Truyen3h.Co

Inayah

Bab 13

karyaseni2u

SEDANG Aisya dan Muhammad leka berbual dekat buaian, Adam telah berjaya menarik barang yang ditemui dalam pit pasir tadi. Sebuah kotak kayu lama. Berat dan sejuk. Matanya tidak berkelip. Dia ralit membeleknya.

"May I?" minta Umar. Dia pun berminat untuk melihat kotak kayu yang baru ditemui Adam.

"No! It's mine!" kata Adam.

Dia cuba menyorokkan kotak itu tetapi Umar tetap berkeras untuk melihatnya juga. Akibatnya mereka berdua bertarik-tarikan. Akhirnya Adam dapat merampas semula kotak itu daripada Umar tetapi dengan tidak sengaja terhantuk kepala Umar dengan kuat.

"Ouch!" Umar pegang kepala yang terasa perit.

Dengan rasa takut dan bersalah, Adam terus berlari ke dalam rumah. Dia menyorok di dalam kabinet di bawah singki. Dia tahu dia bersalah tetapi Umar juga bersalah kerana mahu merampas kotak itu daripada dia.

Sementara itu Umar menangis di tepi lubang pasir sehingga didengari oleh Aisya dan Muhammad.

"Ya Allah... Kenapa ni, Umar?" Aisya terkejut melihat luka di kepala Umar. Muhammad tarik keluar sapu tangan dari poket seluar dan menekap luka yang masih berdarah.

Umar tersedu-sedu. Muhammad mengeluh seketika.

"Adam! Adam!" Dia menjerit. Dia yakin hal itu mesti ada kaitan dengan Adam tetapi Adam sudah hilang entah ke mana.

Di dapur, Adam terkejut apabila mendengar namanya dipanggil. Kotak kayu yang baru dibuka sedikit itu cepat-cepat ditutup semula. Tetapi tanpa sedar, ada asap putih nipis terbebas lalu meresap ke dalam udara. Adam tidak perasan cuma dengan tiba-tiba sahaja tubuhnya terasa sangat sejuk dan seperti hendak demam. Kepalanya juga pening.

Semena-mena, pintu kabinet itu terbuka. Budak perempuan yang selalu dilihat Adam ada di situ, berdiri sambil tersenyum. Dia hulur tangannya yang kotor dengan kesan tanah ke arah Adam.

Adam bagaikan terpukau. Tangan itu disambut lalu dia keluar dari situ.

"ADAM! Adam!" Muhammad masih lagi memanggil Adam sebaik sahaja masuk ke dalam dapur tetapi Adam tidak ada di situ.

"Kat atas agaknya," kata Aisya yang masih mendukung Umar. Umar diletakkan di atas bangku tinggi sementara dia mengambil kotak kecemasan dari dalam kabinet dapur.

Muhammad berpaling tetapi sempat dipegang Aisya.

"Mungkin Adam tak sengaja, pa," katanya.

"Sengaja atau tidak, dia patut bertanggungjawab. Bukan lari macam tu aje. Itu tanda bersalah."

"Budak-budak..." Aisya tersenyum pahit. Dia kembali menumpukan perhatian kepada Umar. Luka Umar dibersihkan sebelum ditampal dengan plaster. Umar tampak tenang semula.

Muhammad hanya bergumam sebelum meninggalkan Aisya dan Umar. Dia naik ke tingkat atas mencari Adam.

PINTU bilik dibuka sedikit. Dilihat Adam sedang melukis di atas lantai. Sesekali Adam bercakap seorang diri. Sesekali Adam ketawa seperti tidak ada apa-apa yang terjadi sebelum itu.

"Tell me... Apa yang berlaku?" Muhammad terus duduk di birai katil. Hatinya tidak tenang selagi tidak tahu apa yang terjadi.

"Papa! You are sitting on Penny!" jerit Adam dengan mata terbeliak.

"Oh! Sorry." Muhammad terus bangun semula.

"Adam sorry. Adam tak sengaja hurt Umar," kata Adam seraya terkebil-kebil memandang Muhammad.

"Adam tak sengaja?" Muhammad jadi lembut hati apabila melihat wajah sendu Adam. Mungkin benar Adam juga tidak sengaja menyakiti Umar seperti dia yang tidak sengaja telah menyakiti Penny tadi.

