Bab 15
Fateh bersandar di kerusi keretanya. Dia menguap beberapa kali. Habis lenguh seluruh badannya tatkala duduk bersandar begitu. Enjin kereta yang baru dihidupkan itu dibiarkan panas sebentar. Fateh memejamkan mata buat seketika untuk melepaskan rasa letih setelah penat bekerja.
Tidak sampai seminit, dia membuka matanya semula. Fateh melihat ke luar tingkap kereta. Pemandangan bandar pada waktu malam nampak begitu indah jika dilihat dari atas bumbung bangunan.
Sudah menjadi tabiatnya sejak seminggu lalu, sebelum memulakan perjalanan pulang, dia akan duduk beberapa minit di dalam kereta dan memerhati suasana malam. Sama ada untuk melepaskan rasa penat atau marah dalam hati yang belum terubat. Hatinya sedikit tenang jika berbuat demikian.
Fateh menoleh pada pergelangan tangan. Sudah hampir pukul 12.30 tengah malam. Hari ini sudah genap seminggu dia bertugas syif petang. Masuk kerja pukul satu tengah hari. Balik belum tentu lagi pukul berapa. Jika tiada masalah, awallah baliknya. Mulanya dia betul-betul marah dengan syif kerjanya itu. Tetapi apa boleh buat? Mahu atau tidak, dia kena terima. Bukan dia seorang sahaja yang bekerja macam itu. Malah separuh daripada kakitangan Gemala juga begitu. Takkan dia mahu buat protes?
"Kenapalah aku perlu lalui hidup macam ni? Kenapa mama nak sangat aku kerja dekat sini? Dia tak tahu ke yang anak dia ni kena buli?" luah Fateh.
Sememangnya mamalah yang memaksanya bekerja di Gemala. Dia sebenarnya tidak berminat langsung, tetapi mama merayu-rayu. Tak sampai hati mengecewakan mama, akhirnya dia ikutkan sahaja. Tetapi dia langsung tidak terfikir akan diletakkan di jabatan sekarang ini. Biarpun dia sudah mengadu kepada mama tentang jawatannya itu, namun mama langsung tidak peduli malah seronok pula. Langsung dia tidak faham.
"Prosa, kau ajelah yang tahu apa yang aku rasa sekarang ni. Tuan kau ni dah tak tahu nak buat apa lagi..." Fateh bercakap dengan kereta kesayangannya itu. Dia mengandaikan keretanya itu faham segala kesusahannya. Memang selama ini di dalam kereta itulah segala rasa tidak puas hati dan masalahnya diluahkan. Malah kereta itulah saksi air matanya mengalir buat kali pertama dulu.
"Hurm... Lupa aku nak bagi tahu kau, Prosa. Sebenarnya hari ni aku dah jumpa orang yang baling tahi pada badan kau dulu tu. Rupa-rupanya budak perempuan yang buat kerja tak senonoh tu. Sikit lagi aku nak nampak muka dia tu." Fateh menggosok-gosok stereng kereta.
Tok! Tok! Tok!
Fateh terkejut apabila terdengar ketukan dari luar tingkap kereta. Dia terus menoleh keluar.
"Ooo... Ingatkan siapalah tadi." Fateh cepat-cepat menurunkan cermin tingkap kereta.
"Tak balik lagi ke Encik Fateh? Dah lewat ni. Tunggu orang ke?" soal pengawal keselamatan yang membuat rondaan.
"Nak baliklah ni," jawab Fateh sambil mengangkat tangannya ke arah pengawal parkir yang menegurnya. Tanpa berlengah, Fateh terus memandu kereta perlahan meninggalkan tempat tersebut.
"Buat terkejut aku aje. Lain kali bagilah salam dulu," bebel Fateh sambil dia terus memandu keretanya menyusuri jalan raya. Masih banyak kenderaan di atas jalan raya. Biasalah jika di bandar begini.
Selepas 30 minit memandu akhirnya Fateh tiba rumah. Tanpa membuang masa, tubuh yang keletihan itu terus direbahkan di atas sofa yang empuk.
"Haaa... Leganya," luah Fateh sambil memejamkan mata serapat yang mungkin. Langsung tidak dihiraukan baju kerja yang masih tersarung di badan. Dia begitu letih untuk membuka walau sehelai baju. Rumahnya yang sunyi sepi membuatkan matanya senang hendak lelap. Sebab itulah dia rela tinggal sendirian di dalam rumah itu. Rumah itu pemberian mama kepadanya suatu ketika dulu.
Kerana dia pernah berselisih faham dengan mama, dia membuat keputusan untuk tinggal sendiri. Biarpun mama sudah memujuknya agar dia kembali ke rumah, namun Fateh bertegas mahu tinggal di situ. Dia lebih selesa tinggal seorang diri begitu.
Sampai bila nak jadi macam ni? Sampai bila aku nak bertahan? Aku dah tahan nak balik kerja malam-malam macam ni lagi! Fateh merintih dalam hati.
