Truyen3h.Co

HATI YANG TERSAKITI

BAB 11

karyaseni2u

MEMANDANGKAN malam ini Encik Farouk akan menerima tetamu, Farhaini terpaksa bekerja lebih masa. Awal-awal dia sudah memaklumkan kepada Abang Idham yang dia akan terlewat pulang hari ini. Dalam hati takut juga kerana dia memandu seorang diri di lewat malam.

"Kenapa beg dan buku sekolah kakak bersepah ni?"

Soalan Encik Farouk menarik minat semua yang ada di situ. Irdina yang sedang menonton televisyen sekadar menoleh sekilas. Encik Farouk masih bercekak pinggang di ruang tamu itu.

"I'm talking to you, kakak."

"Kak Farhaini, kenapa tak kemas lagi buku Dina tu?" Irdina menoleh ke arah Farhaini yang sedang tercengang. Tidak faham kenapa namanya disebut dalam perbualan itu.

"Papa nak kakak bangun sekarang dan kemas semua ni. Right now!"

"Biasa maid yang tolong kemaskan. Mama pun suruh maid yang kemas. Kenapa hari ni kakak kena kemas sendiri pula?" Irdina merungut. Puan Gee yang sedang baring di atas sofa mula membetulkan duduk.

"You nak kecoh-kecoh ni kenapa? Farhaini, you kemas beg dan buku-buku ni sekarang." Si puan besar sudah mengeluarkan suara. Farhaini yang sedang bekerja di dapur berlari ke depan.

"Jangan buat apa-apa." Encik Farouk menghentikan pergerakan Farhaini. Puan Gee sudah menjeling marah.

"Irdina, papa nak kakak bangun sekarang. Right now!" tegas suara Encik Farouk. Mendengarkan nada suara papanya itu, Irdina terpaksa bangun juga.

"Buku-buku dan beg ni kepunyaan kakak. Jadi, kakak yang kena kemas sendiri. Kakak yang guna barang ni, kakak yang pergi sekolah. Bukan semua kerja kita boleh arahkan kepada pembantu rumah. Kerja senang macam ni sepatutnya kakak sendiri yang buat." Panjang bebelan Encik Farouk. Irdina menunduk.

"Kenapa mama boleh tapi kakak tak boleh?" Perlahan Irdina menyoal. Semua mata tertumpu ke arahnya.

Farhaini memerhatikan raut wajah Irdina. Jauh di sudut hatinya dia kasihankan Irdina dan Iqbal. Ibu bapa mereka yang menjadikan mereka sebegitu. Mereka terlalu dimanjakan dengan kemewahan sehinggakan terlupa sesuatu perkara yang kecil. Iaitu adab.

"Mama selalu suruh pembantu rumah ambil beg, ambil kasut, ambil baju. Bila balik kerja, mama tinggal aje barang mama dekat ruang tamu. Nanti mama suruhlah pembantu yang kemas. Kenapa mama boleh macam tu?" Polos soalan yang keluar dari bibir Irdina.

Encik Farouk meraup tapak tangan ke wajahnya. Farhaini mengerling Puan Gee yang sudah berubah riak mukanya. Encik Farouk menghampiri Irdina dan kepala anaknya digosok perlahan.

"Adik, mari sini." Encik Farouk memanggil Iqbal pula. Kedua-dua anaknya dipeluk erat.

"Listen to me. Ada perkara dalam hidup ni kita kena buat sendiri. Kalau tidak nanti dah besar kakak dan adik tak akan tahu apa-apa. Memang kerja pembantu rumah untuk membantu kita sekeluarga. Tapi bantuan dia pun ada hadnya. Bukan semua benda kita kena suruh pembantu yang buat." Encik Farouk diam seketika.

"Papa tak mahu kakak dan adik jadi orang yang pemalas. Nak ke jadi orang pemalas? Buat apa-apa pun tak mahu. Asyik suruh orang aje," sambung Encik Farouk.

Irdina dan Iqbal menggeleng.

"Jadi, mulai hari ini papa nak kakak dan adik kemas buku sekolah sendiri. Buku ni penuh ilmu. Ilmu yang kakak dan adik belajar di sekolah. Boleh?"

"Boleh, papa," jawab dua beradik ini serentak. Encik Farouk tersenyum. Dia melepaskan pelukan.

"Good. Ini yang buat papa sayang sangat dekat kakak dan adik."

