Truyen3h.Co

Love Riddles

Bab 4

karyaseni2u

"Jaket siapa tu?" Orang lain tengah sibuk buat soalan tutorial, Si Faiza ni sibuk nak tanya soalan yang memang tak ada kaitan.

"Akulah." Malas dia nak jawab sebenarnya.

"Sejak bila kau ada jaket macam ni?" Faiza pandang jaket tu lama. Badan Si Naural ni taklah besar mana, tapi jaket yang dia pakai dua kali ganda saiz badan dia kut. Gedabak. Sejak bila pula cita rasa kawan dia ni berubah?

"Semalam."

"Hah?"

"Aku dah ada sejak semalam." Tak dipandang raut Faiza pun sepanjang dia orang berbual, nak siapkan soalan tutorial punya pasal. Nasib baik demam dia dah baik, tapi tu pun lepas kena paksa makan ubat dengan Faiza. Kalau nak rela sendiri makan memang taklah. Tak sanggup nak korbankan lidah dia melawan kepahitan ubat-ubat tu.

"Bila kau beli?" Penuh curiga betul muka Si Faiza ni.

"Adalah. Kau berminat sangat pasal jaket ni kenapa?"

"Macam mana aku tak minat, kau mana pakai jaket ni. Lagi satu kenapa ada bau wangian lelaki dekat baju ni? Jangan nak cakap tu bau ayah kau."

Naural terkedu! Kuat sangat ke bau ni? Ingatkan dia seorang aje boleh bau. Hari ni dia pakai pun sebab rasa tenang dapat bau wangian tu.

"Hah! Kenapa kau diam? Tipu akulah tu." Jari ditunjukkan tepat ke arah muka Naural.

"Eh... Tak... Tak, mana ada aku tipu." Tergagap jugalah nak jawab, sebab semua ni seperti tiba-tiba.

"Entah kenapa susah aku nak per..."

"Kak, nak minta tolong boleh?"

Naural tarik nafas lega. Nasib baik budak ni datang, selamatlah dia daripada soalan Si Faiza ni.

"Boleh. Apa dia?" Faiza pandang Naural. Ketap bibir. Selamat pula kawan dia ni. Tak puas hatinya!

Naural mula tarik nafas lega. Gadis yang baru datang bertanyakan soalan tutorial itu dipandang. Junior. My hero. Haha.

Sepanjang hari Naural pakai jaket tu. Dia rasa selesa. Panas. Selamat. Tapi selamat kenapa? Kalau selesa dengan panas tu mungkin boleh faham lagilah. Jangan kata yang dia dah tersuka tuan jaket ni. Adoi! Susahlah macam ni.

Masa tengah beratur nak ambil makanan, Naural ternampak bayangan lelaki bertopi semalam. Lelaki bertopi? Dah ada gelaran untuk lelaki tu nampak. Hebat betul Naural dalam memberi nama kepada orang lain.

Tapi... Apabila dicari balik tak jumpa. Bukan nak apa pun, dia cuma nak pulangkan jaket. Sebab dari dalam kelas tadi ramai yang asyik bertanya sampai malas dia nak menjawab. Akhir sekali dia cakap...

"Yup! Ni boyfriend aku punya. Puas hati?"

Lepas cakap macam tu terus tak ada pertanyaan lagi dah. Manusia zaman sekarang ni pelik betullah. Tak ramai yang puas hati dengan kebenaran, penipuan juga yang dia orang pilih untuk percaya. Tapi apabila dah terbongkar nak tuduh kita menipu pula. Tak faham betul, kan?

Lepas dah mencari-cari tak ada tadi, Naural mengeluh. Salah percaturan masa kut, tapi kalau dia makan dekat sini mestilah lelaki bertopi tu fakulti ni juga, kan? Kalau macam tu senanglah, dapat dia jumpa lelaki tu lagi nanti. Dia tersenyum, sebelum mencium bau wangian jaket tu semula... Naural kemudian menapak ke kaunter ingin membayar harga nasi.

Faiza pula dari tadi mata dia tak lepas memandang tingkah Naural. Apa pelik kawan aku yang seorang ni? Ada ke patut cium jaket lepas tu senyum seorang-seorang? Jaket siapa sebenarnya? Nampak macam dah angau aje?

"Kau kenapa?" Terus dia bertanya, apabila Naural duduk.

Naural berkerut. Apa aku dah buat?

"Kenapa dengan aku?"

"Mana aku tahu kenapa dengan kau. Yang tu kau aje yang ada jawapan dia." Bengang pula Faiza. Ada ke patut orang tanya dia, dia tanya kita balik? Tak menjawab soalan langsung.

"Serius. Aku tak tahu kau tengah cakap apa ni."

"Kau sihat tak sebenarnya? Kenapa tersenyum-senyum cium jaket tu tadi?"

"Uhuk. Uhuk." Dalam tersedak pun, sempat lagi mata dia membulat dengan ayat kawan dia tadi. Macam mana Si Faiza ni boleh perasan pula?

"Kau perhatikan aku dari tadi ke?"

"Tak ada maknanya."

