Bab 8
BMW X6 M milik Hana Zahirah yang sedang dipandu Zhafran kelihatan memperlahankan kelajuan bagi melepasi pondok keselamatan. Pukul sebelas setengah malam barulah mereka berdua sampai ke rumah agam mewah tiga tingkat yang terletak di atas tanah persendirian seluas lima hektar di kawasan Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Rumah agam seluas sepuluh ribu kaki persegi ini telah menjadi lambang kemegahan dan kekayaan keluarga Tan Sri Kamarul Bahrin iaitu pengasas Regalia Group, syarikat perlombongan batu permata serta pengedar produk barang kemas dan beberapa produk lain.
Rumah agam ini dibina serba lengkap, mewah dan sempurna. Sesiapa sahaja yang masuk akan disambut oleh pintu gerbang berwarna emas setinggi tujuh meter, pagar konkrit setinggi tiga meter yang dikawal oleh pengawal bersenjata di setiap penjuru dan deretan lampu neon bercorak bunga tulip memancarkan cahaya sepanjang jalan.
Tasik buatan manusia, rumah tamu dua tingkat, rumah para pekerja, rumah hijau untuk tanaman hiasan eksotik milik Puan Sri Zaharah pula terletak di bahagian utara. Di bahagian selatan terdapat pula kandang kuda yang menempatkan lima ekor kuda dari baka Friesian, Thoroughbred dan American Quarter Horse yang dijaga rapi oleh doktor veterinar.
Kawasan hadapan pula dilengkapi dengan air pancuran tinggi yang dihias lampu berwarna-warni. Selain itu, 'istana' ini turut dilengkapi dengan kolam renang yang berada di atas bumbung, garaj yang memuatkan lapan buah kereta mewah termasuklah Rolls-Royce Phantom, Bentley Mulsanne, Bentley Bentayga, Jaguar XJ dan Hummer milik Faiz Izzudin.
Sesiapa pun yang memandang, tidak perlu melihat keadaan rumah, pintu gerbangnya sahaja sudah cukup untuk menggambarkan betapa gahnya pemilik rumah agam yang dibina oleh Al Arsh Developer iaitu sebuah syarikat perumahan yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu.
Rumah ini turut mendapat sentuhan dekorasi ala Inggeris klasik daripada Syarikat Casa Del Mar dari United Kingdom. Lampu chandelier mewah bertatahkan batu permata yang dilombong oleh Regalia Mining, tembikar antik berusia ratusan tahun, lukisan-lukisan karya pelukis terkenal termasuklah Youseff Hussaini, Florentine Guzman dan Deborah Olsen terlihat sedia menjamu mata yang memandang. Beberapa buah arca kaca karya Ursula Agnihotri turut kelihatan megah berdiri di sudut rumah. Setiap satu inci ruang rumah ini dilengkapi dengan taburan kemewahan.
Zhafran yang baru sahaja mematikan enjin kereta mengalihkan pandangannya ke belakang. Wajah Hana Zahirah yang sedang nyenyak tidur kelihatan langsung tidak terkutik dek terlalu penat setelah sehari suntuk bekerja. Setelah hampir sepuluh minit berlalu, Zhafran mengambil keputusan untuk keluar dan mengejutkan Hana Zahirah.
"Saya boleh angkat sendiri," ujar Hana Zahirah tiba-tiba. Hana Zahirah terjaga dari tidurnya apabila Zhafran membuka pintu kereta. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia boleh tertidur dengan begitu mudah dan nyenyak sekali di dalam kereta.
Hana Zahirah menghabiskan masa hampir dua jam memilih buku-buku berkaitan barang kemas yang diperlukannya untuk mencari inspirasi sambil ditemani oleh Zhafran. Buku-buku ini amat diperlukan bagi membantu mencetuskan inspirasi baharu untuk projeknya yang tergendala.
"Saya angkatkan," jawab Zhafran ringkas dan padat. Sukar sebenarnya bertugas sebagai pengawal Hana Zahirah memandangkan semua benda mahu dilakukan sendiri oleh gadis ini.
Kotak yang sudah pun dipegang oleh Hana Zahirah bertukar tangan dan dibawa masuk ke dalam rumah. Hana Zahirah yang tidak sempat menghalang Zhafran daripada mengangkat kotak itu hanya mampu memandang dan mengekori langkah Zhafran dari belakang.
