Bab 14
Fateh meneguk air mineral hingga habis sebotol. Dia menyapu air yang menitis dari bibirnya dengan sapu tangan. Sambil duduk bersandar di kerusi, dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia merenung gambar lalu mengeluh.
Baim memerhati setiap perkara yang dilakukan oleh Fateh.
"Bos, bos ada problem ke?" soal Baim.
"Kenapa? Muka saya ni nampak macam ada problem ke?" soal Fateh semula.
Baim menelan air liur. Entah kenapalah bosnya yang baru ini serius sangat.
"Tak adalah... Sejak bos mula kerja, susah sangat nak tengok bos senyum. Muka bos ni boleh tahan. Tapi kalau tak senyum sayang pula rasanya."
"Kenapa? Kalau saya tak senyum awak rugi ke?" Fateh menjeling Baim.
"Hesy! Saya tak adalah rugi apa-apapun. Tapi Encik Fatehlah yang rugi," jawab Baim.
"Kalau senyuman saya tu boleh buat 'bos besar' kita tu tukarkan jawatan saya sekarang ni, okeylah juga," jawab Fateh dalam nada serius.
Baim mengerdipkan matanya beberapa kali. Sebenarnya dia tidak boleh menangkap apa maksud Fateh. Kenapa Fateh begitu beremosi? Sedangkan dia hanya bergurau. Baim mendiamkan diri. Rasanya ada sesuatu yang mengganggu fikiran bosnya itu. Dia tidak berani lagi bertanya. Baim menjamah makanan yang masih belum habis.
Sejak dia diarah untuk membimbing Fateh, masa rehatnya terasa begitu singkat. Manakala waktu kerja terasa begitu panjang. Disebabkan dia telah ditugaskan untuk membantu Fateh, terpaksalah dia ikut ke mana sahaja Fateh mengajaknya. Rasanya sejak dia bekerja dengan Fateh, langkah kakinya itu mungkin sudah menjangkau beratus batu jauhnya. Sebelum ini dia selalu sahaja ada masa untuk rehat dan melepak di luar. Tetapi kali ini dia tidak boleh main-main lagi. Bos barunya ini sukar diramal. Staf lain juga tidak berani lagi hendak mengular. Dia masih ingat kata-kata Fateh masa mula-mula masuk melapor diri dulu...
"Saya tak suka orang lambat. Saya tak minat bergosip. Saya tak boleh terima orang melepak semasa waktu kerja. Saya tahu orang yang menipu dan paling benci orang yang suka bagi alasan kalau kerja tak siap! Tapi saya orang yang anda boleh bawa berbincang."
Itulah kata-kata Fateh dahulu. Entah dari mana Fateh peroleh ucapan begitu agaknya. Semua yang mendengar menjuih bibir. Ada juga yang mengutuk. Biasalah manusia... Ada yang menyokong, ada juga yang menolak. Tapi dirinya tiada masalah bekerja dengan Fateh. Lagipun umur mereka sebaya. Jadi dia boleh bergaul dengan baik.
Sementara Baim sibuk menjamu selera, Fateh sibuk melayan telefon bimbitnya. Sesekali dia memandang kereta yang melintas di hadapan mereka berdua. Biarpun hari sudah menjelang senja, namun kereta yang keluar masuk ke lapangan utama di hadapan pusat membeli-belah masih tidak berkurangan. Tanpa Fateh sedar, ada seseorang yang menarik kerusi dan duduk di belakangnya.
Anis duduk sambil menarik kerusi perlahan-lahan agar tidak menghasilkan bunyi. Dia meletakkan barang-barangnya di atas kerusi yang kosong di sebelahnya.
"Anis, kau nak makan apa?" Yanti berdiri sambil mencekak pinggang. Perutnya sejak tadi sudah berbunyi-bunyi.
"Tak tahulah. Kau belilah apa pun. Aku ni tak kisah." Anis malu-malu. Apa tidaknya, sudahlah Yanti telah membelanjanya banyak benda hari ini. Jadi dia tak berani lagi nak minta lebih-lebih. Sebenarnya dia tidak bersetuju diajak makan di situ tadi. Dia tahu pasti kali ini Yanti juga yang akan keluarkan wang. Tetapi Yanti sekeras-kerasnya membantah.
