Truyen3h.Co

KERNA AKU PERLU KAMU

Bab 7

karyaseni2u

"Hello," sapa Hana Zahirah perlahan di hujung talian.

"Hana sihat ke?" tegur Encik Yusuf bagi memulakan perbualan.

"Tak! Mama marah Hana hari ni. Dia tampar Hana guna surat khabar," adu Hana Zahirah. Seperti biasa, dia menjadikan telinga abahnya sebagai peti aduan.

"Apa yang tak kena? Kenapa Puan Sri boleh marah sampai macam tu?" Seperti biasa, Encik Yusuf dengan hati terbuka mendengar luahan anak asuhannya ini tanpa sebarang rungutan.

"Mama tu kan..." Aduan Hana Zahirah berlanjutan hampir setengah jam. Segalanya, semuanya diceritakan. Dari awal hingga akhir. Dia meluahkan segala-galanya pada abah yang sudah lama tidak ditemuinya.

"Abah, Hana takkan call abah selalu tau. Hana takut kalau mama dapat tahu nanti. Hana nak jumpa abah tapi mama tak bagi. Nanti kalau mama pergi luar negara, Hana sendiri pergi cari abah. Abah tunggu Hana tau," pesan Hana Zahirah.

"Abah tak pergi ke mana-mana. Abah akan terus tinggal di sini tapi kalau Puan Sri tak izinkan, Hana tak payahlah nak melawan cakap dia semata-mata sebab nak jumpa abah. Hana jangan risau, abah tahu Hana sayang abah tapi Hana kena dengar cakap mama Hana. Syurga di bawah tapak kaki ibu. Jangan lawan cakap dia," pesan Encik Yusuf panjang.

"Kalau tunggu mama izinkan, sampai bila-bila pun kita takkan jumpa lagi, abah. Kenapa? Abah tak nak jumpa Hana ke?" Hana Zahirah merajuk.

"Bukan abah tak nak jumpa Hana tapi Hana kena dengar cakap Puan Sri. Dia tahu apa yang terbaik untuk Hana. Kita boleh berbual dekat telefon pun dah cukuplah. Tak baik lukakan hati mama sendiri. Hana faham, kan?" pesan Encik Yusuf. Dia tidak mahu Hana Zahirah bertindak di luar batas hanya untuk bekas pengawal tua sepertinya.

"Hmmm, Hana faham." Dia tahu yang dia sedikit tamak. Sudah diberi betis tapi mahukan paha pula.

"Kalau ada apa-apa, abah call Hana tau. Hana takkan tukar nombor telefon Hana." Hana Zahirah sempat menitipkan pesan sebelum perbualan mereka diputuskan. Sungguh dia merasa cukup lega. Lega apabila dapat mendengar suara abahnya, lega apabila dapat mendengar perkhabaran dari abahnya.

"Tak payah bangun. Kamu semua boleh sambung buat kerja. Saya nak jumpa bos kamu sekejap sahaja," ujar Faiz Izzudin yang tidak mahu mengganggu para pereka yang sedang bertungkus lumus dengan kerja mereka.

Tanpa sebarang pemberitahuan, Faiz Izzudin muncul di depan pintu Studio Regalia Jewellery kerana mahu bertemu adiknya, Hana Zahirah. Walaupun dia sibuk dengan tugasnya selaku Ketua Pegawai Operasi Regalia Group, dia merasa yang dia perlu bertemu dengan adiknya hari ini.

"Boleh abang masuk?" soal Faiz Izzudin meminta izin walaupun pada hakikatnya dia sudah pun menjengah ke dalam.

"Kenapa datang tak cakap? Masuklah." Hana Zahirah tersenyum sendiri. Kehadiran abangnya langsung tidak diduga. Rasanya sudah beberapa minggu mereka berdua tidak bertemu muka kerana kesibukan masing-masing.

Botol ubat yang baru sahaja ditutup. disimpan di dalam laci mejanya. Bimbang juga dia jika abangnya dapat tahu yang selama ini dia mengambil pil-pil berkenaan. Hana Zahirah tidak mahu sesiapa pun dalam ahli keluarganya tahu mengenai pil-pil yang diambilnya.

