Truyen3h.Co

KERINDUAN

BAB 10

karyaseni2u

BENDA pertama yang Hajar capai sewaktu sampai di meja rehatnya adalah telefon bimbitnya. Tadi dia tertinggal telefon bimbit bertuah tersebut. Jadi sebaik saja kelasnya berakhir, bergegas Hajar ke sini.

Ada tujuh panggilan tidak dijawab. Semuanya daripada nombor yang sama dan sangat asing. Meski ragu, Hajar membalas panggilan tersebut. Mungkin ada hal yang sangat penting mahu disampaikan oleh pemanggil tersebut.

"Helo."

Hanya sepatah suara di hujung talian. Spontan Hajar menutup talian. Sumpah, tangannya lebih tangkas bergerak daripada otaknya.

"Tak mungkin Din," keluh Hajar keras sembari menggelengkan kepalanya. Ini pasti sebab terlalu bimbang pasal Din, semua suara pun Hajar samakan macam suara Din.

Debat kata hati Hajar belum sempat hilang bila telefon bimbitnya sudah berbunyi semula. Nombor yang sama yang sedang terpapar pada skrin telefon bimbitnya. Hajar menjawab panggilan tersebut dengan penuh rasa yakin. Bibirnya baru mahu bergerak menuturkan sapaan, pemanggil tersebut lebih dahulu bersuara.

"Laju sungguh awak matikan panggilan, ya?"

Tidak perlu lagi memperkenalkan diri. Memang Din yang menghubungi Hajar. Biasanya Din saja yang suka menempelak di awal perbualan.

"Assalamualaikum, Din."

Din jawab salam Hajar, namun suaranya terdengar acuh tak acuh. Hajar tidak pasti apa yang menyebabkan Din beria-ia benar mencarinya.

"Mana awak dapat phone number saya?"

"Kenapa? Saya tak boleh dapat phone number awak? Takkanlah awak boleh paksa anak saudara saya tinggal dengan awak dan saya pula tak boleh dapat phone number awak? Itu tak adil namanya. Berat sebelah."

Hajar tak sukalah Din gunakan perkataaan paksa. Tidak ada istilah paksaan dalam kes Aliff tinggal bersamanya. Dan siapa yang tidak adil sekarang? Jawapannya adalah hamba Allah yang bernama Din. Nama penuh belum diketahui.

"Saya tak pernah paksa Aliff tinggal dengan saya. Dia rela hati nak tinggal dengan saya. Aliff tinggal dengan saya sebab dia suka dan saya pun suka."

"Saya tak suka," pangkah Din dengan suara keras.

"Saya hanya ambil kira pandangan Aliff dengan mak cik. Mak cik tak ada bantahan."

"Okay, stop. Saya tak nak awak terus bercakap dan menangkan diri sendiri. Kita jumpa petang ni dan selesaikan masalah penjagaan Aliff. Saya nak berbincang dengan awak secara empat mata."

Helaan nafas Hajar yang menjawab permintaan Din.

"Petang ni tak boleh."

"Kenapa tak boleh?"

"Tak ada orang jaga Aliff. Kalau saya datang jumpa awak, maksudnya saya kena bawa Aliff sekali. Saya tak nak Aliff dengar perbincangan kita dan sekaligus lukakan hati dia. Saya tak nak Aliff sedih."

"Jangan banyak alasan. Datang jumpa saya."

Bergerak-gelak rahang Hajar apa bila dituduh sedang memberi alasan.

"Tak ada masa saya nak beralasan. Memang tak ada orang jaga Aliff kalau saya datang jumpa awak."

"Hajar, banyak pilihan awak boleh fikirkan. Sebagai contoh, awak boleh minta kawan awak jaga Aliff sekejap. Saya nak jumpa awak bukan sepanjang hari. Paling lama pun dua jam. Takkan dia tak boleh tolong jagakan Aliff dalam masa dua jam tu."

"Saya tak yakin saya boleh minta kawan saya tolong jagakan Aliff petang ni. Lainlah kalau esok. Petang ni mendadak sangat. Besar kemungkinan kawan saya ada hal."

"Takkan awak ada satu orang kawan saja? Mengaku sajalah awak sebenarnya pengecut. Awak takut nak jumpa saya sebab awak tahu awak salah. Sebab tu awak bagi macam-macam alasan merapu."

"Ikut suka hati awaklah nak fikir apa. Kalau saya jelaskan sekalipun, awak tetap dengan fikiran negatif awak."

"Kita jumpa petang ni dekat Hotel Istana," putus Din tiba-tiba.

Hajar telan liur.

"Dengar tak apa saya cakap tadi?"

"Dengar. Saya belum pekak lagi."

"Bagus. Pukul enam boleh?"

"Tak boleh. Kawan saya mungkin tak dapat tolong jagakan Aliff."

"Masalah tu saya dah selesaikan. Tunggu awak selesaikan, memang takkan selesai. Awak ni cuma pandai cari alasan dan bukan cari jalan penyelesaian."

