Truyen3h.Co

HATIKU UNTUK DIA

BAB 3

karyaseni2u

TIGA orang lelaki itu duduk mengelilingi meja bulat di kafe bersebelahan dengan bangunan OneKid Entertaiment. Malam itu mereka melepak bersama dengan kehadiran anak Akid, Mitilda.

"Kid, kau dah bagi tahu Reza ke pasal Qaira dan Uwais?" tanya Wa'ie.

Sambil membantu Mitilda menyuap kentang goreng ke mulut, Akid menggeleng.

"Hah? Apa pasal kau tak bagi tahu lagi? Kalau dia dapat tahu dari mulut orang lain, masak kita!" Wa'ie menggeleng-gelengkan kepala. Tidak dapat membayangkan reaksi Reza bila akhirnya mengetahui tentang Qaira dan Uwais.

"Siapa suruh dia tak ambil tahu? Tahunya, hidup dalam kegelapan dia tu. Bukan kita tak cuba seret dia keluar. Tapi dia yang tak nak. Dah dekat lapan tahun... Entah apa lagi yang dia nak marah, aku pun tak tahulah..." One menyampuk sebelum meneguk sisa minumannya. Ketulan ais yang masuk ke mulut, dimamahnya tanpa ampun.

"Biarkan kalau dia marah. Dia boleh marah aku. Aku terima. Tapi budak berdua tu amanah... Dan aku harap sangat budak berdua tu dapat bawa balik Reza yang dulu kepada kita semua." Akid berkata, optimis.

"Tapi, budak-budak berdua tu macam mana? Boleh ke dia orang terima Reza?" tanya Wa'ie yang selalu tak yakin Reza boleh berubah.

"Budak-budak tu excited la juga nak jumpa Reza. Maklumlah darah daging sendiri." Akid kemudiannya tercenung sekejap mengambangkan kata. "Tapi... Aku tengah susun strategi ni. Kena buat plan B, C, D sampai Z kalau boleh. Tahu ajelah Reza tu macam mana... 'Taichi' kuat! Emotionless!"

"Tapi kalau Reza tetap tak boleh terima budak-budak tu, macam mana?" Wa'ie mengemukakan kemungkinan buruk.

"Aku akan terus jaga budak berdua tu sampai dia orang boleh berdiri atas kaki sendiri," jawab Akid begitu tenang.

"Sanggup ke kau? Wafa tak kisah ke?" soal Wa'ie lagi.

"Dia okey aje. Baik bini aku tu, tak sia-sia aku ikut aturan family aku supaya kahwin dengan Wafa." Sempat Akid memuji isteri sendiri. "Ala, jaga anak yatim, pahala pun dapat. Lagipun dia orang dah besar, bukan susah pun nak jaga."

Jawapan bersahaja dari Akid itu membuatkan Wa'ie tanpa ragu menaikkan dua ibu jarinya. Kagum dengan pendirian Akid.

Tak lama kemudian, deruman enjin superbike memancing perhatian mereka bertiga. Demi melihat kemunculan Blade 650 TBR itu, mereka bertiga berpandangan sesama sendiri dengan reaksi terkejut. Apatah lagi bila melihat pemiliknya yang bertubuh lampai itu turun dari superbike.

"Heh, ini baru betul pelik. Tiba-tiba aje dia muncul malam ni." One bersuara.

"Adalah tu benda yang buat dia berserabut," balas Akid, seakan-akan dapat membaca fikiran Reza dari air mukanya yang keruh.

Mereka bertiga membuang pandang ke arah Reza yang sedang mendekati.

"Tak sibuk ke, bos?" tegur One ketika Reza meletakkan helmet dan jaket ke atas kerusi kosong di sebelahnya.

"Aku dari event la, dekat One World Hotel," sahut Reza.

"Huh, kena ada event, baru ingat nak menyinggah sini." Akid mencebik.

"Yalah... Dah dekat sangat, singgahlah."

"Ooo... Nampak gaya, OneKid kena pindah lokasi dekat sebelah rumah kau, baru kau singgah..."

Tak mengendahkan provokasi Akid, pandangan Reza sebaliknya jatuh pada Mitilda.

