BAB 11
DIN turun dari perut Audinya dengan wajah yang kelat. Mak Cik Arifah yang kebetulan sedang membaca buku di beranda rumah, mengangkat wajah bila mendengar bunyi enjin kereta. Nyaris bercantum kening Mak Cik Arifah melihat anak bujangnya turun dari kereta yang tidak bercermin.
"Cermin kereta Din kenapa?"
Keluhan Din yang menjawab pertanyaan Mak Cik Arifah. Langkahnya terhenti.
"Din?" desak Mak Cik Arifah bila Din mengambil masa agak lama untuk memberi jawapan.
"Nantilah Din cerita." Din kembali mengayun langkah. Dia belum bersedia bercerita panjang lebar.
"Din accident ke? Accident dekat mana? Din okey tak?"
Din mengeluh buat kali kedua. Sekali lagi langkahnya terhenti. Seperti tadi, dia mengambil masa untuk memberi jawapan. Kemudian kakinya diayun menghampiri emaknya.
"Din bukan accident, mak."
"Habis tu?"
"Kalau Din cerita, mak mesti tak percaya."
"Nak percaya macam mana kalau cerita pun belum," tempelak Mak Cik Arifah. Tajam pandangannya menatap wajah anak terunanya.
Sikap Din yang melengah-lengahkan masa untuk bercerita hanya membuat Mak Cik Arifah semakin hilang sabar. Lengan Din sudah disiku.
"Ceritalah. Kalau diam, macam mana mak nak percaya?"
"Cermin kereta Din kena pecah."
Din kembali mengeluh. Lebih keras berbanding tadi.
"Dan pencuri tu dah ambil handphone Din dan set radio kereta tu," sambung Din. Masih lagi dengan wajah kelatnya.
Mengucap panjang Mak Cik Arifah dibuatnya mendengar apa yang dilalui Din hari ini. Lengan anaknya segera disentuh.
"Macam mana boleh jadi macam tu? Din dah buat report polis?"
"Dah. Semua ni terjadi disebabkan bekas menantu kesayangan mak tu. Kalau dia tak buat hal, tak adanya kereta Din kena pecah."
Berkerut seribu terus dahi tua Mak Cik Arifah. Menuntut penjelasan lebih lanjut daripada Din. Adalah tidak wajar kereta Din rosak disebabkan Hajar. Pandai-pandai saja Din jual nama Hajar untuk dikambing hitamkan.
"Din dah cakap tadi, mak mesti tak percaya," bidas Din. Dia sudah bersedia untuk melangkah meninggalkan emaknya.
"Cerita dekat mak betul-betul. Jangan nak pergi mana-mana selagi Din belum cerita habis. Mak nak tahu macam mana Hajar boleh terlibat. Hajar dah buat apa? Takkan Hajar tahu Din baru dapat kereta dan selepas tu Hajar sabotaj kereta baru Din?"
Lihatlah soalan Mak Cik Arifah. Nampak sangat berat sebelah. Mak Cik Arifah awal-awal lagi sudah jadi pembela Hajar.
"Mak suka sangat bela Hajar. Pantang Din sebut nama dia saja, mak dah bersedia dengan ayat belaan."
"Mak bukan suka-suka nak bela Hajar. Mak kenal Hajar tu macam mana. Tak mungkin dia upah orang rosakkan kereta Din."
"Din tak cakap kereta Din rosak sebab Hajar."
"Tadi mak dengar Hajar yang sebabkan kereta Din rosak."
"Secara tak langsung. Tapi secara tak langsung pun, dia terlibat sama."
"Mak tak faham salahnya Hajar dekat mana. Din cakap berbelit-belit."
Inilah sebabnya kenapa Din malas hendak bercerita dengan emaknya. Apatah lagi kalau melibatkan Hajar.
"Kami janji nak jumpa, tapi Hajar bohong Din. Sebab dia bohong, Din yang tanggung kerugian. Kereta Din rosak dan handphone Din kena curi waktu tunggu dia datang. Kalau dia beritahu Din awal-awal dia tak datang, taklah nasib Din malang sangat hari ni."