"Abang nak minum apa?"

"Tak nak minumlah. Abang dah minum tadi."

"Dengan siapa?"

"Abang baru saja brunch dekat Bukit Antarabangsa tadi. Mesyuarat di sana dengan pembekal baru." Faiz Izzudin menanggalkan kotnya di kerusi lalu mendekati adiknya. Sebotol jus tomato organik yang dibelinya disuakan kepada Hana Zahirah.

"Bukan selalunya pegawai abang sahaja ke yang pergi jumpa pembekal? Kenapa pula abang yang pergi hari ni?" Hana Zahirah hairan.

"Well, if you talk about supplying raw diamond daripada lombong baru, of course abang nak ambil tahu semua. Kos beratus juta, Hana," jawab Faiz Izzudin sambil dia membetulkan tali lehernya.

"Ya ke? Pembekal dari mana?"

"Dari Tajikistan. Mereka buka lombong baru di Gunung Pamir. Belum muktamad lagi. Kita tengok dulu sama ada kualiti dan kuantiti yang mereka boleh sediakan untuk kita sesuai dengan harga atau tidak."

"Batu permata jenis apa?"

"Jeremejevite. $2000 per carat dalam pasaran."

"Yang sudah diproses atau belum diproses?"

"Yang sudah diproses.

"Boleh tahan jugalah kalau hanya $2000 per carat. Lagipun Jeremejevite ada banyak warna juga, kan? Mudahlah kerja kami dekat studio ni nak pelbagaikan rekaan."

"Ada tiga warna. Warna putih jernih, kuning dan biru."

"Tapi Regalia kan dah sememangnya ada pembekal untuk Jeremejevite?"

"Ada. Dulu kita ambil bekalan dari lombong Jalan Eiffle dekat Jerman tapi lombong mereka dah tak mampu nak tampung permintaan kita," terang Faiz Izzudin.

"Lagipun mereka cuma boleh bekalkan Jeremejevite yang putih jernih sahaja. Jadi, abang buat keputusan untuk ikat kontrak dengan lombong baru," tambahnya lagi.

"Owh."

"Lupakan ajalah pasal pembekal tu semua. Cukup-cukuplah kita cakap pasal mesyuarat abang. Hana macam mana? Worse day ever, kan?" Soal Faiz Izzudin.

"Abang dah tahu ke?"

"Apa sahaja yang terjadi dalam Regalia Group, abang tahulah." Faiz Izzudin memegang tangan Hana Zahirah.

"Hana tak ada apa-apalah. Abang tak perlu bimbang. Sekarang ni, Hana cuma ada banyak sangat benda nak kena buat balik. Itu sahaja." Hana Zahirah berterus terang.

"Kenapa tak call abang? Kita boleh fikirkan jalan penyelesaian sama-sama. Or at least cari jalan nak kelentong Puan Sri Zaharah kita tu." Faiz Izzudin bergurau bagi menceriakan adik perempuannya yang baru sahaja dibambu ibunya.

"Tak sempat nak buat apa-apa pun, mama dah tahu dulu. Dahsyatlah, Diane. Semua benda dia tahu." Sempat lagi Hana Zahirah memuji pembantu peribadi Puan Sri Zaharah yang selama ini bertanggungjawab mengesan dan menyampaikan apa sahaja perkara berkaitan dengan Regalia Group saban hari.

"Sebab itulah dia mampu jadi pembantu mama selama lima tahun dah. Kalau orang lain, dah lama cabut lari. Abang pun baru dapat tahu pasal artikel tu daripada mama. Perkara ni tak sepatutnya terjadi, Hana."

"Mama cakap apa dekat abang?" Hana Zahirah sekadar bertanya. Dia pasti yang mamanya sudah menyampaikan apa yang berlaku kepada abangnya.