"Mitilda! Rindunya... Makan apa ni?" seru Reza seraya bertinggung di sebelah kerusi kanak-kanak yang menempatkan Mitilda. Digomolnya pipi anak kecil itu dengan hidungnya.

"Fries... Uncle nak?" Mitilda bertanya dengan slanga pelat. Tangan mongelnya, menyuakan sebatang kentang goreng yang telah dicecah dengan mayones ke arah mulut Reza.

"Aum!" Reza mengatup mulut cepat-cepat dan mengunyah sambil diperhatikan Mitilda. "Sedapnyaaa... Thank you..." Reza mencium lagi pipi mongel Mitilda, macam menggomol teddy bear.

Geleng kepala Akid melihat gelagat kebudakan Reza. "Baik punya perangai kawan! Terkam anak aku dulu, bukannya nak bersalam dengan kita orang!" kata Akid lalu menolak kepala Reza supaya menjauh dari pipi Mitilda.

Reza menyegir. "Tarikan anak kau ni lagi kuat dari kau orang. Siapa suruh produced anak comel sangat?"

Spontan Akid mendada. "Dah aku handsome, nak buat macam mana?" Mengangkat diri sendiri.

"Haah, aku tengok Mitilda ni dah macam kau punya miniature versi perempuan!" Selamba sahaja Reza memberi komen sambil mencubit sayang pipi Mitilda.

"Apakah maksud yang kau cuba sampaikan?" tanya Akid, berkerut dahi.

"Maksudnya... Muka kau macam perempuan!" balas Reza dengan muka begitu puas hati dapat mengenakan Akid.

"Hampagas!" getus Akid.

Pecah tawa Wa'ie dan One mendengarnya. Kerana Mitilda, Akid sanggup menukar curse words jadi entah apa-apa perkataan.

"Haah! Betullah, Kid..." Sahut One sambil menatap wajah Miltilda dan Akid silih berganti. "Kalau kau buang misai dengan janggut kambing kau tu, memang muka kau sebiji rupa Mitilda!"

Akid menyumpah tanpa mengeluarkan suara, membuatkan mereka semua tergelak besar.

Reza tegakkan tubuh lalu menghulur tangan pada Akid. "Sihat, bro?"

"Tengok badanlah. Ini badan orang bahagia, tak payah pergi gim! Cukup makan zahir dan batin!" Akid menjawab dengan nada bangga seraya membalas brofist yang disuakan oleh Reza. Gaya bersalam mereka sejak zaman universiti.

Sambil menjeling tubuh Akid yang kelihatan lebih kembang dan berisi berbanding zaman bujang, Reza mencemuh. "Haah, mesti six pack kau dah bertukar jadi spare tyre!"

Langsung tidak membantah, Akid ketawa lepas sambil menepuk-nepuk perutnya.

Reza kemudiannya beralih melakukan hal yang sama pada One dan Wa'ie.

Tidak seperti rakan yang lain, mata Wa'ie lebih tajam mengamati wajah Reza. Dia telah mengesan sesuatu.

"Perghhh!! Ini baru betul-betul gerhana scar cinta!" Wa'ie tergelak besar macam ada tanduk atas kepala bila ternampak kesan gores yang agak ketara pada pipi Reza.

Akid dan One serentak memanjangkan leher ke arah Reza. Barulah mereka perasan akan dua goresan pada pipi kiri Reza.

"Woah! Kata tak ada awek? Tapi siapa yang bagi tamparan wanita ni?" usik Akid dengan senyum jail.

One menghulur tangan, cuba menyentuh tapi Reza pantas menepis. Sambil menarik kerusi untuk duduk, Reza mengangkat tangan dan menaikkan jari hantu seraya menggerakkan mulut menyebut perkatan curse itu tanpa suara.

"Hoi! Rude hand gesture macam tu, jangan tunjuk depan anak aku la... Bad example betullah kau ni!" sungut Akid, tayang muka bengang. Padahal Mitilda ralit makan kentang goreng.

Reza buat muka, pura-pura mencebik jengkel. "Dah tu, kau bawa dia lepak mamak ni, bukan bad example ke? Patutnya anak perempuan kena ikut mak, barulah membesar jadi awek sopan santun. Ikut kau, rosak akhlaklah jawabnya!"

