Truyen3h.Co

HATI YANG TERSAKITI

BAB 12

karyaseni2u

FARHAINI mengelap tangan dengan kain yang tersangkut di kerusi. Lega apabila tugas mencuci pinggan mangkuk sudah selesai. Matanya mengerling ke arah ruang tamu di mana Encik Farouk bersama tetamu-tetamunya sedang duduk berbual.

"Farhaini..." Namanya dipanggil. Tubuh Adam sedang berdiri di pintu dapur sambil tangannya memegang sebiji cawan.

"Kenapa Encik Adam masuk ke dapur? Nak apa-apa ke?" Farhaini buat biasa walaupun dalam hatinya sudah mula berdebar. Dia tahu pandangan Adam bukan pandangan biasa. Ada perkara yang lelaki itu mahu ucapkan.

"Saya risau tengok awak," ujar lelaki itu serius.

Farhaini ketawa kecil. Tidak habis lagi dengan isu di luar tadi.

"Saya yang pilih kerja ni. Encik tak payah risau."

"Berapa gaji awak?" Tiba-tiba lelaki itu menyoal. Adam berdiri hampir dengannya. Sempat Farhaini memandang ke luar dapur takut-takut Puan Gee memerhatikan tingkah Adam ini.

"Adalah. Kenapa encik tanya?"

"Saya akan bayar jumlah yang sama kalau awak kerja dengan saya."

Farhaini terlopong. Terkejut mendengar tawaran yang diberikan. Dia berpeluk tubuh sambil memerhatikan raut wajah Adam. Serius. Tiada langsung tanda-tanda yang lelaki itu sedang bergurau.

"Encik ni..." Farhaini menggeleng. Dia menghulurkan tangan kepada Adam untuk menyambut cawan kosong di tangan lelaki itu.

"I'm talking to you right now. Tak payah nak buat-buat kerja ni semua." Adam bersuara. Cawan diletakkan di atas meja di hadapan mereka. Farhaini mengeluh.

"Encik Adam. Janganlah nak buat drama pula dekat sini. Saya serius dengan kerja yang saya buat sekarang."

"Saya pun serius bila saya cakap yang saya nak awak bekerja dengan saya. Dari awak jadi orang gaji dekat sini, baik awak jadi orang gaji saya. Tak kena marah, tak kena angkat benda-benda berat. Pilihan sentiasa ada kalau awak pandai mencarinya, Farhaini."

Farhaini mengerut dahi.

"Saya jadi orang gaji encik? Tak naklah."

"Kenapa pula tak nak? Tadi cakap yang awak perlukan sangat kerja ni. Senang-senang awak jadi orang gaji dekat rumah saya. Tak banyak kerja." Adam masih berkeras mengusulkan cadangan ini.

"Janganlah macam ni, encik. Saya nak cari rezeki dekat sini. Mana boleh encik nak rosakkan periuk nasi saya."

"Awak ni!" Kali ini Adam pula yang mencekak pinggang.

"Apa bezanya kalau awak jadi orang gaji dekat sini dengan jadi orang gaji di rumah saya? Saya bayar gaji yang sama banyak. Tugas awak lagi senang sebab rumah saya tak adalah sebesar rumah ni."

Farhaini berdeham sambil membetulkan kakinya. Tawaran Adam yang tiba-tiba ini membuatkan dia tertarik.

"Boleh saya tahu kenapa encik buat semua ni?"

"Saya risau."

"Kenapa encik nak risau?"

Adam diam. Dia menoleh ke belakang untuk melihat kelibat Izzad Daniel di ruang tamu. Lelaki itu masih rancak berbual dengan Encik Farouk.

"Saya maksudkan apa yang saya cakap hari tu."

"Yang mana satu?" soal Farhaini berani. Dalam hatinya sudah dapat mengagak situasi mana yang dimaksudkan Adam. Tapi hatinya gatal untuk mendengar dari mulut lelaki itu sendiri. Cakap dalam telefon lain perasaannya dengan cakap secara empat mata begini. Dia mahu lihat sendiri reaksi Adam.

"I think I am starting to fall in love with you."

Suara Adam kedengaran sangat dalam dan seakan-akan berbisik. Farhaini mengangkat wajah. Tanpa sedar pandangannya jatuh merenung bibir lelaki itu. Bibir yang baru sahaja mengucapkan ayat seakan-akan dalam filem cinta ini.

"Encik Adam?" Suara Encik Farouk memecahkan tembok bisu yang sedang berlaku. Farhaini melarikan pandangan. Dia tahu wajahnya saat ini pasti sedang membahang merah.

"Errr..." Adam juga kelihatan terkejut dengan panggilan itu. Dia menggosok belakang kepalanya.

