Truyen3h.Co

HATI YANG TERSAKITI

BAB 8

karyaseni2u

ADAM menolak pintu pejabat. Dia terlewat hari ini kerana pergi menguruskan urusan di kafe yang bakal dibukanya tidak lama lagi. Saat dia melalui meja setiausaha Izzad Daniel, langkahnya ditahan.

"Ni barang untuk Encik Adam." Puan Lily mampir dan menghulurkan sesuatu.

Lambat-lambat Adam menyambutnya dengan reaksi pelik. Dia menilik isi di dalamnya. Dahinya berkerut rapat.

"Mana orang yang bagi barang ni?" soal Adam tidak sabar.

"Dia dah balik. Dia datang awal pagi tadi untuk bagi benda ni."

Adam berdecit kecil. Jelas riak tidak puas hati di wajahnya. Dia mahu bertemu gadis itu secara empat mata. Tak sangka pula yang Farhaini akan datang seawal itu untuk memulangkan pakaiannya.

"Okey. Thanks, Lily." Adam senyum lalu beredar.

Dia menggenggam kemas plastik dengan hati yang walang. Sengaja dia mahu gadis itu memegang kunci rumahnya dan minta dipulangkan hari ini. Semua itu kerana dia mahu bertemu lagi dengan gadis itu. Tapi rancangannya gagal seratus peratus. Batang hidung gadis itu pun dia tak dapat lihat hari ini.

"Argh!" Tanpa sedar Adam mengeluh kuat. Nasib baik dia sudah masuk ke bilik Izzad Daniel waktu itu.

"Kau dah kenapa? Masuk bilik aku buat bunyi macam tu pula," tegur Izzad Daniel pelik.

Adam terduduk di penjuru sofa. Wajahnya kelat sekelat hatinya. Izzad Daniel mengerling benda yang dibawa Adam. Dengan sengaja dia ketawa.

"Sampai hati kau tak kenalkan dekat aku." Tiba-tiba Izzad Daniel cakap begitu. Adam menjeling.

"Kenalkan apa?"

"Alah, kau ni nak main sorok-sorok pula." Izzad Daniel bangun dan duduk di sebelah Adam.

"Aku dah jumpa Cik Farhaini. Cantik."

Adam ternganga. Terkejut mendengar bicara si sahabat baik.

"Macam mana kau boleh jumpa dia pula?"

"Pagi tadi aku bertembung dengan dia depan pintu pejabat. Dia nak pulangkan barang Encik Adam." Sengaja Izzad Daniel mengajuk suara Farhaini. Adam menumbuk bahu Izzad Daniel.

"Kalau tahu aku masuk awal sikit tadi. Menyesal tak sempat nak jumpa." Nada suara Adam perlahan. Tak nak bagi Izzad Daniel dengar.

"Kau ni macam cakap dengan kutu. Perlahan sangat. Tapi nasib baik sahabat kau yang budiman ni baru korek telinga pagi tadi. Jadi, aku dengar sangat apa yang kau cakap tu."

"Yalah... Aku cakap rugi tak sempat nak jumpa Farhaini tu. Entah lepas ni ada peluang nak jumpa lagi ke tidak."

"Kenapa pula tak ada peluang?"

"Aku dan dia baru aje kenal. Itupun tiga kali jumpa secara tak sengaja. And, you know what? Dia salah seorang calon yang datang temu duga untuk jawatan PA kau tu," cerita Adam. Kali ini benar-benar menarik minat Izzad Daniel.

"Gila kau! Memang jodohlah tu. Macam aku dengan Yanie."

"Tak ada maknanya. Lagipun dia tak sesuai untuk jawatan PA tu. Dia belum pernah ada pengalaman bekerja dan jurusan yang dia ambil masa belajar dulu jauh menyimpang sangat. Memang tak dapatlah."

Izzad Daniel mengangguk-angguk. Kalau hal yang itu dia tak dapat nak bantu. Kerana mengikut daripada senarai yang datang temu duga semalam dia sudah memilih beberapa orang yang disenarai pendek untuk temu duga kedua. Semuanya calon lelaki yang dipilih. Dia mahu pembantu barunya seperti Adam nanti.