"Haaa!" Akid menjentik jari ke udara sebelum tersandar mendepangkan tangan ke belakang kerusi Mitilda. "Jelas sekali kau tak faham konsep keibubapaan. Anak perempuan kena ikut bapa supaya bapa boleh kawal dia dan ajar dia mengenal jenis lelaki yang boleh dibuat suami. Anak lelaki, kena ikut mak supaya dia boleh belajar protect perempuan supaya bila dia dewasa nanti, boleh protect anak bini dia pula..."

Reza diam mencernanya sejenak. "Okeylah... Masuk akal jugalah teori kau tu." Tangan Reza melambai ke atas, memberi isyarat kepada pelayan. "Nescafe ais satu!" laungnya.

"Mimpi apa kau datang sini malam ni?" soal Akid tanpa basa-basi lagi.

Keluhan berat terhela dari mulut Reza. Tak lekang Akid tersenyum. Tepat sekali dugaannya, memang ada perkara sedang mengganggu fikiran Reza. Cuma dia tidak dapat mengagak seberapa berat beban itu pada Reza.

"Pasal hashtag yang kau orang cakap dalam WhatsApp tu... Memang betul ada ke?"

Pertanyaan Reza membuatkan mereka bertiga berpandangan sesama sendiri dengan riak terkejut.

"Kau tak cuba Google sendiri ke?" selidik Akid.

"What? Google hashtag nama sendiri?" Hujung bibir Reza terjongket sinis. "Sounds like a narcissist!"

Dari mimik muka tidak kuasa yang ditunjukkan oleh Reza, Akid percaya kalau Reza memang tidak pernah mencubanya. "Sebab benda tu betullah, kita orang membahan kau," kata Akid dengan wajah lebih serius. "Tapi, apa hal tiba-tiba kau berkesah pula ni?"

"Sebab..." Kata-kata Reza tergantung sekejap bila pelayan datang membawakan pesanannya. Tangan Reza segera menarik keluar straw dari gelas dengan telunjuk menutup hujungnya. Dihalakan pada pinggan kosong depan Akid. Bila straw diterbalikkan, barulah telunjuknya dialihkan, membiarkan air yang terperangkap mengalir ke hujungnya. Itu cara Reza membersihkan straw sebelum minum kerana dia selalu beranggapan, ada habuk dalam straw.

Setelah menyedut sedikit minumannya, barulah Reza sambung bercakap.

"Sana datang ofis aku dan tunjukkan semua hashtag tu."

"Sana mana ni, weh?" Wa'ie garu-garu kepala. Hilang ingatan sungguh dia pada nama itu.

"Maksud kau, Sanariah binti Samsudin? Awek yang cas rocker dulu tu ke?" tanya One pula meminta kepastian.

"Ahah!" Reza memetik jari ke arah One. "Ingat pun kau... Betullah tu. Sanariah Samsudin."

"Memanglah ingat sebab dia antara fans perempuan yang berani redah sampai ke belakang stage cari Alfan." Tidak semena-mena dalam fikiran One terimbau kenangan lama.

"Masalahnya sekarang, dia asyik terror aku!" rungut Reza.

"Ooo... Patutlah..." Wa'ie terangguk-angguk walaupun masih tidak dapat mengingati dengan jelas rupa Sana.

"Patutlah apa?" Reza terpinga-pinga.

"Patutlah hashtag nama kau bersepah sana sini. Ramai orang duk selongkar balik pasal I, Bandel!" ujar One lalu tersandar pada kerusi dengan sebelah tangan mengusap dagu.

"Eh? Apa maksud kau?!" Reza mula rasa tak senang diri.

Akid mendecit. "Kau ni Reza, nama aje creative director... Takkan kau tak ambil tahu langsung pasal perkembangan terkini kat Internet? Mustahil kau tak pernah online!"

"Siapa cakap aku tak ambil tahu? Memanglah aku selalu online tapi tak ambil tahu pasal gosip. Aku tengok design feed dan inspiration galleries supaya up to date dengan latest trend and technology, sebab aku kena asah forward-thinking!" tegas Reza membela diri.

"Huh, kau up to date pasal bidang kerja kau aje! Online pun tak guna kalau perkembangan lain kau tak nak ambil peduli!" sela Akid agak geram.

