BAB 2
Lapan tahun kemudian...
Reza sedang membancuh Nescafe di ruang dapur rumahnya. Pukul 7.30 pagi. Masih ada 10 minit sebelum dia berangkat ke pejabat.
Rutin pagi setiap hari bekerja, Reza akan bersarapan ringkas di rumah dengan segelas Nescafe, dua biji pisang atau beberapa keping roti, sambil menyemak e-mel dan melayan mesej WhatsApp grup I, Bandel. Dia selalu ketinggalan beratus mesej dari sahabat-sahabat lamanya itu.
Konon off to work, padahal Reza masih menghirup Nescafe dan membaca perbualan rakan-rakannya.
Ceh! Dia orang ni mengimbau kenangan lama pula! Siap kutuk aku! Terus Reza tutup aplikasi WhatsApp dan bawa muk ke singki untuk dibasuh. Rasa mahu basuh sekali mulut tiga sahabatnya itu. Lama tidak berjumpa dengan mereka bertiga. Sudah hampir lima bulan.
Komunikasi Reza dengan mereka bertiga sejak memasuki alam pekerjaan, agak terbatas. Hanya melalui WhatsApp dan sesekali Akid menelefonnya meminta pandangan kreatif.
Walaupun hampir lapan tahun I, Bandel dibubarkan, Akid dengan One tetap bersatu meneruskan perjuangan muzik mereka dengan menubuhkan entertainment company. OneKid Entertainment yang lebih fokus mengenengahkan bakat-bakat muda yang dicungkil melalui medium media sosial seperti YouTube, Instagram dan Vine.
Idea dicetuskan oleh One dan dananya, tentulah dari Akid.
Akid betul-betul menggunakan kekayaan orang tuanya dengan membina empayar OneKid Entertaiment di Damansara Perdana. Tapi demi mendapatkan semua itu, Akid terpaksa melakukan trading dengan orang tuanya. Mahukan modal business, dia harus berkahwin dengan pilihan keluarga. Lawak yang selalu Reza buat tentang perempuan trading stock, betul-betul terjadi pada Akid.
Hasilnya? Akid sudah mempunyai dua orang anak. Yang sulung lelaki. Mui'nuddin, berumur lima tahun. Yang kedua perempuan. Mitilda, umurnya tiga tahun.
One juga baru mengahwini childhood sweetheartnya, Nadia. Tapi One kata, dia dan Nadia belum bersedia menerima kehadiran anak. Nak enjoy puas-puas sebagai loving couple katanya!
Wa'ie pula buka kedai menjual peralatan muzik berhampiran dengan kawasan OneKid Entertainment. Pendek kata, mereka bertiga masih berada dalam show business.
Cuma Reza seorang menggunakan sepenuhnya ijazah Creative Multimedia yang diperolehi dengan bekerja sebagai creative director. Masih dalam kelompok dunia seni, tapi tuntutan tanggungjawab tidak membolehkan dia bersenang-lenang dan berhimpun bersama penggiat seni macam rakan-rakannya.
Reza telah lama menarik diri daripada dunia glamor muzik. Dia menjauh dari segalanya kerana Alfanshah!
Selesai cuci muk, Reza bersiap untuk ke tempat kerja. Jaket dan sarung tangan disarung, beg digalas. Kemudian dia keluar mendapatkan Hyosung, 'sahabat baiknya' dari Korea atau nama samarannya di Malaysia, Blade 650 TBR. Masih belum mampu membeli superbike idaman, Ducati Panigale.
Tinggal di Shah Alam, bekerja di Bangsar membuatkan Reza tidak pernah ada hati mahu membeli kereta. Dia tidak suka membuang waktu apa lagi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
REZA tiba di agensi tempatnya bekerja sekitar jam 8.15 pagi. Dia memulakan hari dengan membalas sapaan beberapa orang pekerja sepanjang berjalan menuju ke kubikelnya.
Baru sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi, Mastura muncul membawakan satu muk berisi kopi. Melihat sengihan pada wajah art director berusia 33 tahun itu, Reza dapat membaca sesuatu.
"Ada apa kak, sengih macam tu? Siap bawa kopi. Nak bodek akulah tu!" tuduh Reza sambil menekan suis iMac.
