Truyen3h.Co

HATI YANG TERSAKITI

BAB 13

karyaseni2u

SEKEJAP sahaja sudah genap seminggu Farhaini bekerja di rumah Encik Farouk sekeluarga. Rutin hariannya tidak ada yang berubah malahan semakin bertambah. Dengan sikap dingin Puan Gee yang tidak ada sesaat pun wanita itu tersenyum kepadanya. Farhaini terduduk di atas kerusi dapur. Hanya tinggal dia seorang saat ini kerana semuanya bekerja dan ke sekolah.

Terlakar raut penat di wajahnya. Kalau lihat di cermin dia kelihatan seperti wanita yang lebih tua daripada usianya. Saat ini barulah dia mendalami pengorbanan seorang ibu, seorang wanita dan seorang pembantu rumah. Tugas yang mudah dilihat dari luar, tapi sebenarnya satu tugas yang berat.

"Macam manalah keadaan orang tua yang jadi pembantu rumah? Mesti penatnya lagi berganda." Dia berbicara sendiri. Tangannya menguis skrin telefon bimbit. Mahu membuka e-mel.

"Dukacita dimaklumkan permohonan kerja anda ditolak..." Dia membaca perlahan. Ini permohonan kerja yang entah ke berapa kali. Telefon bimbitnya ditutup dengan hati yang walang.

"Bukan rezeki." Farhaini menyedapkan hati. Dia bangun dan menggeliat kecil. Tidak mahu bersedih di atas sesuatu perkara yang sudah dijangka dari awal.

Tingtong!

Tiba-tiba loceng rumah kedengaran. Farhaini berlari anak ke pintu rumah. Dia menyelak sedikit kain langsir untuk melihat ke luar. Sebuah kereta warna hitam berhenti betul-betul di depan pagar. Ada seorang lelaki sedang menekan loceng.

"Baik call Encik Farouk."

Terus sahaja Farhaini mendail nombor majikannya itu. Selang beberapa saat panggilannya berjawab.

"Yes, Farhaini. Anything?" Suara Encik Farouk menyoal.

"Maaf encik sebab mengganggu. Saya nak beritahu yang ada orang datang ke rumah. Lelaki."

"Siapa? I tak ada tunggu mana-mana tetamu pun." Encik Farouk juga kedengaran tertanya-tanya.

"Dia naik kereta apa?"

"Hmmm... Kereta warna hitam. Toyota Vios kalau tak silap saya," jawab Farhaini acuh tak acuh. Kedudukan corak di pagar rumah itu menyukarkan dia untuk melihat kereta itu dengan jelas.

"Oh... I rasa tu adik ipar I. Nanti I call dia dulu."

"Baik, encik."

"Nanti I inform semula. Baru you buka pagar," putus Encik Farouk. Selepas mendapat kata putus talian dimatikan.

Farhaini masih mengintai orang di luar pagar itu. Kelihatannya dia sedang bercakap di telefon. Pasti berbual dengan Encik Farouk, jika benar itu adik iparnya.

"You boleh buka pagar." Dia mendapat green light daripada majikannya itu. Selepas menyimpan telefon ke dalam poket Farhaini menekan suis pagar utama.

Timbul juga perasaan kurang selesa kerana lelaki itu tidak dikenalinya. Sudahlah dia berseorangan saat ini.

"Oh... Hai..." Lelaki itu menyapanya.

Farhaini hanya mengangguk. Dia membuka bukaan pintu dengan lebih lebar.

"You ni siapa?" Lelaki itu memandangnya sambil tersenyum.

"Saya pembantu rumah."

"Really? Mudanya. Cantik pula tu." Lelaki itu ketawa. Farhaini menarik segaris senyuman. Cuma sebentar.

"Encik ni adik ipar Encik Farouk, ya?"

"Haah. You dah berapa lama jadi maid dekat sini? I tak pernah nampak you pun sebelum ni."

Lelaki itu masuk ke dalam rumah. Beg pakaiannya dibiarkan di tepi pintu. Farhaini masih tegak berdiri di tepi pintu. Pandangan mata lelaki itu masih terarah kepadanya. Dirinya ibarat discan dari atas ke bawah.

"Baru seminggu."

"Patutlah. Nama you apa?"

"Farhaini."

"You boleh panggil I Qayyum." Lelaki itu menghulur tangan untuk berjabat salam.