"Dalam resume dia mesti ada nombor telefon." Izzad Daniel memberi cadangan. Adam mengetap bibir. Cuba berfikir semula.

"Nantilah aku telefon dia. Nak cakap terima kasih untuk pakaian ni." Adam tunjuk plastik di tangan.

"Ha, pakaian! Aku tertarik sangat untuk tahu tentang kisah di sebalik baju kau ni. Macam mana Cik Farhaini tu boleh ada baju kau? Something fishy."

Adam mengusap dagunya. Tidak berniat untuk jawab sekarang. Tapi bila Izzad Daniel sudah mengangkat kening berkali-kali, dia tidak punya pilihan. Maka bermulalah cerita semalam dari saat dia membantu Farhaini ketika hujan. Dan senyuman di bibir Izzad Daniel kelihatan mekar semekar bunga mawar.

"Hoi, ini memang kisah sensasi penuh kontroversi ni!" Izzad Daniel ketawa kuat.

Adam sudah menjegilkan mata.

"Shhh... Cakap perlahan sikit, bro."

"Aku memang dah tak sabar nak makan nasi minyak kau, Adam. Macam dah terbau-bau aje ni. Kalau Cik Farhaini tu orangnya, aku suka sangat. Dia nampak polos dan baik," puji Izzad Danie.

Kali ini Adam pula yang ketawa.

"Polos? Kau belum bercakap dengan dia lagi, Izzad. Lidah boleh tahan tajam juga minah tu. Ada ke dia nak tendang ehem ehem aku," cerita Adam sambil pandang ke bawah.

Izzad Daniel tak dapat mengawal tawanya dengan lebih kuat. Apa yang baru diceritakan Adam benar-benar menggeletek hatinya. Habis merah wajah lelaki itu.

"Aku suka dia ni. Memang sesuai sangat dengan kau."

Adam mencebik. Sakit hati pula tengok kawannya yang sedang ketawa ibarat orang hilang akal ini. Tapi dalam hatinya terdetik perasaan gembira.

Betul ke sesuai? bisik hatinya sambil tersenyum lebar.

"TENTANG tawaran yang Kak Ami cakap semalam tu, masih kosong ke?"

Farhaini mendekati kakak iparnya yang sedang melipat baju di ruang tamu. Anak saudaranya yang paling tua baru saja pulang dari tadika. Kak Ami menoleh ke arahnya.

"Yang jadi pembantu rumah bos kawan akak tu ke?" Soalan berbalas soalan.

Farhaini mengangguk walaupun dalam hatinya berasa agak segan. Pasti orang akan mengatakan yang dia belajar tinggi-tinggi tapi ambil keputusan nak jadi pembantu rumah.

"Nanti akak beritahu dekat kawan akak. Bila Anny boleh mulakan kerja?"

"Kalau boleh secepat mungkin. Anny tak nak menyusahkan Abang Idham dan Kak Ami sekeluarga lagi."

Kak Ami terdiam. Lipatan bajunya juga terhenti. Keluhan kecil terluah dari bibir wanita beranak dua ini.

"Anny..." Tangan Farhaini digenggam. Wanita itu tersenyum kecil.

"Akak tak pernah menafikan Anny sebagai adik Abang Idham. Akak tahu Abang Idham bertanggungjawab untuk jaga Anny lepas kematian ayah dan ibu. Apa yang akak cakap hari tu bukan bermakna akak tak sayang Anny."

Farhaini tidak memberi apa-apa reaksi. Dia hanya memandang kosong wajah kakak iparnya.

"Akak cuma nak Anny berdikari dengan usaha sendiri. Sebab kita tak tahu apa yang bakal berlaku. Kalau Anny ada kerja, rumah sendiri, harta sendiri, semua tu akan membantu Anny pada kemudian hari. Bila Anny dah kahwin, ada suami dan anak-anak semua ni akan sangat membantu. Perempuan kena ada kejayaan mereka sendiri."