"Hurm... Kalau macam tu kau tunggu sekejap, ya? Aku pergi order." Yanti melangkah masuk ke dalam restoran dan mula beratur.
Tinggallah Anis sendirian di luar. Dia memandang beg-beg plastiknya. Anis menggigit bibir sambil mengeluh panjang. Kenapalah aku nak menyusahkan orang sampai macam ni? Bukan aku tak ada duit pun, omel Anis dalam hati.
Anis menarik dan menghembus nafas perlahan-lahan. Namun semakin dia berbuat demikian, semakin dia dapat menangkap bau yang pernah dihidunya baru-baru ini. Bau itu memang kuat melekat di dalam memorinya. Anis mengerutkan dahi sambil cuba memandang sekitar. Mana tahu jika dia boleh melihat orang yang memakai minyak wangi harum itu.
"Wanginya," bisik Anis perlahan. Matanya meliar mencari pemilik minyak wangi tersebut. Namun Anis langsung tidak dapat mengenal pasti hinggalah Yanti tiba-tiba keluar dari restoran dengan membawa dulang.
"Aku beli yang paling besar. Nah, makan kenyang-kenyang ya, kawanku." Yanti tersenyum-senyum ketika menghidangkan makanan untuk Anis.
Anis menyambut dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Dia menunggu Yanti duduk dan akhirnya mereka berdua mula makan sambil berborak. Yanti banyak memberi pesanan sambil mengajarnya serba sedikit tentang tempat tinggal barunya itu.
"Kau ingat ni, kau jangan pergi mana-mana seorang diri tau! Kalau nak pergi kedai dekat-dekat pun kau ajak orang temankan kau. Jangan buat-buat berani. KL ni tak macam kampung. Kau ni dah bawah tanggungjawab aku tau! Kalau jadi apa-apa pada kau, aku juga yang susah nanti. Dekat rumah Kak Yani tu kau rajin-rajinlah sikit. Yalah, dia orang kan dah tolong kau," pesan Yanti panjang lebar.
Anis menerima semua pesanan Yanti. Dia langsung tidak terasa hati atau mahu membantah. Tiada sebab dia perlu membantah. Sememangnya dia harus mendengar kata-kata Yanti yang lebih banyak pengalaman dan telah banyak membantu. Sambil dia menghabiskan makanan, dia mendengar dan bertanya kepada Yanti. Langsung tidak sedar perbualan mereka itu telah menarik perhatian seseorang untuk turut mendengarnya.
Fateh mendengar setiap butir perbualan dua orang gadis di belakangnya dengan teliti. Kadang-kadang ada ayat daripada salah seorang gadis remaja tersebut mencuit hatinya. Terutamanya apabila salah seorang gadis itu memberi pesanan.
"Kau jangan percaya lelaki kat KL ni! Yang muka lawa tu yang paling bahaya!"
Dia betul-betul tak faham kenapa gadis itu berkata demikian. Tetapi dia boleh membaca sesuatu. Pasti seorang lagi gadis baru sahaja datang dari kampung dan sedang mendapatkan taklimat daripada seorang yang suka membuat prasangka buruk... Huh! Fateh menjuih bibirnya. Menyampah apabila mendengar kata-kata gadis itu. Tunggulah dua tiga bulan lagi, kau tengoklah kawan kau tu berkawan dengan siapa, gumam Fateh.
Baim memerhati bosnya. Dia mengerutkan dahi. Reaksi di wajah Fateh itu membuatkannya rasa tidak selesa.
Bos aku ni dah kenapa, ya? Macam bercakap dalam hati. Tengok muka dia tu. Sekejap herot sana, sekejap herot sini. Taulah muka dia tu segak. Buat macam mana pun nampak segak. Tapi tak payahlah nak melebih-lebih pula. Buat jatuh saham aku aje, rungut Baim.
Dia merenung jam di pergelangan tangan. Masih ada setengah jam lagi waktu rehat. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Makanan pun sudah habis. Mahu mengajak Fateh berborak, dia agak segan. Akhirnya dia mengambil keputusan mendiamkan diri.
