BAB 13
HAJAR menebarkan pandangan di sekeliling Lavender Cafe itu. Matanya mencari lelaki dengan kemeja biru firus. Awal-awal lagi Din sudah memberitahu warna baju yang dipakainya hari ini. Seluruh pelosok kafe telah Hajar tilik, tak ada pula lelaki berkemeja biru firus. Mungkin Din belum sampai. Mungkin juga, Din tak datang sebagai balasan sebab Hajar tidak muncul semalam.
"Din ni datang ke tak datang?" gumam Hajar. Bersama langkah malas, Hajar menghampiri menghampiri meja kosong yang paling dekat dengan dirinya. Belum sempat sampai, satu susuk gagah berkemeja biru firus melepasi Hajar lalu terus mengambil meja di tepi dinding. Lelaki berkemeja biru firus itu membelakangi Hajar, jadi wajahnya belum sempat Hajar lihat.
"Yang itu ke?"
Tiada jawapan untuk Hajar. Akhirnya Hajar mengeluarkan telefon bimbitnya lalu Din dihubungi. Mujurlah bersambung. Sekarang Hajar hanya perlu menunggu lelaki berkemeja firus di tepi tingkap sana menjawab panggilannya.
Jelas di mata Hajar bagaimana lelaki berkemeja biru firus itu mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mula bersuara.
"Awak dah ada mana?"
Tidak syak lagi, lelaki berkemeja biru firus itu memang Din. Penuh hati-hati Hajar menghampiri Din setelah menutup talian.
Hajar pandang belakang tubuh Din. Bahunya tidak jatuh, malah tegap. Ini contoh bahu lelaki yang selalu pergi ke gim.
Din bersusuk gagah, sedangkan arwah Abang Fadhil susuknya sederhana. Tinggi arwah Abang Fadhil juga sederhana, bukan seperti Din yang ala-ala model antarabangsa tingginya. Ini kalau Hajar berdiri di sebelahnya, mungkin Hajar hanya separas bahu. Lagi satu, rambut arwah Abang Fadhil hitam lurus, rambut Din pula nampak sedikit berombak.
Kenalkan, ini ayah saudara Aliff. Satu-satunya adik kandung arwah Abang Fadhil. Kalau tak kenal lagi, inilah lelaki yang kecam Hajar malam semalam dalam panggilan telefon.
"Assalamualaikum," sapa Hajar setelah mengumpul kekuatan. Namun kekuatan Hajar luruh satu per satu setelah Din berpaling. Ala-ala nenek kebayan terus muka Hajar. Bayangkanlah, raut wajah Din seratus peratus sama dengan lelaki miang yang raba Hajar minggu lalu. Sampai sekarang, Hajar belum lupa insiden dia diraba di dalam perut bas.
"Awak nak ke mana?" tahan Din bila dilihatnya Hajar telah berpusing dan mula melangkah pergi.
"Saya tak berurusan dengan lelaki miang."
"Cakap tu biar bersopan sikit, Hajar. Jangan nak main tuduh sembarangan," pangkah Din sebaik saja dia berjaya menghalang langkah Hajar. Kedua-dua belah tangannya diangkat.
"Awak dah salah faham. Apa yang berlaku dalam bas tu bukan saya sengajakan," lanjut Din dengan raut wajah yang sangat serius.
Jawapan balas Hajar adalah jelingan sebelum dia kembali melangkah. Tiada ruang perbincangan dengan lelaki miang seperti Din.
"Hajar, kalau awak terus angkat kaki, jangan terkejut kalau saya bawa Aliff angkat kaki daripada hidup awak."
Terhenti terus langkah Hajar. Bibirnya diketap kuat sebelum dia berpaling mencari sepasang mata milik Din. Ketahuilah, Din dan arwah Abang Fadhil terlalu jauh berbeza. Karakter kedua-duanya kontra antara satu sama lain.
Kalau arwah Abang Fadhil terkenal dengan toleransi dan kelembutan, Din pula terkenal dengan paksaan dan sifat diktator. Rasanya, takkan ada jalan penyelesaian untuk perbincangan hari ini.
"Duduk," arah Din sambil menarik kerusi. Nampaknya ada beberapa pasang mata yang mula memberi perhatian kepada Din dan Hajar. Mungkin pelik bila melihat muka cemberut Hajar, dicampur pula dengan suara keras Din.
"Nak makan apa?"
"Kenyang."
"Jangan macam tu."
"Saya kenyang."
"Hajar, jangan paksa saya gunakan nama Aliff lagi."
Jelingan tajam diberikan pada Din sebelum Hajar kembali bangun.
"Nak ke mana lagi?"
"Nak ambil rotilah. Takkan nak ambil cangkul dan cangkul kepala awak."
Tidak berkejip mata Din. Boleh tahan mulut Hajar bila berkata-kata. Maknya bilang, Hajar penuh kelembutan dan kesopanan. Nampaknya wajah dan suara Hajar saja yang melambangkan kelembutan dan kesopanan. Perangai Hajar jatuh dalam kelompok gengster.
