Truyen3h.Co

Love Riddles

Bab 13

karyaseni2u

Pagi ini Naural bangun awal. Nak mulakan hari baru dengan azam baru. Azam baru. Belajar. Tak nak fikir pasal lelaki lagi. Dia tak nak luka semalam, terbuka lagi.

"Morning, Dila."

"Morning. Awal kau bangun. Dah okey tak ni?"

Naural senyum. "Aku dah okeylah, aku dah tak nak ingat semua tu lagi. Aku dah tak nak jadi lemah macam semalam. Kau pun tahu dulu aku teruk kan, sampai kuiz pun banyak dapat telur ayam. Kalau mama aku tahu mesti dia sedih. So, kali ni aku nak berusaha betul-betul cover balik result dulu-dulu."

Dila tepuk bahu Naural. Akhirnya... Inilah Naural kawan dia.

"Aku kan ada. Walaupun aku ni tak adalah pandai mana. Tapi selagi mampu, aku akan cuba tolong kau."

"Thanks, Dila. Aku ingat nak peluk tadi, tapi ada bau busuk pula tiba-tiba. Kau tahu tak dari mana datang?" Sengaja dia dekatkan hidung ke arah Dila.

Mata Dila membuntang.

"Kau nak cakap aku busuklah ni, kan? Jahatlah kau Naural, tak baik buli aku insan yang tak berdaya ni."

"Poyo la kau! Tapi memang busuk pun."

Dua-dua tergelak sebelum tiba-tiba gelak Naural mati. Baru teringat ada sesuatu yang dia nak tanya tadi.

"Dila, berapa harga ubat tu?"

"Ubat? Ubat apa? Aku pun selama ni manalah pernah beli apa-apa ubat. Selalu ambil free aje." Kepala digaru. Makin serabai jadinya rambut Dila ni. Naural yang tengok dah menggeleng.

"Ubat demam aku hari tu. Ada dalam empat peket atas meja aku. Aku nak bayar balik ni. Berapa?" Dompet dah sedia. Tahu tu bukan ubat PK, sebab tak ada lambang universiti pun atas tu. Persendirian punya ni.

Lama Dila fikir. Ubat? Ubat apa ni?

"Ohhh... Ubat tu. Tu free ajelah, Naural. Tak payah bayarlah, ada yang kasi. Dia letak depan bilik kau masa tu."

Muka Naural blur. Ada yang kasi?

"Siapa? Aku rasa kau aje yang tahu aku demam masa tu. Takkan ada tiba-tiba pula yang letakkan? Misteri ni."

"Aku pun tak tahu siapa, Naural. Masa aku nak keluar dari bilik kau, memang dah nampak bungkusan tu. Hah! Kalau kau tak percaya, tengok dalam laci meja kau tu. Ada kertas yang dia selitkan sekali masa bagi ubat tu. Kau bacalah." Mulut ditutup. Mengantuk lagi ni.

"Okey, yang kau ni mengantuk sangat kenapa? Dahlah tu, Dila. Pergi mandi segarkan badan kau."

"La... Tak naklah, Naural. Bukan nak buat apa-apa pun hari ni. Aku nak tidur balik ni. Tak ada kerjalah. Bosan!"

"Eh? Eh? Tak boleh... Tak boleh. Kejap, ada kerja khas untuk kau." Tangan Dila ditarik, halang dia dari masuk tidur balik. Ni memang tujuan utama dia cari Dila tadi. Hal ubat tu lupakan kejaplah.

"Apa lagi ni, Naural? Kaunter pertanyaan atau pertolongan dah tutup, okey? Lain kalilah. Esok ke. Malam nanti ke." Dia memang malas ni. Tadi pun susah sangat nak bangun, tapi terfikirkan pasal Naural ni digagahkan diri juga. Nampak sekarang Naural dah okey, tu yang nak sambung tidur balik.

"Kejaplah. Memang perlu sangat pertolongan kau ni." Naural berlari masuk ke bilik dia. Bukannya jauh sangat pun. Tu pun nak lari juga. Gimik aje lebih. Tapi bersyukurlah, Naural ni dah kembali.

Dila tunggu juga. Dengan muka bosan dia tu, berdiri bersandar pada pintu. Malasnya.

"Ni dia. Kau tolong sedekahkan jaket ni dekat sesiapa boleh tak? Bagi aje mana-mana orang susah. Asalkan bagi."

"Hah? Sedekah? Nak aku buka kaunter sedekah pula ke?" Jaket yang diserahkan diambil juga. Macam pernah nampak aje jaket ni dulu. Naural pernah pakai, kan?

"Siapa punya ni? Jangan cakap lelaki tu..." Boleh teka rasanya.

