhkan punggung di atas kerusi kayu berdekatan.
"I nak masuk pejabat sekejap lagi. Jadi, I akan terangkan tugasan you secara ringkas," sambung majikannya. Farhaini mengangguk.
"Yang you jumpa dekat depan tadi Puan Gee. Isteri I. Kami ada dua orang anak. Yang perempuan umur 11 tahun dan lelaki pula 10 tahun. Tugas you di sini kemas rumah, memasak, uruskan laundry dan siram pokok-pokok di halaman depan," jelas Encik Farouk sambil lelaki itu menghulurkan sekeping sampul surat kepadanya.
"I dah senaraikan semua info tentang apa yang anak-anak I tak boleh makan. Apa yang isteri I tak suka dan segala maklumat yang akan membantu you uruskan rumah ni."
"Baik, encik."
"Please let me know if you have any questions. Nombor telefon I dan isteri I ada dalam sampul tu."
Farhaini mengangguk. Encik Farouk mencapai beg kerjanya dan meminta diri untuk ke pejabat. Tinggallah Farhaini keseorangan di dalam rumah besar ini. Tangannya membuka sampul surat di tangan.
"Irdina. Umur 11 tahun. Alahan dengan kekacang. Tak suka makan sayur." Farhaini membaca baris pertama yang tertulis di atas kertas.
Matanya memandang potret keluarga di dinding. Gambar kanak-kanak perempuan itu dipandang. Wajah persis ibunya. Dia memandang pula gambar si adik lelaki.
"Iqbal. Umur 10 tahun. Tak suka makan ikan. Lauk harian mesti ada ayam." Bibirnya ketawa kecil. Teringat anak saudaranya yang juga hantu ayam.
"Puan Gee. Makanan yang dimasak mestilah sihat. Tak boleh makan makanan yang terlalu berminyak. Waktu makan sebelum pukul 6.00 petang."
Farhaini menghafal segala maklumat. Dia menyimpan nombor telefon Encik Farouk dan Puan Gee di dalam telefon bimbit. Farhaini meletakkan begnya di bahagian dapur dan mula mengemas rumah. Sebenarnya dia agak terkejut apabila mula-mula masuk tadi. Keadaan rumah agak bersepah dan kasut tidak disusun di depan pintu.
"Kotornya..." ujar Farhaini saat dia membuka pintu bilik air di tingkat bawah. Dia mencekak pinggang sambil melipat lengan baju. Hari pertama yang pasti sangat memenatkan.
ADAM mengetuk jarinya di atas meja. Fikirannya masih memikirkan tentang perbualannya bersama Farhaini semalam. Dia mengetap bibir apabila teringat bicara gadis itu.
"Dia reject aku?" soal Adam sendiri. Kemudian, bibirnya tersenyum. Lawak apabila teringatkan luahan ringkasnya semalam.
Saya rasa saya dah suka awak.
Adam ketawa. Dia menggaru belakang kepala. Tak sangka bibirnya mengeluarkan ayat sebegitu.
"Farhaini... Bukan kerja mudah nak rapat dengan kau."
Pintu pejabatnya diketuk. Terjengul wajah Izzad Daniel. Adam bangun dan menghampiri Izzad Daniel.
"Jom lunch."
Adam mengangguk. Dia mengikuti Izzad Daniel dari belakang. Sewaktu di dalam kereta Izzad Daniel menyerahkan sebuah fail berkulit tebal kepadanya. Adam mengerut dahi.
"Ini dokumen untuk Permata Holding. Nanti kau call nombor yang aku dah selitkan dalam fail tu. Jumpa dia dan bagi fail ni. Urgent tau," beritahu Izzad Daniel. Adam mencapai fail yang dihulurkan.
"Ini projek yang kau tengah uruskan sekarang, kan?"
"Hmmm... Dah nak settle dah. Sebab itu aku nak kau hantar ni untuk pengesahan pihak sana."
"Okey. Baik, bos." Adam buat tabik hormat. Izzad Daniel hanya menyimpul senyum.
Jauh dalam sudut hatinya dia sedikit sedih kerana orang kanan yang paling dia percaya akan berhenti kerja tidak lama lagi. Tapi dia tahu Adam sedang mengejar cita-cita dan impiannya sendiri.
