BAB 7
SEJAK pulang ke rumah, Farhaini hanya duduk di dalam bilik. Habis duit belanjanya untuk bulan ini kerana membayar duit teksi tadi. Dia merehatkan lengan di atas kepala. Mata dipejam rapat sambil fikirannya melayang memikirkan masa depan.
"Dekat mana lagi aku nak cari kerja? Ada ke orang nak ambil aku yang tak ada pengalaman bekerja ni? Semua kerja yang berkenaan bidang aku, requirement dia nak orang yang dah pengalaman bekerja dua atau tiga tahun," keluh Farhaini berat.
Masa inilah dia rasa menyesal. Kalau dulu waktu belajar dia banyak buat kerja part-time, pasti resumenya sekarang mempunyai senarai panjang di bahagian working experience. Rakan-rakan seangkatan dengannya juga masih ramai yang menjadi penganggur. Bukan mudah mahu mencari pekerjaan pada zaman ekonomi tidak berapa baik ini.
"Anny..." Suara Kak Ami menyapa gegendang telinga.
Farhaini membuka mata. Dia menghembuskan nafas perlahan.
"Ada apa, kak?" soalnya malas apabila pintu bilik dibuka.
"Anny balik naik apa? Akak tak nampak pun motor dekat bawah." Kak Ami menyoal risau. Dia baru pulang dari membawa anak-anaknya berjalan di pusat membeli-belah.
"Naik teksi. Motor rosak dekat depan syarikat yang Anny pergi temu duga tu."
"Laaa... Kenapa tak telefon akak ataupun Abang Idham? Membazir aje naik teksi. Bukannya dekat jarak nak balik sini."
Farhaini hanya diam mendengar bebelan kakak iparnya. Dia tahu perkara itu. Malahan duit poketnya memang sudah habis terus kerana membayar duit teksi tadi.
"Anny ada telefon Abang Idham tapi dia tak angkat," jawabnya perlahan. Kak Ami mengangguk.
"Tak apalah. Benda dah jadi. Macam mana temu duga tadi? Dapat tak?"
Nampak yang Kak Ami masih mahu berbual dengannya. Farhaini cuba mengelak topik yang satu ini tetapi nampaknya tidak berjaya. Dia hanya tersenyum kelat.
"Tak tahulah, kak. Rasa macam tak dapat."
Kak Ami mengangguk kecil. Wanita yang sedang berbadan dua itu hanya memandang Farhaini dengan pandangan redup.
"Bos kawan akak tengah cari pembantu rumah. Pembantu rumah lama dia dah habis kontrak. Kalau Anny nak cuba, Anny boleh beritahu akak."
Farhaini beradu pandangan dengan Kak Ami. Reaksinya kosong sekosong hatinya. Pelawaan kakak iparnya itu ibarat angin lalu. Pembantu rumah? Hanya itu yang masuk ke kotak mindanya.
"Anny fikirlah dulu. Nanti beritahu akak macam mana." Kak Ami menepuk lengannya menyedarkan Farhaini daripada lamunan kosongnya. Lambat-lambat dia mengangguk.
Belakang tubuh Kak Ami yang sudah beredar dipandang lama. Farhaini meraup tapak tangan ke muka. Dia kembali ke dalam bilik dengan fikiran yang sarat dengan tanda tanya. Pembantu rumah? Patutkah dia terima? Matanya terpandangkan deretan novel di rak buku.
"Kalau dalam novel atau drama, jadi pembantu rumah tak adalah teruk sangat. Tak salah pun kalau aku cuba." Dia menggigit jari sambil merenung judul-judul novel yang tersusun rapi. Dia mengangguk. Kerja apa-apa pun tak salah janji halal. Itu yang bermain dalam fikirannya sekarang.
Mungkin bukan rezekinya untuk bekerja sebagai pembantu peribadi, tapi Allah nak beri rezeki dalam kerja yang lain. Dia tidak punya pilihan untuk memilih kerja. Apa peluang yang muncul itulah yang harus dia capai.
KEESOKAN harinya, Farhaini dan Abang Idham pergi ke ID Holdings untuk mengambil motor yang rosak. Farhaini melipat kemas pakaian Adam yang dipinjamnya semalam.
"Abang Idham boleh pergi pejabat. Tak payah tunggu Anny dekat sini," ujar Farhaini saat mekanik yang dihubungi Abang Idham sampai. Lelaki Cina itu sudah memulakan tugasnya membaiki motor.
"Betul ni?"
Farhaini mengangguk yakin. Dia tidak mahu kerana dia, Abang Idham terpaksa ponteng separuh hari. Dia boleh menguruskan diri sendiri sekarang.
"Mekanik tengah baiki motor tu. Nanti dah elok Anny balik rumah sendiri."
Agak lama barulah Abang Idham bersetuju. Dia meninggalkan duit kepada Farhaini untuk membayar mekanik nanti. Usai Abang Idham beredar, Farhaini kembali fokus kepada motornya.
"Bateri motor sudah rosak. Saya akan ganti yang baru." Mekanik berbangsa Cina itu menerangkan.
Farhaini menjarakkan sedikit tubuhnya. Nasib baik masih pada awal pagi. Tidaklah terlalu panas.
"You kerja sini ke?" Mekanik itu mengajak Farhaini berbual. Farhaini menggeleng dengan senyuman kecil.