"Din nak jumpa Hajar sebab apa? Sebab Aliff lagi? Kan mak dah pesan, jangan kacau Hajar dengan Aliff. Biarlah mereka hidup bahagia."
Payah kalau Mak Cik Arifah sayangkan sangat Hajar. Sejak tadi emaknya asyik membela Hajar. Seolah-olah Hajar itu maksum, bebas dari dosa.
"Sebab Din degil kacau Hajar juga, Allah dah turunkan bala."
Bergerak-gerak rahang Din. Sampai begitu sekali Mak Cik Arifah menangkan Hajar. Panas telinga Din mendengarnya.
"Mak, Din tak kesah ini bala atau apa. Yang Din tahu, Din nak Aliff balik ke sini. Kalau setiap hari pun Din ditimpa bala, Din terima. Mak menangkan Hajar sekalipun, Din takkan putus asa. Keputusan Din muktamad. Tak boleh diganggu-gugat lagi."
Din masuk ke dalam rumah setelah meluahkan apa yang terbuku dalam hati. Semakin emaknya menangkan Hajar, semakin Din bersemangat hendak membawa Aliff pulang ke sini. Din akan buktikan emaknya salah memberi seratus peratus kepercayaan kepada Hajar.
Melopong Mak Cik Arifah ditempat kejadian. Selepas itu meski berkali-kali dia memanggil Din, Din tetap mendaki anak tangga naik ke tingkat atas. Din mahu bersihkan diri dan solat. Selepas itu, tahulah Din kerjakan Hajar macam mana.
Tepat pukul sebelah setengah malam, Din mula menghubungi Hajar. Mak Cik Arifah jadi pemerhati dengan wajah resah. Sebenarnya tadi Mak Cik Arifah ada menghubungi Hajar, malangnya panggilan tidak bersambung. Pesanan juga telah dihantar. Namun masih belum dibaca oleh Hajar.
Risaunya hati Mak Cik Arifah. Niatnya mahu memberi amaran awal kepada Hajar. Niatnya tidak kesampaian pula. Kasihan Hajar terpaksa menerima kemarahan Din.
"Mak tengoklah bekas menantu kesayangan mak ni."
Din sedang bercekak pinggang. Kepalanya juga sedang digelengkan dengan rakus.
"Apa lagi? Apa lagi yang tak kena tu?"
"Bekas menantu kesayangan mak tu dah takut sangat. Sekarang dia lari-lari, sengaja mengelak daripada Din. Din telefon bukan nak jawab."
Panjang helaan nafas Mak Cik Arifah. Mujurlah Hajar masih menutup telefon. Begitu lebih baik. Sekurang-kurangnya ada perang yang berjaya ditangguhkan buat sementara waktu. Sekurang-kurangnya, Mak Cik Arifah masih ada waktu untuk menyejukkan hati Din.
"Din," panggil Mak Cik Arifah lembut. Usai solat isyak tadi, telah dititipkan doa supaya hati anak terunanya lembut sedikit. Mudah-mudahan doanya dimakbulkan.
"Biarlah Hajar yang jaga Aliff. Aliff pun mak lihat suka tinggal dengan Hajar. Takkanlah Din yang baru balik dari oversea, terus nak ambil Aliff. Itu namanya memaksa. Merana Aliff nanti."
Din mengambil tempat di sisi emaknya. Kalau emaknya pandai berlembut semasa memujuk, Din pun pandai. Darah emaknya mengalir dalam diri Din. Din takkan kalah.
"Mak, Aliff tu amanah arwah abang. Takkan mak nak Aliff lebih sayangkan bekas emak tirinya berbanding kita sendiri? Kalaulah Hajar tu emak kandung Aliff, Din tak kesah pun kalau Aliff pilih nak tinggal dengan Hajar sendiri. Masalahnya sekarang, Hajar tu bukan ada pertalian darah dengan Aliff."