Wajah didongak untuk memandang Kak Ami. Entah kenapa hatinya merasa sayu. Segala nasihat Kak Ami dimasukkan ke dalam kotak fikiran. Kahwin? Adakah perkataan itu akan masuk ke dalam kamus hidupnya?

Farhaini memandang cincin di jari manis kakak iparnya. Cincin itu dibeli olehnya dan arwah ibu untuk perkahwinan Abang Idham. Cincin tanda yang mengatakan Kak Ami adalah isteri Abang Idham yang sah. Bukan dirinya...

"Anny?" tegur Kak Ami kerana dilihatnya Farhaini seperti sedang termenung panjang.

"Errr... Anny faham, kak," jawabnya perlahan.

"Yang pasal kerja jadi pembantu rumah tu, akak rasa insya-Allah ada harapan dapat. Sebab bos kawan akak tu memang urgent nak guna pembantu."

Farhaini mengangguk. Dia menarik tangannya dan meminta diri naik ke atas.

TENGAH hari keesokannya, dia menerima berita gembira. Statusnya sebagai penganggur bakal dilucutkan bermula dua hari dari sekarang. Farhaini meraup tapak tangan ke wajah saat Kak Ami memberitahu yang dia dipanggil bekerja sebagai pembantu rumah kepada bos kawan Kak Ami. Itu pun sudah satu rahmat buat dirinya.

"Abang tak kesah Anny nak kerja apa-apa pun. Cuma satu perkara yang abang nak Anny janji," ujar Abang Idham waktu mereka sedang makan tengah hari.

"Apa dia?"

"Kalau susah sangat Anny boleh berhenti. Jangan terlalu memaksa diri. Abang tak nak adik abang ni buat kerja yang tak dapat ditanggung diri sendiri."

"Don't worry, abang. Anny boleh buat kerja ni."

"Abang cakap aje. Tolong ingat pesanan abang. Jaga diri masa di rumah orang tu."

Farhaini mengangguk bagai burung belatuk. Dia mengunyah makanan dengan perlahan sambil mendengar syarahan panjang dari mulut Abang Idham. Dari hal berkenaan tingkah laku hinggalah ke hal mengenai bidang tugas yang harus dibuatnya.

Farhaini memandang Kak Ami yang juga kebetulan sedang memandangnya. Mereka berdua ketawa kecil. Faham benar dengan tingkah Abang Idham yang kuat membebel ini.

"Lusa Anny terus pergi ke alamat yang akak bagi tu," pesan Kak Ami mengakhiri waktu makan mereka.

Sewaktu Farhaini masuk ke dalam bilik telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Tertera nombor yang tidak dikenali. Dia hanya membiarkan sehingga telefon itu mati sendiri. Selang beberapa saat telefon kembali berdering.

"Nombor siapa ni?" getusnya. Apabila memikirkan yang mungkin bos barunya yang menelefon cepat-cepat Farhaini menekan butang hijau.

"Helo."

"Ha, angkat pun." Satu suara lelaki kedengaran menyapa. Farhaini mengerut dahi.

"Siapa yang bercakap ni?" soal Farhaini dengan suara yang waswas.

"Encik Farouk ke?" sambungnya lagi merujuk kepada nama bakal majikannya.

"Encik Farouk tu siapa?" Pemanggil menyoalnya semula. Farhaini menjauhkan telefon dari telinga. Dia merenung pelik ke arah telefonnya.

"Encik nak bercakap dengan siapa sebenarnya?"

"Saya nak bercakap dengan Farhaini. Awak, kan?"

Kali ini Farhaini menggaru dahinya pula. Entah siapa-siapa yang membuat panggilan ini.

"Ya, memang saya. Tapi boleh saya tahu saya sedang bercakap dengan siapa?" Farhaini pening mahu bermain teka teki. Orang di sana boleh pula ketawa. Tiba-tiba Farhaini teringat seseorang. Tak akanlah? gumamnya dalam hati.

