BAB 12
WAJAH polos Aliff yang tertidur di tempat duduk belakang kereta diperhatikan tanpa jemu. Lama sebelum Hajar mula mengangkat Aliff keluar dari perut kereta. Termengah-mengah juga Hajar dibuatnya sebaik saja tubuh Aliff selamat dibaringkan di atas sofa.
"Maaf, sayang," bisik Hajar lantas rambut halus Aliff diiusap penuh kelembutan. Kemudian dia tunduk mencium dahi Aliff. Selepas itu barulah dia mencari telefon bimbitnya untuk dicas. Hajar harap tidak banyaklah panggilan yang masuk sepanjang telefonnya kehabisan bateri tadi.
Selesai membersihkan diri dan solat, Hajar kembali mengambil telefon bimbitnya. Sudah ada tiga puluh enam peratus baterinya. Ketika Hajar menekan butang On, berdesup bunyi notifikasi yang masuk.
Ada tiga puluh lapan panggilan tidak berjawab. Dua puluh tiga panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Selebihnya panggilan datang daripada bekas emak mentuanya. Tujuh belas panggilan dari talian mudah alih. Baki dua panggilan dari talian tetap. Terdapat juga pesanan WhatsApp yang masuk. Juga daripada bekas emak mentuanya.
Jangan jawab panggilan Din. Dia tengah marah. Telefon mak bila Hajar dapat mesej ni.
Belum sempat Hajar membuat keputusan, telefon bimbit pintarnya sudah menjerit. Nombor telefon talian tetap bekas emak mentuanya naik sebagai pemanggil.
"Hah, baru nak angkat? Kenapa tak tunggu kiamat terus baru angkat?"
Bukan suara bekas emak mentuanya, tetapi suara Din. Din yang sangat kaya dengan ayat pedas berapi.
"Pandai awak ni, Hajar. Pandai buat janji, lepas tu pandai pula tak tepati janji."
Semakin keras suara Din di hujung talian memaksa Hajar menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga.
"Kenapa off telefon? Apa masalah awak sebenarnya? Awak buat apa dari tadi? Sengaja nak lari daripada saya?"
"Assalamualaikum, Din."
Sepi dalam lima saat sebelum suara Din kembali terdengar di corong telefon. Suaranya ketika menjawab salam Hajar tidak lagi marah-marah.
"Kenapa tak datang tadi?"
Nampaknya suara Din bertukar lembut hanya ketika menjawab salam Hajar.
"Saya tunggu lama. Macam patung saya tunggu tapi awak langsung tak muncul-muncul. Awak sengaja ya buat saya macam ni? Awak ingat saya ni tak tahu marah?"
"Din, saya minta maaf. Ada hal tadi. Saya bukan sengaja."
"Kalau dah tahu ada hal, kenapa tak inform saya terus? Kalau awak inform, taklah saya tunggu macam patung. Ataupun 'ada hal tadi' tu alasan awak saja supaya tak payah jumpa saya?"
Makin Hajar mengalah, makin ligat Din menyakitkan hati Hajar.
"Saya call, tapi awak tak jawab. Saya call lebih dua puluh kali, tapi awak langsung tak angkat panggilan saya. Kalau macam ni, salah saya atau salah awak yang tak jawab call?"
Syukurlah Hajar masih mampu mengawal rasa geram. Suaranya berjaya dikawal supaya tidak naik tinggi.
"Betul ke awak ada call? Entah-entah awak menipu lagi."
"Din, buat apa saya nak tipu kalau memang saya buat perkara tu? Tak cukup dengan panggilan, saya pun hantar mesej. Tapi itulah, mesej saya pun awak tak baca."
"Handphone saya tertinggal dalam kereta," akui Din akhirnya. Barulah suaranya kendur sedikit berbanding tadi. Dia juga ikut melirik pada emaknya yang sejak tadi jadi pemerhati.
"Lepas awak ambil telefon dalam kereta, takkan awak tak baca mesej saya? Takkan awak tak nampak senarai panggilan tak berjawab daripada saya?"
Sesungguhnya Din terkulat-kulat sekarang bila diajukan soalan bertubi-tubi.
"Saya tahu saya salah dalam hal ni, tapi awak pun mesti mengaku awak pun salah. Awak salah sebab tak nampak dan tak baca mesej dan senarai panggilan tak berjawab daripada saya."
"Okeylah, saya pun salah juga. Yang awak matikan telefon kenapa?"