"Dah tengok e-mel, bos?" Sengaja Mastura menekan perkataan bos itu. Nak buat macam mana, bos lebih muda dari dia!
"Baru nak on komputer ni, kak... Sekejap." Sambil menunggu, tangan kiri Reza secara tidak sedar, bermain dengan stylus pen, memutarnya bagai drumsticks. Kepala Reza terangguk dan badannya bergoyang sedikit mengikut irama lagu dalam kepala.
Mastura berkerut kening melihat gelagat Reza. Tak ada lagu yang berkumandang pun dia boleh bergendang dengan stylus pen. Bila jahanam benda alah tu, berteriak satu ofis panggil kerani minta tukar yang baru. Hesy...
Dengar kata budak-budak ofis yang sebaya Reza, anak muda itu bekas drummer. Suatu ketika dulu, band yang dianggotai Reza sangat popular dalam kalangan pelajar kolej dan universiti. Pernah dijemput melakukan persembahan sampai ke Taiwan, Jepun, Singapura dan Indonesia. Bila Mastura tanya, Reza kata itu cerita lama yang dia tak nak ingat lagi.
Tak nak ingat konon... Tapi tangan tak pernah lupa bergendang, getus hati kecil Mastura. Dia cam sangat, bila Reza meneliti sesuatu, tangannya mesti bermain dengan pen! Kadangkala dengan pembaris besi pun jadi.
"Meeting dengan Papyrus pukul 10.30?" Reza menoleh ke arah Mastura selepas membaca e-mel itu. "Again?"
Mastura mengernyit sambil mengangguk laju-laju.
"No!" tegas Reza. "Meeting dengan Papyrus betul-betul soul-sucking! Hari tu meeting lima jam for nothing! Bila pergi non-creative meeting macam tu, boleh merosakkan aku punya kreativiti dan produktiviti!"
"Soul-sucking?" Mastura tepuk dahi, kemudian ketawa dengan kening berkerut. Reza punya terma selalu buat dia rasa ngeri. Tiba-tiba terbayang satu kuasa ghaib menyedut tenaga sampai lembik kemudian balik ke ofis, langsung tak boleh buat kerja! Memang kena sangat istilah itu!
"Oh my gosh, Reza... Takkan kau nak avoid meeting tu pula?!"
"Kak Mas pergi!" Reza mengeluarkan arahan.
Mata Mastura melebar. "Akak pula yang kena? Kalau Dato marah nanti, akak nak jawab apa?"
"Apa guna kau jadi art director, kak?"
"Amboi... Di angin lalu aje kau sindir aku!"
Reza jongket kening dan hujung bibir serentak. Hadiahkan smirk face pada Mastura.
"Wakil Papyrus tu banyak songehlah." Akhirnya Reza membuat pengakuan. "Aku tak ada cukup kesabaran untuk handle orang macam tu. Rasa nak ketuk kepala dia! Cakap banyak tapi tak tahu apa yang dia nak! Bila orang bagi usul, banyak pula bantahnya! Argh!"
"Hmmm... Cakap awal-awal macam tu kan senang? Ini soul-sucking la... Non-creative meeting la..." Mastura mencebik.
Reza sengih. "Last minute punya meeting, kak. Aku malas nak layan. Banyak e-mel client nak kena reply ni. Lepas daily sprint-meeting dengan our team sekejap lagi, aku nak kena settle lima graphic request dengan mana-mana designers yang ada free slot. Aku ada big client meeting pukul 11.00 nanti. Tak tahu pukul berapa baru habis... Lepas tu..."
Belum sempat Reza membentang jadual hariannya yang sibuk, Mastura segera angkat tangan ke udara. "Ya... Ya, baiklah... Akak pergi jadi wakil kau jumpa Papyrus!"
"Thanks. That's what we call true teamwork!" Reza tersenyum dua tiga saat sebelum kembali memasang muka serius, pandang skrin.
Mastura terus angkat kaki meninggalkan kubikel Reza. Reza, kalau sudah menyumbat sebelah telinga dengan earphone, itu tandanya tidak mahu diganggu.