Semerta Reza terdiam. Memang kalau menyangkut soal kerja, dia selalu ke depan. Hal lain, dia malas masuk perut!

"Serius aku tak faham dengan hidup kau ni, Reza." Hujung bibir Akid terconget dengan senyum sinis. "Kau tahu tak sekarang ni video konsert lama kita tengah viral kat Internet. BBNU ramai nak kenal band kita. Nak kenal kau!" Akid mengasak lagi dengan soalan mengejutkan Reza.

"Hah?!" Ternganga mulut Reza mendengarnya.

"Ada orang upload ke YouTube rakaman lama show kita. Ada beberapa zoom pada kau tengah main dram. Pembohong betul kalau kau kata tak ada Facebook dan tak tahu apa-apa." One menyampuk, mengeruhkan lagi air muka Reza.

"Aku dah delete! Semaklah kepala tengok gelagat orang update kehidupan masing-masing bagi strangers baca. Merungut itu ini, tiba-tiba hujung status tulis, tak apa ini ujian Allah untuk aku, aku reda, alhamdulillah. Pathetic!"

"Yang kau merungut pasal orang lain ni, kenapa? Sekurang-kuranganya orang lain ada FB, bersosial. Kau?"

Tanpa menghiraukan tatapan sinis One, Reza terus menyatakan pendiriannya.

"Ini soal mentaliti. Kalau reda, ikhlas dengan ujian, kau takkan karang status panjang berjela merungut bukan-bukan di media sosial. Kalau betul reda, sujud pada Tuhan di sejadah!"

"Pergh! Acah alim kau sekarang, ya?" One mencebik campur terasa.

Malas bertekak, Reza memutuskan agar diam sahaja.

"Dah! Tak payah gaduh! Biar aku tunjuk kat kau apa dah jadi." Akid segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan membuka laman YouTube. Telefon bimbit disuakan kepada Reza.

"Last week, kita orang jumpa channel ni," kata Akid.

Mata Reza tidak berkelip melihat beberapa video yang terpapar dalam channel itu. Tidak sampai seminit, Reza menolak telefon bimbit dan memalingkan mukanya.

"Siapa yang rajin sangat buat semua tu?" Reza geram.

"Siapa lagi? Sana, kut?" One membuat andaian rambang.

"Apa hal dia buat macam tu? Bukannya dia tak tahu band kita dah lama berkubur! Dia pun tahu aku tak suka ungkit lagi pasal muzik!" Sampai tegang urat leher Reza menegaskannya.

"Sekejap, aku nak tunjukkan kau..." Akid meluncurkan jari atas skrin telefon bimbitnya. Membuka laman Instagram pula. Bila terjumpa apa yang dicarinya, Akid menyuakan semula telefon bimbit ke hadapan Reza.

"Ini ke Sana?" tanya Akid, meminta kepastian.

Mata Reza mencerun bila melihat akaun Instagram yang berada dalam mode private itu. Memang muka Sana pada gambar profile. Berdetak kencang jantungnya melihat nama ID yang digunakan oleh Sana.

Mrs. Reza.

Engineering Graduate.

Devoted and defensive - Girlboss of @sanacouture, @sanaspabeauties - SANA EMPIRE SDN BHD

3665 posts 293k followers 87 following

Reza terdiam tapi rahangnya kelihatan bergerak-gerak mengetap gigi dengan mata tidak berkelip memandang skrin. Dalam hati menyumpah. Damn it! Sana memang betul-betul sakit otak! Patutnya kena tambah lagi kat hujung tu, obsessive!

"Memang mental betul minah ni... Sendiri upload lepas tu tuduh aku pula menggatal!" Reza menggerutu geram.

"Astaga..." Akid menepuk dahi bila Reza terus diam tidak menjawab. "Aku ada dengar juga few artis sebut-sebut nama Sana instafamous. Tapi tak sangka dia Sana yang selalu jumpa Alfan belakang stage dulu! Patutlah tak agak-agak dia guna nama Mrs. Reza!"

"Fuh! Lawa gila dia sekarang, ya? Dulu selekeh, gaya boyish tapi sekarang dah gebu! Ramai followers pula tu! Rugi kalau tak add dia ni!" komen Wa'ie. Tangannya terus menekan butang Request.