Farhaini yang melihat adegan itu tersenyum panjang. Dia tahu belum terlambat untuk anak-anak kecil ini belajar. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau tidak bermula dari sekarang, bila lagi?

"Pergi naik atas dan bersiap. Sekejap lagi kawan papa nak datang rumah."

Tanpa banyak soal Irdina dan Iqbal mengikut arahan Encik Farouk. Puan Gee masih berpeluk tubuh di situ.

"Dah habis syarahan you?" sindir Puan Gee. Matanya menjeling tajam ke arah Farhaini dan Encik Farouk silih berganti.

"Sebagai ibu, you sepatutnya ajar anak-anak kita perkara yang baik. Apa yang you buat dia orang akan ikut."

"You ni naif betul. You faham tak maksud pembantu rumah? Pembantu! Kerjanya mengikut semua arahan majikan tak kiralah hal kecik atau besar." Jarinya ditunding ke arah Farhaini.

Farhaini mengetap gigi. Makan dalam mendengar ujaran kasar Puan Gee. Dia lihat Encik Farouk sudah menggeleng berat. Sejak dia bekerja di sini, pasangan suami isteri ini sering sahaja bertelingkah kata dan pendapat. Tak sebulu.

"Kalau macam tu lain kali bila you berak you suruhlah pembantu yang cucikan. Dah you terlalu malas untuk buat semua benda mudah ni sendiri."

"Menyampahnya I bila bercakap dengan you ni." Puan Gee menghentak kaki dan berlalu ke dalam bilik.

Farhaini ketawa kecil mendengar sindiran Encik Farouk. Bila Encik Farouk memandangnya barulah dia menutup mulut.

"Itu aje caranya nak buat dia diam," ujar Encik Farouk sambil turut ketawa kecil. Farhaini lega. Ingatkan bosnya itu nak marah kerana dia ketawa tadi.

"I pun nak pergi bersiap. Sekejap lagi tetamu kita tu sampai."

"Okey, encik. Saya dah siapkan semuanya."

"Good. Thank you, Farhaini. Maaf sebab terpaksa susahkan you hari ni."

"No problem, encik. Ini pun dikira pengalaman kerja untuk saya."

Encik Farouk tersenyum manis. Kacak juga lelaki ini. Umurnya pun tidaklah terlalu tua. Baru dalam lingkungan 37 tahun. Sempat Farhaini memuji majikannya ini.

"Saya nak keluar sekejap. Nak ke florist."

Encik Farouk mengangguk.

"Hati-hati bawa motor."

Dan Farhaini merasakan hatinya berbunga. Majikannya ini memang seorang lelaki yang baik. Kalaulah Puan Gee juga sebaik ini tentu sahaja semangat kerjanya akan lebih mencanak tinggi.

BERLARI-LARI anak dia masuk ke dalam rumah kerana sudah terlewat. Jambangan bunga mawar yang dibelinya terus dibawa ke dapur. Encik Farouk dan seisi keluarganya semua sudah cantik berpakaian. Masing-masing sedang menunggu di ruang tamu.

"Kenapa lambat?" Sudah diagak pasti Puan Gee akan menyoalnya.

"Jalan jammed tadi, puan."

"Alasan. You bukannya bawa kereta pun. Sepatutnya you yang naik motor ni menyelitlah. Sudah, cepat masukkan bunga tu dalam vase. Tetamu I dah nak sampai."

Untuk tidak mahu memanjangkan isu ini, Farhaini menyelesaikan tugasnya. Selepas itu dia ke bahagian stor di belakang rumah untuk mengambil kotak-kotak yang disuruh Puan Gee. Entah apa yang ada di dalam kotak itupun dia tidak tahu. Tiba-tiba Puan Gee mengarahkannya untuk berbuat begitu.

"Jemput masuk."

Dari belakang Farhaini dengar bunyi kereta dan suara orang berbual di luar. Pasti tetamu Encik Farouk sudah tiba. Dia masih lagi menyusun kotak-kotak sederhana besar itu untuk dibawa ke luar. Perlahan dia mengangkat kotak itu dan berjalan perlahan-lahan. Pandangannya agak terbatas kerana ditutup oleh kotak tersebut.

"Hati-hati." Ada suara menegur dan dalam masa yang sama Farhaini merasakan kakinya tersadung sesuatu.