"Ambilkan untuk saya sekali. Tak kesah roti apa pun. Air saya nak soya kurang ais."
Dasar pemalas.
Hajar kembali duduk di depan Din setelah selesai memilih roti. Mulutnya terkunci rapat. Hanya matanya yang membalas sorotan Din. Dan Hajar kembali membuat perbandingan antara Din dan arwah Abang Fadhil.
Din memang segak berbanding arwah Abang Fadhil, tapi hati arwah Abang Fadhil jauh lebih 'segak'. Din kalah teruk.
"Saya bukan lelaki miang. Tolong buang fikiran tu dari kepala awak."
Ah Din, macam tahu-tahu saja apa yang berlegar dalam kepala Hajar sekarang. Hajar minta maaf sebab permintaan tersebut sulit untuk ditunaikan.
"Apa yang berlaku dalam bas hari tu, tak disengajakan. Saya tak bermaksud nak sentuh..."
Ayat Din putus. Jari telunjuknya menunjuk ke arah punggung Hajar. Naik merah muka Hajar menahan rasa segan yang tiba-tiba saja meraja.
"Sumpah, saya tak pernah buat kerja meraba."
Din sudah mengangkat kedua-dua belah tangannya. Suaranya juga semakin lama semakin kuat saja. Cukup untuk membuat bercupak pasang mata pelanggan di kafe tersebut memberi perhatian kepada mereka berdua.
"Saya tak tipu. Itu yang pertama. Terjadi pun sebab orang belakang saya tertolak saya ke depan."
Raut wajah Hajar berubah gelisah. Sekejap-sekejap dia melihat sekeliling kafe.
"Cara awak beri penjelasan macam nak seluruh pelanggan dekat kafe ni tahu. Awak sengaja nak malukan saya ke?"
Din ikut memandang sekeliling bila Hajar menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Baru sedar ada yang memberikan senyuman sinis padanya.
"Sorry, saya tak perasan suara saya kuat," luah Din kemudian. Suaranya perlahan, sehingga Hajar tidak mendengarnya.
"Saya harap awak faham dan sudi maafkan saya. Selagi awak anggap saya miang, perbincangan ni nanti akan jadi bias."
Barulah suara Din kembali normal. Tidak kuat dan tidak pula terlalu perlahan.
"Boleh awak maafkan saya? Bila isu raba tu selesai, baru kita beralih pada hal Aliff. Kita bincang baik-baik."
Hajar masih teragak-agak. Ayat 'kita bincang baik-baik' seperti pembohongan paling besar daripada Din. Tak mungkinlah Din hendak berbincang secara aman damai.
"Demi Aliff." Tegas suara Din. Haruslah Hajar mengaku, Din bijak menggunakan nama Aliff. Hajar menurut akhirnya. Begitu pun, air mukanya masih cuak.
"Saya maafkan awak."
"Okay, good. Kita tutup terus cerita pasal raba tu."
Hajar sekadar mengangguk. Sekarang dia menunggu buah perbincangan Din tentang hak penjagaan Aliff.
"Saya nak Aliff."
Sudah Hajar agak, Din takkan berkompromi dan perbincangan hari ini bukan dalam kategori perbincangan baik-baik. Perbincangan hari ini pasti ada petir dan guruhnya.
"Tak boleh. Aliff selesa dengan saya," bantah Hajar. Hajar takkan kalah demi Aliff. Kalau Hajar kalah, Hajar bakal hilang Aliff. Hajar belum sanggup hidup tanpa Aliff.
"Saya ayah saudara dia."
"Saya bonda dia."
"Bonda? Pembetulan. Awak cuma bekas emak tiri Aliff. Dan hubungan awak dengan Aliff putus bila arwah Abang Fadhil meninggal. Tolong hadam fakta ni elok-elok dan berhenti nak berebut Aliff dengan saya. Awak tak layak."
"Bukan awak yang tentukan saya layak atau tak."
"Baiklah, kita ikut cakap awak. Saya tak layak nak judge awak layak atau tak. Tapi kalau saya bawa kes ni ke mahkamah, awak kalah. Jadi lebih baik kita selesaikan baik-baik dekat sini. Kalau boleh, saya pun tak nak susahkan awak naik turun tangga mahkamah."
Terdiam Hajar bila Din membangkitkan usul mahkamah.
"Fikirlah baik-baik. Saya tahu awak dah cukup cerdik buat keputusan yang betul."
Hajar masih juga diam. Sebenarnya tubir matanya mulai panas, namun ditahan supaya air matanya tidak jatuh. Hajar enggan kelihatan lemah di depan Din. Hajar mesti kuat demi Aliff.
"Awak masih muda, Hajar. Baru tiga puluh tahun. Takkan awak nak rumitkan hidup awak dengan menyara satu anak kecil? Kalau anak kandung, mungkin tak ada masalah. Masalah sekarang, anak kecil tu cuma anak tiri awak. Dan ada yang lebih berhak untuk jaga anak kecil tu."
Din menunjukkan ke arah dirinya sendiri. Memberi penjelasan kepada Hajar bahawa dia yang sepatutnya menjaga Aliff.