Farhaini mengetap bibir. Walaupun dia tidak bertudung, tapi dia tahu batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Makanya dia hanya tersenyum kecil.

Lambat-lambat lelaki bernama Qayyum itu menarik tangannya semula. Farhaini lihat lelaki itu tersenyum sinis. Nampak seperti lelaki itu sedang mentertawakannya.

"Encik Qayyum duduklah dulu. Saya nak ke dapur."

Tanpa menutup pintu Farhaini terus berlalu ke belakang. Rasa tidak selamat berada lama-lama di situ. Dia menarik nafas lega apabila masuk ke dapur. Seperti masuk ke dalam kawasan sendiri yang aman dan tenang.

"I macam pernah nampak you sebelum ni. Tapi dekat mana, ya?" Baru sekejap dia merasa ketenangan itu. Qayyum mendekatinya dan berdiri di pintu dapur.

Farhaini mengangkat wajah. Dia turut merenung lelaki itu. Pernah jumpa? Lama dia memerhatikan sebelum matanya membulat. Dia teringatkan seseorang.

Tak akanlah dia! Hati Farhaini berdetik. Dia melarikan pandangan apabila lelaki itu tersenyum.

"You ni Farhaini masa di SMK Cheras, kan?" soal lelaki itu.

Farhaini tidak menggeleng dan tidak juga mengangguk.

"Yes, I know it. Patutlah muka you nampak familiar sangat. Dah makin cantik sekarang ni. I Qayyumlah. Senior you masa sekolah dulu. Ingat tak?" Suara lelaki ini kedengaran sangat teruja.

"Errr... Entahlah. Antara ingat dan tak," jawab Farhaini selamba. Macam manalah dia boleh bertemu dengan bekas teman lelaki Cik Haiza ni pula?

Qayyum ketawa.

"You ni masih sama macam dulu. Suka jual mahal."

"Encik Qayyum nak apa masuk dapur ni?" Dia pantas menukar topik. Dia tidak suka mahu mengingati kisah silam di zaman sekolah dulu.

Past is past.

"You boleh buatkan air untuk I?"

"Encik nak air apa?"

"Qayyum. Just, Qayyum. Tak payah nak berencik-encik. Kita kan kenalan lama." Lelaki itu memotong percakapannya.

"Hmmm... Nak air apa?" ulang Farhaini lagi. Kekok tiba-tiba nak beramah mesra dengan lelaki ini. Dia bukan bodoh untuk tidak menyedari senyuman dan cara pandangan Qayyum. Firasatnya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak selamat bila dia hampir dengan lelaki ini.

"Nescafe ais."

"Okey. Awak tunggu dekat depan. Nanti saya bawa."

Farhaini berpaling dan mencapai gelas panjang dari rak. Dari ekor mata dia nampak yang Qayyum masih berdiri di situ memerhatikan segala geraknya.

"Qayyum, awak boleh tunggu dekat depan." Kerana tidak selesa Farhaini luahkan juga. Terdengar lelaki itu ketawa.

"No. I okey aje duduk dekat sini. Boleh tengok pemandangan yang cantik."

Farhaini ketap gigi. Lain macam maksud ayat yang baru diucap lelaki ini. Tangannya laju menyiapkan minuman yang dipesan. Lagi cepat lagi bagus. Boleh Qayyum beredar dari kawasan dapur ini. Dia meletakkan gelas minuman di atas meja.

"Lajunya buat air," ujar Qayyum sambil mengambil gelas tersebut.

Farhaini tidak mengendahkan lirikan mata lelaki itu. Dia terus melakukan tugas yang masih belum siap. Sekejap lagi Puan Gee dan anak-anaknya akan pulang.

"Sedap air yang you buat ni," puji lelaki itu.

Farhaini merasakan yang suara Qayyum begitu dekat dengannya. Dia berpaling.

"Eh!" Dia terjerit kecil. Badannya hampir terjatuh ke belakang gara-gara terkejut. Tubuh Qayyum sangat rapat di belakangnya.

"Hati-hati." Tangan Qayyum sedang melekat di kedua-dua belah lengannya. Farhaini terus beralih tempat sekali gus meloloskan diri daripada pegangan lelaki ini.

"Awak nak apa?" soal Farhaini dengan jantung yang berdegup kencang. Perasaan terkejut dan takut bercampur dalam diri.

Qayyum ketawa sambil membawa jarinya ke bibir. Matanya masih lagi melekat pada batang tubuh Farhaini.