Sumpah, sekarang juga Hajar mahu mematikan talian. Selepas itu Hajar mahu tukar nombor telefonnya.

"Diam lagi?"

Keras keluhan Hajar bila Din berterusan menempelaknya.

"Saya nak tahu jalan penyelesaian awak tu dulu sebelum saya setuju nak jumpa awak."

Din membetulkan pegangan telefon bimbitnya yang hampir melurut jatuh.

"Saya ada kawan kerja dekat hotel tu. Dia boleh tolong tengok-tengokkan Aliff sekejap sementara kita berbincang. Saya harap saya tak dengar jawapan 'tak boleh' lagi. Saya dah tolong awak selesaikan masalah Aliff-tak-ada-orang-jaga."

Nampaknya Hajar tidak punya pilihan lain lagi selain setuju untuk bersemuka dengan Din.

"Macam mana? Jangan asyik diam saja."

"Pukul berapa?"

"Saya dah sebut tadi."

"Saya tak dengar. Sebut sekali lagi."

"Enam."

Hajar melirik sekilas jam tangannya. Sekarang baru pukul sebelas pagi. Jarak dari rumahnya ke Hotel Istana tidaklah terlalu jauh, tetapi Hajar perlu mengambil kira kesesakan jalan raya juga.

"Boleh pukul enam? Atau awak nak jumpa lepas maghrib?"

"Pukul enam kita jumpa."

"Deal."

Hajar memandang telefon bimbitnya. Mahu memastikan sendiri adakah benar Din telah menutup talian.

Memang benar, Din telah menutup talian. Sempat juga Hajar mengutuk dalam hati. Kalau tak sudi sangat sekalipun berbual dengan Hajar dalam telefon, tak payahlah tunjuk sangat. Hajar belum habis bercakap lagi talian sudah dimatikan.

Petang itu, lima minit sebelum pukul lima petang Hajar memanggil Aliff. Beg tote miliknya diraih dan beg yang berisi barang keperluan Aliff ikut diraih. Hajar sudah bersedia untuk ke Hotel Istana.

Baru lima langkah, telefon bimbit Hajar berbunyi. Fatim yang menghubunginya.

"Ada apa Fatim?" aju Hajar setelah salam Fatim dijawab.

"Kau ada dekat rumah ke?"

"Taklah, dekat Idrissi lagi."

Pasti cuak muka Fatim sekarang mendengar jawapan Hajar.

"Seriuslah sikit, Hajar."

"Kau pun macam tak tahu aku balik pukul berapa dari Idrissi," sindir Hajar, enggan kalah.

"Aku kat rumah dah. Tapi nak keluar sekejap lagi. Ada apa ni?" sambung Hajar setelah Fatim senyap di hujung talian.

"Alaaa..." keluh Fatim. Sedih benar suaranya.

"Ada apa ni?" ulang Hajar sekali lagi. Telefon bimbitnya dilekapkan rapat-rapat di telinga. Aliff yang sedang bersorak turut diarahkan supaya diam sekejap.

"Raif..." sebut Fatim. Bukan Hajar tidak kenal dengan Raif. Raif itu salah seorang pelajar di Idrissi.

"Kenapa dengan Raif?"

"Aku kan buka kelas tuisyen. Semua pelajar aku dah balik, kecuali Raif. Dia ada dekat rumah aku lagi sekarang."

"Bunyi suara kau cemas sangat. Aku ingatkan Raif luka tadi."

"Eh bukan, Raif okey. Cuma ayah dia tak sampai lagi. Adik aku baru call tadi dan beritahu mak aku jatuh dalam bilik air. Sekarang ni adik aku on the way ke hospital hantar mak aku. Aku nak pergi tengok mak aku. Masalahnya tak ada orang jaga Raif. Takkan aku nak bawa anak orang sampai ke Kajang. Mengamuk keluarga dia nanti."

"Pergilah. Biar aku temankan Raif. Sekejap lagi aku sampai rumah kau."

"Tak apa ke?"

"Tak apa. Lagipun Aliff ada, boleh temankan Raif sekali."

"Thank you, babe dan sorry sebab dah kacau plan kau. Ayah Raif tu dari tadi asyik sebut dah on the way, tapi sampainya tak juga. Kalau mama Raif yang jemput, awal sampai. Biarpun tempat kerja dia lagi jauh."

"Mama Raif mana?"

"Tengah pantang. Baru tiga hari bersalin."

Hajar angguk.

"Lagi sepuluh minit aku sampai rumah kau. Kau siap-siaplah."

Usai menitipkan pesan pada Fatim, talian dimatikan. Din perlu dihubungi. Hajar risau dia lambat sampai.

"Mana pula orang tua ni?" keluh Hajar setelah lima panggilannya tidak berjawab. Masuk sepuluh kali panggilannya tidak berjawab, Hajar pilih menghantar pesanan ringkas.