"Anis, kau ingat tak kes dekat bendang dulu tu? Aku tengok kereta putih tu, aku terus teringat kes dulu tu." Tiba-tiba Yanti menukar topik perbualan. Rasanya setiap nasihat dan pesanan sudah disampaikan. Jadi sekarang masanya untuk bercakap tentang perkara lain pula. Lagipun dia kasihan pula melihat Anis yang hanya diam dan asyik mengangguk.
Anis mengecilkan matanya, cuba mengingati kejadian yang dimaksudkan oleh Yanti. Kemudian dia tersenyum panjang.
"Haha..." Anis tergelak kecil. Namun cepat-cepat menutup mulutnya. Dia mengangguk kepala.
"Aku tak boleh lupa rupa kau masa terkejut tangan kau penuh tahi kerbau tu. Sampai nak pecah perut aku ni," luah Yanti sambil mula tergelak kecil.
"Entahlah, Yanti. Aku rasa itulah kali pertama aku pegang tahi kerbau. Aku betul-betul tak tahu aku baling tahi kerbau kat kereta tu."
"Habis, kalau kau tahu kau nak buat apa?" soal Yanti sambil terenjut-enjut ketawa.
"Hurm... Kalau aku tahu yang aku pegang tu tahi kerbau, aku sapu kat muka orang yang bawa kereta putih tu... Haha..." Anis ketawa lagi. Berselang-seli dengan Yanti.
Fateh yang mendengar perbualan mereka berdua sudah tidak sedap duduk. Mulanya dia tidak faham kenapa dua orang gadis itu boleh bercakap tentang najis di hadapan makanan. Tetapi apabila mendengar dan cuba memahami satu per satu jalan cerita, dadanya mula berombak. Darahnya mula naik ke muka. Sebenarnya mahu sahaja waktu itu dia menoleh ke belakang dan menampar muka budak perempuan yang baru buat pengakuan tadi. Tetapi apabila terpandangkan pakaian Baim, dia cuba bertahan.
"Hui... Biar betul kau nak buat macam tu, Anis?" Yanti terkejut dengan pengakuan Anis tadi.
"Tak adalah. Aku kan dah cakap tadi, aku tak tahu yang benda tu najis. Aku ingatkan selut sawah. Kesian kan pak cik yang bawa kereta tu? Mesti dia marah," ujar Anis dengan nada yang hambar.
Menyesal betul dengan tindakannya itu. Sebenarnya waktu itu bukan kereta putih itu penyebab kemarahannya. Tetapi kerana adiknya, Atirah. Jika diingatkan kembali, itulah kali pertama dalam hidupnya dia begitu marah dengan Atirah. Kerana seorang lelaki dia makan hati dengan adik sendiri. Anis mengeluh perlahan. Menyesal kerana bersikap begitu. Tidak sepatutnya perkara itu terjadi. Bila-bila masa dia boleh kehilangan Helmi tetapi dia tidak sanggup jika kehilangan Atirah. Maafkan kakak, Atirah...
Fateh diam. Marahnya mula menurun apabila mendengar kata-kata gadis itu. Teringat pula dia kepada Mail yang tolong mencuci keretanya. Huh? Dia panggil aku pak cik? Ada ke patut?
"Bos, tinggal sepuluh minit aje lagi ni," ujar Baim kepada Fateh.
Fateh mula memberi perhatian kepada Baim. Dia langsung tidak dengar perbualan gadis-gadis di belakangnya itu.
"Hurm... Jomlah!" Fateh terus bangun. Hatinya teringin sekali mahu memandang wajah gadis yang berada di belakangnya tadi. Fateh memusingkan tubuhnya lalu berjalan di hadapan dua orang gadis itu. Namun...
Anis mengambil barang-barangnya yang terjatuh di bawah meja. Kotak kasut yang hampir terkeluar dimasukkan semula ke dalam beg plastik.
Fateh berpaling semula memandang Baim yang sedang bercakap dengannya. Dia langsung tidak dapat melihat gadis yang telah berani mengotorkan Prosa kesayangannya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co