Bab 1
"Anis, minggu depan aku kena pulang ke Kuala Lumpur. Umi dengan abah aku dah warning awal-awal lagi," luah Yanti.
"Warning? Apa yang kau buat sampai kena warning pula ni?" Anis pelik dan sedikit kecewa mendengar kata-kata Yanti itu. Dia sudah berkira-kira untuk mengajak sahabatnya itu bekerja di kilang kicap Cikgu Gafar sementara menunggu keputusan keluar. Tetapi ini pula jawapannya.
"Umi dengan abah aku suruh aku duduk dengan dia orang. Mereka tu takut kalau aku kerja kilang. Kau bukan tak tahu otak umi dengan abah aku tu macam mana?" Yanti memasukkan buku dan kertas soalan peperiksaan ke dalam beg sekolah.
"Tak ada rezekilah aku nak bekerja dengan kau dekat kilang kicap Cikgu Gafar tu, ya?"
"Hurm... Aku minta maaf, Anis. Kalaulah aku diberi pilihan, aku pun tak suka nak tinggal di KL tu. Oh ya, apa kata kau ajak Helmi kerja dengan kau di sana? Dia pasti suka kalau dapat berdua-duaan dengan kau. Waktu inilah kau nak mesra-mesra dengan dia. Kau orang berdua ni pun bercinta bukan macam orang lain. Tak pernah aku nampak kau orang berdating dekat mana-mana. Jaga tatasusilalah konon!"
Anis tersenyum malu apabila mendengar kata-kata Yanti.
"Aku tak terfikir pula pasal Helmi tu. Tengoklah, nanti aku cuba ajak dia."
Akhirnya Anis dan Yanti berpisah. Mereka saling berpelukan bagaikan pertemuan mereka kali ini adalah yang terakhir. Anis pula berlalu ke perhentian bas.
Setibanya di situ, Anis duduk menghadap jalan raya yang panas dipanah sinaran matahari. Berkerut-kerut dahinya menahan bahang. Yanti telah pun menaiki kereta datuknya yang datang menjemput sebentar tadi. Pelajar lain juga sudah mula beransur pulang ke rumah. Hanya tinggal beberapa orang pelajar sahaja yang masih berada di pekarangan sekolah. Mungkin sedang berbincang jawapan peperiksaan tadi. Ada juga yang masih punya kertas terakhir untuk dijawab. Pelajar dari kelas sains tulen masih perlu menghadapi beberapa kertas peperiksaan.
"Hai..." Satu suara tiba-tiba menegur. Anis yang leka mengayun kaki terus menoleh.
"Helmi! Saya ingat awak dah balik." Anis terus meletakkan beg yang dipegang di sebelahnya. Bimbang jika Helmi tiba-tiba duduk rapat di sebelah. Ternyata telahannya itu tepat! Helmi duduk betul-betul di sebelahnya. Namun nasiblah beg galas yang diletakkan sebentar tadi telah menjarakkan kedudukan mereka.
"Tak lagi. Saya malas nak balik awal. Lagipun hari ini kan last day dekat sekolah. Rasa macam sayang pula nak tinggalkan sekolah ni," ujar Helmi. Dia merenung wajah Anis yang comel itu berulang kali. Kalaulah dia dapat memiliki gadis itu secara sah, pasti dia takkan lepaskan Anis. Anis hanya untuknya! Tetapi dengan umur yang masih bergetah, impian itu bagaikan langit dan bumi. Bagaikan Kutub Utara dan Kutub Selatan!
Anis terangguk-angguk mengiakan kata-kata Helmi. Dulu semasa didenda atau dimarah guru, perasaan benci terhadap sekolah itu membuak-buak dalam hati. Benci guru dan segala mengenai sekolah tak terkecuali dalam diri seorang remaja. Tetapi tika hari terakhir sekolah, segala kenangan pahit dan manis itu terasa sayang sekali hendak ditinggalkan. Sekolah ialah rumah seorang remaja. Sekolah juga ialah sebuah kerajaan.
"Hati saya rasa sebak sebab nak tinggalkan sekolah ni..." luah Anis sambil memandang bangunan sekolah yang tersergam indah.
Helmi tersenyum. Baginya kata-kata Anis ada benarnya. Pasti setiap pelajar mempunyai pandangan yang sama seperti Anis. Helmi mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya.
"Nah!"
Terkejut Anis apabila Helmi menghulurkan sesuatu kepadanya.
"Apa ni?" Anis menyambut sambil membelek-belek kotak yang cantik dibalut dengan kertas pembalut bercorak bunga matahari.