"Macam biasalah. Hana tahu kan perangai mama macam mana? Mama ada mengamuk sikit tadi memandangkan projek bridal gown dia pun terkena tempias juga. Nak kena tukar beading la, warna apa semua untuk dipadankan dengan tema baru yang Hana nak buat nanti."

"Tolonglah Hana abang, jangan ingatkan Hana pasal mama. Semua masih dalam kawalan Hana sekarang kecuali mama. Sakit kepala Hana dibuatnya." Hana Zahirah menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Ala... Biasalah la tu, kes tiru meniru ni bukan kes baru dalam bidang ni. Lagipun team Hana ada masa lagi nak rancang semua balik." Faiz Izzudin cuba memujuk.

"Mama ada datang sini tak?" Faiz Izzudin teringatkan mamanya.

"Tentulah dia datang, tapi dia datang sekejap aje."

"Dia hubungi abang berpuluh kali sejak dari pagi asking about those article. Macam mana maklumat boleh bocor semua sekali macam tu?"

"Salah seorang pekerja Hana buat silap. Tapi Hana tak cakap dengan mama pun. Biarlah, Hana malas nak panjangkan cerita."

"Hana cakap apa dekat mama?"

"Hana cakap yang e-mail Hana kena godam. Abang tahu mama macam mana, kan? Dia mengamuk teruk. Dia tampar Hana." Hana Zahirah menghela nafas panjang.

"What? Bila?" Bulat mata Faiz Izzudin. Dia agak kesal dengan mamanya yang kadangkala melampau dalam tindakan terutama pada Hana Zahirah. Bukan sekali dua Hana Zahirah dilayan sebegitu.

"Masa dia mengamuk tadi. Depan semua orang." Hanya Faiz Izzudin yang dia ada untuk meluahkan rasa hatinya kerana dia tidak mahu mengganggu Iyad Zaim.

"Tengok sini pipi tu." Faiz Izzudin bangun mendekati Hana Zahirah. Pipi Hana Zahirah diteliti. Sungguh dia kesal dengan apa yang terjadi.

"Kita pergi klinik nak?" ajak Faiz Izzudin tatkala melihat wajah adiknya yang berbirat kemerahan.

"Sikit ajalah. Tak luka pun. Tapi kebas jugalah," Jawab Hana Zahirah. Sememangnya penampar dari surat khabar kiriman mamanya itu masih sedikit pijar apabila disentuh.

"Abang rasa mama kita kena jumpa doktor la. Baran tu semakin hari semakin teruk." Faiz Izzudin langsung tidak berkenan dengan apa yang dilakukan Puan Sri Zaharah. Hana Zahirah tidak sepatutnya diperlakukan sehingga begitu sekali.

"Entahlah. Mama macam tak suka Hana. Everything and anything. Semua salah, semua tak betul."

"Janganlah cakap macam tu. Mama sayangkan Hana sebab tu dia nak semuanya sempurna. Projek ini adalah projek Hana," pujuk Faiz Izzudin. Bukannya dia tidak tahu mengenai sikap overprotective ibunya pada Hana Zahirah yang kadangkala sedikit menakutkan. Hana Zahirah terlalu dilindungi oleh mamanya.

"For mom, this projek mesti tiada cacat cela tapi abang memang tak setuju langsunglah bila dia tampar Hana macam tu. Tak apa, nanti abang cuba cakap dengan mama," tambah Faiz Izzudin yang mengesan nada rajuk dalam luahan Hana Zahirah sebentar tadi.

"Tak perlulah, abang. Benda dah jadi pun. Nak cakap lebih-lebih pun dah tak guna. Hana bukan minta abang cakap dengan mama pasal tu. Hana cuma nak mengadu aja. Semua orang dekat luar buat muka kesian pada Hana sekarang ni." Hana Zahirah ketawa kecil.

"Berbalik pada isu tadi, abang dah arahkan jabatan perundangan untuk mulakan siasatan dalaman. Kita akan buat aduan di balai dan saman Yoko Diamond. Hana tak perlu fikir banyak soal Yoko Diamond, abang akan uruskan semua. Just put hundred percent of your focus on this project alone," ujar Faiz Izzudin. Sudah lama dia berkecimpung dalam bidang ini dan dia yakin yang Regalia berhak mempertahankan hasil ciptaan mereka yang seenaknya dicuri Yoko Diamond.