"Betullah tu. Aku tak nak simpan dah semua barang yang dia bagi. Buat kepala aku makin sakit aje nanti fikirkan hal lepas. Aku nak lupakan semua tu." Azam baru.

Dila senyum. Betullah, inilah Naural yang dia kenal.

"Betul ni? Tak menyesal?" Sengaja nak duga Naural tu. Tergelak dia tengok muka Naural yang jelas memang tak puas hati.

"Betullah. Buat apa nak menyesal pula? Benda ni bukan untuk dikesalkanlah Dila, ni semua untuk dilupakan. Tak guna pun aku nak simpan lagi, kalau boleh semua memori ni pun aku nak buang. Tapi mustahil kan, so aku mulakanlah dengan jaket ni dulu."

Terangguk-angguk Dila dengar. Memang betul pun, dia kalau boleh pun tak naklah Naural ni sedih lagi.

"Okey, aku bagilah sesiapa nanti jaket ni. Ada apa-apa lagi tak?"

"Ermmm... Yang tu aje rasanya. Dah, kau dah boleh masuk sambung tidur. Sorry ganggu kau pula. Aku tak tahu nak minta tolong siapa ni."

"Kau ni, apa gunanya kawan? Kalau nak apa-apa pertolongan aku, cakap aje. Tak payah nak seganlah Naural, kita pun bukan baru aje kenal, kan. Tapi timing tu biar kenalah sikit, janganlah sengaja nak pilih masa tidur aku." Sempat merungut lagi tu. Marah betul orang kacau lena dia.

"Yalah... Thanks, Dila. Thanks." Terharu. Kawan masa senang memang beribu-ribu dekat luar sana. Tapi kawan yang ada untuk sambut kita, pegang kita, salurkan semangat kepada kita... Tak ramai. Dia beruntung dapat jumpa Dila.

"Benda kecillah..."

Masuk aje bilik, laci meja dituju. Nak juga baca nota tu.

Kertas diambil.

Ubat ni untuk Naural, tolong bagi dia makan ikut masa dia. Tolong jaga dia baik-baik. Jaga dia untuk saya. Terima kasih. Kalau ada apa-apa yang tak cukup boleh mesej dekat nombor ni 010-XXXXXXX

Lama ditenung kertas tu. Siapa pula ni? Tak ada nama lagi. Tapi tak payah nak semakkan kepalalah. Cukuplah aku cakap terima kasih dalam hati khas untuk dia. Terima kasih, awak...

Naural terbangun lambat hari ni. Yalah, semalam dia dah bersengkang mata dengan Dila buat tutorial. Sampai tidur pun lambat, dalam pukul empat pagi baru nak tidur. Tapi sepanjang masa tu tak adalah bincang sangat pun. Lagi banyak bergosiplah. Nama pun perempuan, kan.

Ketukan di pintu kedengaran. Siapa pula yang datang ni?

"Kejap-kejap." Tergesa-gesa. Cepat aje dia rapikan rambut dia. Sebab nak tutup rambut yang berserabai sebab sah-sah dah terlambat nak kejar bas, dia sarung aje topi hadiah yang dapat dulu. Yang penuh misteri tu.

"Naural! Cepatlah, dah lambat nak pergi kelas ni." Kuat pula Dila ni menjerit. Apa tak sakit tekak ke?

"Kejap-kejap." Pintu bilik dah dibuka. Tapi nak pakai kasut kejap. Dahlah ada lagi lima minit aje. Kalau lambat kena tinggal baslah jawabnya.

Dahi Dila berkerut. Sejak bila tukar stail ni? Mana pernah nampak Naural ni sarung topi di atas kepala dia tu. Selalunya sanggul rambut tinggi-tinggi. Cantik juga bila sekali-sekala tukar gaya macam ni. Tak adalah asyik dengan gaya nak berpantang dia tu aje.

"Kenapa?"

"Tak ada apalah. Comel topi tu. Dah, jom. Dah lambat sangat ni." Tangan Naural ditarik. Kena cepat ni. Bukanlah ada kuiz ke apa, tapi dia orang dah lambat nak masuk kelas. Seganlah nak masuk lambat, nanti semua mesti nak pandang.

"Mana dapat topi tu?" Sempat lagi Si Dila ni bertanya. Dahlah tengah berlari ni.

"Ada yang kasi. Aku pakai ajelah." Terhenti-henti nada suara Naural.

"Serius? Kau ada peminat ke, Naural?" Dapat juga dia cakap dengan tenang, sambil duduk-duduk bersandar di dalam bas. Nasib baik lagi, sebab dia orang sempat naik bas ni tadi.