Adam angguk.

"Kalau tak sengaja pun, jangan lari macam tu. Lelaki mesti berani, right?"

Adam angguk lagi.

"Nanti say sorry to Umar, okey?" tambah Muhammad. Dia anggap hal itu sudah selesai.

Sebaik sahaja Muhammad keluar dari situ Adam tersenyum ke sebelah kiri. Ada budak perempuan itu di situ sedang tersenyum.

"Nama saya Kuntum," katanya.

PADA malamnya Aisya, Umar dan Adam tidur berhimpit-himpit di atas katil Umar. Seperti biasa, Aisya membacakan mereka sebuah cerita sebelum kedua-duanya tidur.

"Seperti kata pepatah, air yang dicincang tak akan putus. Upin dan Ipin pun meminta maaf sesama mereka dan berdamai semula..." Aisya tersenyum kepada Umar dan Adam.

"See? Adik-beradik mesti ada gaduh, tapi mama bangga sebab Umar dan Adam cepat berbaik semula."

"Macam Upin Ipin," balas Umar seraya memandang ibunya.

Adam memandang Umar.

"I'm sorry, Umar."

"It's okay, Adam. I grabbed the box from you."

Aisya angkat kening.

"Oh! Kotak apa yang anak-anak mama rebutkan tadi ni?"

Adam pandang Umar dengan kerutan di dahi. Dia harap Umar tidak membocorkan rahsia. Umar terkebil-kebil, serba salah.

"It's okay, ma. Dah buang pun," jawab Adam.

Umar menelan air liur. Dia cuba mengangguk tetapi sukar. Dia tidak betah berbohong.

Aisya tidak mendesak lagi. Hal itu tidak mahu diperbesar-besarkan. Dia hanya mahu melihat Adam dan Umar berbaik-baik semula seperti biasa.

"Eh! Dah pukul sepuluh." Aisya baru terpandang jam pada dinding.

"Dah. Tidur sayang-sayang mama. Esok sekolah."

Dia letakkan Umar di bawah selimut dan mencium dahi Umar sepintas lalu. Kemudian membawa Adam ke katil pula.

Adam naik ke atas katil dan membiarkan ruang di sebelahnya kosong untuk Penny.

Aisya cuma tersenyum melihat kelakuan Adam.

"Good night, Adam sayang. Good night, Penny. Sweet dreams."

"Good night, mama," balas Adam kemudian menukar suara yang lebih halus mewakili Penny.

"Good night, mama!"

Aisya keluar dari bilik tidur selepas menutup lampu tidur di meja. Dengan tiba-tiba Adam menjerit.

"No, mama! Leave it on! Adam scared! Leave the light on!

"Ops! Sorry..." Aisya petik suis semula. Bilik itu pun diterangi lampu tidur yang malap.

"I love you, mama," ucap Umar separuh mamai.

"I love you," balas Aisya. Dari tempatnya berdiri dia dapat melihat kubah masjid dari tingkap bilik. Hatinya terasa sayu.

SEMENTARA itu di loteng, Muhammad duduk bersendirian. Rokok disedut tidak putus-putus. Asap dihembuskan berkepul-kepul sehingga ruang itu dipenuhi asap. Matanya masih terpaku pada monitor yang terang-benderang. Dia masih menyunting satu lagi babak yang menakutkan. Tanpa dia sedar pintu biliknya terbuka.

Aisya masuk dan memasang lampu.

"Dah tidur dah budak-budak tu?" tanya Muhammad tanpa berpaling. Dia tahu siapa yang datang.

"Dah..." balas Aisya.

"Esok ingatkan I beli fire extinguisher untuk bilik ni. Asap rokok you tu boleh bakar seluruh rumah!"

Muhammad hela nafas dalam-dalam.

"Streslah, sayang..."

Aisya senyum pahit. Dia mendekati Muhammad lalu memberikan urutan di bahu. Dia teringatkan sesuatu yang dia percaya mampu menghilangkan stres suaminya.

"Bila you nak start bawa the boys pergi tengok masjid? Bukannya jauh pun. Depan tu aje."