"Tak sangka! Diam-diam kau ada hubungan dengan Sana, ya?" usik One.

"Pergi mampus!" maki Reza bersama kesabaran yang makin menipis, sikit lagi akan terkoyak.

Akid cepat-cepat tekupkan tangan ke telinga Mitilda sambil menjegilkan mata bagi memastikan Reza tahu maksudnya. Terpinga-pinga anak kecil itu memandangnya.

Reza menghembuskan nafas kasar, membuang amarah. "Perempuan tu psiko! Aku tak pernah ada apa-apa hubungan pun dengan dia! Dia yang selalu e-mel aku, hantar mesej bukan-bukan. Tiba-tiba terjah ofis kata aku nak break off dengan dia. What the..." Ayat Reza tergantung di situ bila matanya terpandangkan Mitilda.

"Patutnya kau tak boleh sombong sangat, Reza. Dah ada orang sukakan kau, terima ajelah. Jangan besok sampai ke tua kau tak kahwin sebab ikutkan alergi pada perempuan." Akid menasihati macam abang-abang mithali.

"Aku lagi rela tak kahwin dari berdamping dengan perempuan macam Sana tu!" bentak Reza sambil memukul-mukul birai meja dengan jari telunjuk. "Dia cari aku sebab aku ni kembar Alfan! Sebab muka aku macam Alfan. Kau orang ingat aku boleh terima ke perempuan macam tu? Nanti atas katil, pandang muka aku, tapi mulut sebut nama Alfan."

Akid geleng-geleng kepala. Ambik kau! Sampai tahap kaitkan atas katil. Jauh sungguh fikiran Reza...

"Masalahnya, kau keras hati sangat. Tak ada toleransi langsung! Tak suka, bukan bermakna kau kena tolak dengan kasar. Jangan sampai esok lusa semua perempuan benci dengan sikap kau tu! Kecutlah kau tak kahwin sampai ke tua! Tidurlah kau atas katil sorang diri sampai mati!" tingkah Akid, sengaja mahu mengapokkan Reza.

Mendadak Reza membisu. Tangannya pantas mencapai gelas dan tanpa menggunakan straw, Reza meneguk terus minumannya sampai tinggal setengah. Namun, panas dalam dada tetap tidak mereda.

One yang masih menelusuri laman Instagram melalui telefon bimbitnya, tiba-tiba membuat andaian. "Aku rasa semua ni berpunca daripada Sana. Dulu-dulu habis kuat pun, kita punya audio dengan lirik lagu aje orang upload di YouTube. Sekarang dah naik video pula. Ramai awek nak kenal kau, Reza... Kiranya kau boleh cari makan lagi dalam industri." Makin giat One memprovokasi.

Reza tetap membeku. Sikit pun tidak teruja.

"Rasa gian pula bila tengok video kita ni. Eh, jom... Kita jamming balik..."

Ajakan spontan Wa'ie itu membuat Reza mendengus. Sontak dia bangun dari kerusi dan beredar menuju ke kaunter. Lepas buat bayaran, dia balik ke meja, mencapai helmet dan jaketnya.

"Nak balik dah ke? Malam masih muda," gurau Wa'ie.

"Aku dah bayar semua ni. Nak balik tidur. Ciao!"

One menghela nafas pasrah melihat Reza menonong mendapatkan superbike dan meninggalkan mereka begitu sahaja. "Baru sebut ajak jamming, dah lari macam ada orang nak bunuh dia. Entah apa-apa Si Reza ni..."

"He is a confused person actually. He keeps himself locked up even though he really does not want to be like that." Akid membuat ulasan sepintas lalu. "Sebab tu dia makin hari makin rigid, laid back... Dah macam robot!"

One dan Wa'ie sama-sama termangu mendengarnya.

"Dia tu elok kahwin aje. Belajar bercinta. Baru ada perasaan sikit kut?" One membuat kesimpulan rambang.

"Kahwin dengan Sana?" soal Wa'ie sebelum tergelak kecil.

Sambil mengelap mulut Mitilda dengan tisu, Akid segera menjawab.

"Hesy! Kalau kahwin dengan Sana, letak pedang kat leher pun, aku rasa Reza lagi sanggup pilih kena pancung!"