"Nak letak di mana?" Zhafran sekadar bertanya.
"Dalam bilik saya, di atas. Bak sini kotak tu pada saya, saya angkat sendiri." Hana Zahirah seakan enggan membiarkan Zhafran masuk ke biliknya.
"Hana dah balik?" sapa satu suara dari ruang makan.
Suara Puan Sri Zaharah bergema di ruang tamu tiba-tiba membantutkan niat Hana Zahirah untuk membawa sendiri buku-buku yang dibawanya tadi. Hana Zahirah tercengang mendengar teguran mamanya. Sebolehnya dia tidak mahu bertemu muka dengan mamanya hari ini mengenangkan apa yang terjadi pagi tadi.
"Kenapa balik lewat sangat? Hana dari mana? Mama tunggu Hana sejak dari tadi lagi tau." Puan Sri Zaharah mendekati Hana Zahirah yang sedang tercegat di depan tangga. Zhafran pula dilihat sedang memanjat tangga dengan menjinjing sesuatu.
"Kerja. Hana balik dari studio," jawab Hana Zahirah pendek.
Dia hanya memandang sahaja batang tubuh Zhafran yang sedang memanjat tangga menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas. Lelaki itu pergi tanpa sebarang kata meninggalkan Hana Zahirah dengan mamanya.
"Maaf Puan Sri, makanan dah sedia dihidangkan," celah ketua pembantu rumah yang sememangnya bertugas untuk memantau segala aktiviti di dalam rumah ini.
"Jom makan. Cef Amri dah sediakan manisan untuk kita. Mama suruh dia sediakan makanan kegemaran Hana." Puan Sri Zaharah mendekati Hana Zahirah yang sedang berdiri di tengah-tengah rumah. Cef Amri merupakan seorang pakar masakan peribadi keluarga ini yang sudah hampir sembilan tahun berkhidmat.
"Hana tak lapar. Hana nak naik atas rehat." Hana Zahirah mahu masuk ke biliknya segera. Dia tiada mood mahu makan sekarang.
"Takkan mama nak makan seorang diri? Jomlah kita makan sekali." Puan Sri Zaharah memancing perhatian daripada Hana Zahirah.
"Hana mengantuk ma, mandi pun belum lagi," jawab Hana Zahirah. Dia langsung tidak berselera mengingatkan apa yang terjadi antara dia dengan mamanya di studio hari ini.
"Hana ni kenapa? Takkanlah pasal benda kecil di studio tadi Hana nak mogok dengan mama?" Puan Sri Zaharah kelihatan beria-ia mahukan respons yang lebih mesra daripada Hana Zahirah. Dia tidak mahu Hana Zahirah bermasam muka dengannya lama-lama.
"Hana tak nak cakap lagi tentang apa yang terjadi di studio tadi." Hana Zahirah enggan mendengar apa-apa.
Setiap kali mereka bertingkah, setiap kali ada salah faham, mamanya pasti akan mengambil jalan mudah dengan menganggap seolah-olah tiada apa yang terjadi. Langsung tiada kata maaf, langsung tiada perbincangan, langsung tiada toleransi, langsung tiada rasa bersalah malah langsung tidak menunjukkan minat untuk tahu apa yang dirasai Hana Zahirah.
Semuanya, segalanya, setiap satu mesti mengikut cara dan kehendak mamanya. Keadaan inilah yang seringkali mengganggu emosi Hana Zahirah. Tubuhnya, dirinya, jiwanya, hatinya, dari kepala hingga ke hujung kaki. Semua sekali seolah-olah mula menjadi milik mutlak Puan Sri Zaharah.
"Tak apalah. Mama pun tak nak makan. Penat mama tunggu Hana sejak dari tadi. Mama cuma nak Hana temankan mama makan sahaja. Bukannya susah sangat pun." Puan Sri Zaharah sedikit terasa. Hana Zahirah terlalu beku dengannya pada malam ini.
"Jomlah, kita makan." Hana Zahirah menyerah kalah. Walaupun ajakannya itu turut diiringi dengan satu keluhan berat.