Din memegang lengan emaknya. Sorotannya juga tak lepas menatap Mak Cik Arifah.
"Mak sanggup kalau satu hari nanti, Aliff lupakan kita? Mak sanggup kalau Aliff dah tak anggap kita ni keluarga dia? Mak jangan lupa, Aliff tu satu-satunya cucu mak. Jangan sampai mak hilang cucu."
Penuh sabar Din menunggu reaksi emaknya. Mahu melihat sendiri sama ada dia berjaya memujuk emaknya atau tidak.
"Din ni, negatif sangat. Takkanlah Hajar nak buat macam tu. Hajar tu tiap minggu hantar Aliff ke sini. Tak pernah sekali pun dia ponteng."
Nampaknya Din gagal lagi. Rasa percaya Mak Cik Arifah pada Hajar masih meninggi.
"Mula-mula memanglah tak ponteng. Kalau ponteng, nanti mak dah tak percayakan dia. Mak tunggulah sebulan dua lagi. Bila Aliff dah mula lupakan mak, masa tu Hajar culaslah hantar Aliff ke sini. Lama-lama tak hantar terus. Bila mak nak jumpa Hajar, tengok-tengok Hajar dah pindah. Nombor telefon pun tukar."
"Din merepek apa ni? Ini ke subjek yang Din belajar dekat UK sana? Subjek berprasangka dekat orang lain?"
Terdiam Din bila ditempelak. Din sedar dia agak melampau membuat andaian. Namun dalam kes emaknya, Din terpaksa menggunakan andaian melampau supaya emaknya lekas sedar. Kalau sekadar andaian biasa-biasa, emaknya takkan goyah.
"Din tak peduli, mak. Din nak Aliff tu kita jaga. Din tak nak esok lusa, Hajar tu kikis harta arwah abang dengan alasan dia jaga Aliff selama ni. Din tak rela harta arwah abang jatuh dekat Hajar. Harta tu semua untuk Aliff."
Tidak berhenti mulut Mak Cik Arifah beristighfar. Din sudah hilang waras sebab terlalu bencikan Hajar.
"Kalau Hajar tu berkeras tak nak serahkan Alif, Din bawa kes ni ke mahkamah."
"Kenapa sampai nak dibawa ke mahkamah? Hal kecil, tak payahlah nak dibesar-besarkan. Buat malu dekat saudara-mara saja nanti."
"Hal besar, mak. Anak saudara Din diculik bekas emak tirinya."
"Din, bawa bertenang. Jangan ikutkan sangat fikiran syaitan Din tu."
"Kalau terpaksa, itu jalan yang Din akan buat. Mak pun menangkan sangat Hajar tu. Sebab tu Hajar naik kepala."
"Mak tak faham kenapa Din benci sangat dengan Hajar. Apa salah Hajar tu? Cuba Din beritahu mak. Mak rasa, Hajar tu sebaik-baik manusia. Jarang kita nak jumpa manusia sebaik Hajar. Mak syorkan Din kenal-kenal dengan Hajar. Sebab Hajar tu, tak jahat macam yang Din fikir."
"Din tak fikir, tapi Din nampak dengan mata kepala Din sendiri. Mata Din jadi saksi."
"Hajar sebenarnya dah buat apa dekat Din?"
Din memandang Mak Cik Arifah lama. Tidak ada gunanya membuka pekung Hajar kalau dalam hati emaknya Hajar itu suci bersih.
"Mak cubalah tanya bekas menantu kesayangan mak tu. Mak tanya dia betul-betul dulu dia macam mana. Kalau dia mengaku suci macam Nabi, maksudnya dia bohong besar dekat mak."
Sangat dalam kerutan dahi Mak Cik Arifah. Satu pun dia tidak faham apa yang cuba Din sampaikan. Mak Cik Arifah cuma faham satu fakta. Din sangat bencikan Hajar. Namun belum diketahui apa punca kebencian Din.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co