"I'm gonna miss you." Tiba-tiba Izzad Daniel cakap begitu. Adam mengerut dahi.
"Ha?"
"Yalah, kau nak berhenti dah minggu depan. Aku akan rindu nak bekerja dengan kau." Izzad Daniel tumbuk bahu Adam.
"Kau ni buat adegan sedih pula dekat sini." Adam ketawa kecil. Terlalu banyak yang mereka berdua sudah alami. Memang dia sendiri pun akan merindui waktu dia bekerja di bawah Izzad Daniel.
"Kau jangan lupakan aku pula, Adam."
"Aku bukan nak pindah negeri pun. Kita still boleh keluar lepak sama-sama. Hujung minggu kau datanglah kafe aku. Barulah cepat sikit aku kaya," gurau Adam.
Izzad Daniel ketawa. Dia bangga dengan Adam. Lelaki yang pada mulanya tidak punya apa-apa, tapi sekarang sudah boleh membuka perniagaan sendiri. Sebagai seorang sahabat baik, Izzad Daniel benar-benar bangga dengan kejayaan Adam. Dia tahu Adam banyak berkorban dari mula lelaki itu menjadi pembantunya sehingga sekarang. Kerja keras yang akhirnya berbalas.
"I'm so proud of you." Sekali lagi Izzad Daniel tepuk bahu Adam.
TUGASANNYA terhenti saat terdengar pintu rumah dibuka. Cepat-cepat Farhaini mengelap tangan pada kain yang tersangkut di bahunya. Suara orang berbual mengiringi langkahnya ke ruang tamu.
"Siapa ni, mama?" Seorang gadis bertocang satu menyoal.
Farhaini mengukir senyuman ke arah gadis yang bersuara itu. Ini pasti Irdina, desisnya dalam hati.
"Orang gaji baru kita."
"Okey." Irdina mengangguk sambil memandang Farhaini atas dan bawah. Tanpa menegurnya Puan Gee berlalu ke ruang menonton.
"Hai," ujar Farhaini beramah mesra. Irdina sekadar menghulurkan beg sekolah kepadanya. Lambat-lambat Farhaini menyambut huluran gadis itu.
"Letak beg ni dalam bilik Dina," arah Irdina dan dia juga berlalu ke ruang menonton.
Farhaini menjeling langkah gadis kurus itu dengan rasa tidak percaya. Sudahlah sapaannya tidak dibalas. Kali ini Farhaini memandang Iqbal pula. Si adik ini menanggal kasut dan beg sekolahnya dilempar di atas lantai depan mata Farhaini.
"Bawa beg sekolah anak-anak I masuk bilik dia orang." Dari jauh Puan Gee mengarah.
Farhaini mengetap bibir dengan hati yang sedikit membara. Adakah membawa beg sekolah juga adalah satu tugas pembantu rumah? Farhaini berbicara sendiri dalam hati.
Dia mengangkat juga beg-beg tersebut dan dibawa naik ke atas. Nasib baik Encik Farouk sudah menerangkan kedudukan bilik di atas kertas tadi. Selesai meletak beg, Farhaini kembali ke bawah. Dia menyusun pula kasut-kasut yang dibiarkan bersepah di depan pintu.
Patutlah anak-anaknya macam ni. Sebab ibu dia pun sama, desis Farhaini dalam hati. Kasut tumit tinggi milik Puan Gee juga bersepah di situ.
"You dah masak?" Suara Puan Gee kedengaran menyoal. Farhaini cepat-cepat menghampiri.
"Sudah, puan."
"Pergi hidang. Anak-anak I nak makan."
"Baik, puan."
"Eh, sekejap. Sebelum tu you pergi siapkan pakaian untuk Dina dan Iqbal. Letak pakaian di atas katil."
Langkah Farhaini terhenti apabila mendengar arahan kedua ini. Dia mengerling memandang Irdina dan Iqbal yang sedang kusyuk menonton. Sedikit pun tidak berkutik.
"You faham tak?" Puan Gee menyoal dengan nada dingin.
Farhaini mengangguk walaupun hatinya seakan-akan mahu menjerit.
"Faham, puan."
