Prolog
"Anis, aku tak sabar-sabar nak blah dari sekolah ni!" Itulah kata-kata Yanti ketika asyik menyelak helaian nota kecilnya.
Anis terdiam sambil memikirkan sesuatu. Ya, pasti seronok jika dapat bebas daripada digelar pelajar. Bebas dari sekolah dan peraturannya. Bebas daripada kerja sekolah yang berlambak dan bebas daripada menggalas beg yang beratnya hingga tujuh lapan kilo itu. Tapi pergertian bebas yang bagaimana wujud dalam kamus hidup Anis?
Selama ini bebas Anis ketika dia tidak berada di rumah. Bebas Anis ketika bersama rakan-rakan di sekolah. Bebas dan gembira Anis adalah ketika berlari di padang sekolah dan bergelak sakan dengan semua rakannya. Di rumah? Anis tak pernah bebas! Di rumah bagaikan penjara. Penjara yang dipenuhi ramai banduan yang jahat!
"Aku tak tahulah, Yanti. Seronok pun ada, tak seronok pun ada." Anis menghembus nafas sambil memandang jauh ke tengah padang sekolah.
Sukar bagi Anis hendak melangkah keluar dari sekolah. Semua kenangan manisnya di sekolah akan pudar suatu hari nanti. Kenangan bersama Yanti yang baik hati dan kenangan terindahnya dengan jejaka paling kacak di sekolah. Apakah kesudahan hubungan aku dengan Helmi, ya? Ke jenjang pelamin atau terkandas selepas sebulan dua sesi persekolahan ini berakhir? Tanda soal itu terus timbul di dalam kepala Anis.
"Hurm... Beranganlah tu! Tak habis-habislah minah ni. Dahlah! Jom masuk dewan. Dah nak start ni." Yanti bangun sambil menepuk-nepuk rumput kering yang melekat di kain dan baju sekolahnya.
Anis tidak menjawab malah turut melakukan perbuatan yang sama. Mereka berjalan seiring menuju ke dewan peperiksaan yang terletak di bangunan paling hadapan sekolah.
"Aku doakan kau berjaya, Anis," luah Yanti perlahan sebelum melangkah masuk ke dewan yang kini sudah pun dipenuhi para pelajar.
"Aku pun doakan kau berjaya, Yanti. Dan aku pasti kau akan berjaya." Anis tersenyum manis kepada sahabatnya. Namun dalam hati sudah tidak tertanggung lagi rasa sebak yang hampir buat dia menangis. Hari ini adalah hari terakhir peperiksaan SPM dan hari terakhir dia bertemu Yanti. Entah bila lagi dia akan bertemu dengan sahabat yang baik seperti Yanti itu.
Anis menoleh ke belakang. Kelihatan Yanti baru sampai ke mejanya. Terus mata Anis meliar sekeliling dewan, mencari kelibat seseorang. Anis tersenyum sambil melambai tangan. Lambaiannya itu disambut dengan senyuman mesra si penerima.
Ketika suara pengawas bertugas memberi arahan, Anis memandang ke depan. Guru-guru yang telah ditugaskan untuk menjaga dewan peperiksaan sedang bersiap sedia untuk mengedarkan kertas soalan. Anis memejamkan matanya serapat yang mungkin. Memohon kepada Allah agar segalanya berjalan baik. Semoga apa yang telah dipelajari dan diulang kaji selama ini akan memberi manfaat kepadanya pada hari terakhir ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co