Hana Zahirah meraup wajahnya yang kepenatan beberapa kali. Matanya yang sudah pun boleh ditongkat lidi cuba disegarkan dengan menarik nafas panjang. Dia ternyata tidak boleh membantah kerana dia tahu yang mamanya akan tidur dengan perut kosong jika dia enggan makan sekali. Jarang sekali Hana Zahirah punya pilihan sendiri. Hatta mahu menyumbat makanan ke mulut sendiri pun Hana Zahirah perlu mendengar kata mamanya.
"Jom." Puan Sri Zaharah menggapai tangan Hana Zahirah.
Mereka berdua berjalan menuju ke ruang makan. Itulah kali pertama pada bulan ini mereka berdua makan bersama. Puas hati Puan Sri Zaharah tatkala melihat Hana Zahirah menyudukan makanan ke mulutnya walaupun anaknya masih memilih untuk mengunci mulut.
Zhafran pula sudah pun turun ke ruang tamu. Dia sempat menyaksikan sendiri gelagat kedua-dua anak-beranak ini. Pelik benar dia dengan Hana Zahirah.
Sepanjang dia bertugas menjaga anak-anak orang kaya selama ini, Hana Zahirah adalah seorang yang paling unik pernah dijaganya. Walaupun ditampar di hadapan semua pagi tadi, Hana Zahirah masih lagi boleh duduk semeja menjamu selera dengan Puan Sri Zaharah hanya untuk menjaga hati mamanya malam ini. Tidak seperti anak-anak orang kaya yang lain, Hana Zahirah langsung tidak mengamuk, langsung tidak membantah. Malah, masih boleh lagi cuba mengawal riak wajahnya.
Pernah suatu ketika, semasa Zhafran berkhidmat di Australia, anak majikannya membakar sejumlah besar wang tunai hanya kerana papanya tersilap membelikan kereta mewah kegemarannya. Pernah juga sekali, isteri majikannya memecat kesemua tujuh belas orang pembantu rumah hanya kerana seekor kucing kegemarannya keluar dari sangkar dan merayau di luar rumah.
Paling diingati Zhafran adalah apabila anak kedua majikannya dihumban ke penjara Qatar Central Prison akibat membunuh seorang pekerja hotel yang enggan tidur dengannya.
Kejadian itu berlaku ketika Zhafran bertugas menjaga anak pertama majikannya. Menurut keterangan saksi, mangsa dihentak dengan botol minuman keras dan kemudiannya ditembak di dada sebanyak dua kali.
Kejadian-kejadian seperti ini sering terjadi dan disaksikan oleh para pengawal peribadi yang bertugas menjaga mereka. Kadangkala ada juga pengawal peribadi yang dipaksa menanggung kesalahan yang dibuat oleh majikan mereka. Disebabkan hal inilah yang membuatkan ramai pengawal peribadi mempunyai pandangan yang hampir sama mengenai cara hidup orang-orang kaya yang dianggap keterlaluan, penuh dengan 'sampah sarap' yang angkuh, sombong, gila dan tamak.
Tapi tidak dengan Hana Zahirah, dia memilih untuk bermesyuarat dengan rakan sekerja, keluar makan dengan Faiz Izzudin, kembali membuat lakaran projek dan membaca buku sahaja hari ini. Langsung tiada riak marah, yang ada cuma kesan merah di pipi dan sekilas kerutan di dahinya mungkin kerana kecewa dilayan begitu oleh Puan Sri Zaharah. Sangat 'rare' sebenarnya sikap ini pada Zhafran.
Namun sikap 'rare' Hana Zahirah ini tidak setanding dengan sikap Puan Sri Zaharah. Dengan mata kepala sendiri Zhafran melihat bagaimana Puan Sri Zaharah boleh bertukar-tukar watak. Tenang, dingin, baran, mesra, penyayang, memaksa. Semua sikapnya ini boleh datang dan bertukar dalam sekelip mata. Adakala dia adalah mama yang paling baik dan tiba-tiba boleh bertukar menjadi mama yang menampar anaknya sendiri di hadapan semua. Hanya Faiz Izzudin sahaja yang kelihatan normal di dalam keluarga ini.
Entahlah, Zhafran enggan menyimpulkan apa-apa memandangkan dia baru sahaja bertugas tidak sampai sebulan. Banyak lagi yang akan dilihatnya kelak bagi mengenal Hana Zahirah dan orang-orang di sekelilingnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co