"You... You... Kenapa nak lari? Takut ke?" Qayyum mengangkat kening.

Farhaini berpeluk tubuh.

"Saya rasa baik awak tunggu dekat depan. Sekejap lagi Puan Gee balik."

"Kakak I tahu yang I nak datang hari ni," jawab Qayyum selamba. Farhaini mengetap bibir.

"Qayyum, please tunggu dekat depan. Saya nak siapkan makanan tengah hari sekarang." Suara Farhaini separuh merayu. Semakin lama lelaki ini di sini semakin dia tidak boleh membuat kerja.

"Biarlah I dekat sini. Boleh temankan you."

Farhaini menjeling. Dia membetulkan apron di tubuh. Nasib baik dia sudah menanak nasi tadi. Hanya tinggal lauk yang belum dimasak.

"Boleh I tanya sesuatu?" Qayyum masih di situ. Lelaki itu menarik kerusi dan melabuhkan punggung.

"Nak tanya apa?"

"Macam mana you boleh kerja dekat sini?"

"Kakak ipar saya yang cadangkan kerja ni. Sementara saya nak dapat tawaran kerja yang lain."

Qayyum mengangguk.

"Dah kahwin?"

"Belum."

"Dah ada boyfriend? Tunang? Someone special?"

Banyak pula yang ditanya. Farhaini tidak terus menjawab. Dia berjalan ke arah peti ais untuk mengeluarkan sayur-sayuran.

"Kenapa awak tanya?" Sengaja Farhaini menyoal semula. Sebenarnya dia kurang selesa mahu berbual soal peribadi dengan lelaki yang tidak berapa dia kenali ini. Dulu waktu sekolah pun dia tidak melayani lelaki ini.

"Saja nak tahu. Kalau masih solo, boleh juga I cucuk jarum."

Jawapan Qayyum membuatkan Farhaini merasa jengkel. Belum apa-apa sudah menunjukkan sikap begini. Tiba-tiba telefon bimbit lelaki itu berbunyi. Farhaini mengambil peluang untuk tidak menjawab soalan yang ditanya. Dia berjalan ke arah singki.

"Helo, sayang. I dah sampai rumah kakak I."

Telinga Farhaini menangkap butir perbualan Qayyum bersama pemanggil. Tidak tahu sama ada Qayyum sengaja berbual di dapur ini ataupun lelaki itu memang berat buntut untuk bangun.

"You jangan risau, sayang. I duduk sekejap aje dekat sini. Lepas habis meeting nanti, I terus balik jumpa you." Qayyum bercakap lagi. Nada suaranya lembut. Mampu membuatkan mana-mana wanita yang mendengarnya pasti cair.

Tapi tidak bagi Farhaini. Dia semakin menyampah dan geram mendengar perbualan itu.

Dah ada makwe ada hati lagi nak mengurat aku, desisnya geram dalam hati.

"Yes, baby. Nanti I belikan hadiah untuk you. I ada kerja sikit ni. Nanti malam I call you semula. Bye, sayang. I love you."

Kebetulan Farhaini sedang memandang wajah Qayyum. Lelaki itu memandangnya dengan senyuman lebar. Talian dimatikan.

"Kawan." Lelaki itu memberitahu.

Farhaini mengangguk dengan senyuman yang dibuat-buat.

"You tak jawab soalan I lagi." Kali ini Qayyum bangun berdiri dan berjalan ke arahnya. Kaki lelaki itu memang tidak reti duduk diam. Asyik nak menempel sahaja.

"Saya dah ada kekasih hati," jawab Farhaini laju. Kaki Qayyum terus terhenti. Nasib baik kedudukan mereka masih jauh. Kalau tidak adegan hampir berlanggar pasti berlaku lagi seperti tadi.

"Really?"

"Hmmm... Betul," tipu Farhaini. Kalau dengan cara macam ni mampu membuatkan Qayyum berhenti mengganggu, dia tidak akan segan silu mengaku yang dia sudah punya kekasih.

"Rugilah. I dah terlambat." Qayyum menggaru kepalanya. Waktu inilah Farhaini ternampak cincin di jari manis lelaki itu.

"Nak tolong saya masak ke?" Tiba-tiba Farhaini bertanya. Sebenarnya lebih kepada mahu menyindir Qayyum. Kerana dari tadi lelaki itu menjadi penunggu dapur.

