Truyen3h.Co

Hingga Akhir Nafasku

Bab 12

karyaseni2u

"IT'S confirmed." Jari-jarinya bermain di sekitar dagu.

Aidil menutup fail yang tertera nama seseorang bernasabkan bapa tiri Tengku Hanif. Dia ikut bersandar tubuh ke kerusi.

"Tengku tak mahu saya jumpa dulu dengan keluarga angkat anak Datuk?"

Tengku Hanif menggeleng sebagai tanda dia mengkehendaki pertemuan itu hanya melibatkan keluarga mereka sahaja. Tugas Aidil sudah memadai dan dia cukup berpuas hati.

"Are you sure, Tengku? Mana tahu ada kesilapan?" Aidil mengerutkan muka. Dia tahu dia seorang yang berpengalaman tetapi kesilapan kecil pun boleh membawa malapetaka kepada keluarga yang sudah cukup lama menahan perasaan duka atas perpisahan dahulu.

Tengku Hanif memandang ke arah Aidil. Matanya tidak berkelip. Sejurus sorot mata dilempar jauh ke hadapan melepasi gerbang kayu berukir seni pahat tradisional.

"Kita dah ada semua. Apa lagi yang tak cukup? You tell me."

Aidil terkial-kial menepis renungan yang tepat membaham dirinya. Walhal dia telah diupah oleh lelaki itu untuk mencari dan menyelidik serta menemukan pemilik nama tunggal yang menjadi pewaris sah 'kerajaan' Awang Kader.

"So... Bila Tengku dan Datuk nak jumpa dia?"

Helaan nafas terlepas perlahan. Ada sesuatu sedang memagari fikiran Tengku Hanif.

"Bukan dalam masa terdekat. Datuk perlukan masa."

Daripada duduk bersandar, kini tubuh Aidil tegak bagai tiang. Kemudian bibirnya melorek senyum. Seolah-olah menzahirkan apa yang sedang beroleng di dalam kepala. Olahnya menarik perhatian Tengku Hanif tetapi tidak dipersoalkan pula olehnya.

"Saya rasa dia mesti... Well you know, terkejut besar atau mungkin kejutan budaya nanti. Maklumlah, keluarga Tengku bukan biasa-biasa. She's like a Cinderella."

Otot muka Tengku Hanif membentur sedikit senyuman yang terherot ke sebelah kiri. Lenturannya sekejap sahaja sebelum wajah itu kembali meriak serius.

"Awak silap, Aidil. Kami sama, tak ada beza. Awak sendiri tahu, awak sendiri yang pergi siasat latar belakang dia selama ni. Dia dibesarkan dalam keluarga yang baik-baik. Ayahnya seorang pensyarah universiti. Dia pun belajar tinggi. Harta? Orang boleh cari. Pangkat? Orang boleh beli. Cinderella dan dia... Banyak beza. Bagai langit dan bumi. Cinderella tak kuat untuk menegakkan kemahuannya dan hanya tunggu pari-pari beri peluang kepadanya. Tapi dia... Dia seorang fighter. Fight for her life yang kita tak pernah tahu apa jadi sebenarnya. Right?"

Aidil mengangguk segan. "Maaf, Tengku. Saya tak bermaksud..." Lambat-lambat dia bersuara saat menyedari bicara Tengku Hanif seumpama mahu meleburkan dirinya.

"Nevermind." Sekeping cek ditolak menghampiri Aidil.

"Untuk awak. Untuk kerja awak yang memuaskan hati saya."

Aidil mengerling sekilas. Nilainya jauh lebih banyak daripada apa yang telah dipersetujui.

"Ini..." Dia tidak jadi meneruskan bicara. Cek itu diambil dan diamati lama-lama. Benar, jumlahnya tiga kali ganda daripada jumlah asal. Dia memandang Tengku Hanif. Lelaki itu kekal tidak mempamer sebarang reaksi.

"Macam lebih sangat ni, Tengku." Leret suara nyata janggal.

"Anggap ia satu bonus untuk kerja awak."

Tidak dapat ditahan-tahan kuluman senyum yang cuba disembunyikan daripada merias muka. Berkali-kali Aidil mengungkap lafaz syukur atas pemberian yang tidak terduga itu. Padanya, ia rezeki anak keduanya yang baru sahaja lahir beberapa hari lepas.

"Terima kasih, Tengku," ucapnya. Cek itu ditenung lama. Setiap nombor yang tertera di atas garisan hitam itu benar-benar membuatkan dia sukar untuk menghapus rasa gembira.

"Fail ni saya ambil." Fail hitam dicapai. Segala laporan yang tercetak dibelek sekali imbas. Sorot mata kaku menatap helaian terakhir. Helaian itu mengumpulkan paras anak kandung Awang Kader iaitu Dayang Nur Aishah.

Imbas kembali...