"Woi, rugilah dia reject Sana. Aku tengok perempuan ni macam dah kaya-raya aje..." Wa'ie menayangkan laman Instagram rasmi @sanacouture pula ke hadapan rakan-rakannya. Ada satu gambar Sana bergambar gaya ala model antarabangsa di hadapan butiknya yang kelihatan eksklusif.

"Wow! Sana dah berubah! Reza tu buta ke apa? Sana dulu berkarat, sekarang dah putih gebu!" komen One begitu kagum.

"Tapi aku peliklah... Sana dah berubah jadi lawa macam ni pun Reza masih buat derk aje. Apa ya, yang buat dia alergi sangat dengan perempuan? Kau orang takkan tak tahu apa-apa?" Wa'ie tertanya-tanya.

Akid dan One, sama-sama jongket bahu, tanda tak tahu.

"Dia kan lebih suka pendam perasaan, habis kuat pun dia luahkan dalam lagu. Tak macam Alfan lagi suka let it go... Let it go... The cold never bothered me anyway..." One berlagu, siap menggayakan tangannya.

Mitilda tertawa riang mendengar lagu kegemarannya. Akid tersenyum. Lega bila sahabatnya yang berdua itu, tahu mengawal diri di hadapan anak-anaknya. Akid sudah letakkan syarat, kalau melepak dengan anak-anaknya, no smoke, no bad words, no rude hand gesture.

"Reza tu dah masuk zon, I rather be heartless than broken heart. The cure for him is time and trust." Akid berkata dengan yakin. Dalam kepala mula membuat perancangan demi Reza.

REZA keluar dari bilik mandi ketika jam menunjukkan pukul 11 malam. Setelah mengenakan seluar pendek tanpa baju, dia merangkak naik ke atas katil. Meniarap tanpa bergerak selama beberapa minit. Suasana bilik sunyi sepi tapi dalam kepala Reza terngiang-ngiang suara teman-temannya.

"Huh, kau up to date pasal bidang kerja kau aje! Online pun tak guna kalau perkembangan lain kau tak nak ambil peduli!"

Kata-kata Akid seakan-akan membakar semula gegendang telinganya. Reza bingkas membalikkan badan sambil tangan menggapai iPad dari atas meja di tepi katil. Rasa ingin tahu tidak mampu dikurung lagi.

Dia menaip hashtag nama sendiri, membuang jauh-jauh perasaan kagum pada diri sendiri. Dan... Apa yang ditemukannya cukup mengejutkan. Untuk beberapa detik, Reza melongo melihat hasil carian sebanyak lima muka surat di Safari.

Instagram photos for tag #alfareza | iconosquare.com/tag/alfareza - Ex-drummer I, Bandel - Reza #alfareza #ibandel @mrsreza... @wanasue... Kenapa dia cute sangat... @repostapp...

Tweets about #alfareza hashtag on Twitter | https://twitter.com/hashtag/alfareza The latest and best Tweets on #alfareza. Read what people are saying and join the conversation.

Old Tweets: Alfareza (I, Bandel) Raafisah : Reza the best! Handsome, cute and wish I can meet him... #alfareza

Reza menekan salah satu dari hasil carian dan dia terkesima. Melihat gambar-gambar lamanya bersepah di Instagram, Facebook dan Twitter entah siapa-siapa. Scary! Diminati ramai perempuan yang tidak dikenali!

Namun ada satu status yang menarik perhatian Reza.

Jo Dwbass @JoDw 6 days ago

Dah lama tak posted pasal drummers. Baru terjumpa satu live video, dah lama konsert ni... Tapi one of the drummer dari band yang performed masa tu, sangat awesome. Rugi band ni dah takde sekarang. #exdrummer #reza #ibandel

So, here the link, https://www.youtube.com/watch?v=RXJKTXcgYf0

Agak menggigil tangan Reza ketika menekan link yang diberikan. Demi melihat video itu, seluruh otot tubuh Reza rasa kaku. Bertahun lamanya dia cuba membuang jauh-jauh semua kenangan, tapi malam ini kerana satu hashtag, imbasan demi imbasan terkuak semula macam slide presentation dalam kepala.