"Aku? Ada peminat? Entahlah, Dila. Tapi siapalah yang gila sangat nakkan aku ni, kan. Lagipun sejak kes lelaki tu, aku dah malas nak masuk dalam dunia-dunia jiwang, bunga-bunga ni." Hati dia dah tawar. Memang betul-betul dah tawar.

Dahi Dila berkerut. Tengah nak hadam apa yang Naural cakap tadi. Betul ke? Dia tahu yang Naural ni dah serik. Serik sebab kena tinggal, tapi semua yang berlaku ni buat dia tertanya-tanya. Bermula dengan bungkusan ubat tu, sekarang ni topi pula. Banyak betul peminat kau, Naural. Aku nak satu boleh tak? omel Dila dalam hati.

"Mula-mula ubat, then topi. Lepas tu apa pula?"

Naural alih pandang. Dari tadi dia asyik pandang ke luar tingkap. Rasa tenang tengok kehijauan pokok. Tapi apa yang Dila cakap tadi memang mampu menarik perhatian dia.

"Ubat? Topi? Kau cakap pasal apa ni?"

"Ingat tak ubat tu? Ubat yang aku bagi masa kau demam dulu." Dila cuba ingatkan Naural akan kejadian lepas. Dahlah kawan dia ni susah nak ingat benda lepas.

Mata Naural mengecil. Nak perah otak dia. Susah juga ni. Sakit juga kepala nak ingat semua ni.

"Ubat? Ohhh... Yang ada orang letak depan bilik aku tu ke?" Dapat juga dia ingat.

"Yup. Yup. Bagus! Ingatan kau ni dah makin kuat, kan? Senang sikit kerja aku."

Naural mencebik. Tak patut betul!

Dila ketawa. "Pasal ubat tu, aku rasa lelakilah yang bagi. Someone yang anggap kau ni penting. Sebab dalam surat tu dia macam ambil berat sangat pasal kesihatan kau. Siap suruh aku jaga kau lagi." Tersenyum-senyum Dila ni.

"Pandailah kau! Mana tahu tu warden aje ke? Tak payah nak berangan lebih sangat ya, Cik Dila oi."

"Warden? Kau pernah nampak tak selama ni dekat blok kita tu ada bayangan warden?"

Naural geleng kepala. Memang tak pernah nampak pun.

"Hah! Pandai pun. Kalau tak pernah nampak, apa yang buat kau fikir semua tu ihsan daripada warden pula? Aku rasa sebab dia tak boleh masuk jumpa kaulah dia wakilkan aku. Sebab dia lelaki, lelaki kan tak boleh masuk blok perempuan. Logik, kan?"

Dahi Naural berkerut.

"Logik ke? Aku tak nampak pun apa yang logiknya. Dahlah Dila, aku malaslah nak fikir pasal semua ni lagi. Aku tak nak kejadian lepas berulang lagi. Aku takut. Serik."

"Aku tahu kau serik, tapi kan Naural, takkan kau nak tolak semua lelaki lain yang nak kenal kau? Kau patut bagi dia orang peluang juga, kan? Tak adil hanya sebab satu lelaki, yang lain pun kena tempias dia."

Naural mengeluh. Dia tahu apa yang Dila cakap tu semua betul. Tapi hati dia yang tak boleh. Tak boleh buka untuk lelaki lain lagi. Mampu ke dia? Mampu ke dia bina hubungan dengan orang lain sedangkan kenangan lepas masih menghantui dia?

"Entahlah, Dila. Entahlah. Kita serahkan aje pada takdir semua ni. Kalau jodoh aku dah ditakdirkan ada dekat sini, nak tolak macam mana pun tak boleh, kan? Kita tunggu aje, tengok apa yang akan jadi nanti. Mana tahu bukan aku tapi kau yang bertemu jodoh dulu."

Tersengih-sengih Dila dengar Naural cakap macam tu. Amin... Amin. Harap-harap cepatlah, kan. Gatal betul anak dara seorang ni, kan. Belajar pun tak habis lagi.

"Harap mulut kau tu masinlah, Naural." Tapi dalam hati Dila ni masih ada yang tertanya-tanya lagi. Hati dia rasa memang betul apa yang dia cakap tadi. Memang betul kawan dia ni ada peminat. Tapi yang jadi persoalannya siapa?

Sedang ralit berfikir, mereka sudah tiba di hadapan kelas. Mereka berdua dikejutkan dengan jerkahan oleh suara yang sangat dikenali sebaik saja masuk ke dalam kelas.

"Hoi!"

"Apa hoi, hoi... Cantik bahasa kau." Panas Dila dengar bahasa 'sopan' Faiza tadi. Kurang sopan betul. Macam mana entah minah seorang ni boleh berubah sedrastik ni.

Faiza ketawa. Kuat. Sinis.