Empat tahun sebelumnya...

SUKAR untuknya melupakan rintihan yang didengari secara tidak sengaja lewat malam tadi. Suara yang mendayu-dayu itu terlontar dalam bisikan halus tetapi masih mampu hinggap ke jendela pendengaran kerana ruang alam sudah pun diselimuti kesunyian.

"Ya Allah, jangan diambil nyawaku selagi belum aku temukan puteriku, Aishah. Jangan ditutup mataku selagi aku belum melihat puteriku, Aishah."

Matanya mencuri lihat wajah Awang Kader yang kelihatan begitu fokus membelek setiap helaian surat khabar. Paling menarik minat lelaki itu tentunya slot yang memaparkan hal-hal berkaitan bidang perniagaan. Ada ketika, terlihat garis-garis kasar memagari dahi ketika lelaki itu mengerutkan muka.

"Papa..."

Awang Kader mengangkat muka.

"Insya-Allah... Doakan yang baik-baik untuk papa." Lelaki itu tersenyum kecil.

Ya, Jumaat nanti mereka sekeluarga bakal menghadapi situasi runcing di mana Awang Kader bakal diusung memasuki dewan bedah bagi menjalani pembedahan pintasan jantung atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai coronary artery bypass surgery. Sumbatan didapati berlaku di salur darah Awang Kader dan lelaki itu dinasihatkan untuk melakukan pembedahan dengan kadar segera.

"Papa..." Kali ini suaranya lebih mendatar. Entah bagaimana hendak dilontar bicara yang terpunduk di anak tekak. Entah bagaimana pula reaksi Awang Kader nanti.

Nafas ditarik dalam-dalam dan beransur-ansur dilepas perlahan.

"I will find her."

Kedua-dua belah kening Awang Kader nyaris bertaut. Tetingkap mata jatuh memerhatikan genggaman yang terasa padu. Lelaki itu nyata terkedu.

"I will find her. I will." Bersungguh-sungguh dia mengungkap janji. Akan dia bawa pulang kembali puteri yang dirindui Awang Kader.

"Ha... Hanif... Papa..." Bicaranya terputus-putus. Fikiran lelaki itu seolah-olah bergelandangan sehingga tidak punya daya hendak dihabiskan patah-patah kata yang tertinggal.

Dia membentur senyum yang sedikit. Genggaman semakin kuat. Dia ingin Awang Kader merasai tekad perasaannya ketika ini.

BAYANG pemuda yang berlatar belakang keluarga hartawan itu dipandang sehingga hilang daripada gigi mata. Kemudian dia kembali menatap sekeping cek yang tertera namanya berserta jumlah bayaran di atas hasil kerja yang memuaskan hati Tengku Hanif.

Bukan kerja enteng untuk menjejaki seseorang apatah lagi jika sudah melebihi 20 tahun lamanya. Namun berkat usaha dan kerja kerasnya, kini dia sudah boleh berlapang dada apabila telah berjaya menemukan satu-satunya pewaris sah berdarah keturunan Awang Kader. Dan imbuhan yang diterima sungguh tidak disangka-sangka.

"Dayang Nur Aishah." Nama itu meletus perlahan.

Sebagai seorang penyiasat persendirian yang mempunyai pengalaman hampir 10 tahun, tugas menjejak anak kandung lelaki hartawan itu tidak terlalu sukar.

Berbekal pengalaman dan bantuan hubungan sosialnya dengan beberapa kenalan, kes yang diusul Tengku Hanif berjaya diselesaikan dalam tempoh tidak sampai satu tahun.

Kunci utama kepada penemuan Dayang Nur Aishah ialah Zakaria. Walau bagaimanapun, informasi yang dikongsi Zakaria agak terhad. Selepas menyaksikan Dayang Nur Aishah diserahkan kepada pasangan suami isteri bernama Abdul Halim dan Suriani, yang mana turut disertai oleh seorang wanita separuh usia bernama Mak Wok, Zakaria tiada lagi mendengar khabar apa pun tentang bayi perempuan itu. Lebih memelikkan, kehilangan cucu tunggal kepada Awang Khir tidak mendapat liputan meluas dalam berita televisyen atau akhbar tempatan.

Permintaannya untuk berjumpa empat mata dengan Mak Wok ditolak keras oleh Zakaria. Lelaki itu enggan berurusan lagi dengannya sekiranya dia tetap berdegil dengan niatnya. Maka hasrat itu tidak lagi menunjangi hati. Dia tidak memerlukan wanita tua itu kerana misinya hanyalah menjejak di mana Dayang Nur Aishah kini dan bukan mencari sebab kenapa anak kandung hartawan itu boleh hilang dan berada dalam jagaan orang lain.

"Budak tu macam jatuh dari langit."

Bicara spontan Zakaria melekat kuat di dalam kepala lantas menimbulkan perasaan curiga.