"Dato Izzad dah nak balik." Encik Farouk menjelaskan. Adam mengangguk.

"Okey. Sekejap lagi saya datang." Adam memberitahu. Encik Farouk memandang Farhaini dan Adam silih berganti sebelum berlalu pergi.

Suasana kembali hening. Farhaini mencapai cawan Adam tadi dan dibawa ke singki. Masing-masing kelihatan kekok dan segan.

"Awak fikirlah tawaran kerja yang saya cakap tadi."

"Hmmm..."

"Dan fikirkan juga apa yang saya baru beritahu tadi. Saya serius nak kenal dengan awak, Farhaini."

Tangannya yang sedang membasuh cawan terhenti. Dia takut nak berpaling. Dia tidak berani untuk membalas.

"Take your time. Saya tak nak paksa awak untuk buat keputusan yang awak tak suka. Good night, Farhaini."

Dan Adam pun melangkah pergi. Farhaini lihat belakang tubuh lelaki itu yang sudah semakin menjauh.

"Farhaini, ke sini sekejap." Encik Farouk memanggil. Dengan langkah berat dia menghampiri ruang tamu.

"Tetamu saya dah nak balik ni."

Farhaini tersenyum kecil saat Nurul Izyanie menghulurkan tangan kepadanya. Dia menyambut salam itu dan badannya dipeluk.

"Nanti kalau free datanglah ke rumah kami. Ajak Adam sekali," bisik Nurul Izyanie saat mereka berpelukan. Farhaini nyata terkejut. Tidak sangka yang tubuhnya akan dipeluk sebegini.

"Insya-Allah, Datin," balasnya saat pelukan sudah dileraikan.

Dia hanya berbalas senyuman dengan Izzad Daniel. Baru teringat yang dia pernah bertemu lelaki ini sewaktu dia memulangkan pakaian Adam tempoh hari. Tidak sangka dunia ini terlalu kecil. Dia bertemu dengan Adam, Izzad Danie dan Nurul Izyanie di sini.

"Terima kasih Encik Farouk dan Puan Gee di atas jemputan makan malam hari ni." Izzad Daniel bersuara. Adam di sebelah turut berjabat salam dengan tuan empunya rumah.

"I yang patut berterima kasih sebab Dato, Datin dan Encik Adam sudi datang hari ni. I harap hubungan perniagaan kita ni akan berkekalan."

"Insya-Allah."

Usai berpamitan, pasangan suami isteri itu dan Adam berlalu dengan kereta yang berasingan. Farhaini mengemas cawan-cawan minuman di ruang tamu. Sempat matanya menjeling jam di dinding yang sudah menganjak ke pukul 10.00 malam.

"I nak tanya you sesuatu." Puan Gee menghampirinya saat dia baru mahu mengangkat dulang ke dapur.

"Ada apa, puan?"

"You kenal ke dengan Datin Izyanie tu?" Puan Gee memandangnya dengan kening berkerut.

"Errr... Tak adalah kenal sangat, puan," jawabnya acuh tak acuh. Kenyataannya dia juga baru pertama kali bertemu dengan wanita cantik itu.

"Okey." Hanya sepatah yang dibalas Puan Gee. Selepas beberapa saat tiada bicara susulan, Farhaini mengambil keputusan untuk terus ke dapur. Tugasnya hanya tinggal untuk mencuci cawan-cawan ini sahaja. Selepas itu dia boleh pulang.

"Malam ni you tidur dekat sini ajelah."

Encik Farouk bersuara saat Farhaini sudah mengambil helmet dan baju sejuk dari bilik solat.

"Eh, tak apalah, encik," tolaknya sopan.

"Bahaya kalau you balik sorang-sorang. Dah malam sangat ni." Nampak riak risau di wajah Encik Farouk. Farhaini hilang kata.

"Amboi... Amboi..." Perbualan mereka dicantas oleh suara Puan Gee. Wanita itu sedang berpeluk tubuh sambil memandang ke arah Encik Farouk.

"Yang you nak risau sangat ni kenapa?" soal Puan Gee sinis. Farhaini mengetap bibir. Nampak gayanya pergaduhan bakal berlaku sekejap lagi.

"Mestilah I risau. Dia pekerja kita. Perempuan pula tu. I risau kalau jadi apa-apa dalam perjalanan balik dia nanti."

"Wow, pandainya you bercakap." Puan Gee ketawa. Farhaini menggaru dagu yang terasa gatal.

"Errr... Saya minta diri dulu ya, encik dan puan." Dia menunduk dan terus berlalu. Malas nak ikut campur dalam pergaduhan suami isteri itu. Nasib baiklah Irdina dan Iqbal sudah naik ke bilik mereka. Kalau tidak, pasti sahaja mereka menyaksikan perang mulut ibu bapa mereka.