"Ha?" Qayyum nampak bingung. Bila Farhaini menunjukkan sayur-sayuran di atas papan pemotong barulah Qayyum mengerti. Lelaki itu ketawa kuat.

"You ni pandai nak kenakan I. I like..."

"Mana ada. Saya tanya sebab dari tadi awak duduk dekat sini. Ingatkan nak tolong saya masak," sindir Farhaini.

Sekali lagi Qayyum ketawa. Siap bertepuk tangan lagi.

"You ni..." Qayyum melangkah hampir.

"Buat I geramlah," bisik lelaki itu betul-betul di telinga Farhaini.

Tidak sempat Farhaini hendak membalas, lelaki itu sudah beredar keluar dari dapur. Tawa daripada Qayyum masih kedengaran saat ini. Farhaini menghela nafas berat sambil mencekak pinggang.

"Apa hal dengan mamat ni?" gumamnya. Dia menggeliat geli apabila teringatkan suara lelaki itu yang berbisik rapat tadi.

"Ingatkan Encik Adam aje yang psiko. Yang ni pun sama." Saat ini boleh pula Farhaini membuat perbandingan di antara Adam dan Qayyum. Dia ketawa kecil apabila teringat kejadian malam itu. Malam di mana Adam perlahan-lahan mengekorinya pulang demi keselamatannya.

"No! Kau tak boleh berangan lebih-lebih. Nak mencetus perbalahan dengan Kak Haiza ke apa?" Farhaini mengingatkan diri. Dia menampar pipi sendiri sebelum kembali fokus kepada kerja.

KUKU di jari sebelah kanan digigit perlahan. Tangan kirinya memegang telefon bimbit. Sedang berfikir. Dia menjerit kecil apabila teringatkan kata-kata Qayyum sebelum dia pulang ke rumah tadi.

"Esok lepas awak habis kerja, kita keluar nak?" Qayyum mengajaknya ketika dia sedang menyarungkan baju sejuk di tubuh.

"Errr... Saya kena balik rumah terus," tolaknya.

Qayyum menghalang laluan Farhaini dengan badannya.

"Jomlah. I ikhlas nak ajak you keluar ni. Kita pergi makan-makan. Lepas tu I hantarlah you balik. Banyak benda I nak cerita dekat you." Qayyum masih merenungnya.

Farhaini menggaru kening sambil fikirannya sedang mencipta alasan.

"Sorry. Tak bolehlah. Saya baru teringat yang esok ada orang jemput saya balik." Farhaini ukir senyuman paksa.

"You tengah bagi alasan untuk tolak I ke apa ni?" duga Qayyum.

"Mana ada. Memang betul esok ada orang jemput saya balik."

"Kekasih hati awak?"

Farhaini terdiam sekejap. Lambat-lambat dia mengangguk.

"Hmmm... Yes, dialah! Dia nak datang ambil saya esok." Bersungguh Farhaini mengeyakan.

Dan kerana alasan itulah dia sedang pening kepala sekarang. Sekali lagi telefon bimbitnya ditenung lama. Masih teragak-agak untuk menekan nombor seseorang.

"Adam!" jeritnya apabila nama lelaki itu tiba-tiba terpapar di skrin telefon. Dalam hati memang dah menjerit suka. Memang dia sedang memikirkan nama lelaki ini. Tup-tup lelaki itu yang menelefonnya dulu.

"Assalamualaikum." Suara Adam kedengaran perlahan. Macam suara orang yang kepenatan.

"Waalaikumussalam."

"Saya ganggu awak ke sekarang?"

"Tidaklah. Kenapa tanya macam tu?"

Terdengar ketawa Adam.

"Manalah tahu kot-kot orang tu tengah mandi ke? Bad timing pula nanti," canda Adam.

Farhaini tidak dapat mengawal bibirnya dari tersenyum.

"Dah siap mandi dah. Tengah baring-baring." Ringan sahaja mulut Farhaini bercerita.

"Macam mana dengan tawaran yang saya beritahu tu? Dah fikirkan?"

"Encik..."

"Ha, ni lagi satu. Awak ni dari awal asyik panggil saya encik aje. Saya jadi tak selesa pula. Panggilan encik ni ibarat ada satu jurang yang jauh antara kita. Saya nak rapatkan jurang tu."

"Kenapa encik nak sangat kenal dengan saya?" Sudah lama Farhaini memendam soalan ini. Dia pelik kenapa lelaki seperti Adam tidak putus asa mahu mendekatinya. Dan lebih pelik bila lelaki itu mengatakan yang lelaki itu suka kepadanya. Tak masuk akal.

