Truyen3h.Co

Hingga Akhir Nafasku

Bab 11

karyaseni2u

RIMAS benar melayan olah manja Kathy. Terasa ruang luas pejabatnya bertukar sempit gara-gara terpaksa berkongsi udara dengan anak dara Puan Mardhiha dan Tuan Baki. Sedang nafas yang dihirup ikut bejat tidak sekata. Apatah lagi penampilan gadis itu cukup mendera penglihatan. Segala-galanya bagaikan terkoyak di sana dan sini.

"Listen, Kathy... I sibuk sekarang ni. I really do." Dia berkata tegas.

"I know..." Kathy membalas perlahan seolah-olah sedang berjauh hati. Dia menjarakkan kedudukan. Kaki berayun menuju ke penjuru ruang itu lantas bersandar ke dinding dengan mata menghala ke luar cermin pejabat yang berkelebaran 10 kaki dan ia direntangi pemidang tingkap yang diperbuat daripada bahan plastik.

"Then?" Soalan itu dimuntahkan acuh tidak acuh. Tengku Hanif tidak berminat hendak membazirkan keseluruhan masanya untuk Kathy.

Dada menghempas deru nafas yang mendesah kasar. Kathy ketap bibir tanda protes. Leret mata begitu tajam menikam roman bersahaja lelaki pujaan hatinya. Kewujudannya langsung tidak dipeduli. Dia bukan tunggul. Dia bukan halimunan.

"You ni tak reti hormat tetamu." Kathy memerli. Daripada berdiri tegak bagai tiang perhiasan di dalam bilik pejabat itu, dia labuh pula punggung di atas kerusi yang bertentangan Tengku Hanif.

"I datang... You tak sambut elok-elok pun."

"You nak I bentang karpet merah?" Tengku Hanif mendongak sejenak. Wajah Kathy dipandang sepintas lalu sebelum kembali membawa jari-jarinya menari di atas papan kekunci komputer riba.

"You ni!" Kathy membentak geram. Mukanya cemberut.

"You nak apa sebenarnya? I betul-betul sibuk." Kali ini Tengku Hanif lebih melembutkan bicara. Walau sakit mata melihat lahiriah Kathy, penglihatan tetap dipaksa untuk merenung ke dalam mata gadis itu.

"I want you."

"What?" Naik tinggi kening Tengku Hanif.

Kathy tersenyum lebar. "I nak you, Hanif."

"Nak I?" Suara lelaki itu memburai tawa yang bukan sedikit.

Senyuman Kathy beransur malap. Roman wajahnya tidak mempamer sebarang riak.

"Yes... I nak you. I nak you jadi suami I. Kita kahwin." Kathy berterus-terang. Biarlah orang mengatakan dia sang perigi yang tidak lelah mengejar si timba kerana itulah hakikatnya. Dia telah lama menyimpan perasaan yang sangat istimewa kepada Tengku Hanif. Apatah lagi ketika Sabrina menyatakan hasrat menyunting dirinya sebagai calon isteri kepada lelaki itu, hati melonjak kegirangan. Sejak hari itu, tiada paras lain yang beroleng-oleng dalam fikiran selain Tengku Hanif.

Gelak tawa tadi beransur sepi. Lelaki itu lebih selesa membentur otot muka dengan melarik sedikit senyuman halus. Sejurus itu Tengku Hanif menggeleng kepala berkali-kali.

"Kahwin bukan perkara yang boleh dibuat main."

"I tahu. I tak main-main, Hanif. I nak kahwin dengan you. Even your mama pun nak kita kahwin."

Tengku Hanif memanggung dagu.

"Mama..." Dia menggetus perlahan.

"I serius, Hanif. I nak kahwin dengan you." Kathy bertegas.

Sisa herot nipis tadi kian melebur. Renungan kedua-dua mereka saling berpadu. Hambatan itu seakan-akan mengalirkan dua aura berbeza.