Minta maaf. Saya datang lambat sikit. Ada hal penting. Mungkin lambat dalam tiga puluh minit ke satu jam.

Hajar menunggu balasan Din. Lima minit berlalu, masih juga sepi. Akhirnya Hajar terus menggamit Aliff dan pintu rumah dikunci.

Sehingga pukul enam petang, masih juga tidak ada balasan daripada pihak Din. Ayah Raif pula sejak tadi sama saja jawapannya. On the way sejak satu jam tadi.

"Encik Amid sebenarnya dekat mana? Jangan sebut on the way kalau sebenarnya Encik Amid dekat ofis lagi. Masak saya tunggu dekat sini."

Barulah Hajar mendengar keluhan penyesalan di hujung talian sana.

"Macam inilah... Encik Amid WhatsApp alamat. Saya hantar Raif balik rumah terus. Dekat rumah ada orang, kan?"

"Ada. Tapi tak apa ke ni?"

"Tak apa."

Talian dimatikan. Tidak sampai dua puluh saat, ayah Raif sudah menghantar alamat rumah.

"Bukit Tinggi dekat Klang," sebut Hajar. Kepalanya sudah membayangkan kesesakan jalan raya yang perlu ditempuh. Apa nak buat, Hajar sudah terlanjur beritahu Encik Amid mahu menghantar Raif. Hajar fikir tadi, rumah Raif sekitar KL saja.

Nafas pendek dihela. Hajar memujuk diri sendiri. Sekarang selesai satu masalah. Tinggal masalah Din saja lagi. Sekali lagi lelaki itu dihubungi. Kali ini operator yang menjawab panggilan Hajar.

Panggilan seterus dan seterusnya juga sama. Hajar ambil inisiatif menghantar pesanan ringkas. Hajar harap lelaki itu membacanya. Nampaknya perbincangan hari ini perlu ditangguhkan kalau Din tidak sanggup menunggunya.

Songket Lounge kelihatan tenang. Salah seorang pengunjungnya adalah Din. Din lambat sampai ke sini. Oleh kerana mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas, Din menaiki monorel ke Hotel Istana. Audinya ditinggalkan di pejabatnya.

Mana tahu, perkhidmatan monorel tergendala dan menyebabkan Din lambat hampir satu jam. Berpeluh-peluh Din ketika sampai tadi.

"Lily, Aliff dah sampai?" sapanya terus kepada adik Kusyairi yang bekerja di situ.

"Belum."

Berkerut dahi Din. Namun hanya sekejap. Mungkin Hajar dan Aliff juga menghadapi masalah yang sama macam dia sendiri tadi.

Meja terus dipilih. Din sengaja memilih meja yang berada di hujung sekali. Tisu dikeluarkan dan dia mula mengelap peluh renik jahat yang muncul di sekitar dahinya. Kemudian tangannya menyeluk seluar, mahu mencari telefon bimbitnya.

"Tak ada?" luah Din. Dahinya kembali berkerut. Dia bangun semula dan mula menyelongkar setiap inci kocek pada seluar slack hitam dan kemeja merahnya.

Din amat pasti, dia mengambilnya tadi selepas menutup laptop.

"Takkanlah tertinggal dalam kereta," keluh Din bersama raut wajah kecewa.

Akhirnya Din kembali semula ke front desk Hotel Istana. Adik perempuan Kusyairi dihampiri.

"Abang nak pinjam telefon sekejap, boleh?"

Sekejap saja telefon bimbit adik Kusyairi berada dalam tangan Din. Nombor telefon Hajar yang ditulis pada nota kecil dikeluarkan dari dompetnya. Mujurlah Din masih menyimpan kertas kecil tersebut.

Lima kali dia menghubungi Hajar, hanya operator yang menjawab panggilan Din.

"Nanti kalau nombor ni call semula, pass dekat abang, ya?"

"Okey."

Lega hati Din. Dia kembali semula ke meja yang dipilihnya tadi.

Masak juga Din menunggu. Baru sebentar tadi jarum pendek jam tangannya berada tepat pada angka sembilan. Din juga telah banyak kali menghubungi Hajar. Namun masih juga operator yang menjawab panggilan Din.

Nampaknya Hajar itu kaki kelentong. Janjinya seperti orang munafik!

Din keluar dari Hotel Istana dengan wajah masam. Kalaulah Hajar tiba-tiba muncul di depan matanya, memang Din sembur habis-habisan.

Din sampai semula di bangunan tempat kerjanya setengah jam kemudian. Din lihat banyak kaca bertaburan di sekeliling Audinya. Nafas Din seperti terhenti.

Cermin Audinya pecah. Set radionya hilang. Telefon bimbitnya juga hilang. Din hanya mampu menyandarkan tubuh pada keretanya. Nafas dihela cukup panjang. Berusaha keras menyabarkan diri yang seperti ingin menggila.

Hajar...

Gigi Din sedang berlaga. Rahangnya pula bergerak-gerak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co