"I know that I am not at liberty to stop you but can you just put this case aside for me?" Perlahan sahaja Hana Zahirah menyuarakan permintaannya. Dia benar-benar enggan memanjangkan kes ini ke peringkat yang lebih rumit.

"Apa? Hana pasti?" Terkejut Faiz Izzudin dengan permintaan adiknya ini.

"Hana tak nak bawa kes ini ke mahkamah." Hana Zahirah faham benar dengan reaksi Faiz Izzudin yang kelihatan terkejut dengan permintaan mengarutnya.

"In case if Hana tak tahu, abang nak jelaskan yang tindakan Hana membiarkan Yoko Diamond terlepas macam tu sahaja akan menyebabkan Regalia Group dipandang mudah, terutama sekali oleh Yoko Diamond. Kita dah rugi masa, tenaga dan sebahagian dana yang Hana sendiri tahu betapa besar jumlahnya," terang abangnya.

Faiz Izzudin agak tidak bersetuju dengan keputusan Hana yang seolah-olah mahu membiarkan sahaja mereka 'dibuli' oleh pesaing sendiri.

"Mereka mungkin akan ulang lagi benda yang sama," tambahnya lagi.

Politik di dalam dunia perniagaan sebenarnya terlalu kotor terutama pada yang baru sahaja berjinak di dalam bidang ini. Namun, Regalia Group bukan syarikat baru, Yoko Diamond bukan lawan mereka sama ada di dalam industri mahupun di mahkamah.

"Hana tahu semua tu, tapi cuba abang tengok pereka-pereka kita di luar sekarang. Semuanya bekerja keras untuk projek ni. Kalau kita bawa kes ni ke mahkamah, mama akan tahu semua. Dia akan tahu yang Hana tipu dia dan dia akan cari pereka yang bocorkan semua maklumat ni sampai ke lubang cacing. Hana cuma nak lindungi salah seorang pekerja Hana." Hana Zahirah faham benar dengan apa yang sedang diperkatakan oleh abangnya.

"Ya, dia buat silap besar tapi dia masih muda, baru belajar nak survive dalam bidang ni. Hana tak nak nanti, dia kena pecat disebabkan hal yang macam ni. Abang tahu kan, selama ini takkan ada syarikat yang sudi terima lagi pereka yang dipecat Regalia Group. Hana tak nak musnahkan masa depan dia." Hana Zahirah mahu abangnya mengerti.

"Macam mana dengan mama? Macam mana dengan ahli lembaga pengarah? Macam mana kita nak jelaskan semua?" soal Faiz Izzudin.

"Hana tak tahu. Abang cakap abang nak tolong Hana kan tadi? Tolonglah uruskan mereka untuk Hana. Boleh?" Mata Hana Zahirah dikelip-kelip mohon simpati. Dia sengaja mengambil kesempatan dengan mempamerkan wajah yang paling sendu sekali pada Faiz Izzudin.

"Hana memang pandai ambil kesempatan, kan?" rungut Faiz Izzudin sambil menggelengkan kepala. Rintihan Hana Zahirah yang hanya bermodalkan wajah sendu itu berjaya membuatkan abangnya beralah.

"Boleh tak?" soal Hana Zahirah yang mahukan jawapan dari Faiz Izzudin.

"Abang tolong Hana kali ini. Tapi lain kali kalau benda macam ni jadi lagi, abang akan pastikan kes ini dibawa ke peringkat tertinggi. Tak ada alasan lagi. Faham tak?" Faiz Izzudin berlembut. Seperti biasa, dia akan kalah dengan rayuan Hana Zahirah. Sukar bagi dia menolak permintaan adiknya apatah lagi memikirkan yang Hana Zahirah bertindak begitu demi pekerja bawahannya sendiri. Faiz Izzudin melihat satu sisi matang Hana Zahirah di situ. Sebagai abang, dia berbangga dengan keputusan yang dibuat Hana Zahirah.