Muhammad tepuk tangan Aisya.

"Nantilah. Lepas I habis edit cerita Puaka ni."

"Tapi you kan dah janji..."

Muhammad tekan butang Pause. Di skrin terpapar wajah hantu sedang merenung mereka berdua. Dia berpaling menghadap Aisya dan tersenyum tawar. Dia peluk pinggang Aisya.

"I tahu... Tapi I busy."

Aisya mengeluh.

"I rasa kosong, papa. I rasa macam kehilangan sesuatu," luahnya. Segalanya seperti sudah tidak betah lagi berkumpul di dalam dada. Semakin lama semakin terasa.

"Kita masih cuba nak sesuaikan diri."

"No. Spiritually empty..."

Jawapan Aisya buat Muhammad terdiam. Dia mengeluh kemudian berpaling untuk menyambung kerjanya. Nampaknya hal itu belum selesai.

Sikap Muhammad buat Aisya terasa hampa. Dia berpaling untuk keluar dari situ tetapi ternampak sesuatu yang mengejutkan.

"Papa! Ular!"

Muhammad terlompat dari kerusi. Dia meluru ke arah Aisya.

"Ular? Mana?" Dia kelam-kabut mencari tetapi akhirnya dia menghela nafas panjang. Bukan ular yang dia jumpa tetapi seutas kabel elektrik.

"You penat agaknya, ma. Pergi rehat. I masih banyak nak habiskan ni."

Dia baling kabel elektrik itu ke tepi dan balik semula ke kerusi. Dia tekan butang Play dan menyambung kerja yang terhenti tadi.

Aisya terkejut dengan sikap Muhammad.

Sementara itu di bilik Adam dan Umar, katil Adam tiba-tiba sahaja bergoncang. Adam tersentak dan terjaga. Apabila dilihat sekeliling, semuanya nampak normal. Dia tidur semula. Tanpa dia sedar, asap nipis keluar dari kotak kayu di bawah katilnya.

Bunyi orang menggumamkan lagu kedengaran. Pintu bilik terbuka. Di situ ada bayang sesusuk tubuh perempuan dewasa sedang memandang ke luar.

DARI loteng, Aisya turun ke bawah. Sewaktu melintasi bilik Adam dan Umar, pintu bilik tiba-tiba sahaja terhempas.

Aisya terlompat ke tepi. Dengan rasa hairan, dia buka pintu bilik. Tetapi Adam dan Umar masih lagi lena. Dia pandang sekeliling. Tidak nampak pula apa-apa yang pelik. Semuanya sama sahaja tetapi seingat dia, dia sudah menutup pintu bilik itu tadi.

Angin agaknya, kata hati Aisya. Lantas, dia keluar semula dan menutup pintu. Dia turun pula ke tingkat bawah. Langkahnya tiba-tiba terhenti apabila terdengar bunyi buaian berayun. Dia intai di tingkap tetapi tidak nampak apa-apa yang luar biasa. Sedang leka memerhati, Aisya terasa ada seseorang melintas di belakangnya.

Dia segera menoleh tetapi tidak ada sesiapa. Tangan sudah tergigil-gigil tetapi dia kuatkan juga hati. Setibanya di dapur, dia terus buka peti ais. Air dikeluarkan dan dituang ke dalam cawan. Seraya meneguk dia berdiri di tepi singki seraya memandang keluar. Semena-mena dia ternampak wajah seorang perempuan di tingkap. Hitam dengan rambut yang menggerbang.

Dengan spontan dia terjerit. Gelas yang dipegang jatuh ke lantai dan pecah berderai.

Cepat-cepat dia tunduk ke lantai untuk mengutip serpihan kaca dan menenangkan semula perasaan. Dia tahu, Muhammad tidak akan percaya kalau dia ceritakan soal itu. Dia keseorangan. Dia menangis sendiri. Setelah tenang sedikit, dia kemaskan serpihan kaca lalu bangkit semula perlahan-lahan. Sekali lagi dia tergamam.

Di luar rumah, seorang lelaki sedang merenung ke arah rumahnya. Lelaki yang sama yang dilihat siang tadi.

Aisya letak gelas yang pecah tadi di singki. Dia terus keluar dari dapur.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co