NURUL AIN menolak perlahan daun pintu itu. Kepala menjengah ke dalam ruang pejabat Tengku Hanif.

"Assalamualaikum." Dia memberi salam.

"Waalaikumussalam. Ya... Masuk, Nurul Ain." Segera lelaki itu berdiri seolah-olah menyambut kunjungan mengejut tersebut.

Nurul Ain mula menginjak lantai pejabat lelaki berkenaan dengan mata sesekali melirik ke arah seorang gadis yang turut sama memerhatikannya. Dia sering ternampak gadis itu datang menemui Tengku Hanif. Pada fikirannya, kedua-dua mereka mempunyai hubungan sama ada hubungan saudara atau mungkin hubungan cinta.

"Ini dokumen yang Tengku minta tadi. Maaf saya lambat pass pada Tengku."

Unjukan sang gadis dicapai. Dia membelek dokumen nipis itu sekadar memenuhi syarat sahaja. Setelah itu, dia kembali meragut paras Nurul Ain. Bibirnya melorek senyum.

"It's okay. By the way, thank you, Nurul Ain." Senyumnya tidak putus-putus tanpa menyedari ada sepasang mata memerhati kelakuannya.

"Oh ya... Kathy... This is Nurul Ain, assistant Lufiya and this is Kathy." Tangannya saling menuding ke arah Nurul Ain dan kemudian tertuju pula kepada Kathy.

Kathy berdiri. Mukanya berkerut. "Kita pernah jumpa, kan?"

Lama dipandang wajah yang bertata rias cantik itu. Malah tanpa secalit solekan pun Kathy kekal tampak manis. Benar, mereka pernah berjumpa. Dua kali.

"Lif... Remember?" Kathy bersemangat memacu ingatan Nurul Ain meski ia sudah sampai terlebih dahulu ke dalam fikiran.

Nurul Ain mengangguk seraya bibirnya terbuka sedikit, lalu memuntahkan bicara. "First time dekat lobby. Saya terlanggar awak."

Kening Kathy hampir bercantum. Setelah itu dia menepuk dahi. Kemudian tawanya meletus.

"Gosh! You ke yang I kata macam kayu balak tu?"

Terkidum-kidum Nurul Ain menyembunyikan senyum.

"I'm sorry. Really sorry. Nampak teruk sangat perangai I masa tu, kan?" Mukanya kemerah-merahan mengenangkan perlakuan kurang adabnya terhadap Nurul Ain. Mujur sahaja ketika itu Sabrina ada bersama. Setidak-tidaknya angin luar kawalan yang berpusar di dalam kepala lekas ghaib setelah dipujuk lembut.

Sepeninggalan Nurul Ain, Kathy kembali memaut roman tenang Tengku Hanif. Lelaki itu sudah duduk menghadap komputer riba sepertimana mula-mula dia menjejakkan kaki ke sini.

"You... Suka perempuan tu?" soalnya.

Anak mata menerjah ke arah Kathy. Mukanya berkerut. "You cakap apa?"

Terbabas keluar helaan nafas yang kedengaran memberati anak telinga. Kathy mencapai beg tangannya.

"Nevermind." Dia sudah bersiap-siap hendak bawa diri.

"I nak balik. Bosan duduk sini jadi tunggul," gumamnya pula. Sengaja dilantun sedikit kuat suaranya agar singgah di telinga Tengku Hanif.

"Jangan lupa, Hanif. I ni bakal menantu pilihan your mama. Kalau your mama paksa you kahwin dengan I, kita memang akan kahwin. So please... Layan I baik-baik sikit."

Amaran itu seumpama satu candaan bagi Tengku Hanif. Sampai ke telinga leret senyumnya.

Ada ketika, olah Kathy mampu membuarkan rasa geli hati. Selebihnya hanya menambah sakit kepala, sakit jiwa dan sakit hati.

"MAHU ke anak awak kat anak kita tu?" Puan Mardhiha menduga-duga.

Sabrina menepuk paha wanita seusianya. Kemudian leret senyum dilebarkan supaya kelihatan benar bersungguh.