MENJELANG jam satu petang, Reza keluar dari bilik mesyuarat. Jiwa sudah penat, tapi mujur pembentangannya mendapat pujian dan dipersetujui oleh pengarah syarikat terbabit. Sebelum balik ke kubikelnya, Reza menjengah meja Mastura. Nampak muka Mastura ketat sedang membelek fail atas meja.
"Macam mana?" tanya Reza.
"Definitely soul-sucker!" Mastura menggetus.
Semerta, Reza tersenyum sinis. "Aku dah cakap," balas Reza seraya melangkah meninggalkan meja Mastura.
Reza berkira-kira mahu pergi makan tengah hari apabila matanya melihat kotak inbox tertulis urgent! pada skrin iMac. Terus dia duduk dan membukanya. E-mel dari Dato Zainal, empunya agensi ini yang meminta Reza membuat revision untuk satu projek yang baru mereka dapatkan.
Mahu tidak mahu, Reza menangguhkan dulu niat mahu makan tengah hari lalu membuka fail design untuk syarikat tersebut. Big account, kenalah jaga baik-baik dan turutkan saja kehendak mereka.
Selepas sejam barulah Reza e-melkan semula pada klien tersebut dan dimajukan juga kepada Dato Zainal.
Baru angkat punggung dari kerusi, interkom pula berbunyi.
"Encik Reza, Ms. Yvonne dari KC Print nak jumpa kat bawah ni. Dia nak Encik Reza buat press check pada poster."
"Okey. Suruh dia tunggu sekejap."
Reza kemudiannya bergegas turun ke ruang lobi. Bila terpandangkan Yvonne yang duduk di ruang menunggu segera bangun, membongkokkan badan, tanda hormat.
Tidak menghiraukan sikap manis Yvonne, Reza terus duduk, menatap bentangan beberapa keping poster di atas meja kopi di hadapannya.
"Macam mana, Encik Reza? Kalau okey, I nak minta you sign approval di sini." Sambil memusingkan tubuh ke arah Reza, Yvonne bersuara. Dia menghulurkan sekeping surat.
"Siapa cakap okey?" Reza mengerling sekilas. Tajam.
"Errr... Tapi I rasa everything looks perfect." Yvonne tergagap.
"Perfect pada mata kau tapi aku nampak mistakes!" Reza menarik pen jenama Copic berdakwat kekal dari saku beg pinggangnya.
Semerta Yvonne melongo dengan riak ngeri melihat Reza begitu selamba menconteng pada bahagian tertentu poster-poster tersebut.
"Boleh bagi second proof?" tanya Reza setelah puas hati memeriksa contengannya.
Yvonne memaksa kepalanya mengangguk.
Reza bangkit. "Good. See you tomorrow," kata Reza secara tidak langsung memberitahu secara tersirat kepada Yvonne, pruf kedua mesti sampai esok hari.
"You nak pergi mana tu?"
"Lunch."
"Oh, I boleh temankan. Kita chit-chat?" Yvonne segera menawarkan diri. Baginya, dalam bidang advertising adalah penting membina hubungan rapat dengan klien sebagai jaminan business berterusan.
"Thanks, but no thanks. I prefer to eat alone. So I can enjoy my meal in peace and quiet."
Merah padam wajah Yvonne mendengar jawapan bersahaja dari Reza. Sikap dingin Reza begitu menjerakan...
BALIK dari makan tengah hari, setelah memastikan tiada lagi tugas yang perlu diagihkan kepada designers dan web developers, Reza kembali ke mejanya dan meneruskan projek-projek reka bentuk yang memerlukan sentuhan tangannya sendiri.
Sedang sibuk membuat lakaran untuk storyboard, interkom di atas mejanya berbunyi. Setelah menekan butang, suara penyambut tetamu berkumandang.
"Encik Reza... Cik Sana nak jumpa. Katanya penting."
"I don't have any appointment with Cik Sana." Sambil tidak mengalihkan perhatian dari kertas, Reza menyahut.
"Tapi..."
"Minta dia tinggalkan pesan. Aku tak ada masa nak jumpa sesiapa sekarang ni..."
Reza memutuskan perbualan begitu sahaja. Beberapa minit berikutnya Reza masih aman.
"Reza!!!" Suara melengking itu menghambur ke ruangan kubikel Reza.
Terbelalak mata Reza melihat Sana menonong masuk.