Deringan telefon mematahkan tanda tanya yang tiba-tiba sahaja memenuhi lapangan minda. Lebar senyumannya melihat nama yang tertera di skrin telefon. Selajur persoalan tadi langsung mati dan hati berlagu bahagia memikirkan isteri dan anak-anak. Apatah lagi dengan imbuhan yang telah diterima hari ini.

Rezeki pemberian Tuhan tidah pernah tersalah alamat.

ALBUM lama diselak helai demi helai. Ada ketika, ia mencetuskan rasa gembira dalam relung jiwa. Menghadirkan momen-momen bahagia menerusi ingatan yang telah dikunci agar tidak pupus menduduki fikiran.

"Comel." Sabrina menggumam halus. Hujung jari telunjuk mengelus lembut gambar itu. Senyuman Tengku Hanif dimemorikan dalam usia menjangkau empat tahun itu kelihatan sangat polos. Anaknya kelihatan sangat ceria dalam kendongan Awang Kader.

Leret mata menjangkau helaian yang tinggal sedikit. Selain Tengku Hanif dan Awang Kader, di celah-celah helaian itu terselit beberapa keping gambar Nur Aminah. Mata mengecil dengan alunan nafas menderus sedikit kasar. Rakaman tidak bernyawa itu turut memetakan seraut wajah gebu Dayang Nur Aishah.

"Aku sayangkan kau, Rina. Kau satu-satunya adik yang aku ada. Bahagia kau... Bahagia juga aku. Ingat... Hubungan kita tak akan putus sampai bila-bila. Kau adik aku, Rina."

Aku janji itu seumpama segerombolan udara panas yang menerobos secara kasar ke dalam lubang telinga. Ia turut mengheret rasa ngilu yang mencucuk ulu jantung secara tiba-tiba. Selajur album itu pun ditutup rapat-rapat dan disimpan kembali ke dalam laci almari kayu.

Pada dasarnya dia enggan mengingati apa pun tentang Nur Aminah. Secebis pun dia enggan kerana ingatan-ingatan seperti itu akan menghumban dia kembali ke lembah yang tidak ingin dia jejaki lagi.

Walau rindu yang berkalung di pundak tidak mampu dihurai dengan kata-kata, tidak mampu dihitung banyaknya, dia keras memagari ingatan sendiri.

ADA sesuatu yang dangkal pada pengamatan mata. Hairan.

"Sufiah." Awang Kader memerhatikan pasu kaca yang kosong. Kemudian memandang ke arah Sufiah.

"Kenapa, Datuk?" Sufiah berdiri.

Awang Kader memusatkan mata kembali ke dalam ruang pejabat yang baru sahaja dijejaki setelah seharian berada di luar bagi memenuhi tuntutan lawat tapak dan mesyuarat bersama beberapa orang penting dari beberapa buah syarikat yang mengendalikan projek perumahan kos mewah yang bakal bermula tidak lama lagi.

"Tak ada bunga?" soalnya.

Soalan tunggal itu menerbitkan tawa halus yang kemudiannya berganti dengan senyuman kecil yang lebarnya sampai ke telinga.

"Dia tak datang ke?" Wajah itu berubah-ubah.

"Ada aje, Datuk. Cuma hari ni dia tak sempat nak singgah kedai bunga macam selalu. Katanya terlewat bangun. Datuk rindu?" Sufiah mengusik majikannya.

Awang Kader ikut ketawa. "Saya ni sedar diri."

Terkidum-kidum Sufiah menyembunyikan tawa.

"Bukan apa, Sufi. Dah terbiasa nampak bunga. Hari ni tak nampak apa-apa pula. Ralatlah sikit mata ni."

"Hari ni balik dengan tangan kosong la ya, Datuk." Sufiah tersenyum-senyum.

Awang Kader melapisi bibirnya dengan lenturan yang sedikit sahaja.

"Dekat rumah tu, Datin dah mula syak yang bukan-bukan. Saya ni dah tua, Sufi. Orang tak pandang dah."

Mengekek Sufiah ketawa. "Perempuan, Datuk. Tak lari dengan rasa curiga. Apatah lagi nampak Datuk bawa balik bunga hampir setiap hari. Mahu Datin tak fikir yang bukan-bukan."

Sufiah membawa kaki menjauhi meja kerja. Dia memandang lelaki hartawan itu.

"Datuk nak air?"

"No... Thank you."

Sufiah mengangguk. Tugasnya sudah hampir selesai untuk hari ini. Oleh sebab terdapat beberapa hal yang perlu diselesaikan, dia mengambil keputusan untuk pulang lewat satu jam dari kelaziman. Sekurang-kurangnya, keesokan hari tidak mendatangkan sakit kepala menghadap tugasan yang tidak pernah habis.