"Taklah. Saya datang sini untuk temu duga kerja. Bila mahu balik, motor tak hidup pula." Farhaini bercakap dengan slang Cina. Mekanik itu mengangguk-angguk.
"Bateri motor kena pandai jaga. Baru tahan lama ma..."
"Saya tak pandai sangat bab-bab motor ni. Abang saya yang selalu bawa pergi servis."
"Mana boleh macam tu. Perempuan pun kena ambil tahu ini perkara. You kalau tak tahu nanti bila dalam kecemasan susah dibuatnya." Mekanik itu mula membebel. Farhaini ketawa kecil.
"Kalau rosak lagi saya bawalah pergi bengkel you, uncle," ujar Farhaini selamba. Mekanik itu ketawa.
"Betul-betul. Abang you memang selalu bawa ini motor dan kereta dia pergi bengkel saya. Nanti saya bagi murah punya."
Sambil berbual sambil tangan mekanik itu bekerja. Sekejap saja bateri motor sudah ditukar. Mekanik itu cuba menghidupkan motor dan Farhaini menghela nafas lega apabila enjin sudah berjaya dihidupkan.
"Thank you, uncle."
"No problem. Nanti kalau ada masalah lagi you boleh call sama saya."
Duit bayaran bertukar tangan. Farhaini hanya melihat lelaki itu berlalu dengan keretanya. Dia mematikan semula enjin motosikalnya kerana dia mahu masuk ke dalam bangunan syarikat dulu. Plastik pakaian Adam dijinjit kemas.
"Boleh saya bantu?" Sewaktu dia sampai di tingkat tujuh ada seorang wanita menyapanya. Dia tak ada nampak pula wanita ini semalam sewaktu dia datang untuk temu duga.
"Errr... Boleh saya jumpa Encik Adam?" Farhaini meliarkan mata ke sekeliling. Tingkat ini masih agak lengang kerana baru pukul 9.00 pagi. Pejabat di sini beroperasi jam 9.30 pagi mengikut daripada pengetahuannya.
"Encik Adam, ya?" Wanita itu juga kelihatan tidak pasti.
Tiba-tiba ada seorang lelaki yang kemas bersut melangkah masuk ke dalam pejabat. Wanita tadi terus menunduk sebagai tanda hormat. Farhaini sekadar tersenyum kecil apabila dia beradu pandang dengan lelaki yang mukanya persis orang Cina itu. Macam pernah lihat wajah lelaki ini, desisnya.
"Good morning, Encik Izzad." Wanita itu bersuara.
"Morning, Lily. Awak buat apa dekat depan ni?" Lelaki yang digelar Encik Izzad itu memandang mereka berdua bersilih ganti.
"Cik ni nak jumpa Encik Adam." Wanita yang bernama Lily itu memberitahu. Izzad Daniel terus memandang wajah Farhaini dengan senyuman lebar.
"Dia belum sampai lagi. Hari ni dia mungkin masuk lewat sikit sebab ada hal. Cik ni siapa, ya?" Izzad Daniel memandang Farhaini dengan mata penuh sinar.
"Saya Farhaini. Saya ada nak bagi barang dekat Encik Adam." Farhaini tunjuk beg plastik di tangan.
"Kalau macam tu, Cik Farhaini boleh bagi barang ni kepada Puan Lily. Nanti dia akan sampaikan kepada Encik Adam." Izzad Daniel membuat keputusan. Dalam hatinya melonjak perasaan ingin tahu siapa gadis berambut panjang di hadapannya ini.
Tunggu kau, Adam. Aku tanya habis-habisan nanti. Hatinya berbicara lantang.
Tanpa banyak soal Farhaini menghulurkan beg plastik kepada wanita di hadapannya ini. Dia tersenyum sambil menunduk.
"Terima kasih, ya. Kalau macam tu saya minta diri dulu."
Izzad Daniel dan Puan Lily mengangguk serentak. Selepas berpamitan Farhaini terus berlalu turun. Dalam hatinya bersyukur yang dia tidak perlu bersemuka dengan Adam. Peritnya ditampar Cik Haiza semalam masih terasa. Apatah lagi panas dalam hatinya. Kalau tidak kerana Adam membawanya pulang ke rumah semalam, pasti dia dan Cik Haiza tidak bergaduh.
"Lepas ni aku takkan ada urusan lagi dengan Kak Haiza ataupun Encik Adam. The end."
Dengan gembiranya dia menyarung helmet dan memecut motor keluar dari pekarangan syarikat mewah itu. Dadanya lapang ibarat ladang gandum yang sedang penuh.
IZZAD DANIEL mengerling beg plastik yang dipegang Puan Lily. Dia menguis bibir beg plastik untuk melihat isi di dalamnya. Matanya sedikit membulat tetapi bibir sudah tersenyum selebar alam.
"Baju siapa pula ni?" Puan Lily menyoal pelik. Izzad Daniel tidak menjawab. Dia hanya tersenyum-senyum. Ini memang kisah menarik untuk ditanya kepada Adam nanti.
"Awak jangan lupa bagi barang ni dekat Adam nanti," pesan Izzad Daniel sebelum melangkah masuk ke bilik pejabatnya.
Puan Lily mengangkat bahu. Pelik melihat Izzad Daniel yang tersenyum seorang diri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co