"Bukalah!" arah Helmi selamba. Dia menyelak rambutnya yang menutup bahagian dahi.
Anis tersenyum melihat gaya Helmi yang bersahaja. Siapa sangka remaja lelaki yang diminati ramai itu kini berada di hadapannya. Tidak sia-sia penantiannya selama ini. Hati Anis berbunga kembang kuncup. Biarpun Helmi sentiasa serius tetapi setiap perbuatan Helmi punya maksud yang mendalam.
Anis masih ingat kenangan ketika dia masih di sekolah rendah. Dua tahun dia dan Helmi berada di dalam bilik darjah yang sama, namun Helmi tidak pernah menegur atau bercakap dengannya. Kali pertama melihat wajah lelaki yang berasal dari pantai timur itu, hati Anis sudah tertarik.
Mungkin waktu itu Helmilah yang paling comel di dalam bilik darjah. Namun Anis malu untuk bertegur sapa hinggalah masuk ke sekolah menengah. Sungguh pun tidak berada di dalam kelas yang sama lagi, hati Anis tetap setia kepada Helmi. Biarpun dia pernah mendengar kisah cinta Helmi dengan pelajar lain, namun nama Helmi tidak dapat dibuang dari hidupnya.
"Anis! Bas awak dah terlepas!"
"Hah? Mana? Mana?" Terjojol biji mata Anis memandang belakang bas yang sepatutnya dinaiki. Itulah padahnya jika asyik merenung wajah lelaki kacak ini. Oh, ini baru Helmi. Bukan Nabi Yusuf. Anis terkebil-kebil malu. Kotak hadiah pemberian Helmi terus digenggam kuat. Mahu dua jam dia harus menunggu bas itu muncul semula.
Helmi mahu tergelak melihat reaksi Anis yang kesedihan itu. Namun ditahan dalam hatinya. Kasihan Anis kerana terlepas peluang menaiki bas dan lewat tiba di rumahnya. Namun jauh di sudut hati, dia gembira. Tersangat gembira kerana dia masih berpeluang menghabiskan masa dengan kekasihnya itu.
"Helmi, hari ni kita balik jalan kaki nak tak?" Tiba-tiba terlintas idea mengarut itu di dalam kepala Anis. Entah kenapa dia rasa gembira setelah menjadi mangsa yang ditinggalkan bas. Mungkin kerana hari ini ialah hari terakhirnya bertemu Helmi.
"Jom!" Ajakan Anis terus disambut riang oleh Helmi. Biarpun tahu betisnya mungkin akan kejang tatkala tiba di rumah nanti, Helmi tidak peduli. Masa yang terluang buat dia dan Anis akan diguna sehabis baik.
Anis tersenyum lebar. Biarpun jantungnya berdegup kuat kerana takut, namun dia tetap berusaha melawannya. Anis terus berjalan seiring dengan Helmi. Beberapa orang pelajar yang masih berada di kawasan sekolah memandang gelagat mereka berdua. Helmi hanya tersenyum apabila ada pelajar yang mengusik. Namun Anis langsung tidak berpaling. Dia terus menundukkan wajah dan terus melangkah laju.
"Anis, kita tak payah guna jalan besar. Jom ikut saya. Ada satu jalan yang orang jarang guna." Tiba-tiba Helmi muncul dengan cadangan pelik itu. Dia juga sudah berani membuat tindakan mengejut. Lengan Anis yang tidak pernah disentuh itu tetap di dalam genggamannya.
"Eh, takutlah lalu jalan ni!" Anis menarik kasar tangannya. Tidak sangka Helmi berani memperlakukan perbuatan itu terhadapnya. Selama ini tiada seorang lelaki pun yang pernah menyentuh tangannya. Anis mengerutkan dahi.
Helmi yang seakan-akan dapat membaca isi hati Anis segera mendekati Anis.
"Anis, saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya teruja sangat nak ajak awak guna jalan tu. Tapi awak jangan risau, jalan tu tak bahaya. Mula-mula aje nampak kelam tapi yang bestnya kat dalam tu ada kolam ikan tau! Nanti kalau kita jalan terus lagi boleh tembus kat kampung awak," terang Helmi bersungguh-sungguh. Bimbang juga jika Anis tiba-tiba melarikan diri dan menjerit. Dia juga yang akan dituduh melakukan perbuatan jahat.