"Saya Adam la," jawab pemanggil selamba.

Farhaini membulatkan mata. Sah dia! Tidak salah tekaannya berdasarkan nada suara lelaki itu.

"Macam mana Encik Adam dapat nombor saya?"

"Awak ni muda-muda lagi dah pelupa. Saya ambil daripada resume awaklah."

Farhaini ketap bibir. Ceh, ambil kesempatan!

"Kenapa encik call saya ni? Nak cakap pasal apa? Rasanya kita dah tak ada hutang lagi. Pakaian dan kunci rumah encik saya dah pulangkan," jawab Farhaini dingin. Walaupun kesan tamparan di pipinya sudah hilang, tapi pedih dalam hati masih terasa. Dia tidak mahu masuk campur dalam urusan lelaki ini dan Cik Haiza.

"Garangnya..."

"Kalau tak ada urusan penting saya letak dululah."

"Eh, kejap-kejap!" Cepat Adam memintas.

"Saya ada buat salah ke? Dan lagi satu. Kenapa masa awak pulangkan barang tu tak beritahu saya dulu? Boleh kita jumpa."

"Buat apa nak jumpa?"

Adam di talian sana terdiam sebentar. Hanya deruan nafas lelaki itu yang kedengaran.

"Farhaini..." panggil Adam perlahan.

Farhaini hanya diam tidak menyahut. Entah kenapa nada lelaki itu kedengaran perlahan sekarang. Ibarat ada sesuatu yang menghalang Adam daripada berkata-kata.

"Awak single lagi, kan?" Soalan yang tak dijangka keluar dari mulut Adam. Farhaini tergamam.

"Soalan apa yang encik tanya ni?"

"Saya rasa saya dah suka awak." Kenyataan kali ini benar-benar membuatkan Farhaini hilang suara.

"What are you talking about, sir?"

"Saya rasa saya dah suka awak," ulang Adam lagi.

"Encik ni jangan nak mengarut. Okay, I get it! Kak Haiza yang suruh encik cakap macam ni, kan? Sengaja nak kenakan saya. Betul tak?"

Entah dari mana datangnya idea ini dalam benak Farhaini. Dia ketawa menyindir. Rasa dipermainkan oleh pasangan ini.

"Apa kena-mengena dengan Haiza pula ni?"

"Sudahlah, encik. Saya tahu permainannya. Ini mesti sebab teman wanita encik tu marah dekat saya, kan? Macam inilah. Encik cakap dekat Kak Haiza yang saya tak berminat langsung nak rampas encik daripada dia. Jadi, dia boleh berhenti dari nak menduga saya dengan menggunakan encik."

Suasana diam. Adam di talian sana tidak langsung menjawab.

"Listen here, Farhaini. Saya tak faham langsung apa yang awak bebelkan ni. And one more thing. Haiza bukan teman wanita saya. I repeat. Bukan teman wanita. Saya tak tahulah dari mana awak dapat cerita mengarut ni."

"Cerita yang encik cakap mengarut ni keluar dari mulut Kak Haiza sendiri. Saya tak nak masuk campur dalam hubungan encik yang sangat complicated ni. Kita sama-sama tak ada hutang, jadi ini perbualan kita yang terakhir. Dan terima kasih untuk bantuan encik tempoh hari."

"Siapa cakap yang awak dah tak ada hutang dengan saya?" Tiba-tiba suara Adam mencelah.

"Cuba cakap apa yang saya berhutang lagi? Kita baru aje kenal. Seingat saya, saya tak pernah pun pinjam duit encik."

"Awak dah buat saya rasa nak kenal awak, tertarik dengan awak dan sekarang awak nak blah macam tu aje? No way! Hutang hati saya ni macam mana? Dan saya akan terus ganggu awak sampai awak cakap yes. Muktamad!" tegas Adam.

"Eee... Encik ni!" Geram Farhaini dibuatnya. Baru dia nak balas panggilan telefon sudah dimatikan. Farhaini ketawa dengan rasa tidak percaya.

"Mamat psiko!" jeritnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co