Badannya terasa terdorong ke hadapan dan kotak di dalam pegangan juga dirasakan sudah lolos. Farhaini memejam mata kerana tidak sanggup untuk melihat apa yang bakal berlaku.

Bunyi kotak jatuh di atas lantai menghantar pesanan kepadanya. Tapi tubuhnya tidak pula sakit. Perlahan dia membuka mata. Ada seseorang yang sedang menahan tubuhnya dari jatuh tersembam ke lantai. Farhaini menghela nafas lega.

"Terima kasih," ujarnya dan cepat-cepat membetulkan kedudukan. Tidak pasal-pasal dia hampir terpeluk penyelamatnya ini.

"Hati-hati sikit bila berjalan tu." Suara sama dengan suara yang menegur tadi. Farhaini mengangkat wajah. Senyumnya mati. Lelaki itu juga kelihatan terkejut.

"Farhaini?"

"Encik Adam?"

Mereka bersuara serentak.

"Apa yang jatuh tadi?" Dan suara Puan Gee mencelah keadaan membuatkan pandangan Farhaini dan Adam beralih ke arah pintu rumah.

"Apa you buat ni, Farhaini? Angkat cepat kotak-kotak ni. You tahu tak dalam tu ada flyers untuk produk I? You kutip sekarang!" marah Puan Gee.

Cepat-cepat Farhaini menunduk untuk mengangkat kotak-kotak yang terjatuh itu. Adam turut membantu Farhaini. Pandangannya tajam memandang Farhaini seperti meminta penjelasan. Farhaini mengelak dari memandang mata Adam.

"Maaf, puan."

"You ni cuai betul. Malulah sikit dengan tetamu I," bebel Puan Gee dan berlalu masuk.

Farhaini meletakkan kotak tersebut di tepi pagar seperti yang diarahkan Puan Gee awal-awal tadi. Adam masih diam dan mengikutnya.

"Apa yang awak buat dekat sini?" Dingin suara Adam. Farhaini menjilat bibir bawah yang terasa kering.

"Saya tengah bekerja."

"Awak kerja apa dekat sini?"

"Kenapa encik nak tahu pula? Yang encik ni buat apa dekat sini?"

Farhaini menukar topik. Dia nampak rahang Adam yang bergerak-gerak. Selalu dia lihat Adam yang tenang, tapi bukan hari ini. Wajah Adam sedikit merah mungkin sedang menahan marah.

"Saya teman bos ada dinner dengan pihak Permata Holding," jelas Adam. Farhaini mengetap bibir.

"Errr... Bos Encik Adam tetamu yang Encik Farouk ajak untuk makan malam di sini hari ni?" soal Farhaini. Adam menjelingnya sebelum mengangguk kecil.

"Awak belum jawab soalan saya lagi. Awak buat apa dekat sini? Kenapa awak pula yang kena angkat semua kotak-kotak berat ni?"

"Errr..."

"Jangan nak berdalih, Farhaini. Baik cakap apa awak buat di sini?" Adam sudah berpeluk tubuh.

"Saya kerja. Jadi pembantu rumah."

Farhaini angkat muka untuk memandang wajah Adam. Terlihat raut terkejut dan risau pada wajah Adam.

"Kenapa?"

"Kenapa apa? Saya kerja ni sebab saya nak cari duitlah," jawab Farhaini kurang senang. Tiba-tiba disoal siasat ibarat seorang pesalah begini. Mana tak naik angin.

"Tak ada peluang kerja yang lebih baik ke? Awak tahu tak jadi pembantu rumah ni susah? Tengok tadi. Awak kena maki, kena marah, kena buat kerja-kerja berat macam ni. Bahaya tahu tak?" Panjang pula bebelan Adam. Kali ini Farhaini pula yang berpeluk tubuh.

"Encik tak payah ambil tahu dan tak payah ambil kisah tentang apa yang saya buat. Kita bukannya ada apa-apa hubungan pun. Dan lagi satu, encik ingat senang ke nak dapat kerja sekarang? Saya dah dapat peluang ni tak akanlah saya nak lepaskan."

"Saya risau tahu tak? Risau!" Suara Adam sedikit tinggi.