"Buat apa aku nak cakap baik-baik kepada perempuan macam ni? Perempuan perampas. Ni semua memang rancangan kau dari dulu, kan?" Mata dia mencerlung pandang ke arah Naural.

Naural pandang pelik. Apa pula masalah dia ni? Kali ni apa pula yang dia dah buat?

"Apa yang kau tak puas hati lagi ni hah? Kau memang tak puas hati, kan? Dari dulu ada aje yang kau tak puas hati dengan Naural ni. Dahlah, tak payah nak tengking-tengking macam ni. Macam budak tak matang. Cakap elok-elok tak boleh ke?" Dila dah tak boleh duduk diam.

"Cakap elok-elok dengan perempuan ni? Perempuan yang dah buat aku malu ni? Tak gunalah, weh. Tak perlu."

Naural hela nafas. Berat!

"Apa lagi ni, Iza? Kau nak apa? Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku?" Naural berani bertanya. Dia rasa bersalah buat Dila terkait sama.

"Topi ni! Mana kau dapat?" Panas dia apabila nampak Naural masuk ke dalam kelas tadi. Semuanya hanya disebabkan topi tu.

"Topi?" Topi dibuka, dibiarkan rambutnya bebas mengurai. Topi ni? Jangan nak cakap dia memekak pagi-pagi ni hanya disebabkan topi ni. Memang tak munasabah betul.

"Apa masalah kau dengan topi Naural ni pula? Kau ni memang tak serik lagi, kan. Ada aje yang tak puas hati, dari dulu lagi aku memang tak puas hati dengan perangai kau ni. Apa yang kau dengki sangat dengan Naural ni? Tak habis-habis." Laju aje Dila luah perasaan tak puas hati dia.

"Aku tak ada masalah dengan kau, Dila. Baik jangan masuk campur. Ni semua antara aku dengan budak penipu ni." Jarinya lurus menunjukkan ke arah muka Naural.

"Kau tipu aku kan selama ni? Kau kenal dia, kan? Kenapa kau nak biarkan aku malu macam tu? Kenapa kau suruh aku dekati dia juga? Kau kan perempuan tu? Kau kan perempuan yang dia suka tu?" Mata Faiza dah memerah. Air mata bergenang. Dia rasa dipermainkan. Dengan kawan baik dia sendiri. Pembetulan, bekas kawan baik dia. Yang sekarang dia sendiri dah isytiharkan sebagai musuh.

"Apa kau cakap ni? Aku tak faham. Apa kaitan topi ni dengan dia tu? Aku tak kenal dia pun. Kenapa kau nak kaitkan aku dengan dia pula? Tak cukup ke nak letak semua masalah ni dekat bahu aku dulu? Kenapa nak tambah lagi?" Banyak soalan daripada Faiza tadi dibalas dengan soalan juga. Dua-dua pihak memang tak puas hati.

"Tak payah nak berlakon. Topi ni. Topi yang aku bagi dia. Macam mana ada dengan kau pula? Kalau kau tak kenal dia macam mana kau boleh ada topi ni?" Memang nampak sangat Faiza ni tak puas hati.

"Topi ni? Aku tak tahu apa-apa pun. Jangan tuduh aku sembarangan, Iza..."

Dahi Dila berkerut. Raut Naural dengan Faiza dipandang silih berganti. Nasib baik pensyarah belum masuk lagi. Kalau tak, jadi makin teruk ni. Dia nak jadi pendamai pun tak boleh. Sebab dia nak tahu juga apa yang Faiza ni tak puas hati.

"Dah! Cukup, Naural! Tak payah nak berlakon. Bila kebenaran dah terbongkar macam ni baru kau nak cipta macam-macam alasan nak tutup kesalahan kau, kan. Topi tu dah cukup jelas jadi bukti. Tak payah nak berdalih lagi. Kau jangan ingat aku akan biarkan semua ni. Hari ni hari kau, esok dan seterusnya hari aku. Kau tunggulah." Faiza berlalu. Siap bagi ugutan segala. Dia ingat dia tu saudara mafia ke apa nak ugut orang macam tu.

Reaksi Naural? Dia hanya terkaku. Topi di tangan dipandang. Apa dah jadi ni? Satu pun dia tak faham.

"Kejap..." Ditahan Faiza yang ingin berlalu. Tangan Faiza ditarik. Muka jelas terperanjat. Tak puas hati.

"Ambil ni... Kalau sebab benda ni kau nak gaduh dengan aku, tak payahlah. Kau boleh ambil. Kalau tu buat kau rasa gembira..." Kali ni dia yang berlalu dulu. Siap digamit Dila sekali pergi. Tak payah nak berlama-lama di situ. Tak ada sebab. Air mata di tubir dikesat.

Sampai di sini saja ke tali persahabatan ni?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co