Dalam hati timbul juga perasaan bersalah. Adakah pasangan itu bergaduh kerana dirinya? Farhaini risau sendiri. Dia tidak mahu dianggap sebagai perosak rumah tangga orang lain. Enjin motosikal dihidupkan dan dia memecut laju. Nak cepat sampai.

Jantungnya ibarat mahu tercabut saat melalui jalan masuk ke simpang kawasan taman perumahannya. Kiri kanan sunyi dan jalan raya hanya diterangi lampu di bahu jalan. Farhaini cuba menepis segala bayangan mengarut yang menyapa mindanya.

"Nasib baik ada kereta dekat belakang," ujarnya lega. Matanya bergilir memandang ke hadapan dan cermin sisi. Kereta di belakang masih perlahan mengekori. Dia mula tidak sedap hati.

"Kereta ni ikut aku dari tadi ke?" Mulalah dia berfikir yang bukan-bukan. Tapi kalau diperhati memang dia perasan ada kereta yang mengikutnya dari belakang sejak dia keluar dari kawasan rumah Encik Farouk tadi.

"Isy, cepatlah sampai rumah," gumamnya.

Dia melajukan motornya dan kereta belakang turut menekan minyak untuk menyainginya. Farhaini semakin gelisah. Kali ini dia perlahankan kelajuan motosikalnya pula. Mahu lihat sama ada kereta belakang itu akan melintasinya ataupun tidak. Tekaannya meleset. Kereta di belakang turut dipandu perlahan. Farhaini rasa mahu menangis. Nampak sangat kereta di belakang memang sedang mengekorinya.

"Ya Allah... Ya Allah..." Tidak putus-putus dia menyebut nama Allah kerana ketakutan. Apabila masuk ke barisan rumah Abang Idham, dia sudah mampu menarik nafas lega.

Cepat-cepat dia turun dari motor untuk membuka pagar. Saat itulah matanya terpandang kereta yang dari tadi mengekorinya. Dia mengecilkan mata.

"Macam pernah nampak kereta ni."

Apabila menyedari yang Farhaini sedang memerhatikannya, kereta itu mendekat. Semakin dekat ia menjadi semakin jelas. Kereta Honda City.

"Ya Allah, encik rupanya." Lemah lutut Farhaini dibuatnya. Nasib baik tangannya sedang memegang pagar. Kalau tidak pasti dia sudah melorot di sini.

Tuan empunya kereta membuka pintu dan menghampiri Farhaini.

"Kenapa?"

"Yang encik ikut saya senyap-senyap kenapa? Saya takut tahu tak? Ingatkan ada orang jahat nak culik sayalah tadi."

Adam menarik senyum. Tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Lelaki itu memandang sekeliling sebelum kembali memandang Farhaini.

"Tahu pun takut. Yang awak berani sangat balik lewat malam macam ni siapa suruh? Bahaya tahu tak? Nasib baiklah saya tergerak hati nak tunggu awak dekat depan rumah Encik Farouk tadi," jelas Adam.

Farhaini menghembus nafas lega.

"Mana boleh balik selagi tugas tak selesai," jawabnya perlahan. Entah kenapa nada suara Farhaini itu kedengaran lembut di telinga Adam.

"Itulah saya dah offer awak jadi orang gaji saya, awak tak mahu. Tak adalah awak kena balik malam-malam buta macam ni." Adam mengerling Farhaini.

"Encik ni memang sengaja, kan? Cara cakap macam dah offer kerja tu minggu lepas. Padahal encik baru offer tadi." Farhaini menjeling. Beberapa saat kemudian dia tersenyum kecil. Terdengar juga ketawa Adam.

"Pergilah masuk. Dah lewat ni," ujar Adam saat tawanya reda.

Farhaini mengangguk.

"Terima kasih, encik."

"Untuk apa?"

"Sebab encik..." Farhaini berjeda. Dia mengangkat wajah untuk memandang Adam. Tidak tahu adakah kerana keadaan romantik yang hanya disimbahi lampu jalan penyebabnya atau lelaki ini memang kacak? Sempat Farhaini bersoal jawab sendiri.

"Risaukan saya," sambungnya.

Dia nampak bibir Adam bergerak. Tersenyum.

"Good night." Farhaini menunduk dan menolak masuk motosikalnya. Selepas itu dia kembali untuk menutup pagar. Adam masih setia berdiri di sisi kereta.

"Good night." Barulah Adam membalas dan masuk ke dalam kereta. Tanpa sedar bibirnya sedang tersenyum lebar.

Farhaini tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya saat ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co