"Kenapa pula encik nak risau? Diri saya pandailah saya jaga sendiri. Kerja dekat mana-mana pun ada kena marah dengan bos. Ada kena maki dengan bos. Encik tahu tak kadar pengangguran pada November 2016 adalah sebanyak 3.4 peratus. Jadi, encik nak saya tambahkan lagi ke peratusan kadar pengangguran untuk tahun ni pula?"

Adam terdiam. Hanya matanya yang bergerak menikam ke anak mata Farhaini.

"Saya tak suka tengok awak dilayan macam ni."

"Saya yang pilih jalan ni. Biarlah saya tanggung sendiri."

Farhaini terus beredar masuk ke dalam rumah. Adam meraup wajahnya. Tidak menyangka yang dia akan bertemu Farhaini di sini. Lambat-lambat dia turut masuk ke dalam rumah.

SUASANA di meja makan agak riuh hari ini. Farhaini hanya berdiri di dapur menunggu majikan dan tetamu-tetamunya selesai makan. Dari jauh dia perhatikan gelagat Puan Gee yang ramah-tamah melayani tetamu. Tanpa sedar Farhaini tersenyum kecil.

"Alangkah baiknya kalau Puan Gee pun bercakap lemah lembut macam tu dengan aku." Farhaini bercakap sendiri. Dia berpaling apabila perasankan mata Adam sedang memandangnya.

"Farhaini!" Laungan Puan Gee membuatkan dia tersentak. Cepat-cepat Farhaini berlari ke ruang makan. Dia berdiri di hujung meja.

Kini semua mata memandangnya. Farhaini kaget.

"Ambilkan air suam untuk Datin Izyanie," arah Puan Gee.

Farhaini mengangguk sambil matanya memandang wanita cantik yang berada tidak jauh darinya. Wanita itu sedang tersenyum manis.

"Pergilah sekarang." Suara Puan Gee menerjah tajam. Farhaini berpaling dan terus kembali ke dapur. Dalam hati rasa sedikit malu kerana dirinya dijerkah di hadapan tetamu sebegitu sekali. Sudahlah adegan di hadapan rumah tadi sudah membuatkan dia malu.

"Maaf susahkan."

Tiba-tiba ada suara kedengaran. Farhaini yang sedang menuang air ke dalam cawan terus berpaling ke belakang. Wanita cantik di meja makan tadi sedang menghampirinya.

"Eh, Datin duduk aje di depan. Nanti saya bawakan air." Farhaini serba salah. Matanya mengerling ke arah meja makan dan sudah dijangka pandangan tajam Puan Gee sedang memanahnya.

"Tak apa. Maaf ya susahkan awak pula sebab kena ambilkan air." Wanita itu bersuara lembut. Sopan dan teratur bicaranya.

"Memang kerja saya, Datin."

"Saya Nurul Izyanie. Nama awak Farhaini, kan?" Wanita bergelar Datin ini seperti mahu berbual lagi. Farhaini mengangguk. Entah kenapa dia merasa senang dengan wanita bergelar Datin ini.

"Awak kenal Adam?" Soalan yang keluar dari mulut Nurul Izyanie membuatkan Farhaini tersentak. Matanya memandang mata Nurul Izyanie.

"Errr... Kenal."

"Patutlah suami saya cakap yang dia pernah jumpa awak." Nurul Izyanie ketawa kecil. Farhaini mengerut dahi.

"Suami?"

"Yang dekat depan tu suami saya. Izzad Daniel. Dia kata awak kenalan Adam. Sebab itulah saya nak berbual dengan awak ni."

"Oh." Farhaini menunduk. Di dalam kepalanya cuba memproses pelbagai data. Izzad Daniel?

"Suami Datin tu pemilik ID Holding, kan?" Farhaini meneka. Nurul Izyanie mengangguk dengan senyuman.

"Adam tu pembantu peribadi merangkap kawan baik suami saya. Kiranya kawan saya juga," cerita Nurul Izyanie lagi.

Farhaini memandang tangannya yang masih memegang cawan.

"Ya Allah, terlupa nak bagi Datin. Ini airnya." Dia hulurkan cawan kepada Nurul Izyanie.

"Nanti kita sambung berbual lagi, ya?"

Farhaini angguk. Dia memandang lenggok tubuh wanita itu yang berlalu ke ruang makan. Dalam hatinya tersenyum lebar.

"Farhaini, kemas meja ni!" Dan laungan puan besar kedengaran tidak lama selepas itu. Menandakan semuanya sudah selesai makan malam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co