SURIANI terpaksa menurut. Kerja-kerja tadi ditinggalkan begitu sahaja.

"Kan Ain dah cakap, ibu kena banyak berehat. Jangan buat kerja apa pun. Doktor bagi cuti bukan nak bagi peluang ibu berniaga tapi suruh rehat." Nurul Ain melipat lengan baju kurungnya sampai ke pangkal siku. Sudip diambil dari genggaman Suriani. Sambal tumis ikan bilis dikacau perlahan dengan api yang sederhana.

"Bukan banyak pun. 30 bungkus aje. Apalah sangat nak membantu orang." Mata garpu dileret secara memanjang pada timun.

"Ibu bukan apa, kasihan pada Kak Leha. Dari hari tu dia bertanya. Sepatutnya hari ni dia datang ambil tapi tak jadi sebab dia dengar ibu tak sihat."

"Dah tu?" Nurul Ain mengerling. "Ni konon ibu nak buat kejutan?"

Suriani melebur tawa.

"Anak ibu ni, kalau 30 bungkus mana cukup nak oi. Tu... Ibu masak nasi lemak dua cawan aje. Cukup untuk kita tiga beranak."

Nurul Ain mencekak pinggang. Nampaknya Suriani telah berjaya mengenakannya dengan jenaka spontan. Dia ikut tertawa tetapi jelas ia dibuat-buat.

"Pandai ibu melawak sekarang." Bibirnya muncung.

Kali ini Suriani tidak menghambur tawanya. Dia tersenyum sahaja. Bekas berisi telur rebus diambil. Telur rebus merupakan makanan kegemaran Ashikin. Jadi dia rebus lebih hari ini. Dua biji untuk anak gadis kecilnya manakala dia dan Nurul Ain cukuplah sekadar seorang sebiji sahaja.

"Macam mana kerja? Okey tak?" Sesekali lirik mata terbenam jauh ke dasar air muka bersahaja Nurul Ain.

"Alhamdulillah, bu. Okey sangat." Sementara menunggu sambal tumis ikan bilis cukup masak, Nurul Ain membasuh pinggan mangkuk yang bersusun di dalam singki. Pili paip diputar. Tangannya dibiar terendam di dalam air sabun.

"Seronok kerja dekat situ. Pula... Dapat supervisor macam Kak Lufiya. Cantik orangnya, bu. Manis. Orang Pasir Mas, Kelantan." Ralit Nurul Ain bercerita dengan senyuman memauti wajah.

Suriani sekadar memasang telinga. Sesekali bertanya tentang hal-hal seharian di tempat kerja anaknya. Tanpa disedari Nurul Ain, senyuman ibunya kali ini menzahirkan sesuatu yang bergayut berat di lapangan hati. Lentur otot muka tidak seperti kebiasaan.

"Ibu..." Nurul Ain merapati ibunya.

"Dengar tak?" soalnya kemudian.

"Dengar apa?" Lebar telinga Suriani cuba menangkap bunyi yang didengari Nurul Ain.

"Ada orang beri salam. Ke rumah sebelah?"

Pinggul Nurul Ain ditepuk kuat.

"Pergi tengok sana," gesanya.

Nurul Ain patuh. Terkocoh-kocoh dia berlari menuju ke arah pintu utama. Tombol besi dipulas dan pintu dibiar merenggang luas.

"Waalaikumussalam." Suaranya menyahut lembut. Dia menyarung selipar lantas membawa langkah menghampiri pintu pagar.

"Encik cari siapa?"

"Ini rumah Puan Suriani?"

Nurul Ain mengangguk. "Ya... Ini rumah Puan Suriani. Encik ni siapa?"

"Ain! Siapa yang datang tu?" Gema suara Suriani menderu keluar dari bukaan pintu.

Gadis itu segera mendapatkan ibunya.

Sebaik sahaja terlihat kelibat Suriani, lelaki tadi terus menguntum senyum.

"Assalamualaikum, Kak Su." Zakaria menyapa mesra.

Seumpama ada rantai besi sedang menarik kuat kakinya merunduk jauh ke dasar lantai bumi sehingga dia tidak berupaya hendak menggerakkan sendi-sendi tubuh.

"Zakaria datang cari mak. Sejak kamu dan arwah suami kamu pindah ke sana, dia tak dapat nak hubungi kamu sekeluarga. Bila ada orang datang cari dia dan bertanyakan hal Nurul Ain, dia buka mulut ceritakan semuanya. Jadi sekarang ni dia nak pastikan bahawa Nurul Ain memang ada dengan kamu, Su."

Dada tiba-tiba sahaja menyempit. Dengungan bicara Hajah Ramlah mulai melibas kuat hatinya.

"Zakaria..." Lantunan itu cukup halus. Bahkan Nurul Ain juga tidak mendengar apa-apa. Ia terbang dibawa bayu yang bertiup lembut.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co