"Kalau faham, pergilah buat apa yang I suruh tu. You tercegat apa lagi dekat sini?"
Dia berpaling dan kembali naik ke atas. Almari di bilik Irdina dan Iqbal diselongkar. Baju dan seluar dicapai dan disusun di atas katil seperti yang telah diarahkan. Usai tugasan yang ini Farhaini berlari turun ke bawah untuk menghidang makanan pula.
"Pakaian untuk Dina dan Iqbal dah siap di atas, puan," ujar Farhaini memberitahu. Puan Gee menoleh ke arah anak-anaknya.
"Kakak dan adik. Pergi naik atas dan salin pakaian. Lepas tu kita lunch."
"Okey, mama." Irdina dan Iqbal menjawab serentak.
Dua beradik itu berlari ke atas. Puan Gee masih duduk di ruang menonton sambil bermain dengan telefon bimbit.
Farhaini menghidangkan makanan seberapa segera. Tidak mahu majikan dan anak-anak majikan terlewat makan. Pinggan lauk-pauk disusun kemas di atas meja. Dia tersenyum puas.
"Makanan dah sedia, puan." Dia menghampiri Puan Gee. Wanita itu mengangguk tanpa memandangnya. Farhaini masih berdiri di situ untuk menunggu apa-apa arahan.
"I'm hungry." Iqbal turun sambil memegang perutnya. Mendengar suara anaknya barulah Puan Gee berkutik.
Mereka sama-sama melangkah ke arah meja makan. Irdina turun tidak lama selepas itu. Farhaini setia berdiri di sisi meja makan.
"You berdiri macam patung tu kenapa? Senduklah nasi tu untuk anak-anak I." Puan Gee menjeling.
Kelam-kabut Farhaini dibuatnya. Tidak tahu pula yang menyenduk nasi ke atas pinggan juga adalah termasuk dalam tugas pembantu rumah. Berhati-hati dia menyediakan segalanya.
"Kakak nak lauk apa? Suruh maid baru letakkan atas pinggan kakak." Bicara Puan Gee ini sangat menjengkelkan gegendang telinga Farhaini. Baru hari pertama dia sudah panas hati begini. Diarah untuk membuat perkara yang sepatutnya boleh dilakukan sendiri.
"Kakak nak lauk ayam goreng. Dengan sambal telur." Irdina menoleh memandang muka Farhaini. Mata gadis 11 tahun itu diarahkan kepada pinggan-pinggan lauk. Ibaratnya menghantar pesanan 'ambil-lauk-tu'.
"Adik nak ayam goreng juga." Iqbal pula menambah.
Tanpa banyak soal Farhaini mengikut. Seketul ayam goreng diletakkan di atas pinggan Irdina dan seketul lagi di atas pinggan Iqbal. Puan Gee ketika itu sedang memandang telefon bimbit.
"Letakkan lauk atas pinggan I juga," arah puan besar. Farhaini mengetap bibir bawah. Reaksi itu tidak dapat dikawalnya. Dia sendukkan juga lauk-pauk untuk Puan Gee.
"Nanti you basuh baju sekolah anak-anak I. Lepas tu gosok uniform untuk pakai esok dan susunkan buku sekolah dia orang mengikut jadual."
"Baik, puan."
"Selagi tak siap you jangan balik."
Keadaannya sekarang hanya Tuhan yang tahu. Hatinya ibarat disiram dengan minyak tanah. Apinya semakin membara. Sudahlah badannya agak penat mengemas dari pagi tadi. Sekarang kena melayani kerenah tiga beranak yang sangat diva ini.
Sabar, Anny... Sabar... Dia menyedapkan hati sendiri. Terkadang ada anasir jahat yang membisik di telinganya.
Padan muka. Siapa suruh kau pilih nak jadi pembantu rumah. Dapat pula majikan yang banyak songeh macam ni.
Kepala digeleng beberapa kali. Farhaini menepuk pipinya. Tidak mahu terikut-ikut dengan perasaan marah. Pilihan untuk menerima pekerjaan ini adalah keputusan yang dibuatnya sendiri. Tidak ada paksaan daripada mana-mana pihak. Jadi, segala yang terjadi dia sendiri akan menanggungnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co