"Aliff anak saudara saya. Saya yang paling dekat dengan dia selepas arwah Abang Fadhil."
"Awak belum kahwin, Din." Suara Hajar keluar juga akhirnya. Cara duduknya dibetulkan.
"Apa kaitan saya belum kahwin atau belum?"
Sedikit bengang nada suara Din. Hajar sedang mempersoalkan status bujangnya, pastilah Din melenting.
"Biasanya, orang yang belum kahwin ni tak tahu apa keperluan seorang anak kecil. Sebabnya orang bujang tak ada pengalaman jadi ayah. Lagipun Din, awak lelaki."
"Jadi awak cuba nak beritahu, lelaki bujang tak pandai jaga anak?"
Anggukan yang sangat berkeyakinan daripada Hajar sangat menjengkelkan.
"Saya tak kata semua, tapi majoriti lelaki yang belum kahwin tak pandai jaga anak kecil. Tak faham emosi anak kecil macam mana. Tak tahu nak layan kerenah anak kecil macam mana."
"Hajar, awak mesti ingat, awak cuma emak tiri Aliff. Jadi emak tiri pun tak sampai sebulan. Jadi jangan berlagak depan saya."
"Awak tak boleh cakap macam ni depan saya, Din. Situasi awak pun sama. Selama ni, awak dekat oversea. Kalau memang awak ada dekat sini, saya tak kesah sangat nak bertolak ansur dengan awak. Saya tak nak Aliff pincang kasih sayang sebab pak ciknya yang jaga. Pak ciknya pula belum berkahwin dan kebanyakan masanya habis dekat tempat kerja."
"Jangan gunakan pekerjaan saya. Awak pun bekerja juga, Hajar."
"Sekurang-kurangnya saya bekerja dekat taska tempat Aliff belajar. Saya lebih faham pasal Aliff."
Hajar menghela nafas panjang. Banyak yang mahu diluahkan. Biar Din lekas sedar dan lekas memberi persetujuan supaya Aliff berada di bawah jagaannya.
"Satu lagi, andai kata dalam waktu terdekat ni awak bertemu jodoh, macam mana dengan Aliff? Awak yakin isteri awak boleh terima Aliff?"
Terdengar tawa sinis Din. Kepalanya digelengkan berulang kali.
"Saya bertemu jodoh? Awak macam mana? Kalau tiba-tiba awak berkenan dengan seorang lelaki dan kemudian kahwin, apa jadi dengan anak saudara saya?"
"Jangan risau. Saya tak fikir langsung nak berkahwin. Tidak dalam masa terdekat ni atau dalam jangka masa panjang. Fokus utama saya sekarang hanya Aliff. Awak lain. Awak belum kahwin. Mesti akhirnya nanti, awak jumpa juga pasangan hidup awak."
"Pandailah awak putar belit, Hajar. Awak pusing-pusing supaya keadaan tak berpihak pada saya. Padahal, sitausi awak pun sama. Mungkin lebih teruk."
Berdesing telinga Hajar. Lima belas minit tadi, Hajar rasa Din seorang yang bertimbang rasa. Sekarang tidak lagi. Kata maafnya mungkin juga tak ikhlas. Lihatlah, ayat yang keluar dari mulutnya selalu saja menyakiti hati Hajar.
"Saya takkan serahkan Aliff pada awak. Takkan sekali-sekali saya benarkan Aliff tinggal dengan awak."
"Saya pun takkan berdiam diri. Saya akan pastikan Aliff dengan saya."
Keras bunyi keluhan Din.
"Awak jangan cabar saya, Hajar. Macam saya cakap awal-awal tadi, saya tak teragak langsung nak bawa kes ni ke mahkamah kalau kepala awak tu batu sangat."
"Kalau awak nak bawa kes ni ke mahkamah, silakan bawa."
Din menyandarkan tubuhnya. Sekarang dia sudah berpeluk tubuh. Roti di atas meja dan soya kurang aisnya sejak tadi tidak disentuh.
"Perbincangan ni takkan ke mana kalau kepala awak pun batu, Din. Saya harapkan toleransi awak dalam hal ni."
"Awak takkan dapat toleransi tu," tekan Din bersama suara yang sengaja dikeraskan. Wajahnya juga telah didekatkan dengan Hajar.
"Sampai bila-bila pun," bisik Din bersama sorotan mata helangnya.
"Kalau macam tu perbincangan ni dah tamat. Dah tak ada gunanya kita berbincang kalau pihak awak tak nak langsung berkompromi."
Hajar bangun. Beg bimbitnya diraih. Dia sudah bersedia untuk melangkah. Namun dia masih sempat meraih not dua puluh dan sepuluh ringgit dari dalam dompetnya.
"Saya belanja."
Sinis pandangan mata Din. Dan Hajar tidak peduli. Dia terus keluar dari kafe tersebut.
Din ikut mengeluarkan not yang sama dari dompetnya. Dia bangun sembari cashier dihampiri.
"Keep the change," beritahu Din setelah menyerahkan bayaran sebanyak enam puluh puluh ringgit.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co