"Terima kasih, abang. Benda macam ni takkan berulang lagi. Hana Zahirah janji," jawab Hana Zahirah girang.

"Sempat ke nak siapkan semua?" soal Faiz Izzudin memandangkan kesemua hasil usaha yang mereka lakukan sebelum ini sia-sia.

"Ada banyak juga lakaran yang kami buat sebelum ini. Malangnya lima dah dikebas Yoko Diamond. Hana akan nilai semula himpunan lakaran yang ada dalam simpanan. Buat pembetulan apa yang patut. Tak lama pun masa yang akan kami ambil untuk buat susunan semula. Lagipun, kami masih berada di peringkat awal projek, insya-Allah Hana akan pastikan semua siapa mengikut permintaan mama." Hana Zahirah sedang meyakinkan dirinya sendiri.

"Baguslah kalau macam tu. Kalau rasa perlukan apa-apa nanti, Hana beritahu abang. Abang tolong apa yang patut," janji Faiz Izzudin.

"Hana bersyukur sangat ada abang. I need someone to talk to and today here you are." Hana Zahirah benar-benar gembira dengan kehadiran abangnya. Walaupun jarang dapat luangkan masa bersama kerana kesibukan kerja, Hana Zahirah tahu yang abangnya sering ada untuknya.

"Hana boleh telefon abang kalau ada apa-apa. Jangan pendam sendiri. Hana selalu pendam semua sorang-sorang. It's not a good habit. Kalau abang tak ada, telefonlah kak Soraya. Dia tak sibuk sangat."

"Jangan risau la, Hana dah besar untuk uruskan benda macam ni. Hana janji kalau ada apa-apa nanti Hana cakap."

"Cakap tau! Jangan simpan semua sendiri. Abang nak balik rumah dulu. Lunch dengan Kak Soraya. Hana nak ikut?"

"Boleh juga."

"Jom."

"Kejap, nak jumpa my bodyguard dulu."

"Yang baru ke?" Kedua-dua beradik itu berjalan beriringan keluar.

"Kenalkan, ini Zhafran dan ini abang saya." Hana Zahirah memperkenalkan mereka berdua secara ringkas.

"Saya Faiz Izzudin." Faiz Izzudin menghulurkan tangannya.

"Saya Khairil Zhafran." Zhafran menyambut huluran tangan anak sulung majikannya ini.

"Awak tak perlu ikut saya hari ni. Saya keluar lunch dengan abang saya. Sekejap lagi saya balik. Awak boleh keluar lunch sendiri," pesan Hana Zahirah sebelum berlalu pergi dengan abangnya.

"Macam mana? Hana boleh terima tak pengawal baru tu?"

"Well buat masa sekarang, tak ada masalah. Perkataan paling panjang yang pernah dia cakapkan dengan Hana rasanya tak sampai sepuluh patah perkataan pun."

"Sepuluh sahaja? Serius? Dah berapa lama dia kerja dengan Hana?"

"Yup. Dua minggu dah. Sangat pendiam."

"Dah dua minggu. Abang rasa ada jongkong emas agaknya dalam mulut dia, Hana. Cuba nanti Hana suruh dia buka mulut luas-luas. Mana tahu, boleh kita ikat perjanjian usaha sama." Faiz Izzudin berseloroh sambil ketawa mengekek.

"Mengarutlah abang ni." Hana Zahirah menunjal bahu abangnya yang suka benar mengarut.

"Tapi bagus juga kalau pendiam. Dapat yang banyak sangat cakap pun leceh juga. Kalau mama yang cari, abang rasa memang takkan ada masalah timbul." Faiz Izzudin jelas tidak bimbang kerana selama ini pilihan yang dibuat mamanya tidak pernah silap.

"Hana tak tahu, tak berani nak jamin apa-apa." Hana Zahirah perlukan lebih masa untuk menilai Zhafran seadilnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co