Biarpun matanya tertutup rapat, namun mindanya masih lagi sedar. Perlahan-lahan dia membuka mata. Fateh menyilangkan kedua-dua lengannya di atas dahi. Berkali-kali matanya berkelip sambil merenung kipas siling yang berputar laju. Sejak dia mula bekerja di Gemala, hatinya tidak pernah tenteram. Perasaannya bercampur baur. Antara marah dan kecewa. Sungguh dia langsung tidak gembira dengan kehidupannya yang sekarang ini.
"Mujurlah esok aku cuti. Malas betul aku nak menghadap muka dia orang tu..." luah Fateh dalam nada marah. Jari-jemarinya digenggam kuat. Namun tiba-tiba sahaja dia bangun dari sofa dan terus masuk ke dalam bilik. Beberapa helai baju dari dalam almari diambil dan dimasukkan ke dalam beg sandang.
"Balik kampung lagi best!" ujar Fateh sambil tersenyum. Mungkin rasa marahnya akan berkurangan apabila dapat melihat wajah datuknya. Hanya di kampung sahaja dia dapat melapangkan fikirannya buat masa ini.
Kassim duduk membaca al-Quran di ruang tamu. Selepas membaca sepotong ayat, dia membaca pula terjemahannya. Lama dia cuba memahami maksud surah yang dibacanya. Biarpun jam sudah menunjukkan hampir pukul 2:30 pagi, namun matanya masih juga belum mengantuk. Lagipun matanya itu sudah segar kerana selepas solat isyak tadi dia sudah tertidur. Kassim menoleh ke arah cermin tingkap. Dia perasan ada cahaya terang yang menembusi cermin tingkap rumahnya.
"Siapa pula ni?" Kassim cuba mengintai di sebalik langsir.
Fateh keluar dari kereta dan meluru masuk ke bawah rumah.
"Assalamualaikum!" Fateh memberi salam sambil mengetuk pintu utama.
"Waalaikumussalam... Hurm... Fateh." Kassim menghulurkan tangannya ke arah Fateh.
Fateh mengucup tangan Kassim sambil melangkah masuk ke dalam rumah.
"Kamu sihat, Fateh? Kerja macam mana?" soal Kassim. Dia memandang wajah Fateh yang agak keletihan.
Fateh tidak terus menjawab soalan datuknya. Dia menghantar beg pakaiannya ke dalam bilik kemudian keluar semula mendapatkan Kassim yang masih duduk di ruang tamu.
"Fateh sihat. Atuk dengan nenek sihat?"
"Hurm... Alhamdulillah. Nenek kamu tu aje penat-penat sikit. Atuk tanya macam mana dengan kerja?" soal Kassim buat kali kedua.
Fateh memandang wajah Kassim. Nampak datuknya itu tak nak bagi peluang dia mengelak soalan itu.
"Atuk kan tahu ibu bagi Fateh kerja dekat bahagian maintenance," jawab Fateh dengan nada hambar. Hendak menyebut perkataan maintenance pun dia sudah rimas.
"Hurm... Habis tu?"
"Tapi Fateh tak suka!" Keras suara Fateh. Sebenarnya mahu sahaja dia menjerit kuat-kuat di depan datuknya. Biar datuknya tahu bahawa sekarang ini hatinya sedang marah dan mahu memberontak.
"Kamu ni... Apa salahnya kerja tu? Kerja dekat bahagian apa pun sama sajalah."
"Tapi Fateh tak sukalah, tuk... Fateh tak boleh nak terima! Fateh bukan belajar macam mana nak tukar lampu," rengek Fateh. Dia berharap sangat datuknya akan kasihan kepadanya. Siapa lagi yang akan menyokong dia selain datuknya itu?
"Fateh... Kerja apa pun ibu kamu tu bagi, kamu buat ajelah. Bukan selamanya kamu berada dekat tempat tu. Jadikan kerja sekarang ni sebagai pengalaman untuk kamu nanti. Jangan tunjuk sangat yang kamu tak puas hati. Nanti lagilah kamu tak seronok nak kerja." Kassim faham perasaan Fateh. Lagipun Fateh belajar tentang perkara lain semasa di universiti dahulu. Tetapi dia tidak mahu menyokong Fateh. Dahulu Bunyamin pun pernah mengalami situasi yang sama. Tetapi sekarang, Abang Fateh itu sudah seronok dengan kerjanya.
"Atuk tak fahamlah... Fateh..."
"Dahlah... Pergilah tidur. Kamu mesti dah letih. Atuk pun dah mengantuk ni." Kassim bangun meninggalkan Fateh yang masih duduk bersandar di sofa.
Fateh memejamkan mata. Dia rasa kecewa dengan datuknya yang tidak cuba memahami situasinya. Ingatkan dia nak sokong aku, tapi tak. Beria-ia nak tahu pasal kerja aku. Tapi bukan nak ambil kisah tentang aku pun. Eee... Buat sakit hati betullah, kutuk Fateh dalam hati. Kemudian dia berjalan malas menuju ke biliknya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co