"Are you breaking up with me?" sembur Sana sebaik sahaja duduk di hadapan Reza.
Keluhan berat terhela dari mulut Reza. "Sejak bila pula kita couple?"
"Reza! Aku sayang kau!"
"You love Alfan. Not me!"
"Itu dulu! Waktu aku baru kenal dengan grup kau! Waktu tu aku tak tahu dia dah ada girlfriend. Alfan dah tak ada, kaulah ganti tempat dia!"
Rahang Reza bergerak mengetap gigi. Tangan memeluk tubuh sambil matanya menatap Sana lekat-lekat.
"Sana... Stop dreaming! Dah berapa tahun kau kejar aku? Kalau kau rasa boleh menang, boleh takluk aku... Kau silap. Aku bukan macam Alfan yang buta hati sebab perempuan!" getus Reza begitu jengkel.
"Habis tu, ni apa?" Sana menyuakan telefon bimbit dekat ke muka Reza. Laman Instagram dengan grid gambar, penuh hashtag nama Reza, terpapar.
Mata Reza tidak berkelip. Berusaha mengawal rasa terkejut melihat semua itu. "Mana aku tahu..." Reza jongket bahu.
Sumpah, dia memang tidak tahu apa-apa dan tidak pernah ingin mengambil tahu. Sekarang baru dia tahu apa yang diumpatkan oleh rakan-rakannya dalam grup WhatsApp tentang hashtag, bukan sekadar gurauan.
Sana bangun lalu menepuk permukaan meja. "Kau... Lelaki paling tak ada perasaan pernah aku jumpa! Girlfriend keliling pinggang tapi tak mengaku!"
Reza hanya diam sambil menyandar pada kerusinya dengan raut wajah yang dingin. Tidak ada gunanya mempertahankan diri dengan perempuan beremosi macam Sana yang suka buat tuduhan melulu.
Walaupun Sana memandangnya dengan air mata meleleh, Reza tetap tidak peduli. Sakitnya hati Sana melihat wajah tampan yang dicintainya itu penuh dengan riak kebencian.
Betullah... Reza tak sama macam Alfan. Alfan sentiasa murah dengan senyuman. Alfan tahu jaga hati orang. Rindunya aku pada Alfan. Rasa nak balik ke masa lalu... Hati Sana merintih.
"Baguslah kalau kau sedar yang aku ni tak ada perasaan. Memang sikit pun tak ada untuk kau." Reza berkata dengan suara setenang mungkin.
Tapi yang Reza dapat sebagai balasan ialah tamparan keras hinggap di pipinya. Kepala Reza terteleng ke tepi. Perlahan-lahan, Reza menegak dengan mata berkilat marah.
"Kau memang tak tahu hargai perasaan perempuan!" jerit Sana melepas geram. Dia tidak tahan lagi berlama-lama di situ. Bersama tangisan yang ditahan, dia berlari meninggalkan kubikel Reza.
Reza mengusap pipinya. Terasa panas dan perit. Sah, kulit pipinya tercalar dek kuku panjang Sana. Ketika itu beberapa pasang mata pekerja terarah kepada Reza. Tertegun melihat sepotong babak penuh drama depan mata mereka. Macam iklan!
Menyedari diri sedang menjadi perhatian pekerja, Reza pantas menyambar gagang telefon.
"Aida! Sekat semua panggilan telefon untuk aku hari ni! Kalau ada yang urgent, pas pada Kak Mas! Jangan sampai ada orang yang tak ada appointment, tak diundang, naik lagi sini cari aku! Kalau tak, aku tendang kau keluar! Did I make myself clear?!" Reza benar-benar naik darah.
Masing-masing yang mendengar kata-kata Reza, kembali ke meja masing-masing.
Reza menghempas tubuh ke atas kerusi lalu memutar kerusi menghadap dinding. Kehadiran Sana yang psiko betul-betul menggugat emosinya.
Tiba-tiba terngiang-ngiang suara nyanyian Alfan bersama gitarnya. Lirikan matanya, senyumnya... Reza memejamkan mata dengan segunung rasa rindu membuncah dalam dada.
If...
If we're apart,
I'll always be with you...
If we can't be together,
Keep me in your heart...
I'll stay there forever...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co