Mengaku salah, kemudian tetap juga Din hendak beratkan kesalahan dipihak Hajar.
"Bateri handphone kong."
"Kenapa tak cas? Mustahil awak tak ada power bank. Dalam kereta pun boleh cas telefon, kan?"
"Beg tempat saya simpan gadget tertinggal dekat rumah. Bila saya nak cas, baru perasan beg tu tak ada. Nak cas dalam kereta, kabel pun tak ada. Tadi bila dah sampai rumah, baru dapat cas."
Sepi. Benar-benar sepi, sehingga Hajar melekatkan telefon bimbitnya rapat-rapat di telinga. Bimbang juga kalau suara Din terlalu perlahan.
"Din?" panggil Hajar bila talian berterusan sepi.
"Jadi awak nak macam mana sekarang?" Barulah terdengar suara Din. Itupun suaranya seperti orang baru disergah lalu terkejut.
"Manalah saya tahu. Kalau awak nak jumpa saya pada hari dan masa lain, insya-Allah saya datang."
"Betul ke? Entah-entah lepas tu awak ada hal lagi macam hari ni."
"Insya-Allah, takkan ada hal lagi."
"Kalau macam tu kita jumpa esok. Saya datang dekat taska tempat awak kerja. Kita cari restoran dekat-dekat situ."
"Tak payah jemput saya dekat sekolah. Kita jumpa dekat restoran terus."
"Kawan awak boleh tolong jaga Aliff?"
Soalan Din menyedarkan Hajar. Dahinya ditepuk.
"Kalau kawan awak tak boleh jaga, saya boleh minta mak saya tolong ambil Aliff dekat taska esok. Malam esok Aliff tinggal dengan kami."
"Tak perlu. Tak elok kita susahkan mak cik. Esok kawan saya boleh tolong jagakan Aliff."
"Awak pasti?"
Kalau tak pasti sekalipun, Hajar usahakan sampai pasti.
"Insya-Allah, dia boleh tolong jaga."
"Okey, masalah siapa jaga Aliff selesai. Sekarang awak beritahu saya awak nak jumpa dekat restoran mana. Saya tunggu dekat sana. Tapi kali ni pastikan awak datang. Kalau tak, awak tunggulah saya berjoget-joget depan taska tempat awak bekerja."
Hajar mahu tergelak sebenarnya bila Din menyebut perkataan berjoget-joget. Namun Hajar juga sedar, kalau dia ketawa, boleh jadi Din mengamuk besar.
"Nak jumpa dekat restoran mana ni?" desak Din bila Hajar membisu tanpa jawapan.
"Errr... Dekat Lavender Cafe. Pukul enam petang. Atau awak nak datang masa lunch hour?"
"Okey, tak ada masalah. Kita jumpa dekat sana. Pukul enam. Lunch hour saya tak sempat. Esok banyak kerja."
"Awak tahu Lavender Cafe tu dekat mana?"
"Tak tahu, tapi saya boleh cari dalam Waze."
Talian dimatikan selepas itu. Tercengang bercampur terkejut Hajar dibuatnya.
Kurang ajar Din ni. Boleh dia matikan talian begitu saja. Kalau ya pun, bagilah petunjuk talian hendak dimatikan. Tidaklah Hajar terkejut seperti sekarang.
Kurang dua minit, telefon bimbitnya kembali berbunyi. Kali ini panggilan peribadi daripada bekas emak mentuanya.
"Hajar okey?" aju bekas emak mentuanya setelah menjawab salam Hajar. Jelas kedengaran betapa risaunya bekas emak mentuanya itu.
"Hajar okey, mak."
"Mak minta maaf bagi pihak Din."
"Mak, Hajar okeylah. Hajar tak terasa pun dengan Din."
"Tapi tadi dia jerkah-jerkah Hajar."
"Salah Hajar juga sebab tak datang jumpa dia. Biasalah dia marah. Kalau Hajar dekat tempat Din pun, Hajar marah juga."
"Tapi Din tak sopan langsung. Sepatutnya dia tanya Hajar elok-elok, bukan terus melenting. Malu mak tengok perangai Din tu."
Hajar hanya mampu melukis senyuman tipis. Tak tahulah esok bagaimana suasana perbincangan Hajar dengan Din. Harap-harap Din tidak melenting seperti dalam talian tadi. Maklumlah, Lavender Cafe biasanya mempunyai ramai pelanggan. Nanti satu Lavender Cafe dapat mendengar isi perbincangan Hajar dan Din.