"Tengok. Awak panggil saya encik lagi. Kalaulah awak ada dekat depan saya sekarang ni, nak aje saya ci..." Suara Adam tiba-tiba diam.

"Ci apa?"

"Errr... Cili mulut tu."

Terdengar Adam menghela nafas. Farhaini mencebik. Dia tahu Adam sedang menipu. Rasanya bukan perkataan cili mulut yang Adam mahu sebutkan tadi. Tapi dia lega kerana Adam dapat memutar belitkan jawapannya. Kalau betul Adam sebut perkataan cium tadi, pasti saja dia tak tahu nak menjawab apa.

"Encik ni lawaklah."

"Farhaini..." tegur Adam lagi. Nadanya kedengaran kurang senang.

"Yalah... Yalah. Saya panggil awak Adam. Puas hati?"

"Sangat. Macam ni barulah sedap sikit nak dengar. Tak adalah saya ni nampak macam tua sangat."

Farhaini ketawa.

"Bukan awak memang tua ke?"

"Life begins at 30. Masa umur macam inilah seseorang lelaki tu nampak hebat."

"Ewww, puji diri sendiri. Tak malu!"

Tawa Adam kedengaran di corong telefon. Farhaini mengetap bibir. Sejak bila mereka menjadi semakin rapat ni? Tidak perlu memaksa dan dipaksa. Tiba-tiba sahaja keadaan berubah.

"Bila dah masuk tiga siri ni, saya fikir macam-macam. Tentang kerja, tentang masa depan, tentang masa lalu yang dah tak mungkin dapat diulang kembali dan tentang jodoh. I need to find my other half."

"Insya-Allah. Pasti awak akan jumpa orang tu tak lama lagi." Farhaini menyuarakan apa yang terlintas dalam fikiran.

"Hmmm... Insya-Allah. Saya pun rasa yang orang tu dah tak jauh." Penuh maksud ayat yang dituturkan Adam. Farhaini diam.

Kak Haiza agaknya, bisik hati Farhaini sendiri.

"Okeylah, dah lewat ni. Awak pun kena rehat." Adam sudah bersedia untuk mematikan perbualan. Farhaini masih berkira-kira.

"Errr... Adam. Boleh tolong saya tak?"

"Nak tolong apa?"

"Esok boleh jemput saya di rumah Encik Farouk?" Sebiji-sebiji perkataan ini disebut oleh Farhaini. Dia cuak dan rasa serba salah. Hanya Adam yang dia fikirkan saat ini untuk membantunya.

"Pukul berapa?"

"Selepas maghrib. Saya biasa habis kerja waktu tu."

"Okey, boleh. Nanti saya jemput awak," putus lelaki itu. Farhani memeluk bantal di sisinya. Erat.

"Betul ke boleh? Tak susahkan awak?"

"Boleh. Saya tak ada masalah. Tapi boleh saya tahu apa sebabnya? Sebab sebelum ni awak macam nak elak jumpa dengan saya."

Diam. Farhaini hilang kata. Dia berdeham beberapa kali.

"Sebenarnya saya nak minta tolong awak untuk berlakon jadi kekasih olok-olok saya. Untuk satu hari aje."

"Saya setuju. Tapi dengan satu syarat." Adam bersuara selepas beberapa saat mendiamkan diri.

Farhaini takut kalau-kalau permintaannya itu membuatkan Adam berkecil hati.

"Apa syaratnya?"

"Bukan satu hari. Tapi sebulan."

Farhaini terus terbangun daripada perbaringannya.

"Ha?"

"Saya akan jadi kekasih olok-olok awak. Bukan untuk satu hari tapi untuk sebulan. Setuju?"

Farhaini memegang kepala. Ini siapa yang buat tawaran dengan siapa? Sudah terbalik jadinya. Dia ambil masa untuk berfikir dulu baik dan buruk tindakan yang bakal diambil sekarang.

"Setuju?" ulang Adam. Farhaini ketap bibir.

"Hmmm... Setuju!"

Adam tersenyum lebar. Telefon diletakkan di atas meja sebelah katil. Badannya dibaringkan sambil sebelah tangan diletakkan di bawah kepala.

"Sebulan? Insya-Allah cukup untuk aku tawan dan kenal hati dia."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co