Bab 9
"Hana sibuk tak hari ni?" soal Puan Sri Zaharah ketika mereka berdua sedang menikmati hidangan sarapan pagi.
"Sibuk juga." Sebiji madeleine dengan sos strawberi yang berada di atas meja dikunyah sambil matanya sibuk membaca semua e-mel dari telefon pintarnya.
"Sibuk dengan kerja atau Hana ada benda lain nak dibuat?"
"Dengan kerjalah. Mama juga kan yang nak semua lakaran rekaan itu segera?" Hana Zahirah merasa tidak selesa dengan soalan-soalan berkenaan. Dia masih lagi menjalankan mogok suara sebenarnya pada Puan Sri Zaharah.
"Baguslah kalau macam tu." Puan Sri Zaharah kelihatan menyuap sedikit peach cobbler yang terhidang di atas piring kecil di hadapannya.
"Mama dah kenapa? Mama nak tahu apa sebenarnya dari Hana?" Jarang sekali Puan Sri Zaharah bertanya sesuatu tanpa alasan.
"Tak ada apalah. Mama sekadar bertanya sahaja." Puan Sri Zaharah memandang lama wajah anaknya.
"Hana dah lambat ni. Hana keluar dulu." Hana Zahirah bangun dari meja makan mahal itu.
Dia meminta diri sebaik sahaja dia melihat kelibat Zhafran muncul di ruang tamu seperti selalu. Dia mahu segera beredar kerana ada janji temu sebelum menghadiri mesyuarat penting yang dijadual berlangsung pada pagi ini.
Kesemua pereka serta pekerja sokongan akan menghadiri mesyuarat ini bagi merombak semula rangka kerja bagi menggantikan hasil usaha mereka yang baru sahaja musnah pagi kelmarin.
"Fokus, Hana. Mama tak nak Hana hilang fokus. Letakkan komitmen Hana pada projek ini seratus peratus. Jangan sampai semua hasil usaha Hana musnah kerana perkara yang tak sepatutnya," pesan Puan Sri Zaharah pada Hana Zahirah sambil dia mengelap bibirnya dengan sehelai napkin.
"Apa maksud mama?" Langkah Hana Zahirah terhenti seketika. Dia seakan-akan terhidu sesuatu pada pesanan tersirat yang cuba dihantar mamanya.
"Pasangan yang salah, pekerja yang salah, pemimpin yang salah, fokus yang salah, keputusan yang salah serta matlamat yang salah," ucap Puan Sri Zaharah dengan tenang dan tersusun.
"Semua tu, boleh memusnahkan kerjaya dan kehidupan seseorang. Jangan lupa pesan mama." Memang benar Puan Sri Zaharah sedang menyampaikan sesuatu buat anaknya.
Puan Sri Zaharah mahu Hana Zahirah sedar bagaimana mahu memilih perkara yang mana perlu diutamakan dahulu kerana pada Puan Sri Zaharah, Hana Zahirah sedang keliru mahu memilih keutamaannya sendiri.
"Hana faham, ma." Hana Zahirah berlalu. Dia tidak mahu berlamaan dengan mamanya kerana pesanan yang ditujukan buatnya tadi sedikit sebanyak menimbulkan rasa gusar.
"Pasangan yang salah?" Ayat itu terngiang-ngiang di telinga.
"Mungkinkah? Tak mungkinlah." Hana Zahirah menggelengkan kepalanya. Hana Zahirah gerun mahu menebak maksud yang Puan Sri Zaharah cuba sampaikan kepadanya sebentar tadi.
"Sebastian Gutierrez dah hantar tempahan mama. Cantik tak?" Puan Sri Zaharah sempat bertanya dari kejauhan.
"Hmmm, cantik," jawab Hana Zahirah. Dia sudah tahu bagaimana rupa kasut-kasutnya tanpa perlu melihat dahulu.
Tangannya menyambut huluran kasut stiletto berjenama Sebastian Gutierrez daripada Danny. Danny merupakan perunding imej yang memang sudah sedia bertugas untuk dia dan mamanya di rumah mereka sejak lima tahun lalu.
"Koleksi terbaru kali ni, tak ada yang rendah sikit ke?" Hana Zahirah bertanya. Stiletto berwarna kuning cair itu sedikit sebanyak mengganggu moodnya.
Sebagai seorang pereka barang kemas yang perlu sentiasa berdiri, bergerak dan mengangkat barang, kasut sebegini memang langsung tidak praktikal tetapi selaku anak kepada Puan Sri Zaharah, kasut ini adalah satu elemen wajib. Disebabkan kasut inilah, Hana Zahirah seringkali berkaki ayam sahaja di dalam studionya. Di situ sahajalah Hana Zahirah mendapat kebebasan untuk membiarkan kakinya berada dalam keadaan selesa.
"Tak ada. Ini yang Puan Sri pilih sendiri. Katanya dia paling suka dengan rekaan ni," jawab Danny.
"Urghhh... I really wish to wear some sneaker or flat sometimes. This is terrible." Hana Zahirah merungut. Dia sudah penat menyarungkan kasut-kasut yang hanya cantik di mata bukan dalam hatinya.
"Kalau macam tu, Cik Hana perlukan ini. Tolong sorokkan. Pakai di bengkel sahaja tau, jangan pakai di sini." Sebuah kotak yang berada di tepi pintu dihulurkan perlahan oleh Danny kepada Hana Zahirah.
"Thanks mate." Hana Zahirah boleh meneka barang yang mengisi kotak berjenama Sebastian Gutierrez itu. Kotak berisi kasut berkenaan akan dikeleknya ke pejabat.
"Ini yang awak nak. Sebab tu saya seludup juga datang ke sini," jawab Danny tatkala melihat Puan Sri Zaharah berlalu ke biliknya.
Sepasang kasut bertapak rata yang juga merupakan rekaan terbaru sengaja disiapkan untuk Hana Zahirah. Kotak kasut yang dihulur sudah pun bertukar tangan namun fikiran Hana Zahirah masih lagi terarah kepada perbualannya dengan Puan Sri Zaharah sebentar tadi. Hana Zahirah jelas cuba menafikan apa yang sedang bersarang dalam fikirannya. Empat tahun dia mampu merahsiakan semua, tak mungkin mamanya dapat menghidu sesuatu sekarang.
"Kita nak ke mana?" Zhafran menyoal setelah dia memastikan Hana Zahirah sudah mengenakan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang.
"Studio," jawab Hana Zahirah pendek.
Dia dan Zhafran memang begitu. Memandangkan Zhafran bukanlah seorang yang peramah, Hana Zahirah turut sama menjadi pendiam. Dia tidak mahu rapat dengan sesiapa lagi. Cukuplah sekali dia rosakkan kerjaya bekas pengawal peribadinya. Hana Zahirah enggan lagi mengambil risiko.
"Baiklah." Zhafran mengambil beg yang dijinjing Hana Zahirah dan meneruskan tugasnya seperti selalu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co