Anis memandang tepat ke mata Helmi. Betul ke apa yang dia cakap ni? Tak tahu pula aku kat dalam ni ada kolam ikan? Lepas tu macam mana pula boleh tembus dekat kampung aku? Bukan ke kampung aku tu jauh dari sekolah ni? Anis kurang percaya dengan apa yang telah dijelaskan oleh Helmi tadi. Tindakan Helmi memegang tangannya tadi buat dia hilang rasa percaya terhadap Helmi.
"Anis, demi Allah saya tak tipu awak!" luah Helmi lagi. Dia tahu Anis sedang menilai peribadinya sedangkan dia langsung tidak berniat jahat.
Dan kerana ungkapan itulah hati Anis yang bergelodak tiba-tiba menjadi tenang. Dia mengangguk perlahan dan bersetuju berjalan menggunakan lorong itu. Benar seperti kata Helmi itu tadi. Anis nampak sendiri kolam ikan dan anak sungai yang cantik. Hati Anis begitu tertawan dengan tempat itu namun wajahnya tiba-tiba sahaja muram.
"Anis, saya minta maaf sebab tak dapat ikut awak kerja di kilang kicap tu, ya."
Anis terima jawapan Helmi dengan hati yang berat. Rupa-rupanya bukan Yanti sahaja yang akan tinggalkan Anis, tetapi Helmi juga.
"Tak apa, Anis. Saya akan kerap hubungi awak nanti. Telefon yang saya hadiahkan tu awak pegang selalu tau!"
"Hah? Hadiah tadi tu telefon bimbit ke?" Anis tidak senang hati. Dia tidak sepatutnya memiliki benda seperti itu di rumah. Anis segera mengeluarkan kotak hadiah dari dalam beg galasnya. Terus hadiah itu dihulurkan semula kepada Helmi.
"Eh... Apa ni? Kenapa awak pulangkan hadiah ni?" Helmi betul-betul terkejut. Dia terkilan dengan tindakan Anis itu. Air mukanya terus berubah.
"Helmi, saya minta maaf. Sebenarnya bukan saya nak menolak hadiah awak tu tapi..."
Helmi terus berjalan perlahan meninggalkan Anis. Anis mengeluh panjang. Aku memang tak boleh ada telefon tu dekat rumah. Kalau dia orang tu tahu aku ada telefon bimbit, pasti kecoh satu kampung! bisik Anis dalam hati. Kemudian dia berjalan laju mengejar Helmi yang sudah merajuk.
"Sampai hati awak tolak pemberian saya. Awak tahu tak berapa lama saya kumpul duit nak belikan hadiah ni untuk awak? Saya guna duit belanja sekolah tau! Sekarang ni awak tolak mentah-mentah pula!" Helmi meninggikan sedikit nada suaranya.
"Helmi, saya bukan menolak hadiah awak, tapi kalau adik-beradik saya tahu yang saya ada telefon, mesti dia orang akan bising. Mesti dia orang tuduh yang bukan-bukan. Hubungan saya dengan mereka tu tak macam adik-beradik biasa. Tolonglah faham!" rayu Anis.
"Anis, saya akan rindukan awak nanti. Saya tak pasti hati saya boleh tahan ke tak dengan perasaan tu. Awak nak ke saya datang rumah awak semata-mata nak dengar suara awak tu? Mesti lagi kecoh kan kalau saya pergi rumah awak? Sebab itulah saya belikan phone ni untuk awak!" Helmi tetap bertegas dengan kata-katanya. Dia tidak peduli dengan alasan Anis tadi.
Anis terdiam. Aku pun dah nak mula rindu pada kau, Helmi. Tapi aku tak boleh bawa balik benda ni. Di rumah yang macam penjara tu terlalu banyak barang yang aku tak boleh bawa masuk, sambung Anis dalam hati.
"Saya minta maaf, Helmi." Anis tertunduk lemah. Entah ayat apa yang patut dia guna demi membalas kata-kata Helmi itu. Jika dia menyuruh Helmi mengutus surat pun tak ada guna juga. Surat itu pasti akan melalui proses imbasan terlebih dahulu. Jika surat itu tiba di tangan Anis, selamatlah jawabnya. Tetapi jika di tangan Suzie atau Shahlan atau mungkin di tangan mak cik, kalahlah seluruh jabatan imigresen di dunia ini. Habis rabak helaian surat itu jadinya. Mak cik dan anak-anaknya itu memegang segala jawatan. Dari presiden hingga ke sekecil-kecil pangkat. Semuanya mereka yang gondol!
"Saya sayang awak, Anis. Saya sayang awak sampai bila-bila... Cup!"
Hah? Anis menyentuh pipinya yang panas membahang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co