BAB 9
DIN menjeling jam di pergelangan tangan. Menghampiri jam dua belas tengah hari. Din hela nafas panjang sebelum kakinya melangkah menuju ke pintu keluar makmal R&D. Din perlukan udara segar. Fikiran Din tidak berada di tempat yang sepatutnya. Fikirannya melayang entah ke mana.
Dia memasuki bilik Kusyairi dengan air muka keruh. Din memang begini. Kalau hatinya tak tenang, pasti Kusyairi jadi mangsa luahan hatinya.
"Muka macam baru lepas putus cinta," komen Kusyairi bila melihat muka mendung Din.
Din membisu, malas hendak melayan komen bernada gurauan Kusyairi. Kalau dilayan, nanti makin panjang.
"Din, janganlah sedih sangat pasal Dahlia tu. Bunga dahlia dalam dunia ni bukan sekuntum. Ada banyak lagi yang belum dipetik orang. Jenis pun banyak. Kau cakap saja kau nak yang macam mana. Mesti ada. Kalau susah sangat, bunga lain ada. Lagi cantik daripada bunga dahlia."
Makin cemberut air muka Din. Sebenarnya, bukan hal Dahlia yang mengganggu fikiran Din. Ada hal lain yang telah mencuri tumpuan Din. Hal yang menyebabkan Mak Cik Arifah memberi silent treatment pada Din buat kali kedua.
Bayangkanlah, hari ini Mak Cik Arifah telah memberi arahan pada Mak Yah supaya tidak menyediakan sarapan untuk Din. Din terpaksa sarapan di kedai mamak pagi tadi. Bohonglah kalau Din tidak bersedih.
"Janganlah asyik kejar Dahlia yang sama. Dahlia tu dah selamat jadi isteri orang. Berdosa besar kalau kau runtuhkan rumah tangga mereka berdua. Lebih afdal kalau kau titipkan doa yang elok-elok untuk Dahlia dengan suami dia."
Sekali lagi Din hela nafas panjang. Dia menjatuhkan tubuhnya di atas kerusi sebelum kelopak matanya dipejamkan. Din mahu berehat daripada masalah hidup.
"Kalau kau tak kesah, Nina kata dia ada kawan."
Din pekakkan telinga. Hal jodoh Din tidak mahu sentuh buat masa sekarang. Cinta Din baru kecundang. Adalah tidak wajar untuk memulakan hubungan baru dengan mana-mana perempuan dalam waktu terdekat ini. Jadi Kusyairi, maaflah sebab Din acuh tak acuh.
"Nina kata, kawan dia berkenan dengan kau. Dah lama, tapi dia tak suarakan. Lagipun masa tu kau tengah hangat bercinta dengan Dahlia. Dia tak nak kacau. Tapi bila dia tahu kau dah single, dia minta tolong tanyakan. Dia sudi masuk meminang kau."
"Bukan pasal cinta yang tengah ganggu fikiran aku sekarang, bro," keluh Din. Matanya dibuka dan sekarang tubuhnya telah ditegakkan. Kalau Kusyairi tidak dibantah sekarang, boleh jadi ada rombongan meminang yang sampai ke rumah keluarga Din nanti. Kusyairi bukan boleh diajak bergurau. Semuanya dianggap serius.
"Nanti kau tolong beritahu kawan Nina, cari lelaki yang sesuai. Aku tak berapa nak betul sekarang ni."
"Takkanlah sebab putus cinta dengan Dahlia, kau nak gelapkan hidup sendiri dan kemudian jadi tak berapa nak betul," gerutu Kusyairi sambil geleng-geleng kepala. Nampak sangat dia tidak puas hati dengan jalan fikiran Din. Menurut Kusyairi, Din terlalu bernilai untuk membuang waktu dengan jadi tak berapa nak betul.
"Pasal Dahlia aku dah halalkan. Aku dah tak fikir pasal dia. Dahlia dah jadi sejarah dan aku dah tutup buku sejarah tu. Dah selamat masuk stor belakang rumah. Stor belakang rumah tu aku dah mangga elok-elok. Kunci pun aku dah buang ke dalam laut."
Tersengih-sengih Kusyairi mendengar pengakuan Din. Susah Kusyairi hendak percaya, namun diusahakan juga untuk percaya. Bukan apa, lihatlah raut wajah Din, serius saja sejak tadi.
"Kalau bukan pasal Dahlia, pasal apa kau frust menonggeng-nonggeng mengalahkan orang putus cinta?"
Din menjeling Kusyairi. Din tidak suka perkataan frust menonggeng-nonggeng. Bahasa Kusyairi seolah-olah memberi gambaran Din terlalu kemaruk dan taasub. Padahal kemaruk dan taasub itu sepatutnya ke arah Tuhan, bukan ke arah perempuan.
"Aku bukan frust menonggeng-nonggeng. Aku tengah cari jalan penyelesaian masalah dalam kepala aku sekarang. Kalau tak diselesaikan cepat, boleh jadi aku perang besar dengan mak aku sendiri."
"Bunyi macam teruk dan serius. Ceritalah apa masalah yang tengah kacau kau sekarang. Kalau aku ada akal, aku pasti tolong. Paling kurang pun, aku beri pendapat. Siapa tahu dari pendapat bertukar jadi jalan penyelesaian."
"Hal Aliff. Aku risaukan Aliff." Barulah Din membuka cerita.
"Kenapa dengan Aliff? Aku tengok anak saudara kau tu membesar dengan sihat dan kuat."
"Memanglah. Masalahnya sekarang Aliff tak tinggal dengan kami."
Naik tinggi kening Kusyairi. Pelik mendengar jawapan Din.
"Tapi hari tu aku tengok Aliff dekat rumah mak kau."