"Apa pula tak mahu? Kathy tu cantik. Dah tu, pandai pula ambil hati kita. Yang paling penting, dia hormat orang tua." Berjela-jela pujian dilontar menjadi santapan halwa telinga Puan Mardhiha.

Puan Mardhiha tersenyum tawar. Dia tahu kedudukan Kathy di mata Tengku Hanif. Bahkan dia tahu sejauh mana nama Kathy bertinggung dalam jiwa pemuda itu. Cuma untungnya Kathy, dia mendapat tempat paling istimewa di sisi Sabrina.

"Alah, anak kita tu banyak sangat kurangnya. Tengok cara dia pun... Tahu dah. Terikut sangat gaya orang putih tu. Baju tak pernah nak cukup kain. Sakit mata kita ni. Apatah lagi mata orang lain. Dah tegur, sama juga. Sampai letih mulut nak cakap banyak kali." Keluhan itu kedengaran berjela-jela.

Sabrina ketawa kecil. "Biasalah tu. Budak muda lagi. Nak bereksperimen," tuntasnya seraya tersenyum lagi.

Juling ke atas mata Puan Mardhiha. "Eksperimen tak kena gaya."

"Dulu pun kita pernah berjanji dengan kakak awak. Konon nak jodohkan anak-anak kami." Puan Mardhiha mula mengimbau kenangan lalu. Aku janji mereka seumpama kembali memenuhi deria pendengaran. Walhal pada saat itu, anak-anak mereka masih kecil.

"Irsyad?"

Terangguk-angguk kepala Puan Mardhiha bersama letusan senyuman yang bersisa di pinggir bibirnya.

"Kita ni manusia... Mampu merancang sahaja. Selebihnya urusan Allah." Sabrina berkata perlahan.

"Tak panjang usia Aminah." Kini giliran Puan Mardhiha pula berkeluh-kesah. Teringat akannya tragedi yang menimpa keluarga hartawan itu. Hati sungguh jatuh kasihan. Apatah lagi ketika itu dikhabarkan bahawa anak kecil pasangan berkenaan tiba-tiba sahaja ghaib padahal mengikut pada tutur kata Awang Kader, si kecil turut ada bersama Nur Aminah.

"Mummy!" Oktaf suara manja itu kedengaran kuat.

"Auntie pun ada." Tersenyum-senyum Kathy memandang wanita yang bakal dipanggil 'mama' kelak. Lekas dia menyalami Sabrina selepas memeluk ibunya, Puan Mardhiha.

"Kathy dari mana?" Nyaris juling mata Puan Mardhiha melihat lekuk-lekuk tubuh anak daranya.

"Cuba mummy teka..." Kathy berniat mengusik ibunya. Dia tersenyum-senyum lagi. Rambutnya yang panjang hitam berkilat dilurut lembut.

"Mummy tak suka main teka-teka ni."

Dengusan Puan Mardhiha membuatkan tawa Kathy meletus kecil. Sebelah tangannya menyentuh bahu Sabrina, sejurus berkata, "Kathy jumpa bakal menantu mummy la."

"Hanif?" Sabrina sengaja memutikkan nama itu.

Kathy memetik jari. "You're correct, Auntie Na. I jumpa Hanif dekat ofis dia. Tapi macam biasalah, dia tu sibuk. Harap-harap lepas kahwin nanti, dia pandai bahagi masa antara kerjaya dan keluarga. Kan, Auntie Na?" Otot muka membentur lagi setelah bicara usikannya menemukan riak kurang senang di wajah ibunya.

Berbanding Sabrina yang ternyata lebih terbuka menerima usikan nakal Kathy, di pihak Puan Mardhiha pula jelas dia tidak menyenangi olah Kathy. Kalau pun benar kedua-dua mereka bakal disatukan atas rencana keluarga, Kathy masih seorang perempuan. Batasnya tetap ada.