Sekarang, semuanya makin jernih bagi Reza. Patutlah Wa'ie tiba-tiba lancar sebut ajak jamming semula. Haruslah dia teruja membaca setiap komen positif pengunjung.

Chris: The drummer... He's so cool.

Oh Sehun: Amazinggg band!

Gadaffi: Terbaikkk! Support this awesome band. Dia orang bukan cikai, semua belajar tinggi... Dulu aku selalu follow dia orang punya gigs... Sayangnya dia orang bubar macam tu aje, without saying a goodbye pun pada fans dia orang.

Mohd Nor: Boleh tak aku cakap band ni tahap international punya? Good job!

Izzuan: Lagu dari band ni semuanya best-best. Permainan muzik dia orang sangat ohsem!

Zack: Dia orang ni bawa genre alternative rock... Tapi ada juga lagu-lagu rock ballads dia orang yang deep!

Chombi: What concert is this? I really wanna know. How come i tak pernah tahu pasal band ni? Arghhh why dia orang semua cute2?

Afiq: Band ni dulu memang badass. Semua dalam band ni talented gila... Tulis lagu, compose lagu, main muzik... Tapi sayang dia orang tak bertahan sampai sekarang... Aku suka lagu rock ballad dia orang macam Infinite Sadness... Kau... If... Sebelum.

Louis: Mana band ni pergi? Tak pernah nampak pun sekarang? Anyone can give me info about them?

Khaliq: Band ni 8 ke 10 tahun lepas memang popularlah... Asal main underground aje... Tapi bila dah go mainstream, tak sampai setahun dua, tetiba bubar pula... Sekarang dah tak ada. Pergi check kat Wikipedia, ada sikit info pasal dia orang...

Cik Bunga: Drummer dengan penyanyi tu twin ke? Muka sama!

Mrs. Reza: Reza and Alfan are twins.

Aini: Mrs. Reza ni sapa? Bini salah sorang ahli band ni ke? Reza tu yang main drum, tu kan?

Mrs. Reza: Reza also can sing actually... Tapi jaranglah... Bila Alfan perlukan backup aje...

Sarah Anum: OMG! Selain dari handsome dan pandai main dram, Reza juga pandai nyanyi? He looks so strong with the drumsticks! Ohhh... I'm falling in love with him all over again! Ruginya tak kenal band ni dulu

Mrs. Reza: He's not available!

Melihat Sana menjawab bagi pihaknya, terus Reza menutup laman YouTube. Namun dia tidak mampu menahan diri, gatal tangan mencari I, Bandel di laman Wikipedia. Memang betul seperti kata user bernama Khaliq, ada info tentang I, Bandel di situ. Tidak begitu banyak maklumat dipaparkan dan hanya ada tiga laman references. Tapi bila membaca punca pembubaran, Reza segera mematikan iPad bersama hembusan nafas kesal.

Maknanya memang Sana yang sengaja menaikkan semula nama I, Bandel. Nak cari publisiti murahan ke apa? Dia yang upload, nak marahkan aku pula bila orang hashtag nama aku! Dasar perempuan gila! Kalau lelaki, senang sikit aku nak ajar dia! Berlagak macam tahu semua benda pasal I, Bandel! Pasal aku... Pasal Alfan... Tapi dia tak tahu aku benci perempuan gedik sebab... Hanya kerana perempuan gedik tak ada maruah, papa dan Alfan tinggalkan aku!

Reza membatin.

Kesunyian tiba-tiba menggulung hati. Cepat-cepat dia menyumbat earphone ke telinga. Lagu dipilih dari iPod. Suara nyanyian Alfan dan petikan gitarnya memenuhi pendengaran Reza. Dulu, kalau susah mahu tidur, Alfan akan selalu menyanyi untuknya sambil memetik gitar.

Kepala dirapatkan ke bantal dan perlahan-lahan, fikiran Reza mulai meringan.

Kau...

Ketika aku gundah,

Kau menjadi bulan nan indah,

Ketika semua telah usang,

Cahayamu masih benderang...

Sisi gelapku jadi terang,

Ketika aku tercari,

Kau mengajari...

Saat aku berduka,

Kau hapus air mata...

Detik-detik berikutnya, kelopak mata Reza semakin memberat. Dengan suara Alfan masih di telinganya, Reza lelap dalam rasa rindu...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co