Senyuman jahat dah terukir di bibir Naural.

Faiza pandang pelik. Mesti ada aje dia nak mengenakan aku nanti. Dah kenal sangat dah perangai kau, Naural.

"Jangan cakap kau suka aku."

Mulut Faiza terbuka. Sampai ke situ Si Naural ni berfikir. Laju aje tangan dia mencubit lengan kawan dia tu. Itulah, mulut tak ada insurans lagi, kan dah kena.

"Sakitlah. Kejamlah kau ni." Digosok-gosok bahagian lengan kirinya. Perit! Mama... Sakit...

"Kaulah, ada ke sampai fikir macam tu sekali? Melampau tu, aku tak minat perempuan okey? Aku setia dengan Luth sampai bila-bila." Tersengih-tersengih dia.

Naural berfikir. Luth? Siapa Luth ni? Memang dia susah sikit nak cam orang. Tak kiralah baik dengan dia ke tak. Contoh macam Si Faiza inilah. Walaupun satu kelas, lepas tiba bulan baru Naural ingat sepenuhnya kawan dia ni. Sampai Faiza pun dah naik menyampah apabila Naural asyik tanya nama dia siapa aje. Nak buat macam mana, short term memory loss.

"Luth siapa?"

"Adoi! Aku lupalah kau ni ada masalah nak ingat orang. Dahlah, kalau aku bagi tahu pun bukannya masuk dalam kepala kau tu." Dia sambung makan, dahlah tadi tergendala. Tak sedaplah makan nasi sejuk.

"Aku pun tak fahamlah, Naural. Kenapalah kau ni susah nak ingat orang? Bukan setakat nama aje, muka dia orang pun kau tak ingat. Betul tak?"

"Ermmm... Yalah kut."

"Bukan kut, tapi memang betul kau tak ingat. Masa kecil-kecil kau pernah terhantuk ke, apa-apa ke?" Tiba-tiba Faiza berminat pula nak tahu. Sebelum ni tak ada pula.

"Ayah aku cakap aku pernah demam panas beberapa hari dulu. Mungkin sebab tu kut."

"Eh? Boleh ke?"

"Manalah aku tahu, tu ayah aku cakap. Kalau nak tahu pergilah tanya doktor. Aku pun tak tahu kenapa. Reda ajelah, dah aku tak ada kelebihan nak ingat orang, nak buat macam mana."

Faiza mencebik. Membebel pula Si Naural ni.

Luth yang duduk di meja belakang terkedu. Dia dengar semua yang Naural cakap tadi. Susah nak ingat orang? Dia tak ingat aku? Demam panas?

"Hoi! Yang kau termenung ni kenapa?"

Luth memandang ke arah Danny. Sekarang ni semua tengah duduk di satu meja dekat fakulti dia orang. Ada projek bersama yang nak dibuat. Biasalah, kan kerja budak kejuruteraan.

"Kau ada masalah ke?"

Luth mengeluh, buku yang diselak tadi ditutup. Dia pandang satu-satu muka yang tengah tunggu jawapan dia sekarang ni.

"Dia tak ingat aku."

"Hah? Dia tak ingat kau?" Amir dengan muka blur bertanya.

"Dia tak ingat kau?"

"Serius?" Ramai pula tiba-tiba nak tanya.

"Tapi dia tu siapa?" Danny garu kepala.

"Dialah..."

"Yalah. Tapi 'dia' tu siapa?"

"So, nak buat macam mana? Boleh ke teruskan kalau kau pun dia tak ingat?" Amir tanya lagi. Soalan Danny tu dia buat tak tahu aje. Kawan dia ni memang lambat sikit, nanti malam kut baru dia tahu siapa 'dia' tu.

"Aku pun tak tahu, kita ikut rentak ajelah..." Yang lain hanya memandang. Kesian juga dekat kawan dia ni. Tapi apa nak buat, Luth awal-awal dah bagi amaran jangan pandai-pandai nak buat apa-apa sendiri. Semuanya mesti datang daripada dia. Pasrah ajelah, Luth.

"Naural nak pergi tengok movie tak?"

"Cerita apa?"

Lama Faiza berfikir. Dia nak keluar sebenarnya, bosan dah duduk terperap di dalam bilik Si Naural ni. Naural pun bukan nak layan dia borak pun, dari tadi asyik menghadap komputer riba aje.

"Ermmm... Hobbit nak?"

"Hobbit? Serius? Kalau Hobbit mestilah nak. Gila kut kalau tak pergi tengok, dah lama aku tunggu cerita tu." Bersinar-sinar mata dia dengar ajakan Faiza tadi. Memang dah lama dia nak pergi tengok, tapi tak ada yang nak teman aje.

"Okey. Set! Lagi tiga puluh minit kita jumpa dekat bus stop. Kau jangan nak lambat pula."

"Selama ni pernah ke aku lambat?" Mata dia dibulatkan, tanda tak puas hati dengan kata Faiza tadi.

"Pernah, okey. Selalu! Hilang ingatan apa?"