"Mak ingatkan bila kereta dia kena pecah, insaflah sikit. Makin menjadi-jadi pula perangai dia."
"Kereta Din kena pecah?"
Mak Cik Arifah mengangguk meski Hajar tidak berada di depan matanya.
"Kereta baru dapat semalam, petang tadi cermin kereta dah kena pecah. Set radio hilang. Telefon dia yang tertinggal dalam kereta pun hilang sekali. Kalau dia luruskan niat sebelum jumpa Hajar, kereta dia selamat."
Alahai, patutlah Din tidak menjawab panggilannya. Rupa-rupanya lelaki itu tertinggal telefonnya dalam kereta. Lebih malang, kereta barunya sudah dipecahkan. Patutlah Din marah sangat.
"Mak dah pesan jangan kacau Hajar, dia kacau juga. Sekarang dah dapat kafarah. Kalau ikutkan hati mak ni, mak nak cakap padan muka dekat Din."
Hajar ketawa mendengar bebelan bekas emak mentuanya. Pada masa sama terbit rasa kasihan pada Din.
"Yang mak tak boleh terima, dia salahkan Hajar bila kereta baru dia kena pecah."
Okey, rasa kasihan yang baru mahu terbit tadi terus dibenam elok-elok. Biar tidak jadi terbit.
"Mak rasa, esok Hajar tak payahlah jumpa Din. Mak tak nak Hajar terasa dengan Din."
Permintaan bekas emak mentuanya tidak mampu Hajar tunaikan. Hajar mahu selesaikan isu hak penjagaan Aliff secepat mungkin. Selagi belum selesai, selagi itu Din takkan berhenti mengacaunya.
Paling Hajar bimbangkan, emosi Aliff. Hajar berani kerat jari, emosi Aliff pasti terganggu jika Din tidak membenarkan Aliff tinggal dengan Hajar lagi.
"Macam mana pun, saya kena jumpa Din esok, mak. Kalau tak cepat diselesaikan, Aliff yang jadi mangsa nanti."
"Din tu susah nak dilentur hatinya. Kalau dia dah buat keputusan, takkan berganjak dah. Mak ni, dah berhari-hari pujuk. Tak cukup dengan pujuk, nasihat pun mak dah curah. Macam tu juga pendirian dia. Dia nak juga ambil Aliff daripada Hajar."
Hajar memandang seketika pada Aliff yang masih pulas tidur. Demi Aliff, Hajar takkan mengalah pada Din. Bukan emosi Aliff saja yang terganggu kalau terpisah, rasanya emosi Hajar pasti lebih teruk. Berpisah seminggu dengan Aliff pun, selera Hajar terbantut. Rumah terasa kosong dan gelap.
"Hajar usahakan sampai Din setuju benarkan Aliff tinggal dengan Hajar. Kalau Hajar terpaksa melutut pun, Hajar sanggup. Asalkan Aliff dapat tinggal dengan Hajar."
Terdengar dengan jelas keluhan panjang bekas emak mentuanya. Hajar tahu sangat, bekas emak mentuanya tidak yakin Hajar dapat memujuk Din. Hajar juga tidak yakin, tapi kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
"Mak, Aliff dah bangun. Nanti kita sambung berbual lagi."
"Hajar," panggil bekas emak mentuanya. Masih enggan menutup talian.
"Ya, mak?"
"Jangan jumpa Din esok."
Hajar hanya mampu tersenyum. Tidak ada sepatah kata yang lahir dari bibirnya.
"Mak kenal hati Din tu macam mana. Mak tak nak Hajar dengan Aliff terluka."
"Saya kena jumpa Din, mak. Mak doakan yang baik-baik, ya? Moga-moga hati Din lembut esok."
"Kalau hati dia lembut, mak buat kenduri doa selamat terus, Hajar. Tujuh hari tujuh malam mak buat."
Hajar mengekek di hujung telefon. Setelah memberi salam, dia menutup talian sebelum melangkah menghampiri Aliff yang sudah bangun. Si kecil itu sedang menggosok-gosok matanya sembari merengek minta dimanjakan.
"Aliff, bonda ada ni. Bonda tak pergi mana-mana pun. Jangan nangis, ya?"
Tubuh kecil itu dipeluk erat. Dalam hati Hajar menanam janji. Hajar takkan benarkan Din ambil Aliff. Itu janji Hajar pada Aliff. Hajar harap Din faham dan sudi berkompromi untuk satu perkara ini saja.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co