"Sementara waktu saja. Aku pun baru tahu semalam. Dan semalam aku dah berperang dengan mak aku sebab hal ni. Pagi ni langsung tak ada breakfast untuk aku. Tak pasal-pasal aku layan roti canai mamak pagi tadi."
Din kembali menyandarkan tubuh. Kedua-dua belah matanya ikut terpejam rapat.
"Jadi Aliff tinggal dengan siapa sekarang? Dengan kakak ipar kau?" teka Kusyairi, lengkap dengan air muka mengusiknya.
"Pembetulan. Bekas kakak ipar. B-E-K-A-S. Kau jangan lupa sebut bekas tu."
Kusyairi terkekeh-kekeh mendengarnya. Dia sudah bangun lalu Din dihampiri. Setelah dia berada di sisi Din, bahu teman baiknya itu ditepuk-tepuk pula.
"Jadi, dari tadi muka kau macam ayam cirit kapur sebab bekas kakak ipar kau tu?" Sengaja ditekankan perkataan bekas itu.
"Aku tak fikir tentang dia, aku lebih risaukan Aliff. Aliff sekarang tak nak tinggal dengan kami. Dia pilih nak tinggal dengan bekas mak tiri dia. Tak logik, kan? Mesti dia dah sogok Aliff macam-macam. Tak mungkinlah Aliff nak tinggal dengan dia."
"Mana ada tak logik. Logik! Walaupun bukan mak kandung, tapi kalau bekas kakak ipar kau tu penuh dengan sifat keibuan, tak hairanlah kalau Aliff sayang dan pilih nak tinggal dengan dia." Sekali lagi perkataan bekas itu ditekan.
Din menjeling Kusyairi. Sudah dua kali teman baiknya itu menekankan perkataan bekas. Din rasa tak selesa, seperti Kusyairi sedang merancang rancangan mengarut dan susah hendak diterima akal.
"Lagipun Aliff tu kecil dan lelaki pula. Biasanya budak lelaki ni lebih rapat dengan mak dia."
"Tapi aku ni pak cik dia. Sepatutnya dia lebih rapat dengan aku."
"Itu kalau kau tinggal dekat Malaysia. Ini tak, kau tinggal dekat UK boleh tahan lama. Dalam tempoh kau tak ada tu, Aliff dah gantikan kau dengan mak tiri dia."
Tidak senang duduk Din dibuatnya mendengar kesimpulan yang Kusyairi buat. Menurut Din, Kusyairi salah membuat perhitungan.
"Aku nak dapatkan hak penjagaan Aliff. By law, kami lebih layak. Aku boleh cari peguam terbaik dalam Malaysia ni untuk dapatkan Aliff."
"Yang kau nak bazirkan duit sampai nak upah peguam terbaik Malaysia tu buat apa? Cubalah guna otak tu sikit. Belajar saja sampai master, tapi kalau bab berkasih dan sayang, fail terus."
Berkerut sejuta dahi Din bila ditempelak begitu.
"Kau single sekarang. Bekas kakak ipar kau pun single. Tunggu apa lagi? Kahwinlah. Tak salah kalau kau praktikkan konsep ganti tikar."
Kosong minda Din. Berkerut seribu dahi Din bila Kusyairi utarakan konsep ganti tikar.
"Bila kau kahwin dengan bekas kakak ipar kau, semua masalah selesai. Semua orang merasa dapat jaga Aliff."
Din geleng kepala dengan rakus.
"Kau tak faham, Kusyairi."
"Okey, apa yang aku tak faham? Jelaskan sekarang."
"Aku tak suka bekas kakak ipar aku tu. Lagipun aku tak nak bekas kakak ipar aku tu kahwin dengan aku, kemudian dia pandang aku sebagai arwah Abang Fadhil. Kau suka ke kalau kau sentuh seorang perempuan, tapi perempuan tu bayangkan kau sebagai lelaki lain. Lelaki yang dia sayang. Suka?"
"Betul juga."
"Kalau betul, lebih baik kau tolong aku cari peguam yang boleh dapatkan hak penjagaan Aliff dekat aku dengan mak aku."
"Kau tak nak bincang dengan bekas kakak ipar kau dulu? Mana tahu, dia boleh terima konsep ganti tikar dan tak tukar kau sebagai arwah Abang Fadhil?"
"Kusyairi!"
Kusyairi mengangkat kedua-dua belah tangannya.
"Aku beri cadangan saja. Aku fikir dari sudut pandangan Aliff. Aliff tu kecil lagi. Kalau kau tiba-tiba ambil dia dari bekas kakak ipar kau, aku risau dia murung. Kau tahu sajalah budak-budak ni bila dah murung. Boleh mengganggu pembesaran mereka. Lagipun bawa kesan buruk dekat mental mereka."
Kusyairi sengajalah tu menakut-nakutkan Din. Agaknya Kusyairi sudah menjadi sekutu Mak Cik Arifah dan bekas kakak ipar Din.
"He will be okay in a few days. Aliff anak saudara aku, tahulah aku nak pujuk dia macam mana."
"Kalau kau rasa boleh, terpulanglah. Tapi fikirlah baik-baik sebelum guna khidmat peguam. Sebab yang jadi mangsa nanti Aliff."
Din tidak memberikan sebarang komen.
"Tapi aku rasa, konsep ganti tikar tu yang paling sesuai kau praktikkan sekarang. Afdal dan dijamin selamat."
Din merengus kuat. Tanpa sepatah kata, dia keluar dari bilik Kusyairi. Membiarkan saja Kusyairi terkekeh-kekeh melihat muka cemberutnya.
Ganti tikar? Itu kerja tak waras namanya. Sekarang juga Din akan telefon Hajar dan selesaikan isu penjagaan Aliff.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co