"I naik atas dulu ya, Auntie Na. Nanti kirim salam I pada future husband I, boleh?" Mata mengenyit nakal. Setelah itu dia memandang Puan Mardhiha. Dia tahu wanita kesayangan Tuan Baki mula naik hantu melihat perangainya.

"Kathy naik atas dulu, mummy." Pipi wanita itu diciumi dan dengan langkah perlahan dia merentasi laluan kecil yang berbatu-batu menuju ke pintu gelangsar yang terbuka luas.

"Tengoklah tu... Dengan awak nak berI dan beryou bagai." Bibir Puan Mardhiha mencebik tanda menyampah.

Sabrina melepas tawa. Walau bagaimanapun lahiriah Kathy, dia tahu gadis itu boleh dibentuk menjadi seorang wanita yang anggun tanpa mempertontonkan apa yang sedang galak dipersembahkan kepada umum.

DIA nampak tanpa perlu disuluh lagi.

Tubuh dihempas kasar ke atas tilam. Pandangan mata menjulang kipas yang berputar perlahan meniupkan angin halus.

Perempuan macam itukah yang menjadi santapan penglihatan Tengku Hanif? Bukan perempuan seperti dia? Di luar sana, ramai mendambakan dirinya. Ramai memuji lantas mengangkat dia sebagai seorang jelitawan. Tetapi berbeza hal pula dengan Tengku Hanif. Jangankan pandang, melirik juga jauh sekali. Seolah-olah segala perhiasan dan kecantikannya tidak menarik langsung minat lelaki itu.

Daripada terlentang, kini dia bangkit duduk menongkat dagu.

"Nurul Ain." Bibirnya bergerak-gerak membutirkan sebaris nama itu. Gadis itu biasa sahaja dan padanya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan langsung. Jika nak dibandingkan dirinya, mereka ialah manusia yang berbeza. Sangat berbeza tetapi perbezaan itu telah menolak perhatian Tengku Hanif padanya.

"Mummy... Bila besar nanti Kathy nak kahwin dengan Abang Hanif."

Permintaan itu kekal menduduki hati. Sejauh mana dia pergi, hajatnya yang satu itu terus terpahat tanpa mampu dipadam-padam lagi. Lantunan itu membuahkan satu perasaan hangat dalam jiwa. Dia tersenyum sendiri.

Cintanya memang ada untuk Tengku Hanif.

"SAMPAI bila nak tenung cincin tu?" Awang Kader mengerling gelagat sang isteri. Selajur ulas bibirnya melentur senyum geli hati.

"Abang ni..." Cincin tadi diletak kembali ke dalam kotak baldu berwarna biru gelap. Terasa hatinya sedang melonjak-lonjak kegirangan menunggu kepulangan Tengku Hanif.

"Telan sahajalah benda tu, Na." Sang suami masih galak mengusik.

Mata Sabrina membulat. Hati jadi geram. Dalam segala hal berkait niatnya hendak bermenantukan Kathy, mereka tidak pernah sebulu. Manakala suami dan anaknya pula sekapal dalam hal menolak calon pilihannya.

"Saya telan betul nanti, terkejut pula abang." Sabrina membalas geram.

Buraian tawa Awang Kader memenuhi segenap ruang tamu kediaman itu. Jerkahan itu sungguh menggelikan hati.

Sang suami dikerling tajam. Bibirnya terkumat-kamit memuntahkan bicara. "Sampai masa nanti kita pergi meminang Kathy ya, bang."

Sorot mata Awang Kader membelah wajah isterinya. Hal berkaitan masa depan Tengku Hanif, dia tidak ingin masuk campur. Padanya, biarlah anak muda itu sendiri yang menentukan siapa yang bakal mengisi kerajaan hatinya. Namun urusan hati Tengku Hanif nampaknya kini sudah direncanakan oleh Sabrina. Cuma sehingga ke hari ini, Tengku Hanif masih punya olah dan panjang akal hendak menepis setiap desakan wanita itu.