Tidak lama kemudian, mereka berdua tiba di Mid Valley. Tiba aje di Mid Valley, Faiza dengan Naural dah bertepuk tangan. Kenapa? Sebab dia orang rasa bangga dapat datang sini dengan kudrat sendiri tanpa pertolongan orang lain. Nasib baik duduk dekat KL ni, tak ramai yang nak ambil kesah telatah orang lain. Kalau tak, mesti ramai dah label budak dua orang ni sakit mental.

"Cepat-cepat Naural, kalau lambat nanti mesti kena beratur panjang."

"Tak payahlah nak cepat sangat, Iza. Kita pergi makan dululah. Perut aku dah berbunyi ni. Sakit kut dari dalam tren aku tahan lapar." Mulut dimuncungkan. Sangat tak puas hati dengan cadangan Faiza tadi.

"Tak bolehlah, Naural. Kau pernah datang sini tak sebelum ni?"

Naural menggeleng. Dia memang tak pernah datang sini pun sebelum ni, paling jauh dia pernah pergi, pekan Kajang.

"Serius?" Tak sangka dalam banyak-banyak pelajar UKM ni, ada juga makhluk Allah yang tak pernah jejakkan kaki datang sini.

"Seriuslah, tak ada sebablah aku nak datang sini dulu. Kalau barang habis aku beli ajelah dekat K-mart tu. Semua pun ada, mahal sikit tu kira halallah."

"K-mart? Bosan gila hidup kau, Naural."

"Apa yang bosannya? Aku rasa okey aje. Selama dua tahun setengah ni boleh aje aku hidup tenang tak payah keluar-keluar ni."

Dahi Faiza berkerut. Memang susah nak faham insan bernama Naural ni.

Lepas berbalah antara nak makan atau beli tiket, akhirnya Faiza yang menang. Memanglah Naural tak boleh menang kalau apa-apa yang melibatkan Faiza. Kawan dia tu hebat dalam mempengaruhi fikiran orang.

Akhirnya sampai juga di tingkat tiga yang terpaksa ditempuhi dengan penuh ranjau dan duri tadi. Tapi penuh ranjau dan duri tu hanya bagi pihak Si Naural ajelah. Semua tu sebab ramai sangat orang yang dia kena elakkan masa nak lalu sebab dia tak suka manusia-manusia ni terlanggar sikit pun badan dia. Satu lagi sebabnya ialah dari bawah sampai ke atas ada banyak restoran kut. Dahlah dia lapar, makin kuat bunyi perut dia apabila terbau bau-bau makanan tu. Yummy! Sabar aje, ya perut.

"Panjangnya, Iza..." Tak sangka sampai aje dekat kaunter tiket ni dia dihidangkan dengan pemandangan barisan panjang ni. Serius? Hari kerja ni pun ramai orang? Apa dia orang ni semua jenis yang tak kerja ke apa?

"Memanglah. Tu sebab aku suruh beli tiket dulu, kalau tak nanti memang tak dapatlah." Tangan Naural ditarik, berlari kecil jugalah nak beratur.

"Kenapa masa hari kerja pun ramai orang?"

"Sebab kawasan ni kan ramai budak universiti. UM pun dekat."

Naural hanya mendengar. Betul juga, kan? Mata dia melingas melihat orang ramai. Apabila dia toleh balik ke arah Faiza, nampak kawan dia tu dari tadi tekun memandang ke arah seseorang.

"Kau pandang apa?"

"Tak ada apalah. Dah, tak payah tengok sana." Baru aje dia nak tengok, dah kena tolak dengan Faiza.

"Siapa sebenarnya yang kau nampak ni?"

"Tak ada siapalah Naural, tak ada siapa pun."

"Betul? Kenapa aku nampak kau macam nak menangis? Okey tak ni? Jangan nak buat aku risau." Naural dah hampir nak capai tisu. Memang nampak jelas kut muka Faiza ni dah nak menangis. Tapi kenapa?

"Tak payahlah Naural, kau ni over la. Aku okey." Lepas cakap tu, dia orang terus diam sampai giliran dia orang tiba. Naural dari tadi khusyuk pandang Faiza. Apa dah jadi?

Ngam-ngam aje lepas beli tiket dia orang dah terus boleh masuk. Tapi baru aje dia nak menapak masuk ke dalam barisan nak masuk ke dalam panggung, langkah Faiza terhenti. Naural yang pelik terus pandang kawan dia.

Dia terkedu!

Kenapa Faiza menangis? Apa dah jadi sebenarnya?

"Kenapa ni, Iza?" Bahu kawannya disentuh. Esakan kecil dah terdengar.

"Luth... Dia dah ada girlfriend..."

Eh? Luth lagi? Tapi siapa dia? Dah memang otak dia ni akan memilih apa yang dia hanya nak ingatkan, sebab tu perkara berkaitan Luth tu dah dipadam. Sebab tuannya yang tak nak ingat. Masalah. Tu masalah ingatan, Naural.

Tapi serius, melihatkan kelakuan Faiza sekarang buat dia rasa menyesal. Kenapa lelaki tu langsung tak diingati? Wajib ingat dia lepas ni. Wajib.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co