"Bang..." Sabrina meletak kotak baldu tadi di atas meja. Dia memandang suaminya.

"Sejak akhir-akhir ni, saya perasan bilik bacaan abang tu asyik berganti bunga. Mana datangnya? Sebelum ni tak ada pun." Kemusykilan itu lancar dilontar keluar. Berkerut-kerut mukanya memikirkan kuntuman bunga-bunga yang kerap dibawa pulang suaminya. Hampir setiap hari pasu bunga di atas meja bacaan Awang Kader berganti penyeri.

"Bunga dari ofis."

"Ofis abang tu bukan taman bunga."

Awang Kader mencuri lihat air muka Sabrina. Ada kuntum-kuntum curiga melapisi wajahnya.

"Cemburu?" Awang Kader meleret senyum kecil.

Sabrina mencebik. "Menyampah! Orang tanya betul-betul ni."

Senyum tadi kian melebar. "Saya ni dah tua. Tak ada siapa pun yang berkenan. Jadi tak payahlah awak cemburu sangat."

Mata Sabrina membulat. Hampir sahaja biji mata terkeluar dari kelongsong tengkorak.

"Siapa kata?" Dia menuntas.

"Orang sekarang ni tak pandang rupa dah. Terdesak sangat. Yang dah tua ganyut pun, kalau berharta, sanggup jadi isteri juga. Bermadu pun sanggup. Kononnya berkongsi kasih. Kononnya nak renovate masjid. Yang lelaki pula, cepat sangat masuk jerat. Lepas dah ada isteri baru, yang setia di sisi terus lupa dah. Ada tu kena cerai lagi walhal dah cukup baik beri keizinan untuk kahwin lagi. Dasar tak kenang dek untung!"

Lebar sulaman bibir Awang Kader mendengar omelan panjang lebar isterinya.

"Saya tak macam tu. Setia saya pada yang satu." Jari menuding ke arah Sabrina.

Sabrina mencebik. "Saya tak cakap abang pun."

"Yalah... Mana tahu awak mengata saya."

"Eh, tak makan cili pun rasa pedas juga ke? Ke dah termakan cili hidup-hidup?" Ekor mata melirik tajam laksana tusukan mata pisau yang baru sahaja diasah bilahnya.

Terkekeh-kekeh Awang Kader ketawa. "Saya ni makan cili yang pokoknya hidup atas tanah. Cili lain saya tak makan."

Otot muka mulai mengendur. Sedikit demi sedikit bibirnya melentur senyum. Dia tahu, suaminya bukan jenis bermata keranjang. Setianya lelaki itu sedia diketahui sejak dahulu lagi.

"Abang nak air?" Dia berdiri.

"Boleh juga. Asyik ketawa dari tadi buat tekak saya kering ni," ujar Awang Kader sambil menggosok-gosok lehernya.

"Banyak sangat ke kerja dekat pejabat tu, bang? Hanif ni... Makin lama makin susah nak nampak muka. Asyik balik lewat malam aje. Risau saya." Sempat lagi dia memuntahkan pertanyaan tentang hal anak lelakinya sehingga membantutkan niat hendak ke dapur.

"Biarkanlah dia, Na. Tak payah nak risau sangat. Dia balik lewat pun, tahulah dia cari jalan balik. Tak sesat ke mana-mana pun budak tu. Dah... Kata nak buat air untuk saya. Tekak dah kering sangat ni."

Sabrina tersengih-sengih. Tanpa membuang masa, langkahnya panjang meninggalkan Awang Kader bersendirian di ruang tamu.

Sejurus ketiadaan Sabrina, Awang Kader mengemudi derap kaki menuju ke bilik bacaan yang terletak berhampiran tangga, bersebelahan bilik musala. Tombol besi berbiku nipis dipulas dan daun pintu ditolak perlahan. Pandangan menjaring persekitaran ruang yang menjadi kegemarannya sebelum mata pegun menatap pasu kaca yang dihiasi kuntuman bunga aster.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co